Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, October 24, 2016

Sajak - Kuala Kubu Bharu (KKB)




KUALA KUBU BHARU
(dedikasi buat Rehman Rashid, penulis buku, "SMALL TOWN" yang telah dilancarkan pada 23 Oktober 2016 di Galeri Sejarah KKB)

sebuah pekan kehidupan
indah tenteram
syurga alam
santun muhibah warganya
hormat-menghormati
tanpa api sengketa
kitalah, sebuah keluarga luas
warisan leluhur
suri teladan
anak-anak generasi

KKB
kaya akan sejarah
luka lara tragedi silam
adalah memori
dalam percaturan
kehidupan vs kematian
di sinilah, hadirnya
roh tanah air tercinta
suara alam
alir sungai, bisik cengkerik
nyanyian beburung, larian ikan-ikan
flora fauna anugerah Tuhan
terpelihara kukuh
bersama sejarah silam
neraca pengalaman

dengarlah suara insan
tanpa waswas tanpa culas
impian anak-anak watan
usah kauranapkan
atas nama pembangunan
lindungilah, puliharalah
alam, cinta insan
perpaduan, kasih sayang kemanusiaan
di buana kehidupan
zaman-berzaman
di sinilah, sejujurnya
nama sebuah pekan
memberikan kehidupan
kepada setiap insan

KKB
Gunung Buaya Putih
impetus ilham
anak-anak Titiwangsa
kali, empangan dan Fraser's Hill
aneka resipi makanan
gerai, kedai
pasar malam
terlukis kemesraan
warna-warni keharmonian
di bumi-Mu, Tuhan
sesekali pandanglah ke belakang
demi masa depan
hadirmu, sejarah
bukan untuk dilupakan

dirgahayu, KKB
bersih ceria
nyaman sejahtera
aman bahagia
tanpa belenggu hiruk-pikuk kota
cemar luka sandiwara manusia
di sinilah, seikhlasnya
sebuah pekan kecil
warga anak-anak bangsa
di sarwajagat kemanusiaan
di sarwajagat kehidupan!

Chai Loon Guan,
Galeri Sejarah KKB.



No comments: