Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, May 6, 2016

Karangan BM Tingkatan 2 - Semangat Cinta akan Tanah Air



Langkah-langkah untuk Menyemaikan Semangat Cinta akan Tanah Air dalam Kalangan Murid.
          Sejak akhir-akhir ini, isu kurangnya semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid di negara kita kembali menghiasi dada-dada akhbar dan majalah utama. Perkara ini amat membimbangkan apabila didapati segelintir murid mengambil sikap acuh tak acuh dan  tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan di sekolah masing-masing. Oleh itu, pelbagai langkah yang berkesan perlu diambil untuk menyemaikan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid di seluruh negara.         
          Pertama sekali, pihak sekolah perlu mengambil daya usaha untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid sejak bangku prasekolah lagi. Langkah berkesan ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri murid seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Contohnya, pihak sekolah boleh mengadakan program sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan peringkat sekolah, nyanyian Lagu Negaraku semasa perhimpunan, aktiviti bercerita tentang tokoh atau negarawan dan pertandingan melukis poster.  Sekiranya semangat cinta akan tanah air ini dapat dipupuk sejak kecil lagi, maka sudah tentulah semangat mulia ini akan terus diamalkan dan dikekalkan sehingga murid-murid menjadi dewasa sekali gus melahirkan generasi yang cinta akan tanah air.
          Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan anak di rumah. Ibu bapa haruslah sentiasa menanamkan kesedaran tentang pentingnya usaha kita memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara dalam jiwa raga anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan (suri teladan) yang baik kepada anak-anak. Contohnya, ibu bapa turut mengambil bahagian menjayakan kempen mengibarkan bendera bersama-sama anak-anak ketika sambutan hari kemerdekaan negara.  Ibu bapa dan anak-anak juga boleh melawat ke tempat-tempat yang bersejarah semasa cuti persekolahan pendek atau panjang dari semasa ke semasa. Hasil daripada kunjungan, anak-anak dipercayai mampu memperoleh kesedaran tentang kepentingan setiap warga mencintai tanah air sendiri.
         Di samping itu, media massa tempatan seperti televisyen dan radio merupakan wahana yang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi murid di sekolah. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid seperti siaran rencana atau dokumentari sejarah tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media massa itu juga hendaklah menayangkan drama-drama yang bertemakan perjuangan dan semangat nasionalisme di kaca-kaca televisyen tempatan dari semasa ke semasa untuk mempersubur semangat patriotik dalam jiwa raga setiap warganegara, khususnya generasi murid di sekolah.
          Sebagai kesimpulannya, semangat cinta akan tanah air sangat penting untuk melahirkan generasi Malaysia yang cinta akan tanah air sekali gus  mewujudkan warganegara yang berilmu, berakhlak dan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan setanding dengan negara-negara maju yang lain di dunia. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan dipersubur dalam hati sanubari setiap murid di negara kita.
Chan Li Yang, Tingkatan 2, SMJK Katholik, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: