Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, April 8, 2017

TALIB SAMAT - SASTERAWAN GIGIH



TALIB SAMAT – SASTERAWAN GIGIH
(Allahyarham PM Dr. Talib Samat dari sudut pandangan MD CLG)

KPK 1991

          Semasa ditawarkan Kursus Pendidikan Khas, Bacaan dan Penulisan (BAPEN), Bahasa Melayu di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada 1991, makalah-makalah dan karya-karya tulisan Talib Samat (TS) sering menjadi tatapan dan rujukan selain tulisan beliau banyak membantu saya untuk lebih mengenali dan mendekati dunia kebahasaan dan kesusasteraan Melayu tanah air biarpun pada ketika itu sejujurnya saya masih belum mengenali TS secara dekat atau berkesempatan untuk bertemu dengan beliau melalui aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan tanah air.

           
Menelusuri biodata ringkas penulis hebat tanah air yang prolifik ini, jelaslah bahawa TS, anak keempat daripada enam adik-beradik ini dilahirkan di Kampung Sungai Kalung Getah, Senggarang, Batu Pahat, Johor Darul Takzim pada 13 Mac 1959 cukup berdisiplin dan kental dalam bidang kesusasteraan tanah air. Masih saya ingat ketika saya pernah diundang ke pejabatnya di Jabatan Kesusasteraaan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim sekitar awal tahun 2000, beliau pernah menghadiahi saya dua buah antologi cerpen selenggaraan beliau ketika masih bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa (Editor) di Bahagian Penerbitan Sastera, Bahagian Penerbitan Am dan Bahagian Kesusasteraan Bandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1984 – 1998, iaitu “KEHADIRAN YANG DILUPAKAN”, antologi cerpen penulis muda terbitan DBP (1989) dan “TANGLUNG BUNGA SAKURA”, DBP (1992), antologi cerpen penulis remaja.


UPSI – KARYAWAN PK – HADIAH SASTERA

          Dalam pertemuan yang singkat itu, sempat kami berbual-bual tentang perkembangan bahasa dan susastera Melayu tanah air secara ringkasnya, masa depan penulis bukan Melayu selain syor dan cadangan bernas untuk beberapa akvititi kebahasaan dan kesusasteraan di sekitar Tanjong Malim, yang pada ketika itu masih di bawah pentadbiran Daerah Batang Padang (kini, Daerah Muallim) dengan kerjasama intim Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim dan Persatuan Karyawan Perak atau Karyawan Pk. Beliau turut memberikan galakan agar saya, sebagai penulis bukan Melayu setempat, harus terus bergiat aktif dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan Melayu, khususnya dalam genre penulisan yang paling saya gemari sejak di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) pada 1980/81 dan Institut Bahasa, (IBKL) pada 1991, iaitu genre sajak dan cerpen selain penulisan makalah tentang pengajaran dan pembelajaran tatabahasa Bahasa Melayu dalam majalah Pelita Bahasa untuk bacaan dan rujukan murid-murid dan guru di seluruh negara.

 
Hadiah Sastera Darul Ridzuan IV - 2014

          Sejujurnya, setiap nasihat dan galakan daripada Talib Samat (TS), seorang penggiat, sarjana, editor, cendekiawan dan sasterawan gigih yang telah berjaya menulis dan menghasilkan 110 buah buku kreatif dan deskriptif, merangkum pelbagai genre penulisan seperti esei, rencana umum, novel remaja, novel dewasa, puisi, ulasan buku, kertas kerja dan buku pengetahuan umum, terus subur memberikan dorongan luar biasa kepada saya agar terus berkarya sehingga meningkat maju dan berjaya di buana bahasa dan kesusasteraan kebangsaan dari setahun ke setahun. Berkat daripada motivasi TS, banyak karya sajak dan cerpen saya tersiar dalam media cetak tempatan seperti Bacaria, Watan, Buletin Utama, dan Mingguan Perdana (akhbar tabloid) di samping Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian, Pelita Bahasa dan Dewan Budaya (majalah dan akhbar arus perdana). Kekuatan demi kekuatan yang telah dibina, digarap dan dipersubur dalam diri bagaikan obor yang menerangi buana kebahasaan dan kesusasteraan tanah air sehingga saya mampu berdikari, gigih menghasilkan karya, berani untuk menyertai beberapa sayembara penulisan anjuran Utusan Melayu – Public Bank dan DBP - Maybank sekali gus memenangi Hadiah Sastera Utusan - Public Bank (1987, 1988, 1993 dan 1995), Hadiah Sastera DBP – Maybank (1992 dan 1995), Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 dan Hadiah Sastera/Karya Darul Ridzuan 2014 dan 2016.


          Talib Samat (TS) yang saya kenali, seorang rakan dan pembimbing yang rajin, produktif, mudah didekati tanpa banyak protokol, dan seorang pendengar yang teliti walaupun bersifat pendiam orangnya. Sebagai pemenang utama pelbagai hadiah sastera perdana tanah air, TS senantiasa proaktif menggerakkan aktiviti persatuan dan program kebahasaan dan kesusasteraan bahasa Melayu di universiti, khususnya dalam genre penulisan, pembentangan kertas kerja, seminar, baca puisi dan darmawisata penerokaan ilmu ketamadunan bangsa lebih-lebih lagi sewaktu beliau terpilih sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Karyawan Perak@Karyawan Pk pada tahun 2009 – 2012 dan seterusnya sebagai AJK Karyawan Pk sehingga akhir hayatnya.


ANUGERAH

Pemenang Anugerah Perdana Za’ba, Kategori Tokoh Pengarang Negara 2010 ini turut memenangi Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2014 melalui Kategori Penulisan Biografi, yakni Sejarah Kedatangan dan Biografi Tokoh-tokoh Rawa yang Terkenal di Malaysia. Yang menariknya, dalam Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2014, saya turut berjaya memenangi Kategori Sajak Eceran, iaitu Ceritera Seorang Ibu Tua bersama-sama penulis tersohor Perak Darul Ridzuan yang lain, termasuklah TS. Karya kami terpilih dan diulas dalam antologi, “TITIK KE TITIK HUJAN”, selenggaraan Djazlam Zainal dan telah diterbitkan oleh Yayasan Kampung Karyawan Malim pada tahun 2014.

          Ketika menelaah dan menelusuri sajak-sajak Talib Samat (TS) dalam Antologi Seribu Sajak Merdeka, “SUARA KITA”, terkesan oleh saya akan nilai cinta akan tanah air dan semangat patriotik yang terserlah jelas dalam jiwa raga dan dunia  kehidupan TS.

          Bahtera Merdeka
          lagu yang sentiasa dimainkan setiap kali datangnya 31 Ogos
perayaan ulang tahun hari merdeka yang sering bermain di corong-corong radio, layar tv
dan berkumandang ke udara
membakar semangat rakyat mempertahankan kemerdekaan sedia ada
daripada dijajah semula oleh penjajah Barat
          akan kupertahankan setiap inci bumi ini
akan kupertahankan dengan darah titisan darah merah yang mengalir dalam diriku
akan kupertahankan negara tercinta ini sehingga ke titisan darah terakhir
dengan semangat sedia berkorban apa saja demi tanah air tercinta

(BAHTERA MERDEKA, Halaman 547 – 548)

          Antara sajak TS yang turut termuat dalam antologi tersebut, ialah “31 OGOS”, “BUDI BAHASA RAKYAT KEPADA PEMIMPIN”, “BUDI BAHASA PEMIMPIN KEPADA RAKYAT”, “HEBATNYA WANITA HARMONI”, dan “PULAU PANGKOR”.


Selain novel popular TS, PANAS SALJU (Utusan Publications & Distrubutors Sdn. Bhd., 1995) yang terpilih sebagai teks bacaan wajib bagi pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS), TS banyak menulis dan membukukan hasil kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan anak peneroka FELDA, sejarah, tokoh, bahasa, budaya dan kesusasteraan tanah air untuk tatapan dan kajian anak-anak bangsa pada masa depan. Kebanyakan khazanah hasil perbentangan seminar dan bengkel telah diantologikan dalam buku-buku yang berikut (seperti dalam simpanan penulis), iaitu NARATOLOGI SHAHNON AHMAD (DBP, 2010), PEMIKIRAN BAHASA DAN SASTERA ZULKIFLI MUHAMMAD DARI PERSPEKTIF ISLAM (DBP), TANDUO OH TANDUO (Penerbit Mentari, 2013), SEJARAH PEMBUKAAN BANDAR RAYA IPOH PERAK (Penerbit Mentari, 2016), BAH KUNING (Penerbit Mentari, 2016), KENALI TOKOH PERAK TERPINGGIR TETAPI BERJASA JILID 5 (Penerbit Mentari, 2015), KENANGAN DI HOSPITAL DAN PUISI-PUISI LAIN (Penerbit Mentari, 2015) selain antologi yang terdahulu, yakni ABU BAKAR AS-SIDDIQ – KHALIFAH AL-RASYIDIN PERTAMA (Karisma Publications, 2004), UMAR AL-KHATTAB KHALIFAH AL-RASYIIN KEDUA (Karisma Publications Sdn.Bhd., 2004), TSUNAMI (Karyawangsa Sdn. Bhd., 2005), MUTIARA AKAL (Persatuan Karyawan Perak, 2010), SUARA DARI TANJUNG (Universiti Press Sdn. Bhd.), TRAVELOG SEYCHELLES (Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd., 2012), TAMAN BAHASA IBUNDA (DBP) dan LAMBAIAN NUSA (DBP).


Setiap kali apabila adanya mesyuarat persatuan (Karyawan Pk) atau majlis pertemuan bahasa dan susastera kebangsaan (UPSI Tg. Malim, DBP dsb.), kami sering bertanyakan khabar dan bertukar-tukar cenderamata buku untuk bacaan selain dijadikan koleksi di laman kutubkhanah rumah. Yang penting dan sering tidak dilupakan oleh beliau ialah peringatan agar saya terus-menerus membaca dan berkarya selain menyumbangkan karya (makalah, sajak atau cerpen) untuk dimuatkan dalam buku atau antologi terbaharu yang diselenggarakan oleh beliau dari semasa ke semasa di bawah Penerbitan  Mentari.

Pesanan dan maklumat melalui e-mel, messenger dan sms sering memberikan galakan kepada saya untuk menghasilkan karya yang bermutu, terutamanya sajak dalam pelbagai tema yang diungkapkan untuk pertimbangan beliau sebelum direalisasikan dalam bentuk buku atau antologi bersama. Benarlah kata mendiang ibu bapa saya bahawa kehidupan ini umpama sebuah landasan kereta api yang panjang, dan kitalah insan yang bergelar penumpang, pasti akan singgah dari stesen ke stesen sebelum menyusuri jalan pulang ke stesen yang terakhir.


BELASUNGKAWA

Seperti yang sudah ditakdirkan bahawa Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-10, Persatuan Karyawan Perak@Karyawan Pk dan Majlis Bicara Karya Sasterawan Perak serta pelancaran 15 buah karya ahli yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tn. Abdul Nasir Mohd Razali, Pengarah, DBP Wilayah Utara di Dewan Seminar, Restoran Simpang Tiga, Greentown Square, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 27 Mac 2016 merupakan pertemuan yang terakhir saya (selaku moderator Bicara Karya) dengan Allahyarham Profesor Madya Dr. Talib Samat.

GAMBAR MD CLG – MAJLIS BICARA KARYA SASTERAWAN PERAK: 27 MAC 2016

Khabar keberangkatan beliau ke negeri abadi (kembali ke rahmatullah) saya terima melalui mesej pesanan ringkas (sms) Encik Armin Azahari Saleh, Editor Kanan Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 14 April 2016 (Khamis). Kebetulan pula, saya masih berurusan di luar daerah dan tidak berkesempatan untuk pulang memberikan penghormatan yang terakhir kepada seorang sahabat bahasa dan susastera yang bergelar cendekiawan, ilmuan, budayawan dan sasterawan nusa bangsa yang hebat dan berketerampilan. Belasungkawa, Allahyarham Profesor Madya Dr. Talib Samat, sasterawan gigih, anak watan Negeri Johor Darul Takzim, sahabat akrab Persatuan Karyawan Perak@Karyawan Pk!


Chai Loon Guan,
Munsyi Dewan (Bahasa),
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur – Tanjong Malim,
Daerah Muallim.

GAMBAR MD CLG – TS
Pertemuan MD CLG dengan Allahyarham Profesor Madya Dr. Talib Samat (TS) di Restoran Sate Tg. Malim sambil berbicara tentang Antologi Sajak, “TANDUO OH TANDUO” pada 11 Jun 2013.

GAMBAR MD CLG - TS
Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-10, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan Majlis Bicara Karya Sasterawan Negeri Perak serta pelancaran 15 buah karya ahli di Dewan Seminar, Restoran Simpang Tiga, Greentown Square, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 27 Mac 2016.

No comments: