Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, June 1, 2016

Cerpen - THE HAVEN



THE HAVEN oleh Chai Loon Guan.

I
        Dayus! Dayuskah, aku? Kosa kata itu kian bersipongang. Terngiang-ngiang di telinga Abang Lim. Kata Kamus Dewan, dayus bermaksud hina dan keji.

        Dayus? Kedayusankah, aku?
        Puncanya, siapa? Aku? Sibuk. Abang Lim sering dibelenggu oleh kesibukan. Isteri dan anak tersayang ditinggalkan dek tugas hakiki. Ah, alasan semata-mata! Monolog itu seolah-olah melontarkan sindiran yang tajam. Sinis. Benar, kesibukan Abang Lim pada tugas. Dedikasi Abang Lim pada tugas. Tugas hakiki.  Banyak peranan dipikul oleh orang rumah. Tidak banyak ruang dan peluang untuk Abang Lim bersama-sama keluarga. Namun begitu, prasarana asas yang disediakan mencukupi. Rumah kediaman moden. Kenderaan buatan Malaysia. Biaya makan minum. Busana berjenama tempatan. Lengkap dengan televisyen, telefon pintar dan komputer riba. Wang perbelanjaan senantiasa diberikan keutamaan. Dari minggu ke minggu. Dari bulan ke bulan. Semua keperluan mengikut kemampuan Abang Lim, seorang kakitangan awam biasa. Asal usul keluarga leluhur susah. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

        Yang penting bagi Abang Lim, isteri perlu faham. Isteri tahu menunaikan tanggungjawab. Anak-anak perlu dididik dan diberi pendidikan. Belaian kasih sayang.  Kasih sayang banyak mempengaruhi jiwa dan akhlak anak-anak. Pendidikan pula penentu masa depan anak-anak. Dunia hari ini dunia tanpa sempadan. Dunia berteknologi siber amat memerlukan asas akhlak yang mulia. Abad kedua puluh satu pula amat mementingkan ilmu. Akhlak dan ilmu berpisah tiada. Akhlak dan ilmu pembentuk modal insan yang sempurna. Modal insan cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

        Benar, ada waktunya, emosi Abang Lim tidak stabil. Abang Lim cepat berasa tidak puas hati. Abang Lim cepat marah. Sensitif. Dan, kadang-kadang keinginan untuk melihat kesempurnaan menyemarakkan api amarah Abang Lim. Maka, keluarlah kata-kata. Keluarlah bahasa yang barangkali menyentuh jiwa. Jiwa suri rumah Abang Lim. Anak-anak Abang LIm pula sedang meningkat dewasa. Ah, mampukah aku sebagai insan biasa? Insan biasa, yakni hamba kepada Tuhan di jagat raya ini. Memang benar kata peribahasa, berkata perliharakan lidah. Benar, sebagai ketua keluarga, Abang Lim perlu beringat-ingat sebelum mengeluarkan kata-kata. Kata-kata mampu melukakan hati. Kata-kata mampu membunuh jiwa. Kata-kata jua mampu merubah keadaan dan masa depan bak kata terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya.

        Abang Lim amat mengerti maksud kata-kata tersebut. Barangkali, sebenar-benarnya Abang Lim mahu bermuhasabah diri tanpa niat untuk membuka pekung di dada. Bumi mana tak ditimpa hujan. Inikan pula, manusia biasa. Sambil meneguk secawan kopi O pekat, dia mula kembali pada skrin komputer ribanya.
        "Bang..."
        Mata Abang Lim masih memberikan fokus pada skrin komputer ribanya. ASUS! Entah apa yang dilayarinya. Facebook! Aplikasi yang semakin digilai warga dunia tanpa sempadan. Dunia persaraan yang baru dilaluinya, diisi dengan aktiviti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) selain urusan rumah tangga, keluarga, dunia kebajikan anak-anak, jemputan ceramah serta sesi perkongsian ilmu dan kepakaran. Minat membaca dan berkarya masih berterusan. Jika difikirkan bermutu, karya selepas diedit akan di-e-melkan kepada editor akhbar mingguan dan majalah perdana tanah air. Jika tersiar, beruntunglah Abang Lim. Setidak-tidaknya, Abang Lim memperoleh sedikit honorarium. Honorarium yang dapat meringankan biaya bil utiliti rumah leluhur di Tanjung Jambu.

        "Bang!" Tinggi sedikit suara Kak Irene pagi itu. Irene Gan, nama glamornya.
        "Ya..."
        "Irene nak makan angin dengan kawan lama, boleh?"
        "Siapa? Bila? Destinasi?"
        "Christy, kawan lama dari KK, kini menetap di KL. Kami cadang bertolak pada 3 hingga 5 Mei. Naik ETS ke Kampar. Kemudian bermalam di Ipoh. Keesokan harinya, kami bertolak ke Pulau Pinang pula," ujar Kak Irene sungguh-sungguh.
        "Eh, bukankah kau baru balik melancong ke Betong, dua minggu sudah? Nak melancong lagi?" usik Abang Lim.
        "Ala, tiga hari dua malam sahaja, bang!"
        "Konsert Orkestra Cina di Ipoh, bagaimana? Jadi, kita hadir?"
        "Jatuh pada tarikh yang sama, bang! Yang tu, abang uruskan. Kirim salam Irene kepada penganjur. Boleh, bang?"

        Abang Lim telah membuat pertimbangan. Sudah sekian lama, isteri kesayangan beriltizam menjaga keluarga tersayang di sisinya. Apalah salahnya, membenarkan isteri kesayangan berdarmawisata dengan rakan sekolahnya. Kawan perempuan bukan jantan! Tanjong Malim, Kampar, Ipoh, dan Pulau Pinang. Bisa sahaja, bukan?

        "Kenapa di Kampar? Bermalam di rumah siapa di Ipoh, sayang?" rasa ingin tahu mula bersarang di benak kecil Abang Lim.
        "Pak cik dan Mak cik kenalan suami Christy akan turut serta. Barangkali kami menginap di hotel, bang!"
        "Pak cik dan Mak cik suami Christy? Siapa? Kau kenal mereka berdua?"
        "Tak! Kenalan suami Christy...," jawab Irene ringkas memperlihatkan sedikit kegusaran pada wajahnya. Namun, hal itu tidak ketara. Benarkah, dalam kehidupan berumah tangga, setiap orang, sama ada suami atau isteri memiliki rahsia peribadi hidup? Lurus bendulkah, Abang Lim?

        "Baiklah, Irene. Yang penting, utamakan keselamatan. Pergi dan pulang dengan selamat. Konsert itu akan abang uruskan nanti...," syor Abang Lim menjernihkan keadaan. Perkahwinan Abang Lim dengan Kak Irene sudah menjangkau hampir dua puluh lima tahun. Mereka telah dikurniai tiga orang anak lelaki. Lim Jr. I sudah bekerja. Lim Jr. II sedang menuntut di IPG. Semester akhir sebelum dibenarkan menjalani latihan pada awal bulan Oktober. Yang bongsu, Lim Jr. III sedang sibuk menelaah pelajaran sebelum menduduki peperiksaan SPM menjelang November.
        Tinggal seminggu lagi, Kak Irene, yakni Irene Gan akan berdarmawisata ke Ipoh via Kampar sebelum menimba pengalaman di Pulau Mutiara. Sempat Abang Lim mengingatkan isterinya tentang persiapan bagasi dan barang-barang keperluan. Segala-galanya telah disediakan. Tiket tren ETS dari Tg. Malim ke Kampar pada pukul 3.30 petang. Semuanya sudah tersedia. Cekap benar, Irene Gan. Maka, berangkatlah Irene Gan ke stesen ETS Tg. Malim ditemani Abang Lim. Selamat berdarmawisata, isteriku. Kata-kata itulah yang sempat dibisikkan oleh Abang Lim di angin lalu ketika tren ETS dari Sentral KL meluncur laju meninggalkan stesen Tg. Malim, Daerah Muallim.

II
        Rutin hidup tanpa isteri tersayang selama tiga hari dua malam  dapat ditangani oleh Abang Lim dan Lim Jr. III. Lim Jr. III sibuk menghadiri kelas tuisyen. Abang Lim pula meneruskan minat membaca antologi sajak terbaharu di pasaran, Sehelai Daun Kenangan. Aneh. Hairan. Dunia Abang Lim sering bergelut dengan dunia bahasa dan susastera bahasa Melayu. Barangkali, beliaulah, antara spesies penulis bukan Melayu yang kian pupus di tanah air yang tercinta.
        SMS telah dihantar. Beberapa saat kemudian, balasan SMS isteri, diterima oleh Abang Lim. Irene Gan selamat tiba di Ipoh. Ipoh, bandar raya gunung. Dalam SMS isterinya, Irene Gan, Christy, Pak cik dan Mak cik akan menginap di pangsapuri mewah, THE HAVEN! Syurga kediaman mewah di Ipoh.
        Wah, hebatnya! Tentu tempat yang bergelar THE HAVEN itu bukan calang-calang tempat kediaman. Kos penginapan semalaman boleh mencecah beratus-ratus ringgit. Ada apartmen eksklusif mengenakan caj ribuan ringgit Malaysia! Berbekalkan wang seribu ringgit, mampukah, isteriku? Memang hebat darmawisata kali ini, termasuk wisatawan dari KL dan pasangan "Pak cik dan Mak cik" dari Kampar. Ah, usah kausangsi akan keadaan itu, Abang Lim! Biarkan isteri kesayanganmu menikmati pakej pelancongan persendirian tanpa curiga. Wang bisa dicari. Keseronokan dan keselesaan bersama dengan kawan lama dan kawan baharu sukar dicari ganti. Doa Abang Lim agar isteri kesayangannya selamat mengikuti pakej percutian tersebut setelah sekian lama terpenjara dek kesibukan melayani kerenah suami dan anak-anak.

III
        Seperti lazimnya, selepas makan malam, Abang Lim akan menonton siaran berita perdana sebelum beralih kepada rancangan di TV8, filem Cina. Dalam SMS, Abang Lim memaklumi isterinya bahawa THE HAVEN, kediaman mewah berkos tinggi. Namun, janji Irene Gan, kenangan di situ akan dirakam sebelum dimuatnaikkan untuk tatapan suami dan anak-anak!
        Jam kian melewati malam. Giliran Abang Lim pula untuk melayari Facebook. Abang Lim ingin tahu akan perkembangan semasa para sahabat di alam maya. Tiba-tiba tergerak oleh hati kecil Abang Lim untuk melihat halaman Facebook isteri kesayangan, Irene Gan. Manalah tahu, gambar-gambar terbaharu akan dimuatnaikkan untuk tatapan keluarga. Hampa. Barangkali, isteri kesayangan masih sibuk berhibur dengan para sahabat di kediaman mewah, THE HAVEN. Biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan.

        Sesungguhnya, Tuhan maha kaya. Tuhan maha berkuasa. Tuhan maha esa. Timbul hasrat Abang Lim untuk meneroka halaman Facebook milik isteri kesayangan. Terpampang gambar seseorang yang barangkali sudah lama dikenali. Jejaka tampankah? Duda kerinduan kasih? Kasanova? Abang angkatkah? Keinginan yang membuak-buak itu mendorong Abang Lim untuk meneroka lebih jauh lagi. Wajah makhluk yang bernama LC diklikkan. Asal orang Johor. Kini, beliau berkhidmat di Kampar. Perantau mengejar impian di perantauan. Maka, terpampanglah setiap baris catatan. Catatan berselang seli dengan bahasa Tionghoa dan Inggeris. Maka, terpampanglah gambar ikon seolah-olah LC sedang dilamun gelora asmaraloka! Setiap ayat pertanyaan dijawab dengan manja. Prihatin. Penyayang. Setiap jawaban disertai ikon "anjing yang bernafsu dan kucing yang ghairah" berlambangkan hati yang berkobar-kobar. Hebat, LC ini. LC dari Kampar! Barangkali LC inilah yang digelar oleh Christy sebagai Pak cik. Isterinya, dipanggil Mak cik? Dilema kian menguasai diri Abang Lim. Seribu pertanyaan yang berlegar-legar di minda kian mencurigakan Abang Lim. Kejantanan Abang Lim semakin tercabar! Kelelakian Abang Lim tergugat! Jantankah, aku? Lelakikah, aku? Suamikah, aku?

        Dalam tekun dan keasyikan, setiap baris komunikasi antara LC dengan tiga watak wanita, yang berstatus isteri orang dan bergelar sahabat Facebook sejak dua tahun dahulu ditelusuri dan dihayati oleh Abang Lim. Watak Christy, watak Alice, dan watak...Oh, Tuhan! Isteri aku, Irene Gan! Jerit Abang Lim sekuat-kuat hatinya sehingga anak bongsu Abang Lim, Lim Jr. III bergegas keluar dari bilik bacaan.

        "Kenapa, abah?" tanya Lim Jr. III.
        "Jangan sibuk. Teruskan ulang kaji!" jerit Abang Lim dalam kemarahan. Darah di dalam tubuhnya kian meracau bagaikan orang gila sedang meracau dan mengamuk. Minda kian bercelaru. Pelbagai persoalan mula bersarang di kotak minda seorang lelaki yang bergelar suami. Akal Abang Lim bersimpang-siur. Pelbagai andaian mula bermain-main di benak fikirnya yang kian tidak seimbang persis pesakit Insomnia dibelenggu oleh ubat Lorazepam!

        "Sanggup kautipu aku, Irene!"
        Buku lima tangan kanannya digenggam erat-erat sebelum dilepaskan di permukaan meja komputer ruang tamu rumah. Api kemarahannya kian membakar. Semarak api kemarahan menjilat maruah seorang suami yang sah di sisi undang-undang sivil. Dayuskah aku? Kedayusankah, aku? Dan, ketika api kemarahan masih belum padam, terbaca oleh Abang Lim lagi akan seperenggan ayat yang ditulis kemas oleh LC, lancar dan menakjubkan.

        "Pada 3 hingga 5 Mei, seekor kucing "musang king" jantan ditemani oleh tiga ekor kucing "musang king" betina akan berdarmawisata ke Ipoh dan Pulau Mutiara!" Irene Gan, isteri kesayangan, rupa-rupanya seekor daripada kucing "musang king" betina yang dimaksudkan oleh LC! Celaka LC! Laknat LC! Ilmu sakral apakah yang diguna pakai oleh LC sehingga isteri orang tertunduk akan kemahuannya? Terpukau oleh pujuk rayunya? Salahkah, LC? Ah, tiada semut yang akan menolak gula biarpun ada ketikanya semut-semut itu akan mati dalam kemanisan gulanya! THE HAVEN? Hotel Sentral Seaview, Tanjung Bungah? Jika dinding-dinding bilik mampu berbicara, dapatkah Abang Lim memperoleh bukti? Sanggupkah yang bergelar isteri "menipu" suaminya untuk menghalalkan misi darmawisatanya dengan kenalan Facebook? Tempat kediaman mereka berempat di kamar apartmen tiga bilik eksklusif THE HAVEN? Fitnah? Curiga? Syak-wasangka? Sudah terang lagi bersuluh. Mampukah seorang suami mendiamkan diri? Isteri pula bersandiwara dan sanggup diangkut ke hulu ke hilir dengan Honda CRV? Angkara Facebook? Belenggu beban tugas sebagai suri dan ibu? Memburu kebebasan? Kecuaian suami? Jika demikianlah kehendak setiap gadis, maka wajarlah ia membujang selagi hayat dikandung badan! THE HAVEN, Ipoh. Hotel Sentral Seaview, Tanjung Bungah. Kedua-dua frasa nama khas tersebut meniti bibir Abang Lim setiap kali, telefon pintarnya  bergegar dan berbunyi.

        "Siapakah, LC?"
        Diam seribu bahasa.
        "Kaukenal LC, Irene? Kenalan Facebook, bukan?"
        Tiada kata yang mampu berbicara. Irene Gan terbungkam. Barangkali dia terkesima apabila rahsia kecilnya terbongkar. Kini, rahsia kecil kian membesar dan melukakan hati Abang Lim. Bolehkah bangkai gajah ditudung oleh nyiru?
        "Darmawisata yang dirancang untuk bermadu kasih? Gatal! Miang!" Diam masih mendiamkan diri. Air mata kekesalan membasahi pipi. Biarpun pipi sudah mula dimakan usia, nafsu diri masih mampu bermaharajalela. Nafsu berahi. Kononnya, nafsu untuk disayangi dan menyayangi, cinta dan mencintai, kasih dan mengasihi. Sandiwara cinta golongan awal lima puluhan! Atau, barangkali, dikatakan ketandusan kasih sayang Abang Lim atau suami Christy! Atau, barangkali juga nafsu Irene Gan dan Christy kian liar dan buas dek pengaruh Facebook di media sosial? Jadi, tidak hairanlah, banyak gadis teruja dan tergelincir ke lembah maksiat. Demikian juga, wanita berkerjaya dan terpelajar, mudah terpedaya dan tertipu akhirnya dek kepura-puraan, kelicikan dan sandiwara sang jejaka tampan dari benua Facebook, WeChat, Messenger, Instagram, LINE, SMS, Telegram, Gmail, Blogspot, e-mel, dan WhatApps!

        "Kenapakah harus abang dibohongi, Irene?" Lidah kelu berkata-kata.
        Percayalah, kata Irene, tiada apa-apa yang berlaku sama ada di apartmen mewah, THE HAVEN atau di Hotel Sentral Seaview, Tanjung Bungah. Haruskah, aku percaya? Bisakah, aku memahami keadaannya? Bolehkah semudah itu, isteri orang bergaul, menerima pelawaan dan tinggal seapartmen semalaman walaupun berlainan kamar? Tidak mungkinkah situasi sedemikian mampu mengundang fitnah? Syak-wasangka dalam rumah tangga? Cauvanis genderkah, aku? Negatifkah pandangan aku terhadap pasangan yang pernah bergelar duda atau janda? Monolog demi monolog menguasai diri Abang Lim. Kalau ikut akan hati, mahu dijejaki dan dibawa pulang isteri bersama dengan anak bongsu, Lim Jr.III pada malam jahanam tersebut! Demi maruah isteri, hasrat itu berkubur dan terkubur. Bagaimana pula dengan maruah aku? Suamimu, Irene Gan? Lelakikah, aku? Suamikah, aku? Bapakah, aku? Dayuskah, aku? Kedayusankah, aku? Bersipongang lagi bicara monolog dalam diri Abang Lim.

        Sebaik kembalinya isteri, maka terbocorlah rahsia yang tersimpan selama ini. Tiket ETS diuruskan oleh LC. Pakej percutian ke Ipoh dan Tanjung Bungah diilhamkan oleh LC. Apartmen mewah diuruskan oleh LC. Isterinya, Irene Gan pernah dihubungi oleh LC melalui telefon tanpa pengetahuan Abang Lim. Dusun Durian Musang King! Ah, begitu mudah Irene tergoda oleh pujukan LC? Yang jelas, pembohongan tidak dibenarkan oleh Tuhan. Sebelum memulakan perjalanan ke Pulau Mutiara pada pagi hari kedua, enjin kereta Honda CRV bermasalah. Tergendala dua tiga jam mereka di Ipoh. Maka, terpaksalah LC menyewa kereta Proton Saga Aeroback untuk meneruskan hasrat ke Tanjung Bungah. Hasrat apakah yang tersembunyi oleh LC? Dengar cerita, LC, duda. Isterinya pula janda beranak satu sebelum mereka bertemu, bercinta dan berumah tangga. Jika mahu makan angin, berdarmawisatalah dengan isteri tersayang. Kenapakah harus diangkut isteri orang? Hebatkah, LC? Tampankah, LC? Atau, barangkali pemangsa sekskah, LC?

        Maka, berlakulah perundingan meja bulat antara Abang Lim dan Kak Irene. Perundingan muktamad. Dari hati ke hati, air mata, halal haram bersuami isteri dan kata dua agar peristiwa lama tidak berdarah kembali. Jika dibiarkan, hal ini mampu memecahbelahkan rumah tangga. Perceraian! Dunia kota kosmopolitan Kuala Lumpur Christy bukan duniamu, Irene Gan! Dunia LC dan isteri, bukan duniamu, Irene Gan! Latar belakang mereka, bagaimana? Barangkali dunia mereka dunia kebebasan. Dunia tanpa iman. Akal tanpa iman. Kekayaan tanpa iman. Kebendaan tanpa iman. Barangkali, dunia LC, isteri dan Christy, dunia persahabatan berteraskan nafsu, isteriku. Sebagai suami, Abang Lim memberikan kuliah panjang kehidupan. Seratus kali. Seribu kali. Sejuta kali.

        Ya, manusia biasa seperti Irene dan dirinya tidak bebas daripada belenggu kesilapan. Kesilapan yang berulang akan membuahkan kesalahan. Kesalahan itu nanti akan mengundang kesulitan. Kesulitanlah yang akan meranapmusnahkan keluarga yang bahagia. Demikianlah, karma kehidupan. Cukup insaf, Abang Lim. Yang pasti, tiada maaf kali kedua untuk isterinya. Muktamad. Kegiatan Facebook harus dipantau. Identiti Facebook harus bertukar wajah. Putuskan hubungan dengan LC, isteri dan Christy. Yang jelas, ada ketikanya, Facebook ialah racun kehidupan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Irene Gan, isteri Abang Lim sedar dan insaf benar. Abang Lim, bagaimana? Sesekali, luka lama akan berdarah kembali. Barangkali, Abang Lim memerlukan lebih banyak masa untuk memadamkan titik hitam yang sudah berdot di kanvas kehidupan. Barangkali, THE HAVEN syurga buat LC, isteri dan Christy. Yang pasti, THE HAVEN mimpi ngeri buat Abang Lim dan isteri!

        "Buang yang keruh, ambil yang jernih!" jerit Abang Lim sehingga mengejutkan isteri tersayang, Irene Gan yang sudah sekian lama terlena di peraduan kehidupan, sebuah kediaman kampung indah, THE HAVEN, Tg. Malim di pinggir Daerah Muallim berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa!

No comments: