Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, December 3, 2015

Bulan dan Bintang dalam Peribahasa Melayu



Bulan dan Bintang dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

        Bulan yang dipercayai terbentuk hampir 4.5 bilion tahun dahulu merujuk satu atau lebih jisim yang beredar mengelilingi sebuah planet yang bersaiz lebih besar daripadanya dan jisim-jisim ini pula bergerak mengedari bintang.

        Bulan yang beredar mengelilingi bumi ialah sebuah satelit semula jadi dan kelima terbesar dalam sistem suria berdasarkan saiz relatifnya berbanding dengan primernya. Bulan yang bersaiz satu perempat daripada saiz dan beredar mengelilingi bumi pada setiap 27.3 hari pada jarak purata 384,400 kilometer di bawah tarikan graviti bumi.

        Bulan tidak mempunyai sumber cahaya. Cahaya bulan sebenarnya berasal daripada pantulan cahaya matahari. Penonjolan bulan di langit dan fasa kitarannya yang tetap menjadikan bulan cukup sinonim akan bahasa, takwim seni dan mitologi semenjak zaman kuno lagi.

        Takwim Hijrah didasarkan pada orbit bulan mengelilingi bumi dan awal setiap bulan ditetapkan saat terjadinya hilal (anak bulan). Kaedah penentuan saat terjadinya hilal merangkum dua kaedah, iaitu kaedah penglihatan dengan mata kasar, "rukyah" dan kaedah perhitungan astronomi, "hisab". Sesetengah negara menggunakan rukyah sahaja, yakni rukyatulhilal, melihat anak bulan untuk menentukan permulaan Ramadan (Syawal dan Zulhijah) manakala sesetengah yang lain pula menggunakan hisab sahaja. Dunia Melayu amnya menggunakan kedua-dua kaedah. 

Perayaan Kuih Bulan pula disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina, iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September. Musim tersebut selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh. Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang dan terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraika hasil tuaian pada musim panas. Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting selain Tahun Baru Cina. Perayaan ini disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri. Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berintikan kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarka melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirna berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.

        Dalam agama Hindu, khususnya di Bali,  hari raya disambut berdasarkan bulan, iaitu Purnama dan Tilem. Hari Raya Purnama dan Tilem merupakan sebahagian daripada Naimitika Yadnya, yakni ritual yang dilakukan pada waktu tertentu.

        Daripada kosa kata bulan, dapat kita temukan kata terbitan berbulan, bulanan, membulan selain kata ganda bulan-bulan dan kata ganda berimbuhan, iaitu bulan-bulanan dan berbulan-bulanan.

        Bintang pula merupakan salah satu cakerawala (yang beribu-ribu banyaknya) yang mengeluarkan cahaya dan kelihatan berkelip-kelip di langit pada waktu malam. Bintang senantiasa wujud secara berkelompok yang dikenali sebagai galaksi, bersama-sama gas, debu antara najam dan jisim gelap sekitar 10 peratus hingga 20 peratus daripada galaksi yang terdiri daripada bintang, gas dan debu.

        Galaksi dikekalkan bersama oleh tarikan graviti dan komponen galaksi mengorbit satu pusat. Terdapat bukti bahawa lubang gelap mungkin wujud di pusat sebahagian atau kebanyakan galaksi. Galaksi terbentuk daripada protogalaksi. Perkataan galaks dalam Bahasa Inggeris, "galaxy" diambil daripada nama galaksi yang bergelar Bima Sakti (Milky Way) menggunakan perkataan Yunani gala (umumnya galaktos) bererti susu.
          Bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang kerap ditemui pada zaman purba dan digunakan oleh pelbagai bangsa dan peradaban untuk dijadikan lambang mereka. Simbol ini kebiasaanya ditemukan di sekitar kawasan timur tengah dan timur Mediterranean.
        Daripada kosa kata bintang, dapat kita temukan kata terbitan sebintang, berbintang, membintangi, bintangan, dan perbintangan selain kata ganda berimbuhan, yakni berbintang-bintang dan bintang-bintangan.

Bulan dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa Melayu
Maksud
01.
Bulan adik maulud
Bulan Rabiulakhir
02.
Bulan apit
Zulkaedah
03.
Bulan arwah
Bulan Syaaban
04.
Bulan baharu
Terima gaji
05.
Bulan berapit
Zulkaedah
06.
Bulan bintang
Lambang Islam
07.
Bulan datang
Bulan hadapan
08.
Bulan dipagar bintang
Patut benar
09.
Bulan gelap
Habis wang
10.
Bulan haji
Zulhijah
11.
Bulan jatuh ke riba (ppt)
Mendapat tuah besar
12.
Bulan kesiangan
Wajah yang pucat
13.
Bulan madu
Tempoh bahagia selepas berkahwin; pergi melancong selepas berkahwin
14.
Bulan mati
Bulan gelap
15.
Bulan maulud
Rabiulawal
16.
Bulan mengambang dikandung awan (ppt)
Merindui perempuan yang sudah dimiliki orang lain
17.
Bulan muda
Wang masih banyak lagi; awal bulan
18.
Bulan nahas
Safar
19.
Bulan naik
Satu hari bulan hingga lima belas hari bulan
20.
Bulan naik, mata hari turun (ppt)
Bulan naik, mata hari naik (ppt)
Untung yang berturut-turut

Mendapat untung dan bahagia bertimpa-timpa
21.
Bulan penuh
Wajah yang jelita; bulan 15 hari
22.
Bulan penuh mengambang di kaki awan (ppt)
Perempuan cantik
23.
Bulan purnama
Wajah yang jelita
24.
Bulan raya
Syawal
25.
Bulan sabit
Satu hari bulan
26.
Bulan susut
Bulan yang semakin kecil
27.
Bulan tabut
Sampai 10 hari bulan Muharam
28.
Bulan terang dalam rimba (ppt)
Menunjukkan pandai pada orang-orang yang tak dapat menghargainya
29.
Bulan terang paksa baik: payang ke laut, balok pun ke laut juga (ppt)
Dalam masa makmur orang berlumba-lumba mencari untung
30.
Bulan terapit
Zulkaedah
31.
Bulan timbul
Bulan terbit
32.
Bulan tua
Habis wang; hujung bulan
33.
Bulan turun ke ribaannya (ppt)
Mendapat untung besar
34.
Bulan-bulanan
sasaran

Bintang dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Bintang
Orang yang mempunyai bakat istimewa
02.
Bintang babi penganjur
Planet Venus; bintang Kejora
03.
Bintang barat
Planet Venus; bintang Kejora
04.
Bintang baru
Bakat yang baru muncul
05.
Bintang bola
Pemain bola yang berbakat istimewa
06.
Bintang badminton
Pemain badminton yang berbakat istimewa
07.
Bintang belatik
Planet Orion
08.
Bintang beralih
Bintang yang berpindah tempat
09.
Bintang berapit
Dua bintang yang berdekatan
10.
Bintang berasap
Meteor
11.
Bintang berbuntuk
Meteor
12.
Bintang beredar
Planet
13.
Bintang berekor
Meteor
14.
Bintang berkotek
Meteor
15.
Bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di muka tidak disedar (ppt)
Mengata keburukan orang lain, tetapi tidak sedar keburukan sendiri
16.
Bintang drama
Pelakon drama
17.
Bintang dua belas
Zodiak
18.
Bintang filem
Pelakon filem
19.
Bintang gelap
Nasib malang
20.
Bintang gugur
Bintang yang berpindah atau jatuh; meteor
21.
Bintang harapan
Orang yang memiliki bakat besar tetapi baru muncul
22.
Bintang hati
Orang kesayangan; kekasih
23.
Bintang kecil
Kanak-kanak yang memiliki bakat istimewa
24.
Bintang kehormatan
Kemuliaan; medal
25.
Bintang kejora
Planet Venus
26.
Bintang ketika
Bintang tujuh
27.
Bintang lapangan hijau
Pemain yang terkemuka dalam pertandingan bola
28.
Bintang malam
Orang yang sangat jelita atau kacak
29.
Bintang Marikh
Planet Mars
30.
Bintang mayang
Virgo
31.
Bintang mengabur
Nasib kurang baik
32.
Bintang Mustari
Planet Jupiter
33.
Bintang pagi
Planet Venus; bintang Kejora
34.
Bintang pari
Gugusan bintang yang kelihatan seperti salib
35.
Bintang puyuh
Bintang tujuh
36.
Bintang radio
Pemenang peraduan menyanyi anjuran stesen radio
37.
Bintang tanjung
Bintang kebesaran yang disematkan pada baju
38.
Bintang televisyen
Pelakon drama televisyen
39.
Bintang terang
Bertuah atau bernasib baik
40.
Bintang tiga beradik
Orion
41.
Bintang timur
Planet Venus; planet Kejora
42.
Bintang tujuh
Gugusan bintang yang terdiri daripada tujuh biji bintang
43.
Bintang utara
Bintang kutub utara
44.
Bintang Utarid
Planet Mercury
45.
Bintang Zuhal
Planet Saturn
46.
Bintang Zuhrah
Planet Venus; planet Kejora
47.
Bintangnya sedang terang
Nasibnya baik
48.
Bintang-bintangan
Atap yang banyak yang bocor

Kesimpulan

        Jelaslah bahawa subjek "bulan" dan "bintang" merupakan sumber rujukan penting dalam kehidupan manusia sama ada manusia pada zaman dahulu kala atau manusia pada alaf globalisasi ini. Yang menariknya, kosa kata bulan dan bintang turut terungkap mantap dalam pembinaan peribahasa Melayu sebagai wadah pedoman dan rujukan kepada masyarakat dan pencinta bahasa Melayu nusantara dari semasa ke semasa.

Bibliografi
i.      Wikipedia Ensiklopedia
ii.      Kamus Peribahasa Lengkap Utusan
iii.     Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2007)

No comments: