Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, August 9, 2016

Ziarah Bahasa Kebangsaan MMS - MDTM 2016


BERITA
ZIARAH BAHASA KEBANGSAAN di DAERAH MUALLIM

TANJONG MALIM, 8 OGOS 2016 - Majlis Masyarakat Sivil (MMS) Tanjong Malim dengan kerjasama intim Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah berjaya menganjurkan program Ziarah Bahasa Kebangsaan (ZBK) peringkat Daerah Muallim pada 3 dan 4 Ogos 2016, baru-baru ini.

            Konvoi Ziarah Bahasa Kebangsaan (ZBK) MMS - MDTM 2016  telah dirasmikan pelancarannya oleh Puan Siti Azura bt. Haji Juki, Setiausaha, Majlis Daerah Tanjong Malim. Pada 3 Ogos 2016, Ziarah Bahasa Kebangsaan membuat pemantauan terhadap papan-papan tanda di premis perniagaan di sekitar pekan Tanjong Malim, Taman Universiti dan Proton City manakala premis-premis perniagaan di sekitar pekan Behrang  Stesen, Slim River, Pusat Perniagaan Slim Perdana, Trolak, Slim Village dan Behrang Ulu  turut dipantau dan diziarahi pada 4 Ogos 2016.

            Program Ziarah Bahasa Kebangsaan MMS - MDTM 2016 yang julung-julung kali diadakan di Daerah Muallim dan pertama kali di Negeri Perak Darul Ridzuan, bertujuan untuk meningkatkan dan memperkasakan penggunaan serta pemahaman bahasa Melayu pada papan-papan tanda (iklan) kedai di Daerah Muallim, iaitu merangkum premis-premis perniagaan di pekan Tanjong Malim dan Slim River dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan peniaga dan usahawan tempatan. Usaha ini merupakan antara langkah murni untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu, bahasa komersial dan bahasa kemajuan.

            Program Ziarah Bahasa Kebangsaan MMS - MDTM 2016 turut disertai oleh YBhg. Tuan Mohd Syukri bin Azaari, AMP, Yang Dipertua, Majlis Daerah Tanjong Malim, Puan Siti Azura binti Haji Juki, Setiausaha, MDTM, Encik Muhd Saifulbahari bin Hassan, Penolong Pegawai Tadbir, Bahagian Pentadbiran dan Perkhidmatan, MDTM, Puan Munirah binti Abd Rahman, Penolong Jurutera, MDTM, Encik Mohd Zubir bin Mohd Sharif, Pembantu Tadbir, MDTM), dan Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta diiringi oleh  ahli-ahli MMS, Ahli Majlis, pegawai penguat kuasa dan jurukamera Majlis Daerah Tanjong Malim.

            Sesungguhnya daya usaha murni seumpama ini merupakan jalan rintis dan suri teladan kepada Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara untuk memperkukuh dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berteraskan Perkara 152, Akta Perlembagaan Persekutuan. Sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat dan merdeka, kita wajib bertanggungjawab untuk mendaulatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan kita sehari-hari, sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Slogan "betulkan yang biasa, biasakan yang betul" perlu kita amalkan senantiasa demi kelangsungan dan masa depan bahasa kebangsaan kita.  Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan,
Munsyi Dewan (Bahasa) merangkap Ahli MMS,
Majlis Daerah Tanjong Malim.

No comments: