Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, November 11, 2016

WARKAH NURANI BUAT MCA I & II





01 NOVEMBER 2016. Selasa:
WARKAH NURANI BUAT MCA

Sejak menjadi AHLI SEUMUR HIDUP MCA pada 23 Ogos 1988 sehingga kini (November 2016), MCA masih belum bersedia untuk memberikan "ruang dan peluang" kepada ahli-ahli yang bukan berpendidikan Cina untuk bergiat cergas dan cerdas dalam agenda siasah tanah air, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau kebangsaan.

Pada hemat saya, dunia siasah mutakhir kian canggih dan berwarna-warni. Selain bertunjangkan bahasa TIONGHOA (Mandarin) dan ingin kekal relevan, sudah tiba masanya, MCA Pusat sewajarnya mengambil daya usaha kreatif dan inovatif untuk menelusuri transformasi sekali gus memikirkan peranan, keterampilan dan kewibawaan sebilangan ahli setianya yang berpendidikan BAHASA MELAYU (BM) dan BAHASA INGGERIS (BI).

Jika belum (biarpun sudah agak terlewat), amat molek sekali MCA Pusat mengambil daya usaha untuk menubuhkan BIRO BM dan BIRO BI (jika sudah diwujudkan, proaktifkan melalui kempen, seminar, sesi wacana dan konvensyen dari semasa ke semasa) agar lebih banyak ahli yang berpendidikan BM dan BI dapat menyalurkan idea yang bernas, cerdas dan membina berteraskan KBAT dan i-Think di samping mengambil bahagian secara cergas dan bertanggungjawab, yakni mempromosikan dan merealisasikan agenda dan weltanschauung parti sekali gus menawarkan perkhidmatan yang berteraskan ilmu, kemahiran dan kepakaran kepada akar umbi, masyarakat, bangsa dan negara yang tercinta.

Salam Sehati Sejiwa.
BAHASA JIWA BANGSA

10 NOVEMBER 2016, Khamis:
WARKAH NURANI BUAT MCA II:

Pelantikan wakil MCA untuk mengisi jawatan sebagai Ahli Majlis (PBT), JPP, PKP, Pengerusi JKKK (Ketua Kampung), Ahli Lembaga Pelawat, Pegawai Khas (ADUN atau Ahli Parlimen), Panel Penasihat dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan dengan tadbir urus dan khidmat masyarakat (akar umbi) haruslah memenuhi syarat kelayakan asas, iaitu yang dilantik sewajarnya memiliki kebolehan berbahasa TIONGHOA (Mandarin, sekurang-kurangnya lulus aspek lisan dan penulisan asas), BAHASA MELAYU (baik dalam aspek lisan dan penulisan asas) dan BAHASA INGGERIS (sekurang-kurangnya lulus aspek lisan dan penulisan asas). 

Dengan adanya kebolehan dan kemahiran berbahasa dalam pelbagai bahasa (sekurang-kurangnya tribahasa) dan dimantapkan pula dengan kemahiran TMK, yakni Teknologi Maklumat dan Komunikasi, maka pegawai yang dilantik mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh parti sekali gus memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat majmuk oleh sebab keterampilan dan kewibawaan diri pegawai, khususnya tahap kemahiran dan kebolehan pegawai berkomunikasi dan berurusan dengan agensi-agensi kerajaan (surat-menyurat, memorandum, minit mesyuarat, laporan, aduan, pekeliling dsb.), pihak swasta dan sektor korporat.

Pegawai-pegawai yang berkebolehan dalam pelbagai bahasa, berkemahiran TMK, proaktif, dedikasi, cerdas, cergas dan berteraskan falsafah perkhidmatan kepada rakyat (akar umbi) inilah merupakan aset atau khazanah yang terpenting kepada transformasi, kemajuan dan kebitaraan parti, masyarakat, bangsa dan negara pada masa-masa yang akan datang.

Terima kasih.
BAHASA JIWA BANGSA.

No comments: