Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, August 21, 2016

BUAL BICARA TATABAHASA BM GURU SJKC DAERAH KINTA SELATAN 2016





BERITA
BUAL BICARA TATABAHASA BAHASA MELAYU GURU-GURU BM SJKC DAERAH KINTA SELATAN 2016

GOPENG, 21 OGOS 2016 - Baru-baru ini, Unit Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan dengan kerjasama intim Guru-guru Besar SJKC Daerah Kinta Selatan telah berjaya menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan, iaitu Bual Bicara Tatabahasa Bahasa Melayu untuk guru-guru Bahasa Melayu SJKC, Daerah Kinta Selatan pada 20 Ogos 2016 di Bilik Kuliah, SJKC New Kopisan, Gopeng, Perak Darul Ridzuan.

            Bual Bicara Tatabahasa Bahasa Melayu Daerah Kinta Selatan 2016 telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Ahmad Maswan bin Ahmad Fuaad, Ketua Unit Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan. Sebanyak 70 orang guru BM SJKC daripada 22 buah sekolah SJKC di Daerah Kinta Selatan telah hadir untuk mengikuti sesi Bual Bicara Tatabahasa BM di Bilik Kuliah, SJKC New Kopisan, Gopeng. Sesi Bual Bicara Tatabahasa BM telah dikendalikan dengan jayanya oleh Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa), Jurulatih Utama NILAM Negeri Perak, penulis makalah DBP dan mantan Guru Cemerlang BM DG 48.

            Program Bual Bicara Tatabahasa BM SJKC 2016 yang julung-julung kali diadakan di Daerah Kinta Selatan dan kali kedua (selepas Bual Bicara Tatabahasa BM SJKC di Daerah Muallim) di Negeri Perak Darul Ridzuan, bertujuan untuk meningkatkan dan memperkasakan penggunaan serta pemahaman tatabahasa Bahasa Melayu dalam kalangan guru Bahasa Melayu SJKC di Daerah Kinta Selatan, iaitu merangkum Sesi Ujian Bertulis Tatabahasa BM, Bual Bicara Tatabahasa BM, Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul, dan Soal Jawab Tatabahasa BM. Usaha ini merupakan antara langkah murni Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan untuk memperkukuh ilmu dan memantapkan teknik pengajaran dan pembelajaran Tatabahasa BM dalam kalangan guru BM SJKC di Daerah Kinta Selatan. Tayangan video PSUB dan motivasi pengajaran Bahasa Melayu selain penjualan buku-buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah, Tatabahasa Dewan Edisi Sekoah Menengah, Kamus Dewan, buku cerita dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Ujana Buku DBP turut dilangsungkan dan mendapat sambutan daripada para peserta kursus dan warga ilmu setempat pada hari tersebut.


            Program Bual Bicara Tatabahasa BM SJKC 2016 turut disertai oleh YBhg. Tuan Ahmad Maswan bin Ahmad Fuaad, Ketua Unit Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan, YBrs. Tn. Wong Foy Kong, Pengerusi, Program Bual Bicara Tatabahasa BM SJKC Kinta Selatan 2016 merangkap Guru Besar, SJKC Man Ming, Gopeng, SISC+ BM, PPD Kinta Selatan dan para guru besar SJKC Daerah Kinta Selatan.

            Sesungguhnya daya usaha murni seumpama ini merupakan jalan rintis dan suri teladan kepada Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan PPD di seluruh negara amnya untuk memperkukuh dan memartabatkan penggunaan tatabahasa bahasa kebangsaan dalam kalangan guru, khususnya guru-guru Bahasa Melayu SJKC untuk memantapkan ilmu dan kemahiran sekali gus menjayakan Pendidikan Abad ke-21. Sebagai guru Bahasa Melayu yang dedikasi dan beriltizam, kita wajib bertanggungjawab untuk mendaulatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan kita sehari-hari, sama ada dalam sektor awam (pendidikan) mahupun sektor swasta. Slogan "betulkan yang biasa, biasakan yang betul" perlu kita amalkan senantiasa demi kelangsungan dan masa depan bahasa kebangsaan di persada tanah air.  Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan,
Munsyi Dewan (Bahasa),
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

No comments: