Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, November 30, 2016

MINGGU PENULIS KANAK-KANAK DBP 2016


CLG sebagai pembimbing PUISI bersempena dengan MINGGU PENULIS KANAK-KANAK DBP 2016 pada 26 - 30 November 2016 di PRIMALAND PD and CONVENTION CENTRE, PORT DICKSON, Negeri Sembilan Darul Khusus.


BBK Negeri Perak Darul Ridzuan 2016


Wednesday, November 23, 2016

CATATAN PETANG



23 NOVEMBER 2016, Rabu:
CATATAN PETANG


RUMAH
Erti:
Binaan untuk tempat tinggal, bangunan, gedung, pasukan, atau kumpulan dalam olahraga.

Frasa:
rumah merah, rumah angka, rumah adat, rumah Tuhan, rumah api, rumah bandar, rumah batu, rumah berhala, rumah besar, rumah butang,rumah ibadat, rumah dapur, rumah gadai, rumah gedang, rumah gila, rumah hantu, rumah haram, rumah ibu, rumah induk, rumah instansi, rumah jaga, rumah judi, rumah kampung, rumah kedai, rumah kilat, rumah kit, rumah komedi, rumah kutai, rumah lelang, rumah ladang, rumah liar, rumah bumbung, rumah loteng, rumah makan, rumah miskin, rumah monyet, rumah panggang, rumah pangsa, rumah panjang, rumah pasang siap, rumah pasung, rumah pelacuran, rumah penginapan, rumah penjelasan, rumah perdeo, rumah perhentian, rumah persinggahan, rumah piatu, rumah petak, rumah sembelih, rumah rehat, rumah sakit, rumah setinggan, rumah sewa, rumah siput, rumah tanaman, rumah tengah, rumah tumpangan, rumah turutan, rumah ubat, rumah urut, rumah langsuyar, rumah tangga.

Peribahasa:
a. Rumah buruk disapu cat.
b. Rumah gedang ketirisan.
c. Rumah gedang bersendi perak.
d. Rumah sudah tukul (pahat) berbunyi.
e. Dalam rumah membuat rumah.
f.  Diseluduki bawah rumah orang berluluk kepala.
g. Masuk ke bawah rumah orang kotor kepala.
h. Memperlihatkan rumah buruk kepada orang maling.
i. Tiada berorang di rumah.

Kata Terbitan/Kata Ganda:
serumah, menyerumahkan, rumah-rumah, rumah-rumahan, berumah, berumah tangga, berumahkan, memperumahkan, perumahan, perumah.

TANGGA
Erti:
Tempat tumpuan kaki yang bertingkat-tingkat untuk naik turun rumah dll., alat untuk tumpuan (sigai) memanjat, bahagian daripada sesuatu yang bertingkat-tingkat, peringkat, skala, tingkatan.

Frasa:
tangga bongsu, tangga gaji, tangga nada, tangga pilin, tangga sulur, tangga senigai (sigai), tangga sulung.

Peribahasa:
a, Tolak tangga berayun kaki, peluk tubuh mengajar diri.

Kata Terbitan:
setangga, bertangga, bertanggakan.

RUMAH + TANGGA = RUMAH TANGGA
Erti:
Perihal rumah dan kehidupan dalam rumah, rumah dengan keluarga yang mendiaminya.

NAFSU

kerana cinta
kerana kuasa
persetiaan rumah tangga
ternoda
di kamar hotel
kerana pangkat
kerana darjat
asmaraloka bersemi
di ranjang berahi

pangsapuri mewah
kerana nafsu-nafsi
bahagia tergadai
rumah tangga berantakan
cengkerama bercumbuan
waadat perkahwinan
bersekedudukan
tanpa malu
tanpa iman
keterlanjuran mengaibkan
harga diri

anak-anak
yang tidak berdosa
dikambinghitamkan
oleh culas kehidupan
yang kehilangan

peta kemuliaan!

Chai Loon Guan,
Daerah Muallim.


(Sumber: Tn. KonYit Chin)

Tuesday, November 22, 2016

MAJLIS LETAK BATU ASAS - DEWAN ORANG RAMAI SLIM VILLAGE


22 November 2016, Selasa:
Majlis Letak Batu Asas, Dewan Orang Ramai Slim Village telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar, Perak Darul Ridzuan pada 22 November 2016.

Friday, November 18, 2016

SINAR HARIAN - 18 NOVEMBER 2016


18 NOVEMBER 2016, Jumaat:
Ceritera CLG (MD Bahasa) tersiar dalam SINAR HARIAN pada hari ini bersamaan 18 November 2016. Terima kasih, SINAR HARIAN, khususnya Cik Siti Khairulnisah Mohammed Bajuri.
BAHASA JIWA BANGSA.

PPD BATANG PADANG @ DAERAH MUALLIM



18 November 2016, Jumaat:
CLG (AJK LPS, Alumni MES dan MMS) dan rombongan LPS/PIBG, SMK Methodist (MES), Tg. Malim membuat kunjungan hormat ke PPD Batang Padang dan Daerah Muallim pada 18 November 2016. Lux Et Veritas.

Tuesday, November 15, 2016

MUZAKARAH MUNSYI DEWAN DBP


MUZAKARAH MUNSYI DEWAN DBP anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia akan berlangsung  pada 6 - 7 DISEMBER 2016 di Dewan Seminar, DBP,
Kuala Lumpur. 
BAHASA JIWA BANGSA.

MINGGU PENULIS KANAK-KANAK 2016


MINGGU PENULIS KANAK-KANAK 2016 anjuran DEWAN BAHASA dan PUSTAKA pada 26 - 30 NOVEMBER 2016 di PRIMALAND PORT DICKSON & CONVENTION CENTRE, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus.

PULARA 7

FESTIVAL PUISI dan LAGU RAKYAT ANTARABANGSA PANGKOR pada 8 - 11 DISEMBER 2016 di ARENA PANGKOR, PULAU PANGKOR.


Saturday, November 12, 2016

Mural 3D - DOLFIN


Selangkah demi selangkah sehingga terlukisnya Mural 3D - DOLFIN oleh Cikgu Chai Wuang Shen, SJK(C) Chung Sin, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan di Kafeteria Blue Garden, Taman Bernam Baru, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Friday, November 11, 2016

Belasungkawa TUN TAN CHENG LOCK





Belasungkawa
TUN TAN CHENG LOCK

5 April 1883
tanah tumpah darahmu, Melaka
menyambutmu dalam tangisan
sebelum dikau
membesar penuh tertib tradisi
bersendikan adat budaya leluhur
warisan turun-temurun
Tun Tan Cheng Lock
semakin besar, dikau
dengan ilmu pengalaman
di Kolej Raffles, 1902
sebelum kembali bertugas
di Estet Bukit Kajang
milik keluarga yang tersayang

dilantik Ahli Majlis
dianugerahi Jaksa Pendamai Raja England, 1912
diamanahkan tanggungjawab
pengerusi Persatuan Cina - British (1928)
Eksekutif Majlis Negeri-Negeri Selat (1932)
dikurniai pingat CBE Raja George V
sebelum menjejaki benua India
penuh musyawarah
demi masa depan Tanah Melayu, 1940
pelopor MCA, 1942
pejuang kemerdekaan, 1945
demi keadilan
hak persamaan
rakyat aneka bangsa, 1946

Tun Tan Cheng Lock
presiden MCA, 1949
dianugerahi KBE Raja George VI
antara umarak Parti Perikatan, 1954
bersama-sama Tunku Abdul Rahman - David Marshall
merealisasikan Pertemuan Baling, 1955
bergelar Tun, 1957
ketika menelusuri usia persaraan
di buana siasah, 1958
sebelum kembali ke rumah-Nya,
13 Disember 1960
Tun Tan Cheng Lock
seorang warga
seorang patriot
seorang negarawan
seorang anak bangsa
pejuang kemerdekaan yang berwawasan
umarak perpaduan yang berketerampilan
di bumi merdeka dan berdaulat
nusa bangsa yang tercinta
Malaysia!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim - Sentral KL - Putrajaya
26 November 2015

WARKAH NURANI BUAT MCA I & II





01 NOVEMBER 2016. Selasa:
WARKAH NURANI BUAT MCA

Sejak menjadi AHLI SEUMUR HIDUP MCA pada 23 Ogos 1988 sehingga kini (November 2016), MCA masih belum bersedia untuk memberikan "ruang dan peluang" kepada ahli-ahli yang bukan berpendidikan Cina untuk bergiat cergas dan cerdas dalam agenda siasah tanah air, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau kebangsaan.

Pada hemat saya, dunia siasah mutakhir kian canggih dan berwarna-warni. Selain bertunjangkan bahasa TIONGHOA (Mandarin) dan ingin kekal relevan, sudah tiba masanya, MCA Pusat sewajarnya mengambil daya usaha kreatif dan inovatif untuk menelusuri transformasi sekali gus memikirkan peranan, keterampilan dan kewibawaan sebilangan ahli setianya yang berpendidikan BAHASA MELAYU (BM) dan BAHASA INGGERIS (BI).

Jika belum (biarpun sudah agak terlewat), amat molek sekali MCA Pusat mengambil daya usaha untuk menubuhkan BIRO BM dan BIRO BI (jika sudah diwujudkan, proaktifkan melalui kempen, seminar, sesi wacana dan konvensyen dari semasa ke semasa) agar lebih banyak ahli yang berpendidikan BM dan BI dapat menyalurkan idea yang bernas, cerdas dan membina berteraskan KBAT dan i-Think di samping mengambil bahagian secara cergas dan bertanggungjawab, yakni mempromosikan dan merealisasikan agenda dan weltanschauung parti sekali gus menawarkan perkhidmatan yang berteraskan ilmu, kemahiran dan kepakaran kepada akar umbi, masyarakat, bangsa dan negara yang tercinta.

Salam Sehati Sejiwa.
BAHASA JIWA BANGSA

10 NOVEMBER 2016, Khamis:
WARKAH NURANI BUAT MCA II:

Pelantikan wakil MCA untuk mengisi jawatan sebagai Ahli Majlis (PBT), JPP, PKP, Pengerusi JKKK (Ketua Kampung), Ahli Lembaga Pelawat, Pegawai Khas (ADUN atau Ahli Parlimen), Panel Penasihat dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan dengan tadbir urus dan khidmat masyarakat (akar umbi) haruslah memenuhi syarat kelayakan asas, iaitu yang dilantik sewajarnya memiliki kebolehan berbahasa TIONGHOA (Mandarin, sekurang-kurangnya lulus aspek lisan dan penulisan asas), BAHASA MELAYU (baik dalam aspek lisan dan penulisan asas) dan BAHASA INGGERIS (sekurang-kurangnya lulus aspek lisan dan penulisan asas). 

Dengan adanya kebolehan dan kemahiran berbahasa dalam pelbagai bahasa (sekurang-kurangnya tribahasa) dan dimantapkan pula dengan kemahiran TMK, yakni Teknologi Maklumat dan Komunikasi, maka pegawai yang dilantik mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh parti sekali gus memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat majmuk oleh sebab keterampilan dan kewibawaan diri pegawai, khususnya tahap kemahiran dan kebolehan pegawai berkomunikasi dan berurusan dengan agensi-agensi kerajaan (surat-menyurat, memorandum, minit mesyuarat, laporan, aduan, pekeliling dsb.), pihak swasta dan sektor korporat.

Pegawai-pegawai yang berkebolehan dalam pelbagai bahasa, berkemahiran TMK, proaktif, dedikasi, cerdas, cergas dan berteraskan falsafah perkhidmatan kepada rakyat (akar umbi) inilah merupakan aset atau khazanah yang terpenting kepada transformasi, kemajuan dan kebitaraan parti, masyarakat, bangsa dan negara pada masa-masa yang akan datang.

Terima kasih.
BAHASA JIWA BANGSA.

Tuesday, November 8, 2016

MURAL 3D - DOLFIN


08 November 2016, Selasa:
Selepas makan malam, kami bergambar kenangan di hadapan mural, "DOLFIN" hasil karya Cikgu Chai Wuang Shen, SJKC Chung Sin, Tg. Malim di Kafeteria Blue Garden, Taman Bernam, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Monday, November 7, 2016

Sajak - HIDUP


Sajak -
HIDUP
(dedikasi buat Hotel The Everly Putrajaya)

hidup
bak pentas sandiwara
dan, kitalah pelakonnya
sesekali
perlu kita naik
sesekali
perlu kita turun
menelusuri
anak-anak tangga
kehidupan
sederas waktu
sepantas usia
sebelum pulang, kita
ke pangkuan-Nya!

Chai Loon Guan,
The Everly Putrajaya.

KAFETERIA THE EVERLY PUTRAJAYA


05 November 2016, Sabtu:
CLG dan keluarga sedang beristirahat dan makan malam di Kafeteria Hotel The Everly, Putrajaya.

Sajak - BICARA IKAN


Sajak, "BICARA IKAN" tersiar dalam akhbar perdana SINAR HARIAN pada 5 November 2016.

Thursday, November 3, 2016

KUNJUNGAN HORMAT


03 November 2016, Khamis:
Kunjungan hormat Ahli Majlis, MDTM, Pengerusi JKKK Kampong Baru Slim Village dan ahli MMS, MDTM ke pejabat Penolong Pegawai Daerah, Daerah Muallim di Slim River, Perak Darul Ridzuan pada 02 November 2016.

BALAI RAYA KOMUNITI 1MALAYSIA KG. BARU SLIM VILLAGE


02 NOVEMBER 2016, Rabu:
YB Dato' Rusnah Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak merangkap ADUN Behrang telah menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Raya Komuniti 1Malaysia Kampong Baru Slim Village. Yang turut hadir ialah YB Dato' Dr. Mah Hang Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri Perak merangkap ADUN Chenderiang bersama-sama wakil Pegawai Daerah Muallim, wakil YDP MDTM, barisan kepemimpinan MCA Bahagian Tg. Malim, Ketua Kampung, Pemimpin Masyarakat, Badan Bukan Kerajaan, Ahli Majlis dan MMS MDTM.

TURUN PADANG ADUN PERAK



02 NOVEMBER 2016, Rabu:
YB Dato' Rusnah Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak merangkap ADUN Behrang dan YB Dato' Dr. Mah Hang Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri Perak merangkap ADUN Chenderiang bersama-sama barisan kepemimpinan MCA Bahagian Tg. Malim, Ahli Majlis dan MMS MDTM merealisasikan program turun padang dan memantau pembinaan pintu kawalan banjir atau "flood gate" di Kampung Baru Behrang Stesen.