Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, October 30, 2016

Dewan SITC - UPSI


30 Oktober 2016, Ahad:
CLG bergambar kenangan dengan YB Dato' Rusnah Kassim, ADUN Behrang dan Ahli Majlis MDTM bersempena dengan jamuan perkahwinan anak YB Dato Hjh. Rosni Sohar, ADUN Hulu Bernam, Selangor Darul Ehsan di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim pada 30 Oktober 2016.

Saturday, October 29, 2016

Partikel "-kah, -lah dan -tah" dalam Bahasa Melayu


Partikel -kah, -lah dan -tah dalam Bahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

          Sebagai guru Bahasa Melayu, kita sering ditanya oleh murid-murid tentang hal ehwal tatabahasa Bahasa Melayu dari semasa ke semasa. Antara perkara yang biasa ditimbulkan oleh murid-murid sama ada murid di sekolah rendah atau murid di sekolah menengah ialah penggunaan akhiran atau partikel -kah, -lah, dan -tah.

          Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah, Jilid 2 (2016), kata penegas ialah kata tugas dan partikel yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Kata penegas bersifat kata prafrasa dan kata pascafrasa. Terdapat dua jenis kata penegas dalam Bahasa Melayu, iaitu:

          a.       Yang menegaskan hanya frasa predikat dan bahagian-bahagiannya, iaitu -kah, -lah, dan -tah.
         b.    Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa subjek atau bahagiannya, dan frasa-frasa predikat atau bahagian-bahagiannya, yakni juga, pun, memang, hanya, jua, sahaja, lagi dan cuma.

Contoh penggunaan kata penegas dalam ayat:
Bil.
Ayat
01.
Belum kering lagi baju sekolah adik untuk dipakai.
02.
Bilakah majlis perkahwinan Mutu akan diadakan?
03.
Apatah daya kami yang tidak mempunyai wang yang banyak!
04.
Itulah kedai yang menjual alat-alat tulis dengan harga yang murah.
05.
Ahmad juga menyokong cadangan ketua darjah kami.
06.
Murid itu sahaja dari Sabah.
07.
Memang tepat jawapan yang diberikan oleh peserta kedua.
08.
Ibunya pun ke pekan tadi.

          Menurut buku, Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu (2007), bentuk-bentuk kecil seperti -kah, -lah, dan -tah dikenal sebagai partikel. Oleh sebab dalam tulisan dicantumkan pada akhir kata, maka -kah, -lah, dan -tah boleh dikatakan akhiran juga. Bentuk-bentuk -kah dan -tah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam ayat-ayat tanya.
Sebagai contohnya:
          9(a)    Apakah / itu?
          9(b)    Apatah / dayaku?  
          9(c)    Siapatah gerangan / gadis itu?
          9(d)    Harimaukah / itu?
          9(e)    Peguamkah / beliau?
          9(f)    Kayakah / peniaga itu?
          9(g)    Sedang memasak nasikah / ibu?
         
          Bentuk "-lah" pula merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam:
          10(a) ayat penyata songsang
                             Contohnya:
                             i.        Beliaulah / pensyarah saya.
                             ii.       Itulah / yang saya maksudkan.

          10(b) ayat perintah aktif
                             Contohnya:
                             i.        Pergilah ke sana.
                             ii.       Bersiar-siarlah di sekeliling pekan itu.
                             iii.      Bersalamanlah dengan mereka.
                             iv.      Menarilah di atas pentas.
                             v.       Tersenyumlah kepadanya.

          10(c) ayat perintah pasif
                             Contohnya:
                             i.        Bacalah / novel itu.
                             ii.       Pungutlah / sampah itu.
                             iii.      Simpanlah / wangmu.

          Oleh sebab dipentingkan dengan partikel penegas -lah, maka predikat didahulukan seperti yang ternyata dalam ayat-ayat contoh 10(a), 10(b) dan 10(c) di atas. Dalam contoh 10(b), subjeknya dilenyapkan sama sekali kerana predikatnya lebih dipentingkan.

          Partikel -kah, -lah, dan -tah dapat menjadi penanda bahawa apa-apa sahaja yang disertainya adalah predikat dalam ayat. Bandingkanlah ayat-ayat songsang yang  predikatnya di depan (P + S) dengan ayat-ayat biasa yang predikatnya di belakang (S + P) di bawah ini:

          11(a) Itulah / basikal saya. (P + S)
          11(b) Dialah / Susila? (P + S)
          11(c) Itu / basikal saya. (S + P)
          11(d) Dia / Susila. (S + P)
          11(e) Basikal sayalah / itu. (P + S)

          Dalam ayat 11(a) dan 11(b), yang menjadi predikat ialah Itulah dan Dialah oleh sebab adanya partikal -lah sebagai penanda dan pementing predikat. Dalam ayat 11(c) dan 11(d), yang menjadi predikat ialah basikal saya dan Susila. Dalam ayat 11(a), Basikal saya menjadi subjek, tetapi dalam ayat 11(e) pula, Basikal sayalah menjadi predikat.

          Partikel -kah dan -tah sebenarnya tidak bermakna kecuali hanya bertugas untuk mementingkan predikat dalam ayat tanya. Partikel -lah pun tidak bermakna tetapi dapat bertugas untuk:
          a. mementingkan predikat dalam ayat penyata
          b. melembutkan perintah
          Contohnya:
          12(a)            Tidur di situ. (keras)
          12(b)            Tidurlah di situ. (lembut)
          13(a)            Baca buku itu. (keras)
          13(b)            Bacalah buku itu. (lembut)

          Yang jelas, apabila predikat dipentingkan dengan partikel -kah, -lah, dan -tah, maka predikat itu mestilah dikedepankan letaknya dalam ayat.
Contohnya:

          14(a)            Gurukah / dia? (baku)
          14(b)            Dia / gurukah? (tidak baku)

          15(a)            Siapatah / dia? (baku)
          15(b)            Dia / siapatah? (tidak baku)
         
          16(a)            Kamulah / yang harus bertanggungjawab. (baku)
          16(b)            Yang harus bertanggungjawab / kamulah. (tidak baku)

          Sebagai pengamal dan pengguna bahasa kebangsaan, partikel -kah, -lah, dan -tah haruslah kita kuasai, lebih-lebih lagi ketika kita dikehendaki menganalisis sintaksis atau membina ayat-ayat yang gramatis dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

Bibliografi:
i.        Petunjuk Tatabahasa BM, Asraf, Sasbadi Sdn. Bhd., 2007.
ii.       Tatabahasa Dewan Edisi SM (Jilid 2), Morfologi, DBP, 2016.
iii.      Tatabahasa Dewan Edisi SR (Buku 2), Golongan Kata, DBP, 2013.

Friday, October 28, 2016

SG. BERNAM, DAERAH MUALLIM - DAERAH HULU SELANGOR


27 Oktober 2016, Khamis:
NOTELUN BERITA AKHBAR TIONGHOA, CHINA PRESS - 26 Oktober 2016:
CLG, Ketua Kampung Baru Slim Village, Ahli Majlis MDTM dan YBrs. Penolong Jurutera, JPS Daerah Batang Padang turun padang dan bergambar kenangan berlatarbelakangkan landskap Sungai Bernam yang bersempadankan Daerah Muallim dengan Daerah Hulu Bernam.
(Wartawan: Tn. Shee Menghoo)

MURAL DI TANJONG MALIM


25 Oktober 2016, Selasa:
NOTELUN BERITA AKHBAR TIONGHOA, CHINA PRESS, 15 Oktober 2016:
CLG, Ahli Majlis, YDP MDTM, Ketua Wanita MCA Tg. Malim dan YB ADUN Behrang bergambar kenangan di hadapan mural Tg. Malim.
(Wartawan: Tn. Shee Menghoo)

Thursday, October 27, 2016

DIWALI 2016




Sajak
DIWALI

Diwali
datang lagi
hiasan rangoli kolam
aroma bunga-bungaan
kerlipan lilin
cahaya pelita
terang-benderang
menghiasi rumah kehidupan
mensejahterakan insan

hadirmu, Diwali
cahaya menerangi kegelapan
kebenaran menewaskan kejahatan
atas keberkatan
Lakshimi Puja, Ganesha
Ridhhi dan Siddhi
kekangan ditangani
keamanan ditelusuri
kesihatan dilindungi
kebahagiaan diberkati

feng shui
Vaasthu Shastra
busana fabrik sutera
antara doti
dan sari kanchipuram
kali salwar kameez Aishwarya
memeriahkan sambutan
mendamaikan kemanusiaan
merapatkan perpaduan

Diwali
datang lagi
bersama-sama muruku
idli, paratha puri, beriani, achi muruku
putu mayam, adhirasam, wade masalode
kallu urundai, chittu urundai
santapan tradisi
kudapan manusiawi
sahabatku, Mutu
zaman-berzaman
di buana kehidupan

Chai Loon Guan,
Poliklinik KKB,
Kuala Kubu Bharu.

YB ADUN KKB



23 Oktober 2016, Ahad:
CLG bergambar kenangan dengan YB Lee Kee Hiong, ADUN Kawasan Kuala Kubu Bharu di Galeri Sejarah KKB pada 23 Oktober 2016.

Monday, October 24, 2016

Sajak - Kuala Kubu Bharu (KKB)




KUALA KUBU BHARU
(dedikasi buat Rehman Rashid, penulis buku, "SMALL TOWN" yang telah dilancarkan pada 23 Oktober 2016 di Galeri Sejarah KKB)

sebuah pekan kehidupan
indah tenteram
syurga alam
santun muhibah warganya
hormat-menghormati
tanpa api sengketa
kitalah, sebuah keluarga luas
warisan leluhur
suri teladan
anak-anak generasi

KKB
kaya akan sejarah
luka lara tragedi silam
adalah memori
dalam percaturan
kehidupan vs kematian
di sinilah, hadirnya
roh tanah air tercinta
suara alam
alir sungai, bisik cengkerik
nyanyian beburung, larian ikan-ikan
flora fauna anugerah Tuhan
terpelihara kukuh
bersama sejarah silam
neraca pengalaman

dengarlah suara insan
tanpa waswas tanpa culas
impian anak-anak watan
usah kauranapkan
atas nama pembangunan
lindungilah, puliharalah
alam, cinta insan
perpaduan, kasih sayang kemanusiaan
di buana kehidupan
zaman-berzaman
di sinilah, sejujurnya
nama sebuah pekan
memberikan kehidupan
kepada setiap insan

KKB
Gunung Buaya Putih
impetus ilham
anak-anak Titiwangsa
kali, empangan dan Fraser's Hill
aneka resipi makanan
gerai, kedai
pasar malam
terlukis kemesraan
warna-warni keharmonian
di bumi-Mu, Tuhan
sesekali pandanglah ke belakang
demi masa depan
hadirmu, sejarah
bukan untuk dilupakan

dirgahayu, KKB
bersih ceria
nyaman sejahtera
aman bahagia
tanpa belenggu hiruk-pikuk kota
cemar luka sandiwara manusia
di sinilah, seikhlasnya
sebuah pekan kecil
warga anak-anak bangsa
di sarwajagat kemanusiaan
di sarwajagat kehidupan!

Chai Loon Guan,
Galeri Sejarah KKB.