Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, May 12, 2016

Bicara Karya CLG - Antologi Sajak "Di Padang Kehidupan"



DI PADANG KEHIDUPAN (2008) OLEH CHAI LOON GUAN
BICARA KARYA PENULIS PELBAGAI KALIM WILAYAH UTARA
(Selasa, 8 Mei 2012. Institut Pendidikan Guru Persekutuan, Pulau Pinang)
oleh:
Dr. Sakinah Abu Bakar (Phd),
PPPJJ, Universiti Sains Malaysia
1. Pendahuluan:
Kesusasteraan merupakan suatu fenomena yang berpanjangan dan berkesinambungan. Fenomena ini dimeriahkan lagi dengan wujudnya  kritik sastera yang melibatkan aplikasi teori. Dalam tradisi kesusasteraan yang dikatakan bermula dari Barat itu, bidang kritikan merupakan aktiviti yang menarik dan mencabar. Hal ini demikian kerana dunia kesusasteraan sentiasa dilanda perubahan kerana pandangan hidup yang berbeza; yang digerakkan oleh para pemikir daripada pelbagai bidang  pemikiran. Untuk menguji ketepatan dan kesesuaian pendapat dan pandangan masing-masing, mereka menjadikan karya kesusasteraan sebagai objek kajian. Daripada aktiviti tersebut, terbinalah teori yang digagaskan daripada pemikiran, andaian dan pelbagai persepsi yang melibatkan proses yang kompleks, yang membentuk kesinambungan, adaptasi dan penyesuaian. Semua hipotesis, teori dan pendekatan telah disesuaikan menurut sudut pandangan, budaya, kepercayaan dan corak
pemikiran para sarjana berkenaan.

Dalam zaman sains dan teknologi ini kesusasteraan tetap releven dan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Kelahiran teks sastera menampilkan citra sains fiksyen; kisah penjelajahan manusia ke angkasa raya sehinggalah kepada perebutan kuasa politik. Kuasa-kuasa ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa kekuasaan yang dimiliki oleh kesusasteraan yang berkemampuan merubah budaya manusia. Oleh sebab itu, hasil sastera dapat membangun dan meningkatkan martabat sesuatu bangsa kerana berjaya menguasai semua dimensi budaya seperti budaya sosial, pendidikan, ekonomi dan politik. Kekuasaan sastera sering dihubungkan dengan aspek pensejarahan dan politik; justeru, kedua-duanya berhubung rapat dengan konsep nilai dan tamadun sesuatu bangsa.

Apa perlunya teori dalam sesebuah analisis sastera? Sesebuah genre kesusasteraan yang diterokai dengan aplikasi teori berupaya memberikan kefahaman yang lebih mendalam terhadap karya tersebut. Hal  ini demikian kerana kajian kesusasteraan dengan aplikasi teori dianggap lebih terarah dan sistematik. Apakah itu teori? Ramai yang beranggapan bahawa teori adalah sesuatu yang tidak praktis dan tidak berpijak kenyataan atau dicipta daripada ruang kosong dan tidak bersangkut paut dengan kehidupan. Kenyataan ini ternyata tidak benar kerana tindakan manusia lazimnya didasarkan atau bertitik tolak daripada sudut pandangan, pendekatan atau teori tertentu. Dalam perkembangan teori seni dan kesusasteraan, muncul pelbagai pendapat dan pandangan terhadap teori kesusasteraan.

George & Achilles Theodorson, menjelaskan yang teori adalah 'A set of interrelated principles and definition that selves conceptually to organize selected aspects of empirical world in a systematic way' (1970:436). Pandangan ini menjelaskan bahawa teori adalah segugus prinsip dan definisi yang saling berkait secara konsepnya bagi menyusun aspek-aspek terpilih daripada dunia empirikal secara sistematis. Maka teori dapat digubal berdasarkan fenomena empiris, iaitu gejala yang  konkrit dalam kehidupan manusia. Oleh itu, khalayak, pembaca, pengkaji dan peminat sastera wajar berusaha memahami teori dan kepentingannya.

Definisi teori boleh berubah-ubah mengikut tuntutan zaman (Zawiyah Yahya dalam "Puitika Sastera Melayu dan Pembinaan Teori  Tempatan" — Kolokium Membina Teori Sastera  pada 6 - 8 Disember 1999). Teori boleh berbentuk diskripsi atau penyataan umum mengenai peraturan dan prinsip atau idea yang saling berkait untuk memberikan penerangan terhadap sesuatu fenomena. Teori boleh juga dianggap sebagai suatu hipotesis yang belum terbukti secara empirikal. Menurut Ali Ahmad dalam bukunya bertajuk, Pengantar Pengajian Kesusasteraan (1994: 20-23), kesusasteraan muncul daripada pemerhatian umum terhadap fenomena sastera tanpa menekankan persoalan-persoalan kebudayaan atau sejarah pada peringkat awalnya. Teori ialah generalisasi ilmiah menggunakan bukti daripada fenomena sastera berdasarkan hujahan yang bersifat ilmiah. Hal-hal yang disentuh antara lain ialah tujuan sastera, hubungan karya sastera dengan unsur-unsur luar seperti biografi penulis, psikologi, sastera dengan masyarakat, penulis dan prinsip-prinsip umum dalam melihat sastera secara mendalam.

2. Perbincangan:
Perbincangan ini molek juga dimulai dengan membariskan nama-nama penulis bukan Melayu yang dikenali di Malaysia secara ringkas. Antaranya ialah Lim Swee Tin, Selina S.F. Lee, Uthaya Shakar SB, M.Balachandran, Saroja Theavy, Jong Chian Lai, Lee Cheong Beng (Mohd.Azli Lee Abdullah), Lee Keok Chih @ Ardi Amin, Poul Nanggang, Peter Augustine Goh dan Raja Rajeswari Seeta Raman. Penulis-penulis ini telah berkarya dalam pelbagai genre kesusasteraan. Kelahiran penulis seperti Chai Loon Guan (Selepas ini disebut CLG) turut menyemarakkan dunia penulisan sastera Malaysia. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan kreatif dalam tahun 1980-an. Bintangnya kian bersinar menjelang tahun 1990-an. Hal ini dibuktikan oleh beberapa anugerah yang telah diraihnya seperti Hadiah Puisi MAYC Perak (1980), Hadiah Sajak Hari Guru Perak (1983-1990), Hadiah Sastera Utusan - Public Bank (1988, 1989 & 1995) serta Hadiah Sastera DBP - Maybank (1992 & 1993). Minat yang mula dipupuk seawal usia 15 tahun telah menampakkan hasil yang membanggakan. A. Rahim Abdullah pernah mencatatkan dalam eseinya bertajuk "Dewan Sastera dan Sumbangan Puisi Penulis Pelbagai Kaum" (Dewan Sastera. Januari, 2003: 25-29) bahawa CLG seorang penyair prolifik ketika mengulas analisis puisi "Warkah Buat YB" yang pernah disiarkan dalam Dewan Sastera, April 2000 oleh Abdul Razak Mohd.Kassim; dan "Manik-manik" dalam Dewan Sastera. April, 2001. Kejayaan yang diraih melakar sejarah pembabitan penyair bukan Melayu dalam arena perpuisian tanah air. Pembabitan beliau dalam pelbagai acara sastera dan budaya secara berterusan sehingga kini diyakini bakal melahirkan karya yang lebih bermutu pada masa-masa akan datang.

Dalam konteks perbincangan ini juga, bahan sastera yang akan diberikan tumpuan ialah puisi. Apakah itu puisi? Puisi ialah gabungan manifestasi pengalaman batin penyair yang penuh misteri. Sifat misteri sebuah puisi terserlah daripada bentuk, isi dan tekniknya yang pelbagai. Salah satu elemen utama dalam penciptaan puisi ialah kreativiti. Kreativiti terhasil daripada unsur dalaman seperti imaginasi, persepsi, apresiasi serta pengalaman yang sebahagian besarnya didorong oleh kriteria dalaman dan unsur luaran seperti pengaruh, transformasi dan budaya yang bersifat fizikal dan nonfizikal. Semua elemen tersebut bagai rencah dan asam garam kehidupan yang serba kompleks yang diadun, disaring seterusnya dipersembahkan menerusi puisi.

Pendekatan moral merupakan cabang daripada Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang. Pendekatan ini diwujudkan atas gagasan bahawa sastera Melayu bersifat didaktik. Sastera adalah objek dan juga kejadian alam yang mengambil pengalaman hidup; yang mujarad sifatnya. Sifat sastera sedemikian itu berupaya memberikan kemanfaatan yang jauh lebih besar kepada masyarakat berbanding dengan fungsinya sebagai alat atau benda semata-mata. Dua hal utama yang diungkap dalam sastera, iaitu pertama, peristiwa yang dilalui oleh manusia tertentu dan maklumat yang berkaitan dengan manusia serta suasana persekitarannya. Berdasarkan peristiwa yang dirakam dalam karya sastera, seseorang pembaca dapat memahami ragam hidup dan pelakuan manusia yang digambarkan dalam sastera dan dapat menilai aspek negatif dan positif bagi tujuan menjadikannya sebagai 'cermin', perbandingan, analogi, serta teladan yang baik. Maka daripadanya terpancar aspek moral yang dapat dikaji dan diterokai oleh pengkritik atau pengkaji manakala maklumat yang berkaitan manusia serta suasana persekitarannya akan memperlihatkan sastera sebagai bidang yang berkemampuan menyediakan pelbagai ilmu dan pengetahuan. Hal ini sesuai dengan konsep sastera kita yang terbit daripada kata 'perpustakaan', iaitu yang membawa makna himpunan ilmu pengetahuan dan pengajaran.

Bertunjangkan konsep sedemikian, sastera dapat dikaji dan dinilai dalam peranan dan keupayaannya menjadi gedung kepelbagaian ilmu; daripadanya dapat ditimba aneka pengetahuan dan pengajaran yang memberikan kebaikan kepada manusia.

Di Padang Kehidupan (2008) oleh CLG menyenaraikan 100 buah puisi yang membawa pelbagai tema; paparan segmen kehidupan yang diketengahkan dalam nada, suasana, penghayatan dan penyataan yang berbeza. Beberapa buah daripadanya merupakan jaringan penceritaan dan pemikiran yang berantaian antara satu dengan lain. Puisi-puisi kategori tersebut lazimnya memperkatakan tema yang sama seperti cinta akan negara, peristiwa besar dunia seperti peperangan dan seumpamanya.

Sebahagian puisi dalam antologi ini memberikan paparan umum; berfalsafah, menuntut renungan dan pemikiran. Sebahagian lagi melakar kisah kehidupan manusia serta persekitarannya dalam paparan khusus; berfokus pada individu dan kumpulan manusia tertentu dengan segala tingkah lakunya serta persekitaran yang didiami. Oleh itu, kedua-dua bentuk paparan tersebut dengan sendirinya memberikan maklumat tentang manusia dan suasana persekitarannya yang dapat dihubungkan dengan aspek persejarahan dan alam secara fizikal dan nonfizikal.

2.1) Sorotan Puisi Chai Loon Guan: Paparan Umum.
Sebagai seorang penyair yang telah dianugerahi dengan sensitiviti yang tajam, CLG cenderung merenung dan berfikir tentang sesuatu hakikat dengan lebih mendalam. Hakikat yang universal sifatnya menjadi elemen penting yang menyerlahkan kekuatan puisi-puisinya seperti berikut;

Bil.
Tajuk Puisi
Tema/catatan
1
“Sampan”
Putus Kasih – ‘sampan’ sebagai lambang
2
“Kamar”
Diri – ‘Kamar’ sebagai lambang
3
“Mimpi Kota”
Kepura-puraan – Citra pradoksikal
4
“Lidah”
Penipuan – lidah sebagai lambang/perbandingan
5
“Garis”
Takdir dan pilihan – puisi pendek padat
6
“Kehidupan”
Miniatur/segmen kehidupan masyarakat
7
“Cemburu”
Sifat buruk manusia
8
“Api”
Lambang cinta
9
“Rencana Kehidupan”
Nilai kebendaan dan kemanusiaan
10
“Di Padang Kehidupan”
Kanak-kanak dan kemurnian hidup mereka
11
“Mereka Masih Bercerita”
Keamanan dunia
12
“Apabila Kita Bicara”
Suara Kemanusiaan

Meskipun kebanyakan puisi ini dilihat sebagai lontaran idea yang santai dan bersahaja, namun isu yang diketengahkan amat bermakna pada perkembangan pemikiran generasi kontemporari. Hal ini demikian kerana isu-isu yang diketengahkan merupakan perkara-perkara yang menyentuh langsung tentang keperluan, pembelaan, hak manusia sejagat dan kepentingan semasa yang perlu diberikan perhatian serius oleh masyarakat.


Puisi pertama yang ingin ditelusuri merujuk judul antologi ini sendiri, iaitu "Di Padang Kehidupan". Penyair mengajak khalayak merenung fitrah kanak-kanak yang murni bagai kanvas putih tanpa secalit 'warna'.
“...tiada sangsi
Tiada dengki
Tiada sengketa
Tiada derita.
Kehidupan kanak-kanak yang sedemikian indah dan murni kian terancam. Tempat yang selamat untuk mereka makin berkurangan. Anak-anak kecil di pusat asuhan tidak dijaga dengan baik. Mereka dibiarkan mati tersedak susu atau lemas di basin mandian atau terantuk di buaian. Gadis sunti atau anak perempuan yang masih bayi didera oleh ibu atau bapa tiri, malah teman lelaki ibu sendiri. Kadang-kadang menjadi korban haruan makan anak; dirogol bapa atau datuk darah daging sendiri. Lebih menyayat hati, bayi yang baru dilahirkan menjadi makanan anjing atau reput di dalam sungai atau di dalam tong sampah. Masyarakat sekeliling terus berdiam diri, membiarkan kemungkaran, kekejaman, penderaan bermaharaja lela. Jadi, penyair menyeru agar masyarakat lebih prihatin akan fenomena yang mempamerkan tingkah laku buruk masyarakat; menjadikan sesuatu tragedi khususnya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak sebagai peringatan; belajar daripada kesilapan orang lain demi kesejahteraan kemanusiaan sejagat.
“...Sketsa anak-anak itu sering dilarikembarakan
Goresan-goresan warna duka
Warna Iuka
Warna dosa
Oleh generasi dewasa
Yang berkepentingan dan kecewa
Di medan percaturan kuasa...
"Di Padang Kehidupan" ternyata merujuk masalah penganiayaan terhadap kanak-kanak yang semakian serius melanda negara kita. Hal ini berbeza sedikit dengan hal yang difokuskan dalam "Rencana Kehidupan"  yang merujuk golongan masyarakat yang terdiri daripada orang dewasa.
"Dengan sejumlah wang
Kita bisa membeli juadah pelbagai di restoran,
Kafeteria mahupun hotel lima bintang
Namun belum pasti kita dapat membeli sesudu
Keenakan daripada ribuan hidangan...”
Kata penyair lagi, membeli kemewahan, namun belum pasti kita dapat menikmati setitis/ kebahagiaan daripada selautan kemewahan. Dengan kebendaan orang boleh memiliki isteri yang cantik namun belum tentu dia setia. Apa-apa yang dirancang dalam kehidupan ini tidak semuanya dapat direalisasikan. Kebahagiaan dalam kehidupan bukan diukur daripada kekayaan dan kemewahan.
Puisi "Kehidupan" pula disusun dalam satu stanza sepanjang 16 baris. Subjek yang menjadi tumpuan ialah kehidupan tukang ukir, tukang cat dan tukang jahit. Bagi penyair ini, mereka begitu tabah mengharungi kehidupan yang sukar namun menyumbang pada perkembangan seni yang diceburi, seni pertukangan, ukiran dan jahitan sebagai mata pencarian. Sayangnya puisi ini tidak diberikan sentuhan perasaan yang lebih mendalam sebaliknya sekadar paparan langsung yang dapat difahami dengan membacanya sekilas pandang.
"Sampan" ialah sebuah puisi naratif yang teradun dengan elemen dramatik. Walaupun penyampaiannya bersahaja namun kedua-dua kesan tersebut dapat dirasai. Kisahnya mengenai sebuah perhubungan yang terkandas di tengah jalan antara dua insan. Hal in terakam dalam
ungkapan berikut;
“...Di hati jantung pelayaran
Sampanmu pecah
Dayungmu patah
Dan kau pun berenang
Macam ikan-ikan
Meninggalkan aku seorang
Terkapai-kapai melawan samudera
Tercari-cari hati yang Iuka".
Diksi 'sampan pecah', 'dayung patah' adalah sebuah tragedi; ungkapan 'berenang' dan 'terkapai melawan samudera' adalah akibat yang perlu ditanggung oleh manusia yang terbabit. Ungkapan-ungkapan bandingan tersebut telah menghidupkan puisi ini dan menjadikannya lebih dramatik. Ungkapan 'jantung' ialah lambang hati; manakala 'sampan' dan 'dayung' pula ialah objek atau alat yang digunakan dalam menggambarkan peristiwa sebuah perpisahan. Dalam melayari kehidupan, manusia diuji. Orang yang ditinggalkan seseorang yang dikasihi terpaksa berdepan ujian perit tersebut dan perlu meneruskan kehidupan. Hal ini dilalui oleh seorang 'aku' yang terkapai-kapai di lautan luas samudera. Paparan sampan dilambung ombak di lautan menjadi suatu fenomena universal yang sering dilambangkan dalam karya sastera. Paparan tersebut memberikan maklumat tentang alam semulajadi secara fizikal. Oleh itu, fenomena alam fizikal berperanan sebagai lambang bagi mengambarkan fenomena yang bersifat mujarad. Lapisan makna yang tersisip di sebalik diksi-diksi perlambangan tersebut adalah pernyataan penyair mengenai kehidupan sebenar yang dilalui oleh manusia. Puisi berjudul 'Kamar' yang diungkap dalam tiga stanza menampilkan citra diri penyairnya. Kehidupan peribadi bagai sebuah kamar; sebuah ruang yang kecil dan tersendiri namun menyerlahkan keperibadian penghuninya yang menginginkan kebebasan jiwa;
"Sebuah kamar yang usang
Adalah aku
Yang memerlukan warna
Agar tiangnya seri
Dindingnya senyum
Jendelanya riang
Dan pintunya mesra..."
Ungkapan 'kamar' tidak saja menjadi lambang bagi sebuah kehidupan tetapi juga institusi milik peribadi yang perlu diasuh dan dibentuk untuk melengkapkan diri bagi menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Keperluan diri secara fizikal dan keperluan batin seperti keikhlasan senyuman, keriangan yang tercipta daripada kehidupan yang bahagia dan kemesraan sesama manusia.
“...dan begitulah
Kamar penghidupan
Yang perlu dibuka
Untuk tatapan siang dan dikatup
Saat tibanya malam.'
Makna permukaan yang dapat digarap daripada stanza akhir ini 'siang' dan membataskan kehidupan dengan fenomena alam, iaitu 'malam'. Namun jika 'siang' dan 'malam' dilambangkan dengan kehidupan dan kematian. Maka, masih ada kehidupan selepas kematian kerana 'kamar' itu akan dibuka semula selepas ditutup sementara ketika manusia tidur dan dibuka selama-lamanya dalam kehidupan baharu di alam akhirat nanti.

Keindahan bentuk pada puisi "Mimpi Kota" diperlihatkan daripada susunan kata perulangan. Diksi 'Mimpi' menjelaskan sesuatu yang bersifat abstrak; seperti harapan dan impian daripada seorang individu atau kumpulan masyarakat. Yang jelas mimpi itu bukan mimpi sebenar. Mimpi Kota ialah paparan kehidupan masyarakat kota dan persekitarannya. Mereka hidup dalam kesusahan dan keresahan; dalam kesempitan ruang fizikal, iaitu kedudukan ekonomi yang tidak stabil, cabaran pekerjaan yang bukan kepalang sukarnya. Kehidupan di kota, manusia dan persekitarannya seperti yang digambarkan oleh penyair memberikan banyak maklumat kepada khalayak. Hal yang menarik tentang puisi ini ialah kenyataan-kenyataan paradoksikal yang dilakar seperti  yang berikut;
Mimpi Kota
Adalah duka manis yang seksa
Adalah racun wangi yang bisa
Adalah sketsa indah yang ngeri
Adalah duri bahagia yang berapi
Mimpi kota
Adalah syurga tangis yang bahagia
Adalah taman duka yang indah
Adalah ubat pahit yang kaya
Adalah kekasih hodoh yang tabah.
Mimpi kota
Adalah garis-garis Iuka
Pada sketsa indah
Mimpi kota
Adalah warna-warna bahagia
Pada sketsa resah!
Perhatikan cara CLG menggandingkan subjek mujarad dalam makna yang berbeza dalam baris-baris ini; duka dan seksa digandingkan dengan manis; racun, bisa digandingkan dengan wangi; duri, berapi dengan bahagia; syurga, bahagia dengan tangis; duka dengan indah; pahit dengan kaya; imej-imej yang bercampur ini menitipkan makna, tentang tingkah laku manusia dan persekitarannya. Yang jelas, semua maklumat tentang kehidupan manusia kota dapat dijadikan ukuran dan peringatan kepada khalayak. Tentu saja setiap fenomena yang bertentangan tadi diungkap daripada pemerhatian dan penghayatan, pemikiran dan kenyataan tentang warna, wajah dan kehidupan di kota yang serba mencabar.
Puisi "Api" pula dilakar dalam dua stanza yang membicarakan hakikat cinta, cemburu, kasih, sengketa. Semuanya tentang sifat manusia. Sifat-sifat ini amat diperlukan dalam kehidupan manusia untuk perkara-perkara kebaikan. Namun jika sifat ini diperlihatkan keterlaluan maka akan menjadi ancaman kepada keselamatan manusia. Imej 'api' menunjangi pernyataan sifat pelakuan manusia keterlaluan dalam banyak hal;
Api cinta yang membara
Terlalu asyik dan bahagia
Api cemburu yang bergelora
Terlalu sakit dan derita
Api kasih yang membunga
Terlalu indah dan ceria
Api sengketa yang panas
Terlalu kejam dan ganas
Apakah unsur moral yang dapat digarap daripada puisi ini? Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa 'kecil api menjadi kawan bila besar menjadi lawan' yang menyarankan agar manusia berpada-pada dalam setiap tindakan; jangan keterlaluan. Dalam hal ini, imej api digunakan bagi menggambarkan sifat dan perasaan manusia. Api cemburu sering mengakibatkan manusia menderita. Oleh sebab itu, CLG membicarakannya persoalan cemburu ini dengan lebih rinci dalam puisi berikutnya bertajuk "Cemburu".
Dalam puisi tersebut cemburu dianggap bagai '...sungai lumpur kelodak dan sisa syak/ tasik mimpi penuh lakonan ngeri dan api iri/lembah rimba penuh flora gelora dan fauna debar/ mega-mega kelabu penuh misteri dan kalbu duka dan cemburu juga adalah '...sketsa penuh warna Iuka dan panorama bisa...' Ungkapan-ungkapan yang sarat makna tersebut menerangkan keburukan perilaku manusia yang membinasakan kehidupan dan kesejahteraan sejagat. Objek alam dalam makna literal digandingkan dengan makna simbolik. Cemburu juga berkait rapat dengan mulut dan Iidah. Perasaan cemburu yang disusuli penyataan mulut dan Iidah. Penyair merakam hal ini secara rinci melalui puisi berjudul  "Lidah":
'Lidah yang tidak bertulang
Lebih bisa daripada bisa ular
...Lebih tajam daripada hiris buluh sembilu
...Lebih pahit daripada pahit hempedu
...Lebih panas daripada bara api
...Lebih belit daripada akar-akar mungkar
Iidah yang tidak bertulang
...Adalah rumah yang padat
...Dengan putar belit..
Dengan tiang-tiang hipokrit'
Lidah adalah punca segala pertelingkahan sesama manusia. Perilaku buruk ini dibandingkan dengan bisa ular yang mampu membunuh; lebih tajam daripada buluh runcing, lebih pahit daripada
hempedu, lebih panas daripada bara api. Semuanya membawa kemusnahan samada pada tubuh badan mahupun pada jiwa manusia. Menipu, memutar belitkan fakta dan cerita dan hipokrit antara sikap buruk yang berupaya memporakperandakan sebuah kerajaan, organisasi, masyarakat dan peribadi seseorang manusia. Maklumat tentang fenomena ini setidak-tidaknya menjadikan manusia lain lebih berwaspada, mengambil iktibar daripada perkara buruk yang telah menimpa mereka.
"Mereka Masih Bercerita" antara paparan kisah para pemimpin dunia yang hipokrit dan bertindak atas kepentingan politik pihak tertentu sahaja.
'Mereka masih bercerita tentang keamanan apabila
Rumah kedamaian dibedil peluru peperangan...'
Pihak yang berkuasa ini juga melaungkan perjuangan hak asasi manusia padahal mereka merelakan peperangan sehingga banyak nyawa terkorban. Kanak-kanak dan orang tua menjadi korban perang tanpa belas kasihan. Mereka juga kononnya berjuang ke arah kebebasan bangsa yang dijajah namun dalam masa yang sama peperangan terus berlaku. Mereka terus meranapmusnahkan bumi warisan anak-anak cucu generasi dengan toksik, gas, bom atom, bakteria dan nuklear senjata" di bawah panji-panji kemanusiaan sejagat. Persoalan yang menuntut kesedaran yang bukan sedikit daripada setiap insan di dunia ini diperkatakan dalam beberapa buah puisi yang lain seperti, "Warkah dari Bosnia Herzegovina", "Bumimu masih Merah (buat pejuang-pejuang Palestin)", "Dari Jendela Bosnia","Belasungkawa Kosovo" dan "Cerita Sebuah Perang". Puisi "Apabila Kita Bicara" yang akan dibincangkan seterusnya juga bertolak daripada latar yang sama, iaitu tentang soal kemanusiaan. Namun stanza ketiga lebih memikat;
“...Apabila kita bicara
Keadilan di pasar pilih kasih
Pasti yang benar dimangsakan
Pasti yang dusta dimartabatkan
Nyawa bagai disandiwarakan oleh Sang Sutradara
Sebelum plot hayat dileraikan di medan sadis
Pura-pura... "
Dua baris bergaris menyatakan hakikat yang berlaku di depan mata kita. Yang salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Mereka adalah mangsa ketidakadilan dan kepincangan kemanusiaan. ltulah maklumat yang dapat dikutip daripada renungan penyair ini; maklumat yang tidak boleh diabaikan sebaliknya dijadikan teladan. Puisi pendek, disusun dalam enam baris dapat dibaca dengan sekali nafas atau tiga nafas berjudul "Garis" lebih mencabar daya apresiasi khalayak. Hal ini demikian kerana latarnya yang kabur. Namun judulnya menarik khalayak pada makna konseptual, iaitu suatu perjalanan;  yang sukar dan tersasar daripada landasan sebenarnya.
Garis merah pada sketsa maya bercahaya sombong
Mencakar dada tanpa undur
Garis-garis warna bertembung di bucu sketsa
Ada tompok hitam bisu sesal menatap buana setelah
Sekian lama diri hidup dikurung dosa tanpa
Noktah!
Beberapa ungkapan bertindak sebagai kata kunci dan membuka jalan kepada khalayak untuk memahami sebuah segmen kehidupan manusia tanpa arah tujuan. Harapan pertama ialah kepekaan penyair tentang fenomena ini, hal ini menghantui dirinya; 'mencakar dada tanpa undur', kedua; ungkapan 'sesal' yang menjadi titik penentuan, yang berupaya mengubah sikap manusia daripada melakukan kemungkaran dan berpaling pada kebaikan. Jadi paparan manusia dengan perbuatan menghancurkan hidup sendiri memberikan maklumat kepada manusia lain akan baik buruk tindakan tersebut.
2.2). Sorotan Puisi Chai Loon Guan: Paparan Khusus
Puisi-puisi berikutnya dipilih kerana paparan mesej yang khusus, merujuk kumpulan manusia tertentu, dan menceritakan suasana yang tertentu pula. Puisi-puisi ini membawa pernyataan langsung serta lebih mudah difahami.

Bil.
Tajuk
Tema/catatan
1
“Kuali dan Cawan”
Kritik masyarakat – kecenderungan baharu masyarakat Malaysia
2
“Anak Muda Itu”
Kegilaan anak muda masa kini
3
“Warkah Untuk Perempuan”
Ketabahan wanita
4
“Polusi”
Pencemaran alam
5
“Dalam Hujan Yang Menggila”
Antara yang berada dan yang papa
6
“Devadran”
Kemiskinan
7
“Singgah Sebentar di Kuala Lumpur”
Kesibukan kota dan keruntuhan akhlak
8
“Kuala Lumpur”
Kota Kosmopolitan & Kehidupan penghuninya
9
“Memo buat TNB”
Kadar Baharu TNB
10
“Warkah buat YB ”
Harapan pada pemimpin
11
“Manik-manik”
Pengorbanan dan derita wanita

Puisi-puisi yang tersenarai ini kebanyakannya mempamerkan ketidaksenangan hati penyair terhadap banyak perkara buruk yang berlaku dalam masyarakat; daripada golongan pemimpin, para penjawat awam atau yang bekerja sendiri sehinggalah golongan remaja. Tidak ketinggalan tentang pengorbanan wanita yang dianggap remeh oleh kaum lelaki.
Kisah-kisah dalam puisi-puisi berkenaan terasa begitu dekat dengan persekitaran hidup kita seharian. Puisi "Kuali dan Cawan" menyentuh tabiat orang Malaysia yang lebih suka makan di restoran dan hotel yang bertaraf antarabangsa, minum di rest house dan bar berhawa dingin dan dilayan oleh wanita cantik; padahal makanan di sana lebih mahal harganya dan belum tentu lebih enak daripada yang terjual di gerai makan biasa. Fenomena hidup bermewah-mewahan ini menjadi budaya golongan kaya dan pertengahan yang amat merugikan. Jadi, budaya beringat dan berjimat cermat makin terhakis.Tindak tanduk ini tentu saja akan merugikan dan tidak harus diamalkan. Golongan remaja antara yang sangat terjejas dengan fenomena ini. Mereka mudah dipengaruhi oleh budaya luar. Dalam "Anak Muda ltu", CLG menggambarkan tabiat anak muda yang suka membuang masa. Mereka '... lebih rela bertemu di peti lagu/ stesen bas dan pawagam/...di rumah, sang ibu/berdoa syahdu... Mereka juga gemar berfoya di meja snuker/ disko dan rumah kopi/ ...di sekolah/ sang guru menandakan sifar pada jadual/kedatangan.. Maklumat ini menambah kesedaran khalayak, khususnya ibu bapa agar sama-sama prihatin akan gejala yang menular pesat dalam kalangan anak muda masa kini.
"Memo Buat TNB" pula ditujukan langsung pada pihak bertanggungjawab. Isu kenaikan tarif baharu yang mendadak dan menyusahkan masyarakat terbanyak menjadi tumpuan. Antara yang
dikesalkan ialah,
“…sejak zaman LLN
Hingga kini TNB
Kita masih mendengar rentak lagu yang sama
Kita masih menonton aksi sandiwara yang serupa
…ketidakcekapan, sikap sambil
lewa dan kekerapan bergelap
ketika para birokrat dan korporat
bercakap tentang Koridor Raya Multimedia
pada alat canggih sains dan teknologi manusia!
...ada airmata kegelisahan tumpah
Pada sketsa kehidupan para pengguna
Yang terpaksa bergelut dengan virus inflasi dan harga
Hidup yang semakin tinggi dan mahal!
Perubahan pucuk pimpinan atau pertukaran nama organisasi terlibat tidak menjanjikan perkhidmatan yang cekap. Apabila dilaksanakan, siapakah golongan yang paling terbeban? Dalam keadaan belanja hidup yang semakin meningkat, golongan berpendapatan rendahlah yang paling terkesan.
 Terlalu banyak contoh perilaku dan fenomena buruk berlaku dalam masyarakat. Sebahagian masalah tersebut boleh dibendung selagi pihak pemimpin menunjukkan sedikit keprihatinan dan melaksanakan tanggungjawab dengan telus. Hal ini dipaparkan oleh CLG dalam puisinya, "Warkah Buat YB". Puisi ini diungkap dalam nada sinis.
Tahniah, YB
Atas kemenanganmu di medan demokrasi
Biarpun undi majoriti atau minoriti
Kerusi rakyat sudah diduduki
Syabas, YB
Atas kejayaanmu bergelar MP
Di Parlimen Berperlembangaan
Atau ADUN di Dewan Undangan Negeri
Mandat rakyat
Dari kota metropolitan
Dari ceruk rantau pedalaman
Adalah amanah yang tidak boleh
Diperkotak-katikkan.
Kata penyair lagi, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat wajib dilaksanakan sebaik-baiknya; jangan digunakan untuk mengejar nama, memburu kuasa atau mencipta harta untuk diri dan keluarga. Yang lebih penting pembelaan terhadap rakyat jelata; para petani, peladang dan golongan yang berpendapatan rendah. Lihat saja kisah "Devadran", seorang anak miskin berkeurunan India yang buta huruf kerana tidak mampu ke sekolah. Dalam usia muda sudah mula bekerja mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan sampah sarap di sebuah restoran bagi menampung hidup. Devadran berkorban tenaga dan masa untuk persekolahan adik-adiknya;
“…Devadran       
Anak lelaki kecil itu
Semakin dewasa memikul tugas
Semakin sasa mencipta azam
Semakin setia membina iltizam
Di medan kehidupan!

Kisah Devadran adalah secebis kisah penderitaan daripada banyak lagi kisah kemiskinan rakyat. Isu ini merupakan isu yang harus mendapat perhatian daripada semua pihak dalam sesebuah masyarakat. Ironisnya kenapakah isu ini masih terjadi sedangkan negara sudah maju? Persoalan yang lebih serius diperkatakan dalam "Dalam Hujan yang Menggila". Kata penyair, "...kebun, sawah dan ladang/ adalah kosa kata kehidupan/ dalam buku rakyat marhaen/ dalam hujan yang menggila/ dia melihat/ kilat dan guruh maksiat seorang birokrat/...menerangi ruang mewah pangsapuri/ dalam terang/ api rasuah dan pilih kasih penyelewengan berpesta di/ pentas tari sebuah apartmen.../ di sini/ kuasa, seks dan wang ringgit/ adalah sandiwara sebuah drama/ rakyat berdarjat...' Kehidupan olongan kaya yang dan berdarjat memperlihatkan tingkah laku buruk dan persekitaran mereka yang amat menjelikkan. Ketika rakyat bawahan berjuang bermati-matian untuk sesuap nasi, golongan kaya pula berpesta dan bersuka ria dengan wanita dan seks serta pesta tari-menari. Dalam masa yang sama mereka tampil ke tengah masyarakat dengan tingkah laku mulia padahal semuanya untuk kepentingan peribadi.
Selain kisah kemiskinan dan keruntuhan akhlak, masalah pencemaran alam turut diperkatakan oleh CLG. Puisi "Polusi" menampilkan pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan tersebut.  Perlombangan haram didalangi 'tauke perut buncit' dan mengaut keuntungan yang banyak.
'Sungai tenang
Tiba-tiba airnya keruh
...dedaun rapuh dan reranting kering
berkelompok di muara
…tin-tin karat dan botol-botol kaca...
Kamar rimba
Menangis tiba-tiba
Akar-akar reput
Merbau, meranti dan nyatuh rebah
Satu
Satu
Satu...
Sebahagian baris puisi yang disusun dalam satu stanza berjumlah 26 baris ini memperlihatkan kesan aktiviti pembalakan haram yang telah mengorbankan keindahan sungai. Malah struktur tanah di bukit dan gunung yang selama ini menjadi pasak bumi telah dilonggarkan sehingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur sekali gus telah meranamkan khazanah hutan yang sangat berharga yang berusia ratusan tahun. Pohon Merbau, Meranti dan Nyatuh adalah antara khazanah rimba yang tersenarai hanya dalam hutan Malaysia. Haiwan yang hidup bebas di belantara juga terpaksa mencari perlindungan baharu atau terkorban kerana hilang sumber makanan sementara di kota, pencemaran turut berlaku.
Jantung kota
Berdegup kuat tiba-tiba
Penghuninya      
Semakin nipis nafas
Asap polusi kemodenan
Semakin pekat semakin ligat
Mencakar maya
Manusia semakin kehilangan peta!
Pembinaan kilang dan industri terus berleluasa kerana pelaburan antarabangsa. Kehidupan penduduk bandar makin terpinggir. Kemudahan mereka diminimumkan atas dasar pembangunan. Masalah kesihatan dalam persekitaran yang sempit dan kotor makin menjadi-jadi.
Puisi berjudul "Manik-Manik" dan "Warkah Untuk Perempuan" khusus menyentuh kaum wanita. Isu wanita dan kewanitaan sering menjadi tarikan sama ada dalam bentuknya yang baik atau sebaliknya. Isu wanita bukan isu remeh sebaliknya dibincangkan di peringkat dunia. Hal ini demikian kerana wanita amat berperanan dalam masyarakat. Kesejahteraan wanita adalah jaminan kesejahteraan dunia. Apakah yang cuba diperkatakan oleh CLG dalam kedua-dua buah puisi ini? “Manik-manik” memperkatakan  pengorbanan wanita yang bergelar isteri.
'Manik-manik aneka bentuk dan warna
Menghiasi kamar hidup sang isteri...
Tanpa mengira bosan dan payah
..sabar dan tabah..
... manik-manik itu
Adalah airmata deritanya
Dan airmata bahagianya...
"Warkah untuk Perempuan" pula ditujukan kepada gadis yang tabah dan berperibadi, 'yang dimatangkan dengan ilmu, asam garam/ pengalaman dan cabaran/...tabah dan gagah melangkah ke persada kehidupan'. Untuk wanita yang berperibadi dan menjaga tatasusila diri, penyair
mengucapkan tahniah,
Syabas, perempuanku
Kau serikandi harapan
Lincah tabah gagah berani
Mencorakwarnakan sketsa kehidupan diri, keluarga
Dan nusa bangsa!

Perbandingan dua jenis wanita yang ditampilkan dalam kedua-dua buah puisi berkenaan mewakili ribuan wanita yang menderita dan wanita berjaya di luar sana. Bentuk perjuangan dan kejayaannya berbeza namun sumbangan mereka pada masyarakat amat bermakna; antaranya memastikan kesejahteraan keluarga yang daripadanya bakal lahir insan yang berguna.
"Singgah sebentar di Kuala Lumpur" menceritakan ketidakseimbangan pembangunan dengan kesejahteraan rakyat di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang telah dilengkapi bangunan pencakar langit, dan kemudahan kenderaan awam yang canggih. Pemerhatian penyair merentangkan fenomena yang amat memalukan, antaranya
‘...Antara subway Masjid Negara ke subway Daya Bumi
Ada sampah sarap berpesta
Dengan bau hancing kencing
Memenjarakan nafas-nafas wangi kehidupan...
...antara Lorong Haji Taib
Ada sandiwara pelbagai warna
Di pasar tawar-menawar harga
Heroin dan gadis timbul tenggelam dalam gema
Raung
Muzik pasar raya dan disko coffee house... ' Paparan persekitaran dan tingkah laku manusia kota menggambarkan sikap manusia kota yang mementingkan diri sendiri semata-mata. Dalam masa yang sama di manakah pihak berwajib dalam memastikan kebersihan bandaraya Kuala Lumpur? Apakah ada penguatkuasaan dalam memastikan kebersihan di semua tempat awam di kota yang berkenaan? Bagi sebuah negara yang sedang menggandakan usaha menjadi negara pelancongan, bagaimana mungkin isu kebersihan diabaikan? Imej negara perlu diselamatkan. Isu kebersihan bukanlah masalah di bandar Kuala Lumpur sahaja malah menjadi isu yang sudah lapuk yang berlarutan zaman-berzaman. Fenomena keruntuhan akhlak dan pelacuran yang begitu sinonim dengan Lorong Haji Taib turut disentuh. Kehidupan sosial mereka amat menyedihkan; Lelaki, pondan,
gadis lesbian bercampur gaul dalam batas pergaulan yang amat menjijikkan.
Puisi terakhir dalam perbincangan ini berjudul "Kuala Lumpur" yang turut mengutarakan tema yang sama, iaitu ketidakseimbagan pembangunan fizikal dan mental. Kuala Lumpur dianalogikan sebagai 'Sungai tua mengalir lesu' dan 'gubuk tua menanti rebah'. Kuala Lumpur juga ialah 'desa pedalaman yang terasing/ diasingkan oleh hutan batu yang membisu...
‘... Kuala lumpur adalah sketsa penuh warna
Dipayungi kelompok awan-gemawan cemar
Dihambat deras arus canggih dan modenisme
Dibelenggu rantai-rantai materialisme...
Stanza di atas merujuk manusia dan persekitarannya yang amat membimbangkan. Malah inilah segmen kehidupan masyarakat kota yang akan terus dibincangkan dari masa ke masa. Tragedi kehancuran kehidupan masyarakat di kota wajar menjadi agenda semua lapisan masyarakat dan menjadi tanggungjawab sosial bagi semua warga Malaysia.

3. Rumusan:
Sejumlah 23 buah puisi telah disoroti. Citra penyairnya jelas. Hikmah tampilan yang bersifat renungan dan pemikiran yang bersifat sejagat dan bersifat khusus masing-masing dilakar dengan keistimewaannya yang tersendiri. Yang pasti tingkah laku baik buruk manusia dipaparkan dengan jelas, lebih penting daripada itu maklumat tentang manusia dan persekitarannya amat bermakna dan memanfaatkan. Antara persoalan yang diungkapkan ialah hal-hal yang bersangkut paut dengan sosiobudaya; kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Idea utama yang cuba disisipkan dalam setiap puisi yang dihasilkan daripada latar, persepsi, situasi dan emosi yang berbeza.
Pendekatan moral daripada cabang Teori Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang ini telah membuktikan akan sifat didaktik puisi-puisi dalam antologi yang dibincangkan. Hanya pengungkapannya dalam bentuk puisi moden tentu saja tidak menyerlahkan elemen didaktik dalam bentuk yang konvensional. Penelitian terhadap puisi CLG juga memperlihatkan aplikasi objek dan kejadian alam yang mengambil pengalaman hidup; yang mujarad sifatnya. Kesannya ialah manfaat yang dapat dipanjangkan kepada khalayak. Pelbagai ragam hidup manusia telah digambarkan; banyak nilai negatif dan positif yang boleh dijadikan sebagai 'cermin', perbandingan, analogi, serta teladan yang baik; daripadanya dapat ditimba pelbagai pengetahuan dan pengajaran yang
memberikan  kebaikan kepada manusia.
Secara keseluruhannya antologi Di Padang Kehidupan menampilkan tema-tema yang baik. Penulis tidak menemukan bentuk-bentuk puisi yang unik daripada paparan fizikalnya. Susunan diksinya sederhana dan mudah difahami. Keindahan bahasanya juga terkawal namun bagi beberapa puisi yang memperkatakan tema yang menarik, alangkah baiknya jika dimantapkan elemen kejiwaan yang dapat memancing sensitiviti pembaca dan meninggalkan kesan lebih memikat. Kelahiran antologi ini adalah bukti komitmen penyair dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya dan pembabitan serius dalam bidang kebahasaan. Hal ini tentu saja amat membanggakan seluruh warga
Malaysia yang cinta akan bahasa Melayu dan bidang kesusasteraan.

Rujukan:
Chai Loon Guan.2008.Di Padang Kehidupan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Dewan Sastera. Januari 2003. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang.1997.Kritikan Kesusasteraan Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang, et.al. 1985. Mendekati Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Leonard Peter. 1984. Personality and Ideology. London. Macmillan Press.

Perkataan teori berasal daripada perkataan Yunani (therio) yang bererti pemandangan. Ungkapan ini disebarkan melalui bahasa Latin dalam kurun ke-16 yang bermaksud contemplation, speculation and mental view. Teori menurut Kamus Dewan edisi ke 3 bermaksud ; pendapat, pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara atau prinsip-prinsip am atau garis kasar yang menjadi dasar pembentukan serta perkembangan sesuatu pengetahuan atau asas atau amalan yang bukan merupakan amalan biasa Unsur dalaman ini juga kompleks sifatnya kerana setiap satu perlu difahami akan fungsi dan maknanya.Tahap dan keupayaan seseorang penyair untuk berimaginasi dan berpesepsi umpanya berbeza antara seorang penyair dengan penyair yang lain. Oleh itu kajian dan penelitian terhadap puisi moden lazimnya merujuk seseorang penyair secara individu.

No comments: