Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, July 10, 2016

Karangan BM SPM 2016




BUAL BICARA - BAIK BURUKNYA PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA.

Prolog
Seperti biasa, pada setiap petang, saya akan pergi ke kafeteria yang berdekatan dengan rumah selepas habis melunaskan kerja rumah. Saya bersempatan pula untuk berjumpa dengan sahabat karib saya, Haris. Selepas bertanyakan khabar, kami duduk berbual-bual sambil minum secawan kopi.

Fong: Belakangan ini, penggunaan media sosial dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan remaja telah menjadi satu trend yang popular. Topik ini hangat dibincangkan dan telah menjadi isu perbincangan mutakhir. Sebenarnya, apakah itu media sosial?

Haris: Sebenarnya, menurut Wikipedia, media sosial ialah sejenis media yang digunakan terus dalam talian, yakni membolehkan para pengguna menyertai, berkongsi dan mencipta isu meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual dengan mudah. Antara aplikasi media sosial yang amat popular di Malaysia termasuk Facebook, Twitter, Instagram, WeChat dan WhatsApp. Remaja kini telah menjadikan aplikasi media sosial ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu. Pada pendapat kamu, mengapakah penggunaan media sosial amat popular dalam kalangan remaja?

Fong: Pada pendapat saya, penggunaan media sosial amat popular dalam kalangan remaja kerana media ini mudah digunakan secara langsung. Remaja dapat mengakses aplikasi seperti Facebook di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa dengan adanya ‘Wi-Fi’. Pada zaman dulu, kita memerlukan modal yang besar untuk memiliki televisyen atau radio. Namun dengan adanya prasarana Internet dan harga pakejnya pula murah, remaja telah tertarik dan ingin mendapatkannya. Lagipun, media sosial ini termuat dalam aplikasi telefon pintar. Remaja yang memiliki telefon pintar dapat mengakses laman sesawang dengan mudah.

Haris: Ya, saya amat bersetuju, Fong. Apabila sesuatu benda menjadi popular, mestilah ada baik dan buruknya. Pada pandangan kamu, apakah kebaikan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja?

Fong: Pada hemat saya, media sosial merupakan alatan atau medium yang baik untuk menimba ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana terdapat banyak netizen berkongsi berita dan maklumat di laman sesawang (web) sosial seperti Facebook. Remaja dapat mengetahui isu semasa dalam masa yang amat singkat. Terdapat banyak remaja menggunakan cara berkongsi di laman sesawang (web) sosial untuk berbincang dengan rakan tentang isu atau masalah yang dikemukakan. Remaja khususnya golongan murid juga melayari Internet untuk mendapat maklumat mutakhir selain merujuk buku-buku teks dan buku ulang kaji. Mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk pergi ke pusat sumber atau perpustakaan awam. Dengan hanya satu klik sahaja, maka semua maklumat yang ingin dicari berada di hujung jari. Apakah pula pandangan kamu tentang kebaikan media sosial, Haris?

Haris: Media sosial merupakan sejenis saluran komunikasi yang berkesan. Remaja dapat berinteraksi dengan saudara-mara walaupun berada di tempat yang berlainan atau berjarak jauh. Selain berhubung dengan saudara-mara, remaja juga dapat mencari dan menghubungi rakan-rakan sekolah lama kembali. Antara aplikasi perbualan secara talian yang boleh digunakan adalah seperti Skype, Mesengger dan WhatsApp. Secara tidak langsung, tali silaturahim atau hubungan persaudaraan dan muhibah dapat dieratkan lagi.

Fong: Bukan itu sahaja. Media sosial juga memudahkan urusan seharian seperti urusan individu, kakitangan jabatan kerajaan dan pihak swasta. Sebagai contohnya, remaja yang ingin memohon kerja boleh meng-e-melkan notelun butiran diri kepada syarikat yang berkenaan untuk dipertimbangkan. Hal ini dapat menjimatkan masa berbanding dengan cara permohonan kerja secara manual pada zaman dahulu.

Haris: Media sosial juga digunakan untuk berurus niaga. Sebagai contohnya, remaja menjual barangan terpakai seperti baju, kasut dan beg di laman web tertentu. Di sebalik kecanggihan media sosial yang terbukti banyak mendatangkan faedah kepada remaja, terdapat juga keburukan yang boleh mengganggu gugat keselamatan masyarakat, khususnya golongan pengguna. Apakah keburukannya, Fong?

Fong: Pertama-tama, media sosial akan menyebabkan ketagihan sehingga kesihatan dan disiplin kerja mudah terjejas. Hal ini demikian kerana remaja akan mengakses Internet sebaik sahaja pulang dari sekolah. Mereka secara sedar atau tidak sedar telah melupakan pelajaran akibat terlalu leka akan permainan atas talian sehingga tidak memberikan tumpuan yang sepatutnya kepada pelajaran. Mereka sanggup tidur pada lewat malam hanya untuk berbual kosong dengan kawan-kawan atau melayari Internet. Lama-kelamaan, kesihatan remaja terjejas akibat kekurangan waktu rehat yang berkualiti. Mereka juga tidak dapat memberikan fokus kepada pelajaran dan kegiatan kokurikulum di sekolah akibat terlalu asyik memikirkan permainan-permainan Internet yang tidak memberikan faedah.

Haris: Di samping itu, penggunaan media sosial boleh menyebabkan penyebaran maklumat-maklumat palsu. Sebagai contohnya, maklumat tentang isu politik, sosial dan pendidikan. Perbuatan ini dilakukan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menimbulkan isu perkauman dan merosakkan nama baik bangsa dan negara. Perbalahan akan berlaku sekiranya terdapat segelintir masyarakat yang mempercayai maklumat tersebut. Remaja yang menjadi batu api sepatutnya menghentikan perbuatan tersebut kerana perbuatan mereka akan menyebabkan timbulnya beberapa banyak masalah yang lain yang akan memberikan kesan buruk kepada diri, keluarga, bangsa dan negara.

Fong: Segelintir remaja pula bebas melayari laman-laman web tanpa kawalan. Unsur-unsur pornografi yang terdapat di dalam Internet akan menjejaskan dunia pemikiran dan akhlak seseorang. Hal ini demiikian kerana unsur pornografi akan menjejaskan kesihatan fizikal dan mental remaja yang kurang matang. Pemikiran mereka mudah tersasar dan terjejas lantaran mereka tidak dapat membezakan antara kebaikan dengan keburukan. Sesetengah remaja pula didapati mencontohi perbuatan tersebut dengan melakukan seks bebas bersama dengan rakan sebaya atau kawan sepergaulan. Hal ini akan bertambah serius apabila terdapat banyak filem lucah yang dipaparkan di Internet dari semasa ke semasa.

Haris: Memang betul, Fong! Tuntasnya, setiap benda di dunia ini ada baik dan buruknya. Sebagai manusia yang mempunyai akal yang sempurna, kita perlu bijak berfikir dan mampu membezakan perkara yang baik dengan yang buruk. Jangan remaja terlalu taksub mendengar cakap-cakap rakan sewenang-wenangnya. Bagi membendung masalah ini, setiap pihak haruslah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin, bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Tamsilnya, penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan agar remaja tidak menyalahgunakan media sosial lagi. Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha memastikan golongan remaja menggunakan media sosial dengan betul dan berfaedah. Ibu bapa perlu memantau perilaku anak-anak dan menegur kesilapan anak-anak secara jujur dan telus. Di sekolah pula, para guru perlu memberikan pendidikan dan kesedaran yang sewajarnya kepada para murid agar media sosial tidak disalahgunakan sehingga memudaratkan diri.

Fong: Ya. Sebagai kesimpulannya, cara penggunaan media sosial banyak bergantung kepada niat pengguna itu sendiri. Setiap remaja haruslah berfikir dengan bijak dan rasional kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Baiklah, Haris, sudah tibanya masa untuk saya menghadiri kelas tuisyen. Harap bual bicara kita pada hari ini membuahkan manfaat, bak kata orang yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Esok, kita berjumpa lagi.

Haris: Benar, Fong. Selamat jalan.

Epilog:
Setelah bertemu dan berbicara dengan Haris, saya pun berjalan kaki ke pusat tuisyen yang berdekatan. Saya berasa gembira kerana dapat bertemu dengan Haris pada hari ini dan memanfaatkan waktu pertemuan biarpun hanya seketika.


Disediakan oleh,
Fong Zi Ying, Tingkatan 4 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: