Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, June 29, 2015

Sajak - LAUTAN KEHIDUPAN

LAUTAN KEHIDUPAN

ini pelayaran
kemakrufan
nyali kulayarkan bahtera usia
menduga marabahaya
samudera
memasinkan horizon hayat
di lautan kehidupan

tanpa waswas
siap-siaga aku, pelaut hidup
pasrah
melayari kehidupan
bertemankan amalan
sesekali terkhilaf aku
dipukul olang-aling ombak
sesekali tertumpas aku
disambar gelora riak
sebelum bertamu aman
di pelabuhan iman
dalam khusyuk tafakur
bersyukur aku
biarpun acapkali terkesima tewas
mujur tidak terkapai-kapai lemas
AKU
di lautan kehinaan
di lautan kemungkaran
di lautan kehidupan!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

Sunday, June 28, 2015

Cerpen BM T1 - OREN



Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak dan Perwatakan dalam cerpen BM Tingkatan 1 - OREN
oleh Chai Loon Guan

            Cerpen "Oren" karya Saifullizan Yahaya merupakan antara tiga cerpen pilihan yang termuat dalam Antologi Komsas BM Tingkatan 1, Kuingin Berterima Kasih. Cerpen tersebut menekankan kepentingan nilai kasih sayang bukan sahaja sesama manusia malahan terhadap haiwan dan alam. Saifullizan Yahaya dalam karyanya menampilkan watak anak kucing jantan berwarna oren yang kekurangan kasih sayang daripada penjaganya sehingga merajuk lalu membawa diri. Kehilangannya telah memberikan kesan emosi kepada penjaganya. Sinopsis cerpen, tema, persoalan, watak dan perwatakan yang disenaraikan bertujuan untuk memudahkan murid-murid untuk menelaah, menelusuri dan memahami jalan cerita seusai membaca skrip asal cerpen dalam pengajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah.

Sinopsis Cerpen OREN

            Oren, kucing jantan, masih tidak pulang pada hari keempat. Ayah masih tercari-cari akan Oren. Aku pernah melihat Oren di tepi longkang di belakang rumah. Adikku, Anis ada melihat Oren bermain-main di bawah pokok tua di taman perumahan di hadapan rumah dua hari yang lalu.  Sudah seminggu, hampir setiap malam, pada hujung pertengahan Disember, hujan turun diiringi guruh dan angin.

            Kelabu masih di pangkuan ayah. Kelabu dipungut oleh ayah sekembali dari tempat kerja setelah ibunya kemalangan dilanggar oleh ayah. Sejak kehadiran Kelabu, berbulu kelabu seperti kucing Siam, Oren semakin terpinggir daripada belaian dan perhatian ayah. Malam itu, ayah tidak berselera untuk makan malam. Ayah terlalu risau akan Oren. Ibu, aku, Azura dan Anis terdiam. Ibu telah berpesan kepada kami agar tidak membangkitkan hal Oren, takut-takut perasaan ayah mudah tersinggung.

            Menurut adik keduaku, Azura bahawa Oren tidak pulang ke rumah kerana Kelabu. Barangkali Oren iri hati kerana Kelabu selalu di samping ayah. Kemanjaan Kelabu membuatkan Oren tersisih daripada ayah. Pada mulanya, ayah menyamaratakan kasih sayang kepada kedua-duanya. Barangkali, oleh sebab Kelabu lebih memperlihatkan kemanjaannya dan Oren pula suka menyendiri dan pendiam, maka Kelabu menjadi pilihan ayah. Kelabulah yang selalu menyambut kepulangan ayah. Oren pula membiarkan Kelabu menjamah makanan dahulu sebelum Oren makan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh Kelabu. Oren dan Kelabu tidak pernah bermain bersama-sama apatah lagi bergaduh. Bagai tetamu, Oren selalu menjaga sikapnya. Kebersihan dirinya juga sering diurus sendiri. Oren tidak membuang najisnya di dalam rumah. Kelabu pula perlu diajar mengikut cara Oren.

            Ayah seolah-olah terbayang akan kehadiran Oren. Ayah membawa Oren ke dapur. Diberi Oren, susu. Susu tidak dijamah oleh Oren. Oren kembali kepada ayah sambil menggeselkan badan di kaki ayah. Oren memandang ayah dengan lembut. Ayah mencium Oren. Timbul persoalan di hati sanubari ayah. Ayah cuba untuk menepis perasaan sayu dan bersalah kerana mengabaikan Oren setelah kehadiran Kelabu. Oren sekadar mengiau-ngiau.

            Ayah terpinga-pinga keluar dari biliknya lantas ke ruang tamu. Ayah bertanya tentang Oren. Menurut ayah, dia bermimpi tentang kepulangan Oren! Tiba-tiba Anis muncul di ruang dapur. Di pangkunya, Oren. Oren yang sudah tidak bernyawa lagi. Anis terjumpa akan Oren di celah pokok tua yang tumbang semalam di taman permainan. Mata ayah mulai berkaca.

Tema:
Kasih sayang terhadap haiwan peliharaan.
Persoalan:
a. Kasih sayang yang berbelah bahagi telah menyebabkan konflik.
b. Belas kasihan tidak hanya terhad kepada manusia tetapi juga meliputi haiwan.
c. Perhatian terhadap diri seseorang adalah kerana kebijaksanaannya meletakkan dirinya dan mengambil hati.

Watak dan Perwatakan
Watak Oren, Kelabu dan ayah cukup dominan dalam plot cerpen OREN hasil karya Saifullizan Yahaya selain kehadiran watak yang bersudut pandangan orang pertama, iaitu aku.

OREN
AYAH
KELABU
·         Oren tidak makan makanan yang disediakan oleh ayah.
·         Oren tidak menunjukkan kemanjaannya dalam keluarga ayah.
·         Oren kucing jantan. Ibunya telah dilanggar oleh ayah "aku".
·         Bulu Oren berwarna oren.
·         Oren hanya mengangkat kepala apabila melihat ayah.
·         Oren lebih suka menyendiri, pendiam dan semakin tersisih.
·         Oren mampu berdikari dan pandai membuang najisnya di tandas atau di dalam longkang.

·         Ayah, bapa kepada tiga orang anak.
·         Ayah suka akan kucing.
·         Ayah bersikap belas kasihan.
·         Ayah resah akan untung nasib Oren setelah empat hari tidak pulang ke rumah.
·         Ayah memanjai Kelabu.
·         Ayah tidak berselera makan malam.
·         Ayah bermonolog dan bermimpikan Oren.
·         Ayah menyesali tindakannya membiarkan Oren bersendirian.
·         Ayah ketua keluarga yang baik.
·         Kelabu kucing jantan.
·         Kelabu berwarna kelabu.
·         Kelabu tidak terurus dan kurus ketika dibawa pulang oleh ayah.
·         Kelabu semakin tembam dipelihara oleh ayah.
·         Semasa kecil, Kelabu selalu membuang najis di merata-rata tempat.
·         Bulu Kelabu berwarna kelabu dan menarik.
·         Kelabu bermanja dengan ayah.
·         Kelabu pandai mengambil kesempatan untuk menunjukkan kejinakannya kepada  keluarga ayah.
·         Kelabu sering menyambut kepulangan ayah.

Sumber rujukan:
Antologi Kuingin Berterima Kasih, DBP, Kuala Lumpur: 2014
Modul Menguasai PT3 Komsas Tingkatan 1, Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya: 2015

ISU BAHASA - HARI DEEPAVALI?



Hari Deepavali, hari Deepavali atau Deepavali?
oleh Chai Loon Guan

          Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang ras, budaya dan agama. Yang pasti, menjelang tibanya perayaan utama, seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Krismas, mereka akan menyambut dan merayakan perayaan tersebut menurut kemampuan, adat istiadat dan kepercayaan masing-masing.

          Menurut  Kamus Dewan Edisi Ketiga (2015), kosa kata "hari" bermaksud masa dari matahari terbit hingga matahari terbit sekali lagi (masa sekali bumi berpusing pada paksinya, 24 jam). Daripada kosa kata "hari", maka akan kita temukan frasa seperti "hari Ahad, siang hari, pagi hari, hari hujan, gaji hari (minggu), hari tua, tempoh hari, hari akhirat, hari baik, hari bapa, hari besar, hari bulan, hari depan, hari gaji, hari ulang tahun, hari lahir, hari ibu, hari kerja, hari cuti" selain Hari Merdeka, Hari Raya Puasa, Hari Pahlawan dan Hari Natal.

          Sebenarnya, kosa kata "hari" boleh juga diasosiasikan dengan peribahasa Melayu seperti "hari baik (pagi) dibuang-buang, hari buruk (petang) dikejar-kejar" yang bermaksud membiarkan peluang yang baik berlalu, kemudian apabila sudah terlambat, baru terkejar-kejar selain peribahasa "ada hari ada nasi" yang menggambarkan bahawa seseorang selalu akan beroleh rezeki sekiranya masih hidup.

          Baru-baru ini, dalam perbualan ringkas saya dengan seorang guru Bahasa Melayu SRJK(C) yang prihatin, yakni melalui wahana komunikasi whatsApp, timbul persoalan tentang kepersisan penggunaan frasa, yakni sama ada "Hari Deepavali" atau "hari Deepavali" ataupun "Deepavali" dalam pembinaan ayat bahasa Melayu yang gramatis seperti contoh yang berikut:

1a.     Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut Hari Deepavali.
1b.     Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut hari Deepavali.
1c.     Encik Kesavan memakai doti semasa menyambut Deepavali.

          Ayat 1a dan ayat 1c menggunakan frasa "Hari Deepavali" dan "Deepavali" sebagai kata nama khas dan menepati konteks makna perayaan dalam pembinaan ayat yang diberikan. Jika ayat 1a dan ayat 1c tepat, bagaimanakah dengan kepersisan ayat 1b pula?

          Frasa "Deepavali" menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2015) bermaksud "dipavali" atau hari perayaan bagi penganut agama Hindu. Yang jelas, frasa "hari Deepavali" tidak berfungsi sebagai kata nama khas lebih-lebih lagi sekiranya digunakan dalam konteks ayat, maka frasa tersebut akan membawa maksud "hari hari perayaan bagi penganut agama Hindu" dan bersifat lewah. Adalah tidak tepat sekiranya pengguna bahasa menggunakan frasa "hari Raya Puasa" atau "hari Hari Raya Puasa", "hari Krismas" dan "hari Gawai" untuk menggambarkan sesuatu perayaan utama dalam pembinaan ayat gramatis bahasa Melayu.

          Dalam membicarakan frasa tersebut, maka, adalah lebih wajar dan persis sekali, para pengguna dan pencinta bahasa Melayu menggunakan frasa "Hari Raya Puasa", "Hari Krismas", "Hari Raya Krismas", "Krismas", "Hari Gawai", "Tahun Baru Cina", "Deepavali" atau "Hari Deepavali" dalam pembinaan ayat bahasa Melayu yang bermutu dan gramatis seperti ayat contoh yang berikut:

2a.     Encik Ali bin Ahmad menyambut Hari Raya Puasa.
2b.     Puan Mary Alicio menyambut Hari Krismas.
2c.     Puan Mary Alicio menyambut Krismas.
2d.     Cik Kirar ak Sare menyambut Hari Gawai.
2e.     Adik Chai Wuang Xing menyambut Tahun Baru Cina.
2f.      Encik Mutu a/l Suppiah menyambut Hari Deepavali.
2g.     Encik Mutu a/l Suppiah menyambut Deepavali.

          Yang penting, sebagai pengguna, pencinta dan munsyi bahasa Melayu, penggunaan frasa yang tepat, gramatis dan betul dalam pembinaan sintaksis bahasa Melayu amatlah dituntut untuk kita mantapkan dan daulatkan bahasa Melayu sama ada di persada tanah air ataupun di buana ilmu antarabangsa. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.


(Sumber: Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2015)

Friday, June 26, 2015

Plot Cerpen BM T4 - Kaduk, Ayam dan Raja



PLOT dalam Cerpen KADUK, AYAM dan RAJA (Zurinah Hassan)

Permulaan
Penulis mengimbas kembali kisah Kaduk.  Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Mereka yang menentang raja dianggap penderhaka dan dijatuhi hukuman berat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Pak Kaduk apabila tanahnya dirampas oleh raja.
Perkembangan
Penulis menjelaskan bahawa Hakim (anak Hassan) merupakan cucu daripada keturunan Kaduk yang berusaha untuk mendapatkan hak (tanah) datuknya semula yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja. Hakim telah mendapatkan bantuan sahabatnya, Azam, iaitu lulusan jurusan undang-undang.
Perumitan
Hakim banyak menghadapi masalah ketika berurusan dengan Syarikan RAJA. Hakim banyak berhutang dengan Syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, dedak, ubat-ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA berkuasa dalam menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan daripada hasil jualan ayam. Baki keuntungan jualan tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakan. Akhirnya, hutang Hakim semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Klimaks
Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam. Dengan apa-apa cara sekalipun, dia perlu membayar hutangnya kepada pihak bank. Kegagalan melunaskan hutang bank menyebabkan tanah pusakanya itu akan dirampas.
Peleraian
Hakim menganggap tindakan bank yang ingin merampas tanah pusaka itu samalah dengan tindakan raja merampas tanah datuknya (Kaduk) dahulu. Banyak persamaan antara dia dengan datuknya, iaitu mereka sama-sama membela ayam dan sama-sama menggadaikan tanah.

Tema
Kesungguhan seorang anak muda (Hakim) menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.
Persoalan
a. Kegigihan seorang anak muda untuk mengusahakan penternakan ayam secara moden (komersial).
b. Halangan yang perlu ditempuhi dalam dunia perniagaan.
c. Usaha mengembalikan hak (tanah pusaka) yang telah diambil oleh orang lain.
d. Kesusahan masyarakat yang mengusahakan bidang pertanian.

(Sumber: Modul Menguasai KOMSAS BM T4 - Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 2015)