Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, August 31, 2015

Semarak Bahasa Kebangsaan Kg. Baru Behrang Stesen




Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen 2015
oleh Chai Loon Guan

          Bahagian Kampung Baru, Jabatan Perdana Menteri, melalui JKKK Kampung Baru Behrang Stesen dengan kerjasama intim Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya menganjurkan Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen 2015 pada 29 Ogos 2015 (Sabtu) bertempat di Dewan Majlis Daerah Tanjong Malim Behrang Stesen. 

          Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru yang julung-julung kali diadakan di pekan kecil  Behrang Stesen ini telah berjaya menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum (Cina, Melayu, India, Orang Asli) di pekan Behrang Stesen dan kampung-kampung yang berdekatan. Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen merupakan projek perintis Bahagian Kampung Baru, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama intim DBP bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan (BM) di samping mengeratkan tali silaturahim masyarakat melalui wahana bahasa Melayu sekali gus mendokong usaha Bahagian Kampung Baru, JPM dan DBP untuk mempertingkatkan dan menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat marhaen pelbagai ras, budaya dan agama di peringkat akar umbi.


          Majlis pembukaan rasmi program telah disempurnakan oleh YB Dato' Dr. Mah Hang Soon, DPMP, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru, Perak Darul Ridzuan. Antara acara yang telah dijalankan pada sebelah pagi ialah permainan dam dewasa, pertandingan susun kad kata, pertandingan bercerita, deklamasi sajak Hari Kebangsaan dan pertandingan mewarnai lukisan. Sambutan cukup menggalakkan daripada murid-murid tadika (prasekolah), SJKC dan SJKT (Tahap 1 dan Tahap 2) Behrang Stesen, Behrang Ulu, Slim Village dan Tg. Malim, SMJK Katholik Tg. Malim dan orang dewasa. Para audiens dan masyarakat setempat turut dihiburkan oleh persembahan nyanyian dan tarian klasik, Sewang, masyarakat Orang Asli Kampung Chinggong, Behrang Ulu.


          Majlis penutupan rasmi program pada sebelah petang dan malam hari pula telah disempurnakan oleh YB Dato' Rusnah bt. Kassim, DPMP, PPMP, KMN, PPT, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunanan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perak Darul Ridzuan. Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abang Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. En. Chong Ka Foo, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kampung Baru, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Encik Abdul Wahab bin Hamzah, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, DBP, Ahli Majlis MDTM, Pegawai Kemajuan Perkampungan Baru Slim River, pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan, MMS, Munsyi Dewan (Bahasa), pegawai DBP dan masyarakat setempat. Acara penutupan rasmi telah diserikan oleh persembahan deklamasi sajak, SEHATI SEJIWA oleh Encik Chai Loon Guan, penyair bukan Melayu Perak Darul Ridzuan (Munsyi Dewan), peragaan aneka pakaian kebangsaan dan pertandingan nyanyian (karaoke) lagu-lagu Melayu dan cabutan bertuah. 

Sesungguhnya, kejayaan dan kecemerlangan penganjuran program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen jelas membuktikan bahawa bahasa kebangsaan diterima dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, dan seterusnya mampu berperanan sebagai wahana perpaduan nasional sekali gus menjadi penanda aras penganjuran kepada JKKK Kampung Baru di seluruh negara pada masa-masa yang akan datang. Bahasa Jiwa Bangsa.
Chai Loon Guan, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sunday, August 30, 2015

Gaya Bahasa dalam cerpen MUNSYI

30 Ogos 2015, Ahad:
Selamat malam, Tg. Malim.
Makalah "Gaya Bahasa dalam cerpen Munsyi" dalam majalah Pelita Bahasa September 2015.
Selamat Hari Kebangsaan Malaysia. Sehati, Sejiwa.

Semarak Bahasa Kebangaan Kampung Baru

Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen pada 29 Ogos 2015 
di Dewan MDTM Behrang Stesen. Bahasa Jiwa Bangsa.

Wednesday, August 26, 2015

Skrip Pidato BM T3



CERAMAH

        Selamat pagi kepada YBrs. Pn. Teng Siew Bee, Pengetua, SMJK Katholik, Tg. Malim, barisan pentadibir, guru-guru dan murid-murid di SMJK Katholik Tanjong Malim yang dikasihi sekalian. Sebagai seorang sukarelawan alam sekitar, saya berasa amat bangga dan teruja kerana diberi peluang dan kesempatan untuk menyampaikan ceramah di dalam dewan yang mulia ini. Saya akan berbicara tentang kebaikan amalan kitar semula.
       Belakangan ini, amalan kitar semula ini hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat, media massa  dan pemimpin masyarakat di seluruh negara. Antara perkara utama yang disentuh ialah usaha-usaha untuk menyedarkan rakyat tentang kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan kita sehari-hari. Namun, saya amat pasti bahawa sebilangan besar masyarakat Malaysia masih kurang sedar akan kepentingan kitar semula. Sebenarnya, kitar semula ialah proses mengolah bahan buangan semula untuk menghasilkan barangan yang baharu. Amalan kitar semula sebenarnya banyak memberikan kebaikan kepada kita sekiranya dilaksanakan dengan kerjasama dan iltizam semua pihak, termasuk masyarakat setempat.
       Pertama sekali, amalan kitar semula dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada kelakuan masyarakat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat, membakar sampah, mencemarkan sungai dan laut. Bahan-bahan buangan yang dikumpulkan di pusat pengumpulan akan dihantar ke kilang-kilang untuk diproses semula. Melalui proses ini, kos pengeluaran dapat dijimatkan. Bahan-bahan yang boleh dikitar semula termasuklah kaca, kertas, plastik,  tekstil dan sebagainya.
       Seterusnya, amalan kitar semula berdaya mampu untuk mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu dan menjimatkan tenaga. Oleh itu, kita dapat menjimatkan sumber alam yang semakin berkurang dan terancam. Contohnya, pokok  telah ditebang untuk dibuat kertas. Sebaliknya, jika kita mengamalkan program kitar semula, saya amat percaya bahawa masalah pencemaran dan pembalakan haram dapat ditangani sekali gus  mengelakkan kepupusan hutan.
       Bahan-bahan kitar semula juga boleh dijual untuk menambah rezeki. Program ini turut memberikan pendapatan tambahan kepada golongan miskin secara tidak langsung. Wang perolehan tambahan dapat ditabung oleh mereka untuk kegunaan masa depan atau membeli barang-barang keperluan utama mingguan. Walaupun jumlah pendapatannya sedikit namun tabungan tersebut akan meningkat dalam jangka masa panjang, bak kata peribahasa Melayu, sedikit­-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Sesungguhnya, amalan kitar semula juga dapat membuka peluang pekerjaan untuk masyarakat bekerja di kilang kitar semula.
       Selain itu, amalan kitar semula dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat seperti berjimat-cermat, sayang-menyayangi dan menghargai alam sekitar. Jika kita mencintai alam sekitar, maka bumi akan menjadi lebih bersih dan kesihatan kita pula akan terjamin.
       Sesungguhnya, amalan kitar semula perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bantu-membantu bagai aur dengan tebing untuk menjayakan aktiviti kitar semula sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan cinta akan alam sekitar. Salam Sehati Sejiwa.
Sekian, terima kasih.

CHUA MAY XIN, TINGKATAN 3, SMJK KATHOLIK, 35900 TG. MALIM, PERAK DARUL RIDZUAN.

Tahniah, YB Dato' Rusnah bt. Kassim!


Sajak - SEHATI SEJIWA



SEHATI SEJIWA

lahir
sebuah negara bangsa
atas darah, sumpah setia
wira perkasa
atas keringat, air mata
serikandi berjasa
atas kental cekal, cendekia bitara
negarawan bijaksana
di buana siasah

penjajah, kita banteras
seteru, kita berantas
tanpa waswas
demi nusa bangsa tercinta

merdeka kita
atas azam iltizam
merdeka kita
atas gagasan wawasan
melahirkan bangsa cemerlang
merealisasikan nusa terbilang
tujuh petala langit
tujuh petala bumi
tanah ibunda tercinta
merdeka kita, sebenarnya
bersendikan sepakat 
bertunjangkan muafakat 
umat
sehidup semati
membina rumah aman
membina rumah insan
membina rumah sejahtera
membina rumah bahagia
rumah muhibah rumah musyawarah
rumah amanah

sederap anak-anak bangsa
memikul kewajiban mendepani cabaran
membangunsejahterakan bangsa
memajumakmurkan nusa
tanpa duka lara derita
tanpa luka noda sengketa
seiring sejalan
seia sekata
sehati sejiwa
demi tanah air tercinta
demi tanah air sentosa
dirgahayu, Malaysiaku!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.
(Hak cipta terpelihara@CLG26082015)

Catatan:
Sajak "Sehati, Sejiwa" telah dideklamasikan oleh penyajak (CLG) bersempena dengan Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Behrang Stesen pada 29 Ogos 2015 dan Majlis Penghargaan Penulisan Bahasa Kebangsaan Penulis Tionghoa pada 17 September 2015 di Dewan Bankuet, Aras 1, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.

Tuesday, August 25, 2015

Antologi Sajak - Cerpen CLG 2015

NOSTALGIA:
Program Pengkarya Guru Siri 3/2015 - MBKM, KPM:
Sesi autograf bersama dengan penulis CLG pada 21 - 24 Mei 2015 di Ibis Styles Kuala Lumpur Cheras.

Monday, August 24, 2015

Cerpen BM SPM T5


PENANGGUNGAN (Wijaya Mala)
SINOPSIS
Kapten Mamat menanggung penyesalan atas tragedi maut yang meragut nyawa Baharum, seorang kelasi kapal. Ekoran itu, Masnah janda Baharum terpaksa menanggung penderitaan hidup kehilangan suami serta perlu membesarkan dua orang anaknya. Kapten Mamat cuba menenangkan perasaan Masnah dengan mengandaikan segala yang berlaku perlu ditanggung kerana sudah ketentuan Tuhan.
TEMA
Tanggungjawab pada amanat kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Kapten Mamat dan Masnah atas ketentuan Ilahi. Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kematian Baharum, suami Masnah. Baharum yang menjadi kelasi kapal yang diketuai oleh Kapten Mamat telah meninggal dunia kerana terjatuh dari atas tiang agung ke atas geladak. Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kehidupan Masnah dan dua orang anaknya setelah kematian Baharum. Masnah terpaksa bertanggungjawab terhadap kehidupan diri dan dua orang anaknya setelah kehilangan suaminya.
PERSOALAN
Kesengsaraan hidup janda setelah kematian suami. Masnah terpaksa mengharungi kehidupan tanpa seorang suami.
Rasa bersalah yang menghantui jiwa. Kapten Mamat rasa bersalah kerana Baharum, suami Masnah telah menemui ajal di atas kapal yang diterajuinya.  
Simpati atas penderitaan hidup orang lain. Isteri Kapten Mamat simpati akan penderitaan yang ditanggung oleh Masnah setelah kehilangan suami.
Keredhaan menghadapi ketentuan Tuhan. Masnah akhirnya reda dengan ketentuan Tuhan, iaitu setiap  yang hidup pasti akan mati.
PLOT
Secara keseluruhannya, plot drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
Permulaan
Plot dimulakan dengan memperkenalkan Kapten Mamat yang sedang duduk berehat di rumahnya ketika cuaca panas terik dengan tidak berbaju sambil terkenang akan peristiwa kematian Baharum, seorang kelasi yang terjatuh dari atas tiang geladak lalu terhempas ke petak besi dan mati serta-merta.
Perkembangan
Kapten Mamat terus mengimbas kembali suasana ketika tragedi itu berlaku. Dia terkenang akan anak-anak yang menjadi yatim dan isteri yang menjadi balu, terutamanya isteri Baharum. Dia juga mengimbas kembali saat-saat getir ketika menjalankan tugas syarikat semasa menjadi Kapten kapal. Tiba-tiba dia dikunjungi oleh Masnah dan anaknya. Bahar masih merengek-rengek bertanyakan hal ayahnya yang sudah meninggal dunia sambil dipujuk oleh Masnah. Keadaan anak Masnah yang sedang menangis itu cukup menyentuh hati lelakinya.
Konflik
Pada peringkat ini konflik timbul akibat Kapten Mamat yang cuba menasihati dan memberikan motivasi kepada Masnah agar jangan terlalu mengikut perasaan sedih setelah kematian suami kerana nasibnya sedang diperjuangkan oleh kesatuan. Ketika dialog berlangsung, Masnah menegaskan bahawa dia tidak mahu anak-anaknya bekerja di atas kapal seperti bapa mereka.
Klimaks
Percakapan antara Kapten Mamat dan Masnah telah memberikan tekanan terhadap dirinya sehingga dia telah pitam tambahan pula dalam cuaca yang panas terik ketika itu. Keadaan agak cemas namun Kapten Mamat berjaya memulihkan Masnah berdasarkan pengalamannya ketika mengemudi kapal walaupun Masnah pulih buat sementara waktu.
Peleraian
Peringkat peleraian berlaku selepas Masnah sedar daripada pitam dan Kapten Mamat berjanji untuk membela nasibnya di samping menasihatinya agar membuat pemeriksaan doktor. Masnah pula menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung dan digambarkan bahawa dia mula menerima takdir Tuhan.

Latihan
1.       Apakah perasaan Kapten Mamat terhadap Masnah dan anak-anaknya selepas kematian Baharum?
2.       Pada pendapat anda, wajarkah Masnah terus bersedih atas kematian suaminya dan tindakan yang sepatutnya diambil olehnya.
Jawapan
1. Kapten Mamat berasa amat terharu dan penuh simpati terhadap Masnah dan anak-anaknya selepas kematian Baharum. Dia berjanji akan membela nasib mereka selagi masih hdup dan menasihati Masnah agar belajar menghadapi kenyataan yang  suaminya sudah meninggal dunia.
2. Pada pendapat saya, Masnah tidak wajar terus bersedih atas kematian suaminya kerana dia perlu meneruskan hidupnya agar  masa depannya dan anak-anak cerah dengan mencari pekerjaan. Masnah perlu mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar memperoleh bantuan kebajikan sekali gus nasib mereka lebih terbela.