Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, May 17, 2017

OH, BAHASAKU!




OH, BAHASAKU dalam SINAR HARIAN:
Perihal Kosa Kata, “DALAM” dalam BM

       Kosa kata, “dalam” dalam Bahasa Melayu mempunyai pelbagai makna yang wajar kita halusi dan telusuri, yakni jarak (jauhnya) ke bawah atau ke dasar dari permukaan (air, tanah, dsb), jarak (jauhnya) ke tengah dari tepi atau pinggir sesuatu, tidak cetek, bukan sedikit, tidak sempit, lebih daripada sekadar yang perlu sahaja, mengandungi makna yang tidak mudah difahami (berkenaan perkataan, ungkapan, dsb), tidak ceper (leper), jeluk (berkenaan pinggan atau piring),  bahagian atau ruang (rumah, bilik, peti, almari, dll) yang lawannya luar, yang berkaitan dengan atau terbatas pada lingkungan sesuatu (seperti negeri, keluarga, dll) itu sendiri, yang tidak nampak atau ketara dari luar dan yang dipakai sebelum dipakai pakaian selengkapnya.

       Dalam Bahasa Melayu, kosa kata, “dalam” tergolong dalam beberapa jenis kata mengikut fungsi masing-masing, iaitu:

i.                    “dalam” sebagai kata sendi nama.

Ayat contoh:
Dalam hal ini, kita perlu bersepakat.

Kata Sendi + Kata Nama/Frasa Nama
dalam + hal ini

Kita harus fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan kita.

Kata Sendi + Kata Nama/Frasa Nama
dalam + bahasa kebangsaan kita

ii.                   “dalam” sebagai kata adjektif.

Ayat contoh:
Sungai Berop sangat dalam.

Kata Penguat + Kata Adjektif
sangat + dalam

              Sungguh dalam luka pada kakinya.
             
              Kata Penguat + Kata Adjektif  
              sungguh + dalam

                                                                                                                                      
iii.                 “dalam” sebagai kata arah.

Ayat contoh:
Pensel itu di dalam kotak.

Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama
di + dalam + kotak

              Tetamu itu berada di dalam dewan.

              Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama
              di + dalam + dewan

iv.                Ayat Contoh:
a.  Wang yang tersimpan di dalam laci itu untuk kumpulan mana? (baku)

di + dalam + laci itu
Kata Sendi + Kata Arah + Frasa Nama

Wang yang tersimpan dalam laci itu untuk kumpulan mana? (tidak baku)

Tetamu itu berada di dalam dewan. (baku)
di + dalam + dewan
Kata Sendi + Kata Arah + Kata Nama

Tetamu itu berada dalam dewan. (tidak baku)
             
b.  Bill Gates ialah pereka cipta perisian pemprosesan perkataan yang telah memberikan sumbangan dalam bidang teknologi maklumat. (baku)
dalam + bidang teknologi maklumat
Kata Sendi + Frasa Nama

Bill Gates ialah pereka cipta perisian pemprosesan perkataan yang telah memberikan sumbangan di dalam bidang teknologi maklumat. (tidak baku)

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang lalu. (baku)
dalam + mesyuarat
Kata Sendi + Kata Nama

Perkara itu telah dibincangkan di dalam mesyuarat yang lalu. (tidak baku)

Saya tidak terlibat dalam urusan mereka. (baku)
dalam + urusan mereka
Kata Sendi + Frasa Nama

Saya tidak terlibat di dalam urusan mereka. (tidak baku)


c.   Paling dalam luka pada kaki Mutu. (baku)
Paling + dalam
Kata Penguat + Kata Adjektif

Dalam sekali luka pada kaki Mutu. (baku)
Dalam + sekali
Kata Adjektif + Darjah Penghabisan/Kata Penegas

Paling dalam sekali luka pada kaki Mutu.
(tidak baku)

Sekali dalam luka pada kaki Mutu.
(tidak baku)

Amat dalam sekali kolam lombong itu. (baku)
amat + dalam + sekali
Kata Penguat + Kata Adjektif + Darjah Penghabisan

Amat dalam kolam lombong itu. (baku)
amat + dalam
Kata Penguat + Kata Adjektif

Dalam sekali kolam lombong itu. (baku)
dalam + sekali
Kata Adjektif + Darjah Penghabisan/Kata Penegas

Teramat dalam kolam lombong itu. (baku)
ter- + amat + dalam
Imbuhan awalan + Kata Penguat + Kata Adjektif

Yang jelas, kosa kata, “dalam” terdiri daripada kata sendi, kata adjektif dan kata arah dalam Bahasa Melayu. Kata-kata tersebut mempunyai fungsi yang tersendiri dalam pembentukan dan pembinaan ayat (sintaksis) Bahasa Melayu yang betul dan gramatis. Kenalilah kosa kata, “dalam” agar kita sebagai pengguna dan pencinta bahasa mampu berbicara atau berwacana dengan baik dan persis dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa sarana ilmu, bak kata pepatah Melayu, “tak kenal, maka tak cinta”. Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan, MD (Bahasa), Daerah Muallim.
(SINAR HARIAN - 18 MEI 2017)

No comments: