Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, April 13, 2016

ANGPAU



ANGPAU dari PERSPEKTIF MASYARAKAT TIONGHOA
oleh Chai Loon Guan

Seperti perayaan-perayaan utama yang lain, Tahun Baharu Cina tetap disambut pada setiap tahun, yakni antara 21 Januari dengan 20 Februari menurut takwim masyarakat Tionghoa, Nong Li atau takwim petani. Yang pasti setiap kali Tahun Baharu Cina (TBC), sampul angpau akan diberikan tanpa gagal. Lazimnya, dalam kalangan masyarakat Tionghoa dan barangkali sesetengah masyarakat Asia Timur, angpau, laisee, ya sui qian atau hongbao merupakan cenderamata berbentuk wang yang diberikan atau dihulurkan pada musim percutian, meraikan sambutan atau perayaan khas seperti hari perkahwinan, hari pengijazahan, hari kelahiran selain TBC.

        Angpau bermula pada zaman Dinasti Sung di China. Kononnya, sebuah perkampungan yang bernama Chang-Chieu telah diancam oleh raksasa, Nian. Tiada orang yang mampu menewaskan raksasa tersebut biarpun dalam kalangan wirawan atau negarawan. Walau bagaimanapun, hadir seorang anak yatim yang bersenjatakan pedang sakti warisan leluhurnya telah berjaya menewaskan dan membunuh raksasa tersebut. Kejayaan anak muda itu telah membangkitkan kegembiraan dan kebanggaan penduduk setempat sambil menghadiahi pemuda itu sampul berwarna merah yang berisikan wang sebagai tanda penghargaan. Sejak peristiwa itu, angpau menjadi sebahagian daripada amalan tradisi masyarakat Cina.

        Warna merah pada sampul pula melambangkan nasib baik dan bertindak sebagai pengusir roh jahat. Kelazimannya, sampul angpau diberikan oleh pasangan yang sudah berumah tangga kepada yang masih bujang tanpa mengira usia, tua atau muda pada musim percutian dan perayaan-perayaan utama masyarakat Cina. Imej yang terpapar pada kulit depan sampul bermaksud ucap selamat atau dirgahayu kehidupan, dikurniai kemakmuran dan kesihatan yang baik dan berpanjangan selagi hayat dikandung badan. Imej-imej seperti bunga teratai, naga, cenderawasih, zodiak dua belas binatang, nanas keemasan, Buddha dan kanak-kanak turut menghiasi sampul angpau mutakhir.

        Pada kebiasaannya, jumlah wang di dalam sampul angpau berangkakan nombor genap. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, wang yang berjumlahkan angka ganjil boleh diasosiasikan dengan unsur kematian atau perkabungan. Namun begitu, di sesetengah daerah kediaman di Tanah Besar China, jumlah wang yang berangkakan nombor ganjil turut diberikan, terutamanya dalam majlis perkahwinan agar wang pemberian tersebut tidak mudah dibahagikan. Wang pemberian juga tidak harus diberikan bermulakan angka empat atau berjumlahkan empat puluh, empat ratus dan empat ratus empat puluh empat kerana angka empat sering dihubungkaitkan dengan homofon bahasa Cina, iaitu mati atau berkait rapat dengan kematian.
       
        Yang jelas, jangan sekali-kali kita menyediakan wang bersampul putih. Lazimnya, wang yang bersampul putih atau "Pak Kum" merupakan wang pemberian untuk peristiwa-peristiwa yang sedih seperti kematian dan pengebumian. Oleh itu, masyarakat bukan Cina haruslah berhati-hati ketika mahu menghulurkan wang pemberian ikhlas, khususnya wang yang bersampul putih. Sebaliknya, dalam majlis perkahwinan, jumlah wang angpau yang diberikan bertujuan untuk meringankan beban tanggungan sekali gus melambangkan kebahagiaan kepada pasangan pengantin.

        Angpau juga digunakan sebagai tanda pembayaran ikhlas kepada perkhidmatan yang telah diberikan seperti upah pertunjukan tarian singa, tarian naga, perkhidmatan pendakwah agama, guru dan doktor. Budaya pemberian angpau sama ada yang berjumlah besar atau yang berjumlah kecil masih diamalkan pada zaman teknologi digital mutakhir. Selain mengambil maklum pantang-larang pemberian "angpau", wajarlah kita sama ada berperanan sebagai pemberi atau penerima angpau, mengambil daya usaha untuk menelusuri dan menghayati makna tersurat dan tersirat di sebalik pemberian "angpau" dalam kehidupan masyarakat Cina di Malaysia, khasnya dan masyarakat Cina di perantauan amnya, khususnya dari aspek nilai dan pengajaran serta  keunikan dalam kemajmukan budaya masyarakat berbilang ras, agama dan latar belakang di negara kita pada hari ini.

GONG XI FA CAI
(...bersempena dengan zodiak monyet)

kuaci
limau mandarin
mercun
nian gao
kuih kapit
bunga api
angpau
mengalu-alukan ketibaan
Tahun Baharu
ah, kenangan indah
mengusik kalbu
kisah muhibah
Ah Seng, Ali dan Mutu
biarpun sudah dipanjat usia
kembali bermukim nostalgia
musim perayaan
di buana kehidupan

2016
datang lagi
tahun baharu
tekad baharu
azam dalam iltizam
setahun lagi kehidupan
setingkat lagi kemajuan

mari, marilah kita
rapatkan barisan
eratkan persahabatan
tingkatkan perpaduan
perkasakan kemanusiaan
bersatu kita
membina kesejahteraan
bersatu kita
membina kemakmuran
bersatu kita
membina kecemerlangan
bersatu kita
membina kebahagiaan
berpelangikan kesetiakawanan
berpaksikan kesepakatan
silaturahim
nusa bangsa Malaysia!
gong xi fa cai

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

No comments: