Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, June 9, 2016

Cerpen - BOBOI LAM



BOBOI LAM oleh Chai Loon Guan.

Pagi Isnin.
        Lalu-lintas mula sibuk. Jalan Ketoyong mula diserang kenderaan. Kenderaan pelbagai jenis bertali arus. Kenderaan ibu bapa dan penjaga murid. Ibu bapa dan penjaga  menghantar anak-anak ke sekolah. Seorang demi seorang diturunkan di laman legar SRJK(C) Tanjung Jambu. Lalu lintas dipantau oleh anggota keselamatan swasta. Kemudian, bertolak pulanglah ibu bapa dan penjaga. Barangkali, pulang ke rumah. Pulang ke tempat kerja. Tidak kurang pula ke pasar pagi untuk membeli-belah. Tidak semua ibu bapa bekerja. Namun, ada yang bekerja dengan kerajaan. Ada yang bekerja dengan syarikat swasta. Tidak kurang pula, yang bekerja sendiri. Jadi tauke kedai runcit. Jadi tauke kedai makan. Berniaga sendiri.

        Seperti hari-hari persekolahan yang lain, Cikgu Shen ke sekolah. Beliau, antara guru yang paling awal tiba dengan kereta Kelisa, keemasan metalik. Kereta leluhur, milik bapa, pesara guru.

        "Selamat pagi, cikgu!"
        "Selamat pagi. Apa khabar?"
        "Baik, cikgu. Terima kasih."

        Dialog Cikgu Shen dengan murid-murid yang tiba awal di sekolah. Pagi Isnin, seperti pagi-pagi yang lain, ada perhimpunan ringkas di Dataran Perhimpunan. Lagu Negaraku. Lagu Perak Darul Ridzuan. Perak Excellent. Lagu sekolah. Usai amanat Guru Besar dan pengumuman, murid-murid berbaris tertib ke bilik darjah masing-masing. Pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Lancar. Tenang, setenang kebeningan pagi Isnin. Murid belajar, guru mengajar. Sayup-sayup kedengaran suara bacaan kuat murid-murid. Barangkali, murid Kelas Pemulihan. Murid yang masih lambat  menguasai kemahiran 3M, membaca, menulis dan mengira. Sesekali, kedengaran pula bisikan dan gelak tawa murid di kaki lima bilik darjah. Di padang sekangkang kera pula, aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sedang berlangsung ceria.

        "Cikgu, ada budak mengamuk?" lapor Swee Lan, murid Tahun 6, pengawas sekolah di bilik guru. Kemunculan Swee Lan secara mengejut, turut mengejutkan guru-guru di bilik guru.
        "Siapa, Swee Lan?" tanya Cikgu Soo, guru disiplin, pantas.
        "Boboi! Boboi Lam!"
        Ah, murid yang bermasalah itu lagi! Bermasalah, kenapa harus dibiarkan?
        "Beritahu Cikgu Wong, PK HEM segera!" turun arahan Cikgu Soo kepada Swee Lan.

        Dengan bantuan, guru kaunseling, Cikgu Hee dan Cikgu Shen, Cikgu Soo bergegas ke bilik darjah Tahun 4 Hijau. Waktu itu waktu pertukaran mata pelajaran. Yang jelas, semuanya bermula dengan lidah tidak bertulang, salah petik jiwa hilang. Kata-mengata. Kata-mengata menjadi jerit-menjerit. Jerit-menjerit menjadi cabar-mencabar. Maka, hadirlah tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk antara Boboi Lam dengan dua tiga murid lelaki di dalam bilik darjah itu sebaik berbunyi loceng pertukaran mata pelajaran.
        Boboi Lam tengah meracau. Sesekali kedengaran bahasa kesat dari mulutnya. Nafasnya turun naik. Dua tiga orang murid lelaki telah mendapat habuannya. Mangsa amukan Boboi Lam. Mangsa tumbukan Boboi Lam. Nama mereka dicatat sebagai bukti kes. Cikgu Soo sempat menegur Boboi Lam. Tidak diendahkannya langsung. Genggaman buku limanya masih kemas. Padat. Padu. Kurang ajar. Guru kaunseling, Cikgu Hee cuba menenangkan Boboi Lam. Tindakan Cikgu Hee juga tidak berhasil. Sia-sia. Boboi Lam berpaling muka marahnya. Merah. Geram. Penuh emosi. Kurang asam, Boboi Lam.
        Sementara menunggu kehadiran PK HEM, Cikgu Shen terpaksa campur tangan. Dipegangnya bahu Boboi Lam erat-erat. Meronta-ronta dibuatnya Boboi Lam. Mujur Cikgu Shen mampu mengawal keadaan. Mata pun bertentang mata. Tikaman mata Cikgu Shen berjaya menjinakkan Boboi Lam.
        "Pandang, cikgu!"
        "Tenangkan diri, Boboi Lam!" jerit Cikgu Shen.
        "Tarik nafas dalam-dalam!"

        Akhirnya, amukan Boboi Lam dapat dikawal. Dia beransur-ansur kembali kepada sedia kala. Murid yang berkerumum diminta kembali ke tempat duduk masing-masing. Nampak gaya, tindakan pantas Cikgu Shen cukup berkesan. Keadaan bilik darjah kembali stabil. Boboi Lam dituntun ke bilik PK HEM. Cikgu Soo selesai mendapatkan maklumat untuk menyediakan laporan. Ibu bapa Boboi Lam dihubungi.

II
        Kehadiran ibu Boboi Lam banyak membantu pihak sekolah. Ibu Boboi Lam sedia bekerjasama untuk menangani masalah anak. Biarpun pada mulanya, hampir dipercayai hidup-hidup setiap kata bicara anak manjanya, Boboi Lam. Yang jelas, Boboi Lam pandai berlakon. Boboi Lam licik. Pintar orangnya. Selepas satu persatu rekod disiplin Boboi Lam dibaca dan ditunjukkan oleh Guru Besar, akhirnya ibu Boboi Lam reda. Boboi Lam sememangnya manja di rumah. Maklumlah, anak bongsu. Kehendaknya sering dipenuhi. Setiap kali, berlakunya pertengkaran adik-beradik, Boboi Lam jarang mengaku salah. Jarang mengaku kalah.

        "Barangkali, anak saya dirasuki makhluk halus, cikgu!" ujar ibu Boboi Lam. Entah betul entah tidak atau sekadar mahu berseloroh. Kekesalan bersarang di wajah seorang ibu.  

        Sebenarnya, menurut rekod, Boboi Lam bermula dengan baik. Baik dari segi akhlak. Baik dari segi akademik. Baik dari segi kokurikulum. Malangnya, lewat setahun dua ini, segala-galanya mula berubah. Boboi Lam membesar seiring dengan kemerosotan akademiknya. Akhlaknya kian liar. Sikapnya kian negatif. Agresif. Barangkali, emosinya sering terganggu. Banyak teguran telah diambil maklum oleh pihak Lembaga Disiplin Sekolah. Fiil dan tingkah laku Boboi Lam sering dipantau oleh Guru Besar. Barisan pentadbir. Guru kelas. Guru Kaunseling. Guru Pemulihan (Linus). Pelbagai ikhtiar telah diusahakan oleh pihak sekolah. Mujur ibu bapa Boboi Lam faham dan memberikan kerjasama. Yang penting, sikap Boboi Lam perlu diperbetul. Akhlak Boboi Lam perlu dibaiki. Tahap akademik Boboi Lam perlu ditingkatkan sebelum nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

III

        Dalam diam-diam, Boboi Lam dijadikan adik angkat oleh Cikgu Shen. Cikgu Shen, guru baharu, guru muda, guru lulusan IPG Malaysia. Dia mahu mencuba menangani masalah yang dihadapi oleh anak buahnya, Boboi Lam. Rekod peribadi Boboi Lam ditelusuri. Tingkah lakunya diikuti dalam senyap-senyap. Seringkali, pada waktu pembelajaran Bahasa Melayu, Boboi Lam disuruh duduk di hadapan. Boboi Lam dilantik ketua kumpulan. Boboi Lam dipuji di hadapan rakan-rakan sedarjah. Pada mulanya, agak sukar juga. Lambat-laun, yang sukar menjadi mudah. Barangkali dipermudah oleh Tuhan dek daya usaha murni guru. Guru yang penyayang. Guru yang prihatin. Guru yang bertanggungjawab. Sehari demi sehari, prestasi Boboi Lam memperlihatkan perubahan. Peningkatan secara ansur maju.

        Kaedah pengajaran berasaskan murid dipraktikkan. Pendidikan Abad Ke-21 diamalkan. Penerapan kemahiran i-Think digabungjalinkan dalam pelajaran Cikgu Shen. Sesekali, Cikgu Shen menggunakan teknik penceritaan dalam pengajarannya. Elemen dan isu mutakhir dijadikan induksi set selain penggunaan teknologi multimedia dan komputer (TMK) di dalam bilik darjah. Prinsip asasnya. nilai disiplin diri murid perlu diutamakan.

        Hubungan Boboi Lam dengan Cikgu Shen kian rapat. Kebajikan Boboi Lam diambil berat. Nampak gaya, aura mereka berpadanan. Pada ketika itulah, peluang keemasan diambil oleh Cikgu Shen untuk menegur setiap kesalahan dan kesilapan Boboi Lam. Yang takjubnya, perubahan demi perubahan mula menampakkan hasil. Boboi Lam tidak lagi bertindak kasar. Boboi Lam tidak lagi mencarut. Boboi Lam tidak lagi membuli rakan. Boboi Lam tidak lagi bergentayangan di luar bilik darjah. Ponteng kelas. Cukup menggembirakan Cikgu Shen ialah prestasi akademik Boboi Lam memperlihatkan kemajuan. Markah merah kian berkurangan. Markah biru kian banyak memenuhi slip peperiksaan. Perkembangan drastik Boboi Lam mengejutkan guru-guru lain, terutamanya guru-guru mata pelajaran. Persepsi guru selama ini di sekolah sudah mula berubah. Perubahan mendadak pada Boboi Lam cukup menggembirakan pihak sekolah dan ibu bapanya.
       
IV
        Yang bermula akan berakhir. Bulan Januari kian merangkak ke penghujung tahun. Selepas menduduki peperiksaan akhir tahun, murid-murid Tahun 4 seperti murid-murid lain akan menunggu keputusan.

        "Boboi Lam!"
        "Saya, Cikgu Shen!"
        "Tahniah, kamu telah berjaya memperoleh 3A 3B dalam peperiksaan akhir tahun! Tingkatkan usaha agar Tahun 5, Tahun 6, dan UPSR nanti kecemerlangan dapat kamu gapai dengan cemerlang!"
        "Terima kasih, cikgu atas kesabaran cikgu membimbing saya selama ini," ucap Boboi Lam penuh kesantunan berbahasa. Air mata gembira bersarang di penjuru matanya. Ya, siapa sangka bahawa budak "kacang hantu" senakal Boboi Lam mampu berubah dalam tempoh enam bulan!

        Apakah rahsia, Cikgu Shen? Apakah "kungfu" yang telah dipraktikkan oleh Cikgu Shen? Ilmu apakah yang digunakan oleh Cikgu Shen selama ini?
Dekati murid. Fahami murid. Kaji latar belakang murid. Bantu murid. Tangani masalah murid. Hasilnya nanti, murid-murid akan mula memahami dan menghargai guru. Yang penting, gurulah idola mereka. Gurulah suri teladan mereka. Guru ibarat pelukis dan muridlah kanvas yang perlu dicalitkan dengan rona-rona kehidupan. Jadi, lukislah kehidupan dengan penuh kasih sayang, ikhlas dan empati agar terhasillah lukisan yang menakjubkan dan menggembirakan insan di sarwajagat ini!

        "Terima kasih, Boboi Lam kerana memberikan ruang dan peluang kepada cikgu! Terima kasih, Boboi Lam!"

No comments: