Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, July 31, 2015

DURI vs DURIAN dalam Peribahasa Melayu



Duri dan Durian dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan.


        Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2007), kosa kata "duri" bermaksud bahagian tajam yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan atau binatang. Duri juga bererti kesusahan atau kesukaran yang dihadapi, sejenis tumbuhan (pokok renek), akar bedara laut (randia fasciculata) selain merupakan sejenis ikan laut (ketengus typus). Daripada kosa kata "duri" pula maka terbitlah perkataan-perkataan seperti berduri, berduri-duri, dan menduri.

        Kata nama am, durian pula merupakan sejenis tumbuhan (pokok yang buahnya berkulit tebal dan berduri), durio spp, termasuklah durian api, durian daun, durian tanah (durio macrophyllus), durian burung, durian hutan, durio pinangianus, durian belanda, durian mekah, annona muricata, durian laut, dungun, dan durian tembaga. Belakangan ini, para penggemar durian tempatan dan wisatawan asing dapat juga menikmati durian berjenama Mao Shan Wang (Rajah Kunyit, Musang King), D101, D24, XO, D13, Jin Feng (Golden Phoenix), D88, Hong Xia (Red Prawn),  Qing Zhu (Green Bamboo) dan Hei Zhen (Black Pearl) sama ada di inap desa pelancongan, resort durian, atau di dusun-dusun durian di seluruh negara, termasuklah Bentong, Pahang Darul Makmur, Gopeng dan Sungkai, Perak Darul Ridzuan, Pulau Pinang dan Johor Darul Takzim.

        Durian juga dipercayai mampu mengurangkan beban penyakit insomnia, mengelakkan osteoporosis, kanser dan anemia, mengawal tekanan darah tinggi, mengukuhkan kesihatan kardiovaskular dan pemangkin awet muda.

        Yang menariknya, kedua-dua kosa kata tersebut, yakni duri dan durian turut tersenarai dalam sebilangan banyak peribahasa Melayu sekali gus menambahkan khazanah bahasa dan susastera Melayu di alam sarwajagat ini. Peribahasa yang telah dapat dikenal pasti berkaitan dengan kosa kata "duri" dan "durian" adalah seperti yang berikut:

Duri dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Duri di hutan siapa pertajam
Kekuasaan Tuhan itu tdak ada batasnya.
02.
Adakah duri dipertajam
Perselisihan tidak perlu diruncingkan lagi.
03.
Bagai duri dalam daging
Hal yang selalu menyusahkan orang
04.
Air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam
Terlalu bersedih hati.
05.
Duri hati
Marah.
06.
Duri landak
Kecil lagi runcing.
07.
Duri sebatang terbuang
Miskin tapi tidak ada hutang.

Durian dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak
Sudah berantara atau berjarak seperti saudara yang telah jauh.
02.
Dapat durian runtuh, durian runtuh
Mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau dengan tidak bersusah payah.
03.
Masak durian, masak manggis
Perempuan biasanya lebih teguh menyimpan rahsia daripada lelaki.
04.
Seperti durian menunjukkan pangsa
Orang yang gemar menunjukkan kebesaran dirinya.
05.
Seperti mentimun dengan durian
Orang yang lemah, (bodoh atau miskin) melawan orang yang kuat, (cerdik, kaya).
06.
Durian dan mentimun; menggolek kena, kena golek pun kena
Orang lemah apabila berkonflik dengan orang berkuasa sentiasa susah.
07.
Durian masak berbau, manggis masak tak berbau
Perempuan lebih pandai menyimpan rahsia daripada lelaki.
08.
Durian, pangsa menunjukkan bangsa
Perangai dan bahasa menunjukkan asal usul.
09.
Durian seambung dengan timun
Apabila orang kuat dan jahat bergaul dengan orang lemah dan baik, yang baik akan binasa.
10.
Durian tembaga
Durian yang isinya berwarna kuning perang.

        Sebagai latihan pengayaan dan pengukuhan, latihan pembinaan ayat yang gramatis berdasarkan kosa kata duri, berduri, berduri-duri, menduri dan durian boleh diberikan kepada murid-murid selain latihan berkumpulan di dalam bilik darjah, yakni murid-murid berbincang, mengenal pasti dan mencari makna peribahasa berasaskan kosa kata "duri" dan "durian". Benarkah, bagi sesetengah insan, duri amat melukakan, aroma durian  pula amat mengasyikkan? Tepuk dada, tanyalah selera masing-masing! Bahasa Jiwa Bangsa.

Bibliografi:
Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007
Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan PTS Consultants Sdn. Bhd., 1993.

SANJUNGN BUDI, LAMBAIAN KASIH JPN PERAK 2015

Majlis "SANJUNGAN BUDI, LAMBAIAN KASIH", Jabatan Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 11 OGOS 2015 (Selasa) di Hotel Tower Regency Ipoh, Greentown, 30450 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

LADAP di SMK Khir Johari, Tg. Malim

30 Julai 2015, Khamis:
Selamat petang, Tg. Malim, Daerah Mu'alim.
Penulis sedang menelusuri dan menghalusi bahan ceramah, yakni Slot Penulisan Kertas Kerja dan Minit Mesyuarat (Microsoft Office Powerpoint), LADAP anjuran SMK Khir Johari, Tg. Malim dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia kepada guru-guru dan kakitangan (100 - 125 orang) SMK Khir Johari, Tg. Malim menjelang 8 OGOS 2015. Bahasa Jiwa Bangsa. Perak EXcellent!

Undangan HAG MES Tg. Malim 2015

Terima kasih SMK Methodist, Tg. Malim atas jemputan dan ingatan. Selamat Hari Anugerah Gemilang 2015!

DURIAN

1 OGOS 2015, Sabtu:
Selamat pagi, Tg. Malim, Daerah Mu'alim.

DURIAN - sejenis tumbuhan (pokok yang buahnya berkulit tebal dan berduri), durio spp. Ada durian api, durian daun, durian tanah, durian burung (durio macrophyllus), durian hutan (durio pinangianus), durian belanda, durian mekah (annona muricata), durian laut, durian tembaga.
PERIBAHASA - beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak (sudah berantara atau berjarak seperti saudara yang telah jauh), dapat durian runtuh (mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau dengan tidak bersusah payah, masak durian, masak manggis (perempuan biasanya lebih teguh menyimpan rahsia daripada lelaki), seperti durian menunjukkan pangsa (orang yang gemar menunjukkan kebesaran dirinya), dan seperti mentimun dengan durian (orang lemah, bodoh atau miskin) melawan orang yang kuat (cerdik, kaya).

(Sumber: Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007)

Bengkel Penggubalan Bahan Penilaian Tokoh Nilam



Berita untuk Pelita Bahasa
BENGKEL PENGGUBALAN BAHAN PENILAIAN TOKOH NILAM
oleh Chai Loon Guan, MD (Bahasa)

          Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan (BTPN Perak) telah mengambil daya usaha proaktif untuk mengadakan Bengkel Penggubalan Bahan Penilaian Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun pemilihan 2015/2016.

          Sebanyak 30 orang peserta, termasuk urus setia telah berbengkel selama tiga hari dua malam di Hotel Tower Regency Ipoh pada 28 - 30 Julai 2015. Para peserta yang terdiri daripada guru pakar, Jurulatih Utama, SISC+, hakim pertandingan dan Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi peranan dan amanah untuk menghasilkan soalan-soalan model yang merangkum Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi kedua-dua kategori, iaitu kategori sekolah rendah dan kategori sekolah menengah bersertakan skema jawaban untuk kemudahan dan rujukan para hakim menjelang pemilihan peringkat negeri yang dijadualkan pada akhir September dan awal Oktober 2015.

          Yang Berbahagia Dr. Suhaimi bin Kadir, Ketua Penolong Pengarah, BTPN Perak Darul Ridzuan telah sudi melapangkan masa untuk menyempurnakan majlis penutupan bengkel dan penyampaian sijil. Dalam majlis tersebut, beliau amat berharap agar hasil perbengkelan ini (soalan-soalan model berteraskan KBAT) dapat digunakan untuk menguji, mengenal pasti dan menobatkan calon Tokoh Nilam Negeri Perak 2015/2016 sekali gus berdaya saing di peringkat kebangsaan sejajar dengan rekod pencapaian Tokoh Nilam Negeri Perak pada tahun-tahun sebelumnya. Iltizam BTPN Perak dan kesungguhan para ilmuwan dapat mencemerlangwangikan negeri Perak Darul Ridzuan di persada Nilam Kebangsaan sekali gus merealisasikan gagasan dan wawasan "Perak EXcellent", Jabatan Pendidkan Negeri Perak Darul Ridzuan. Salam Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

Sunday, July 26, 2015

Metafora, SB dan Ayat Pasif dalam Cerpen MUNSYI



Gaya Bahasa Metafora, Simpulan Bahasa dan Ayat Pasif Diri Pertama dalam Cerpen MUNSYI oleh Chai Loon Guan

Pendahuluan

          Bidalan Melayu, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga bermaksud kalau tidak cukup syarat, jangan dibuat apa yang tidak terdaya. Begitulah, nasib sang pengembara atau musafir dari desa pedalaman sekiranya menyimpan hasrat untuk mengembara dan mencari nafkah hidup di kota metropolitan. Sebelum berhasrat, adalah lebih selamat dan bermanfaat, sekiranya sang pengembara atau peraih rezeki yang ingin berhijrah ke kota menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin selain diperkuat oleh ilmu agama, bahasa, budaya dan jati diri supaya tidak teroleng-oleng dipukul badai samudera kota yang menduga kehidupan insan di buana sarwajagat ini. Demikianlah, mesej yang ingin disampaikan oleh cerpenis terkenal tanah air, Husna Nazri dalam cerpen MUNSYI yang terpilih sebagai teks bacaan wajib Komponen Sastera BM Tingkatan 4 mulai 2015.

Sinopsis Cerpen Munsyi
         
          Watak saya, Mel meluahkan hasrat untuk berhijrah ke kota. Hal ini membimbangkan bondanya. Bonda bimbang kalau-kalau Mel mudah hanyut dibawa arus hedonisme (pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup) dan modenisme (pemikiran cara moden) kota lantaran kecetekan ilmu agama, bahasa ibunda dan budaya nenek moyang yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

          Bonda sempat menasihati Mel tentang agama dan bahasa nenek moyang, yakni kedua-duanya warisan yang masih terpelihara. Jika agama dan bahasa hilang, maka akan lahirlah generasi yang dilaknati Tuhan. Kata bonda lagi, kota besar yang sudah kehilangan nilai-nilai tradisinya itu, dibangunkan oleh kempen dan slogan yang sarat dengan api prasangka dan runcing prejudis para warganya yang berlainan kaum dan latar belakang. Manusia kota telah dipisahkan oleh benteng-benteng ketaksuban dan kepentingan diri serta identiti masing-masing.

          Mel teringat akan cerita bonda tentang sejarah hitam dekad lampau, iaitu 13 Mei 1969. Akibat sistem pecah dan perintah penjajah, meletuslah tragedi sengketa dan rusuhan kaum. Jadi, Mel bertekad untuk mendalami ilmu, menelusuri teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta menimba pengalaman di desa halaman sebelum berhijrah ke kota yang senantiasa diancam gelora itu. Hak dan maruah, nilai sejarah, roh patriotisme dan jati diri perlu dipertahankan untuk mendepani cabaran globalisasi.

          Sebelum bertolak ke kota, bonda mahu Mel menyerahkan naskhah-naskhah kitab lama, khazanah nenek moyang kepada Munsyi, seorang sahabat lama bonda. Hasrat bonda itu dapat ditunaikan oleh Mel. Minggu-minggu pertama di kota mewah, Mel dapat menyaksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsa. Mereka hanyut dalam keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Tercemarlah bahasa ibunda dan agama murni. Anak-anak muda berpelesiran dalam arus kemunduran sehingga hilang identiti dan jati diri.

          Pada suatu hari, Mel terhidu akan perkhabaran, yakni kampung Munsyi akan dirobohkan dan dibangunkan bangunan mewah serta hotel yang bertaraf lima bintang. Mel tercari-cari akan Munsyi. Mel bimbang akan puluhan buku lama bonda. Yang teramat sedih dan pilu, satu-satunya tanah rizab milik bangsanya di kota besar itu akan berpindah tangan kepada saudagar asing yang rakus. Dalam kehilangan itu, Mel masih tercari-cari akan Munsyi, pejuang bahasa ibunda tua yang sudah menghilangkan diri.

Tema:
Semangat cinta akan agama, bangsa, bahasa, dan budaya yang tersemai dalam jiwa raga warganegara.

Persoalan:
a. Usaha menghidupkan roh patriotisme dan jati diri dalam jiwa anak-anak muda.
b. Harapan warga tua agar agama, bahasa, budaya, dan adat resam turun-temurun dipertahankan.
c. Kecenderungan anak-anak muda melupakan dan memperlekeh bahasa dan budaya sendiri.
d. Kesan penjajahan kepada penduduk peribumi.
e. Kehidupan kota yang penuh dengan pelbagai cabaran.

Metafora dalam Cerpen MUNSYI

Bil.
Metafora
01.
Cermin maruah
02.
Api prasangka
03.
Benteng-benteng ketaksuban
04.
Parut luka sentimen
05.
Sejarah suram
06.
Duka angkara
07.
Benih penjajah
08.
Racun perkauman
09.
Api pergolakan
10.
Udara kemerdekaan
11.
Benteng perkauman
12.
Gelanggang pertumpahan darah
13.
Pagar-pagar perkauman
14.
Gelora kota
15.
Akal kebijaksanaan
16.
Roh patriotisme
17.
Wacana penghubung

Simpulan Bahasa dalam Cerpen MUNSYI

Bil.
Simpulan Bahasa
Makna
01.
Harga diri
Maruah
02.
Setahun jagung
Tiga atau empat bulan, masih muda
03.
Bahasa ibunda
Bahasa sendiri
04.
Tanah air
Negara tempat kelahiran
05.
Besar hati
Bangga
06.
Sekelip mata
Sekejap
07.
Bahasa Jiwa Bangsa
Bangsa terkenal kerana mempunyai bahasa yang berdaulat

Pola Ayat Pasif Diri Pertama dalam Cerpen MUNSYI

Bil.
Ayat Pasif Diri Pertama
01.
Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu.
02.
Saya batalkan keinginan meruap-ruap dalam diri saya untuk mencari pengalaman baharu sebagai warga kota.
03.
Perkataan-perkataan yang tertulis dalam tulisan Jawi lama itu masih mampu saya baca dan fahami walaupu agak perlahan.
04.
Saya selusuri bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dengan rasa besar hati.
05.
Saya perlukan kerjaya yang terjamin dan ekonomi yang stabil untuk merancang kehidupan masa depan saya.
06.
Minggu-minggu pertama saya berada di kota mewah ini, dapat saya saksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsa saya.
07.
Saya hayati cerita bonda tentang sejarah yang hampir memusnahkan negara ini.

Latihan Pembelajaran dan Pengajaran di dalam Bilik Darjah

1. Kenal pasti dan senaraikan lima metafora dalam cerpen MUNSYI.

2. Berpandukan kamus peribahasa, cari makna simpulan bahasa yang berikut:
    a. Harga diri
    b. Setahun jagung
    c. Tanah air
    d. Sekelip mata
    e. Bahasa Jiwa Bangsa

3. Berpandukan frasa pasif (KGND Pertama) yang berikut, murid diminta membina ayat pasif (KGND I).
    a. dapat saya saksikan
    b. masih mampu saya baca
    c. belum kamu jelaskan
    d. akan kita bincangkan
    e. telah kami bereskan

Penutup

          Sebenarnya, teks cerpen MUNSYI boleh kita jadikan bahan pembelajaran dan pengajaran (pemudahcaraan) Bahasa Melayu yang berkesan di dalam bilik darjah. Seusai menelusuri sinopsis cerpen Munsyi, dengan bantuan dan khidmat nasihat guru, murid-murid dapat menimba ilmu dan pengalaman selain dapat mengenal pasti dan menyenaraikan gaya bahasa metafora, mencari makna simpulan bahasa dan membina ayat pasif KGND Pertama. Yang jelas, guru yang kreatif dan inovatif mampu menggunakan teks KOMSAS, khususnya cerpen dalam pembelajaran dan pengajaran BM, khususnya mengajarkan aspek tatabahasa, gaya bahasa dan sintaksis dalam bahasa Melayu selain menyemaikan nilai-nilai murni di hati sanubari murid-murid.
  
Bibliografi
1. Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Tingkatan 4, DBP: 2014.
2. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan,  Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. dan PTS Consultant Sdn. Bhd., 1993