Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, May 12, 2016

Karangan BM PT3



Amalan Berjimat Cermat Banyak Membawa Faedah kepada Remaja.

        Amalan berjimat cermat merupakan sifat yang mulia dan baik. Amalan ini sepatutnya diamalkan oleh masyarakat, khususnya golongan remaja ketika mereka masih muda. Sebenarnya, amalan ini membawa banyak manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan remaja.

          Harga barangan di pasaran dunia semakin meningkat dari sehari ke sehari. Jika remaja mempunyai amalan berjimat cermat, maka mereka boleh membeli barang-barang keperluan (pilihan) seperti alat tulis, pakaian, dan bahan bacaan yang bersesuaian dengan wang tabungan sendiri. Usaha ini tidak akan membebankan ibu bapa malah amalan ini mampu memupuk sikap senantiasa ingin menabung dalam jiwa raga remaja. Wang yang ditabung, sedikit demi sedikit akan bertambah banyak bak kata peribahasa Melayu, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

          Masalah remaja yang suka melepak atau bergentayangan di pusat-pusat hiburan atau di pusat-pusat beli-belah dapat dikurangkan jika sifat berjimat cermat disemaikan dalam jiwa raga anak-anak sejak kecil lagi. Remaja yang telah diasuh akan senantiasa mengutamakan langkah berjimat cermat bukan sebaliknya, yakni membazirkan masa dan wang ringgit pemberian ibu bapa. Jadi, dalam hal ini, peranan ibu bapa cukup penting dan berkesan untuk memupuk amalan yang mulia ini, bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.

          Langkah berjimat cermat juga akan mendidik golongan remaja yang berkemampuan untuk mengurus wang perbelanjaan sendiri. Mereka akan membeli barangan yang diperlukan sahaja untuk kegunaan seharian. Amalan berjimat cermat ini akan membolehkan mereka mempunyai wang yang mencukupi untuk kehidupan sendiri pada masa hadapan tanpa dibelenggu oleh masalah kewangan dalam kehidupan sehari-hari.

          Di samping itu, amalan berjimat cermat juga banyak membantu remaja untuk menghadapi kegawatan ekonomi (kewangan) pada masa hadapan. Semasa menuntut ilmu di kolej swasta atau di universiti, golongan remaja (pelajar) memerlukan banyak wang untuk membiayai  yuran kursus dan pengajian mereka mengikut semester. Dalam hal ini, jika mereka berjimat cermat dan mempunyai wang tabungan sendiri, maka mampulah bagi mereka untuk membayar yuran pengajian dan menyelesaikan masalah kewangan secara berdikari.

          Sediakan payung sebelum hujan. Demikianlah, kata-kata peribahasa Melayu. Oleh itu, wajarlah kita pupuk amalan ini sejak kecil lagi supaya dapat kita selesaikan masalah yang berbangkit. Masyarakat umum haruslah berpegang pada ungkapan peribahasa, yakni berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena. Janganlah menunggu masalah berbangkit, barulah kita mahu berjimat cermat. Berfikirlah untuk hari esok, namun kita perlu bertindak dengan bijaksana pada hari ini. Marilah kita persubur amalan berjimat cermat bersama-sama dalam kehidupan kita sehari-hari. Alah bisa tegal biasa.

Kek Yian Wen, Tingkatan 3 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim.

No comments: