Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, January 28, 2016

Jamuan Silaturahim LPS MES Tg. Malim

28 JANUARI 2016, KHAMIS:
Jamuan Silaturahim Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SMK Methodist, Tg. Malim bersama dengan YBrs. Encik Ganesan a/l Suppiah, Pengetua (baharu), SMK Methodist, Tg. Malim. Lux Et Veritas, MES!

Wednesday, January 27, 2016

Sajak dan Makalah Budaya

Sajak "Ekologi Bahasa", makalah "Belasungkawa Penyair" dan sajak "Cang" dalam Pelita Bahasa dan Dewan Budaya Februari 2016. Terima kasih, Editor PB dan DB. Bahasa Jiwa Bangsa.


Tuesday, January 26, 2016

Sajak - Sungai Bil



SUNGAI BIL
(Daerah Mualim)

darmawisataku
menghadirkan ingatan
tiga dasawarsa yang lalu
mutakhir Sungai Bil
masih setia
sekukuh batu-batan
di sepanjang kalinya
masih ceria
segembira ikan-ikan
di lubuk bahagia
masih tenang
seindah rimba
di pinggir banjaran
TITIWANGSA

sejujurnya,
akulah, musafir tua itu
kembali membasahi nostalgia silam
sambil menelaah puisi-puisi indah
pada batu-batan kenangan
di sinilah, pernah dewasa aku
bersama sungaimu
bersama alammu
setelah sekian lama
berkelana di kota resah
dibelenggu waktu
digoda nafsu
demi sesuap nasi kehidupan

sesekali
ziarah anak-anak Titiwangsa
dapat kita pererat persahabatan
dapat kita persubur perpaduan
dapat kita perkukuh amalan
sebelum kita dijemput pulang
nanti

Sungai Bil
menginsafi aku
tentang kebesaran Tuhan
sungai memori rimba kenangan
penuh cinta
penuh bahagia!

Chai Loon Guan,
Sungai Bil.
 (Mingguan Malaysia, 31 Januari 2016)

Pendidik BESTARI 2016

Terima kasih, YBrs. Encik Ganesan a/l Suppiah, Pengetua, SMK Methodist, Tanjong Malim, Daerah Mualim, Perak Darul Ridzuan.

Monday, January 25, 2016

Majalah TV3

25 Januari 2016, Isnin:
CLG berkesempatan diwawancara oleh krew Majalah TV3 bersempena dengan Pengisytiharan Daerah Mualim 2016 di Sungai Bil, Behrang Hulu, Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan

Wednesday, January 13, 2016

Sajak - DAERAH MUALIM



Sajak -
MUALIM


perkampungan ini
Kampung Hulu, Kampung Kubu
Tanjung Jambu
tanah warisan
anak watan

hadirmu
Tanjung Mualim - Tanjong Malim
menotelunkan permudikan Sungai Bernam
Tuan List - Raja Itam
1879
terlakar sudah sejarah
11 Januari 2016
lahirmu, Daerah Mualim
atas perkenan
DYMM Paduka Seri Sultan
Perak Darul Ridzuan

Mualim
daerah guru, ilmuan agama
daerah anak Titiwangsa
di sinilah, lahirnya
wira serikandi nusa
menegakkan panji-panji perjuangan
di sinilah, lahirnya
cendekiawan bitara
membijakkan anak-anak bangsa
di sinilah, lahirnya
umarak rakyat
memerdekakan tanah air tercinta

membangun pesat, Mualim
seiring kebitaraan UPSI, Proton City,
1Malaysia Youth City
Sarang Art Hub, Politeknik Sultan Azlan Shah
INSTUN, Kolej Vokasional, Hospital Daerah
Tasik Embayu, Sungai Bil, Teratak Riverview
pau Yik Mun, nasi lemak Haji Zainal
sate Slim Village, tose, e-Place
Restoran E & L, nasi beriani
prasarana demi prasarana
mendepani zaman
mendepani wawasan
mendepani cabaran
sifar dadah
sifar rasuah
sifar jenayah
tanah subur
aman makmur
maju jaya modal insan
maju jaya pembangunan watan
ada rumah mampu dilihat
ada rumah mampu dimilik
tiada yang terpinggir
tiada yang tercicir
demi bangsa yang berdaulat
demi nusa yang bermartabat
dirgahayu, Mualim
Mukim Slim
Mukim Hulu Bernam Barat
Mukim Hulu Bernam Timur
dirgahayu, tanah tumpah darahku!

Chai Loon Guan,
Dewan Seri Tanjong,
MDTM.

Monday, January 11, 2016

Majlis Pengisytiharan Daerah Mualim

CLG menerima undangan menghadiri Majlis Pengisytiharan DAERAH MUALIM pada 11 JANUARI 2016 di Dewan Seri Tanjong, MDTM, Perak Darul Ridzuan.

Friday, January 8, 2016

Sajak - BAGAN DATOH



BAGAN DATOH

dari sebuah desa
daerah kecil Bagan Datoh
kian membangun
jamuan gulai kawah
mengakrabkan silaturahim
gotong-royong rakyat
mengeratkan perpaduan umat
saban dinihari
saksi kepulangan nelayan
bersama pukat rezeki
saban musim
saksi keberhasilan petani
bersama ladang rezeki
membina kehidupan
menghidupkan kemakmuran
persis inap desa
menambahserikan landskap bahagia

Bagan Datoh
angin perubahan
kian mendamaikan
angin kemajuan
kian memakmurkan
membangun daerah kecilmu
bersama ilmu dalam iman
bersama cinta dalam impian

dirgahayu Bagan Datoh
aman makmur
zaman-berzaman!

Chai Loon Guan,
Kuala Krai.

Ceritera Sebuah Tanjung



CERITERA SEBUAH TANJUNG
(dedikasi buat warga Muallim sarwajagat)
I
Melewati deras alir sungaimu, Bernam
Dapat kubaca susur galur sejarah Tanjung Jambu
Hadirmu, 1790-an
Wira enam Bugis
Mudik menghulu-hulu
Sampailah Kuala Ingkeh
Sepohon jambu menjadi saksi
Ketamadunan bangsa zaman-berzaman
Menyusuri dataran pinggir di kalimu, Bernam
Dapat kutafsir salasilah kisah silam Tanjung Jambu
Pertalian darah Melayu Melaka
Pertautan kisah kekuala sungai
Tumpuan anak dagang saudagar berwawasan
Berurus niaga mengasah bakat siasah
Di alam Melayu senusantara
Mengimbau lakaran sejarah di muara kalimu, Bernam
Ada ceritera duka 1511
Ada ceritera lara 1641
Gugusan alam Melayu
bertukar milik
Empayar Dagang Hindia Timor Belanda
Dan bersahabatlah penjajah
“Kerasnya tak dapat ditakek, lembutnya boleh disudu”
Maka melampan, melanda (mendulang)
Berdagang berkampung halaman
Kompeni Belanda di alam Melayu
Bermandikan mewah dagang
rempah ratus Melaka, Bengkulin dan Betawi
II
Biarpun sudah berabad-abad lamanya
Sejarahmu Sungai Pahlawan Berenam, Sg. Bernam
Ceriteramu masih menakjubkan
untuk kutafsir
Rahsiamu masih mengagumkan
untuk kubongkar
Kuala Ingkeh, hujung tanjung lidah tanah
di kiri air di kanan air
tebingnya tinggi mencuram ke sungai
tumbuh pepohon Jambu
subur merendang condong ke sungai
dan tersebutlah namamu, Tanjung Jambu!
Di sinilah, kemudiannya sebuah kampung diwartakan
Kampung Jambu
Zuriat keturunan Pahlawan Berenam
Bermastautin bermenteri lima tinggang (keturunan)
Dan berkesinambunganlah kisah
pembukaan dan penerokaan orang Kampar, Minangkabau dan Rawa
Di sebelah kanan menghilir Sungai Bernam
Kampung Kubu Kampong Masjed Lama
Dari Kuala Sungai Geta, di baruh Keramat Cabang
Dipugar warga Rawa Seberang Selangor Sungai Kubang Nyiur
Sebelum berpindah kekal
di Simpang Empat, Lubok Salak Gumut Kalumpang
Berurus niagalah warga Rawa
Ke Bidor
Ke Kuala Bernam
Ke Kuala Perak
Ke Kuala Lumpur
Ke Pahang
Ke Pulau Pinang
Seantero benua
berbulan-bulan bertahun-tahun
sebelum kembali ke Kampung Jambu
Hadirmu, madrasah di tanjungmu
Manifestasi ilmu agama dan akhirat
Tempat berjemaah bersembahyang
Membaca kitab suci al-Quran
Hadirmu, Raja Itam Ketua Sabak Bernam
Mudik bersama-sama Tuan List, wakil Inggeris Teluk Kawali, Sepong
Kealiman warga Rawa dikagumi
tertera dalam notelun catatan
Frank Swettenham (1884)
Maka Tanjung Jambu mendapat ingatan
Tanjung Malim mendapat gelaran!
III
1922
runtuhnya Dinasti Qing (Manchu)
berhijrahlah masyarakat Tionghoa
dari tanah leluhur
Huashang (peniaga) - Huagong (pekerja)
mencari nafkah hidup
di Tanjung Jambu
membina impian
di Tanjung Mu'alim
bersama-sama
Huaqiao (profesional) - Huayi (Cina seberang laut)
Shang (peniaga), Shih (golongan terpelajar) & Kung (marhaen)
hadir Loke Yew
usahawan
ladang tanaman
buah pala, lada hitam, teh
gambir, bunga cengkih
Chong Ah Peng
tauke lombong
di Kuala Lumpur, Kuala Kubu, dan Kalumpang
mencorakwarnakan sketsa ekonomi
sebuah tanjung
bernama Tanjung Mu'alim
1942 - 1945
gerhana mentari Jepun
di Tanah Melayu
menginsafkan setiap warga
bersatu hati bersatu usaha
mencari keamanan
menghargai kemakmuran
kebangkitan SITC - Suluh Budiman
mencetuskan ilham
memangkinkan azam
memerdekakan tanah ibunda
Persekutuan Tanah Melayu
daripada belenggu
penjajah durjana
1957
merdekalah, kita
atas musyawarah
merdekalah, kita
atas muzakarah
merdekalah, kita
atas muhibah
nusa bangsa yang tercinta
nusa bangsa yang perkasa
bersekutu bertambah mutu
maju mendepani alaf baharu
dirgahayu tanah airku
Daerah Muallim
dirgahayu tanah airku
Perak Darul Ridzuan
dirgahayu tanah airku
Malaysia!
Chai Loon Guan,
Kampung Berop, Tg. Malim.
Bibliografi:
Zainal Abidin Daud (murid tua SITC 1929). Meninjau Kisah Purba – Riwayat Tanjung Malim: Siri Sastera “Lanang Budiman” Edisi Pertama, Percetakan Buyong Yunos, Teluk Anson, 1979.
Buletin Eng Choon Association, Tg. Malim bersempena dengan ulang tahun penubuhan persatuan kali ke-80 pada 19 Mei 2002.
Brosur Sejarah Tanjong Malim 1870 - 2015, MDTM pada 11 Januari 2016.