Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, November 16, 2015

Air dan Hujan dalam Peribahasa Melayu



Air dan Hujan dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

          Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), kosa kata air bermaksud cecair yang terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen (dalam keadaan yang murni tidak mempunyai warna, bau atau rasa), kumpulan cecair seperti yang terdapat di dalam sungai, tasik, laut dan sebagainya, cecair yang terdapat dalam buah-buahan, minuman, atau campuran air atau sesuatu cecair dengan bahan atau bahan-bahan lain. Daripada perkataan air, maka terbitlah perkataan berair, mengair, mengairi, keairan, perairan, pengairan, dan sepengairan.
          Kosa kata hujan pula bererti air yang turun (menitik dengan banyaknya) yang terpeluwap daripada wap di atmosfera. Daripada perkataan hujan, maka terbitlah pula perkataan sehujan, berhujan, berhujan-hujan, menghujan, menghujani, menghujankan, memperhujankan, kehujanan, dan penghujan.
Sifat Air dan Hujan

              Dari sudut pandangan masyarakat Tionghoa, air ialah simbol daripada kerendahan hati. Hal ini dikatakan demikian kerana air selalu mencari tempat yang lebih rendah untuk mengalir, biasanya dari hulu ke hilir. Air dikatakan dapat membersihkan noda, menjadi sumber kehidupan makhluk dan dapat menyesuaikan diri dengan semua keadaan. Selain mencari tempat yang lebih rendah dan kelihatan lemah, dalam keadaan tertentu, air dapat bangkit mencipta tragedi yang dahsyat seperti banjir, tsunami dan kepala air yang mampu mengorbankan ratusan nyawa manusia di alam sarwajagat ini. Dari sudut pandangan Tao pula, air mewakili kecerdasan, kebijaksanaan, mampu menyesuaikan diri, kelembutan dan kebolehlenturan. Kebiasaannya dalam feng syui masyarakat Cina, air memperlihatkan simbol kewangan dan kekayaan serta berdaya mampu memadamkan api kebakaran.
    
              Sahibulhikayat, naga Cina yang berasaskan simbol kuasa dikatakan mendatangkan tuah dalam seni susastera dan ceritera rakyat masyarakat Cina sering diasosiasikan dengan cuaca dan air yang menghasilkan hujan. Naga Cina dikatakan sebagai pemerintah kepada sumber pergerakan air seperti air terjun, sungai atau laut selain menjelmakan diri sebagai pusaran air dan berhubung kait dengan fenomena cuaca. Oleh itu, kebanyakan penduduk China (Tiongkok), terutama yang mendiami kawasan pinggir atau sepanjang sungai akan mendirikan tempat ibadat khas untuk "Raja Naga" tempatan. Pada musim kemarau (panas) atau tengkujuh (hujan - banjir), pihak berkuasa tempatan akan mengepalai penduduk tempatan untuk menjalankan upacara ritual, yakni bertujuan untuk menenangkan, mententeramkan dan memujuk "sang naga" agar diturunkan hujan pada musim kemarau, memperlambat atau memberhentikan hujan pada musim tengkujuh. Yang jelas, kosa kata air dan hujan tidak boleh dipisahkan daripada istilah musim seperti musim kemarau (panas) dan musim tengkujuh (hujan) sehingga kedua-dua musim di muka bumi ini mampu mendatangkan bencana yang besar kepada penduduk seperti bah, kebakaran hutan, jerebu, taufan, kemarau panjang dan tsunami.

     Sajak
     BAH
(simpati dan empati buat mangsa bah)

singgah kemarau
menuntun kita
berbicara tentang miskinnya
simpati mentari
mendera kehidupan
dengan landskap alammu
yang berjerebu
atas retorik pembangunan
rimba dibaham singa kapitalis
kali dinodai sesisa pencemaran

singgah tengkujuh
menuntun kita
berwacana tentang daifnya
empati hujan
membanjiri bumi
dengan bah deras ganas
terkorban nyawa
termusnah harta benda
lara nestapa warga
terkesima berantakan
di rumah kehidupan

silih berganti musim
kemarau datang berkunjung
silih berganti musim
tengkujuh datang berkampung
di desa pedalaman
di kota perbandaran
hadir musibah bah
persis tsunami
di buana kehidupan
benarkah
lupa kita telaah sejarah silam
alpa kita maknai bahasa alam
atau barangkali, sudah terhantuk
baru terngadahkah, kita?'

Tuhan,
maafkanlah hamba-Mu
yang terlupa
yang teralpa
jauhilah hamba-Mu
daripada bahana bencana
daripada bala malapetaka
sinarilah buana-Mu
dengan nur semangat
nur berkat nur rahmat
agar ceria bahagia umat
aman tenteram di dunia sarwajagat!

Chai Loon Guan, Tg. Malim.
(Mingguan Malaysia - 4 Januari 2015)

Air dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Makna
01.
Air alas
Air masin
02.
Air ampuh
Air bah
03.
Air anggur
Arak
04.
Air apus
Air yang sangat dalam
05.
Air arwah
Air yang disiramkan ke atas kubur
06.
Air atar
Air wangi
07.
Air atas
Air untuk menjalankan kerja-kerja melombong
08.
Air badan
Warna badan
09.
Air bah
Air banjir
10.
Air bakat
Air yang berolak
11.
Air balik daun
Air mula pasang atau surut
12.
Air basuh tangan
Dilayan sesuka hati
13.
Air basuh kaki
Dilayan sesuka hati
14.
Air batu
Ais
15.
Air batu campur
Hidangan daripada air batu bersagat berserta campuran, dan air gula
16.
Air batu kering
Karbon dioksida beku
17.
Air belanda
Air bergas karbon
18.
Air belerang`
Air daripada mata air panas
19.
Air bena
Air pasang
20.
Air beriak tanda tak dalam (ppt)
Kalau besar cakap, tentu kurang ilmunya
21.
Air besar
Air bah; berak
22.
Air besar, batu bersibak (ppt)
Bila ada perselisihan besar, orang akan berpecah belah
23.
Air besar, sampan tak hanyut (ppt)
Apa yang diharap tak berlaku
24.
Air biasa
Air tawar
25.
Air buah
Minuman sari buah-buahan
26.
Air bujang
Air minuman, tanpa kuih
27.
Air bunga
Air berjampi yang dicampur bunga-bungaan
28.
Air cendana
Air kayu gaharu
29.
Air cucuran atap jatuhnya ke perlimbahan juga (ppt)
Ikut lojik sesuatu perkara
30.
Air dalam berenang; air dangkal bercebok (ppt)
Belanja ikut kemampuan
31.
Air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji (ppt)
Usaha yang mendatangkan hasil baik
32.
Air dalam talam
Suasana aman sentosa
33.
Air dalam terenang
Hidup tenang dan tenteram
34.
Air dicencang, tiada putus (ppt)
Hubungan keluarga tak dapat diputuskan
35.
Air di daun keladi
Tidak ada kesan
36.
Air di dalam talas
Tidak tetap pendirian
37.
Air didih menganak sungai (ppt)
Hiburan mewah
38.
Air digenggam tiada tiris (ppt)
Kedekut
39.
Air diminum rasa duri; nasi dimakan rasa sekam (ppt)
Sangat sedih
40.
Air diminum sembiluan (ppt)
Sangat sedih
41.
Air ditetak tiada akan putus (ppt)
Hubungan keluarga tak dapat diputuskan
42.
Air di dulang bumbungan turunnya ke cucuran atap (ppt)
Ikut lojik sesuatu perkara
43.
Air emas
Benang emas; tinta emas
44.
Air galian
Air yang mengandungi unsur-unsur galian asli
45.
Air garam
Gelombang adat
46.
Air gedang menghanyutkan
Orang pendiam biasanya berilmu
47.
Air gunung
Air yang mengalir dari pergunungan
48.
Air hidung
Hingus
49.
Air jampi
Air yang dijampi
50.
Air jernih, ikannya jinak (ppt)
Di negeri yang aman, rakyatnya baik-baik
51.
Air kakinya tidak sama (ppt)
Dua perkara yang berlainan
52.
Air kata-kata
Arak
53.
Air kecil
Air kencing
54.
Air kembahan
Air kotor
55.
Air kemih
Air kencing
56
Air kendayung
Cecair langit-langit mulut
57.
Air keras
Air berasid
58.
Air keruh limbat keluar (ppt)
Apabila berlaku huru-hara, orang jahat mencari untung
59.
Air kerongkong
Rezeki
60.
Air kolong
Minyak guna-guna
61.
Air kosong
Minuman tanpa kuh-muih
62.
Air lalu kubangan tohor (ppt)
Pendapatan kecil; habis bulan, habis gaji
63.
Air lata
Air terjun
64.
Air laut hijau siapa celup? (ppt)
Kekayaan tidak perlu diheboh-hebohkan
65.
Air lebah
Madu lebah
66.
Air lebam
Air mayat
67.
Air lembut
Air yang mudah menghasilkan buih apabila dicampur sabun
68.
Air liat
Air yang sukar menghasilkan buih apabila dicampur sabun
69.
Air liur
Air ludah; keinginan
70.
Air liur basi
Air liur yang keluar sewaktu tidur; cerita lama
71.
Air luluk
Air berpusar
72.
Air mandi
Sudah menjadi kebiasaan
73.
Air mani
Cecair yang mengandungi sperma
74.
Air margajiwa
Air hikmat untuk panjang umur
75.
Air masin
Air laut
76.
Air mata
Air yang keluar dari mata apabila menangis
77.
Air mata air
Air yang terbit dari tanah
78.
Air mata buaya
Tangisan pura-pura
79.
Air mata duyung
Minyak guna-guna untuk memikat hati perempuan
80.
Air mata jatuh ke dalam (ppt)
Berduka dalam diam
81.
Air mata jatuh ke perut (ppt)
Berduka dalam diam
82.
Air mati
Air yang sudah dimasak; air yang tidak mengalir; air pasang surut
83.
Air mawar
Air wangi
84.
Air mazi
Cecair yang mendahului pancutan sperma
85.
Air melata
Air terjun kecil
86.
Air membarut
Air pancuran
87.
Air mengayun
Banjir yang menghancurkan
88.
Air mengurung
Air surut
89.
Air mertajiwa
Air hikmat untuk panjang umur
90.
Air mineral
Air yang mengandungi bahan-bahan galian
91.
Air minum
Air biasa untuk diminum
92.
Air mudik sungai, semua teluk diranai (ppt)
Orang boros tidak membilih apabila membeli
93.
Air muka
Wajah; nama baik
94.
Air mutlak
Air suci dan boleh menyucikan
95.
Air nak sampai ke hidung (ppt)
Banyak hutang; keadaan kritikal
96.
Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut (bd)
Patuhi undang-undang di tempat kita berada
97.
Air panas
Air jampi untuk ubat
98.
Air pancabicara
Air adat Hindu
99.
Air pasang
Kenaikan aras air laut
100.
Air pasan perbani
Keadaan air pasang tinggi dan surut rendah
101.
Air pasang rabung
Air pasang besar
102.
Air pawitra
Air persucian dalam agama Hindu
103.
Air penuh
Air pasang besar
104.
Air perak
Tinta perak; benang perak
105.
Air perbani
Keadaan air pasang tinggi atau surut rendah
106.
Air pinang
Air jampi
107.
Air pun ada pasang surut (ppt)
Ada masa untung, ada masa rugi
108.
Air rabung
Air pasang penuh
109.
Air raksa
Merkuri
110.
Air ruban
Buih air pada minyak kelapa
111.
Air safar
Air surah safar
112.
Air sama air, sampah ke tepi jua (ppt)
Hubungan darah lebih kuat daripada orang lain
113.
Air sama air kelak menjadi satu, sampah itu ke tepi jua (ppt)
Kalau mencampuri perselisihan orang, apabila mereka berbaik, kita tersisih
114.
Air sebak
Air bah
115.
Air selera
Air liur
116.
Air sembahyang
Wuduk
117.
Air sembilan
Air mandi mayat
118.
Air seni
Air kencing
119.
Air serani
Air mandi Kristian
120.
Air setaman
Air bunga untuk adat mandi hamil tujuh bulan
121.
Air setitik dilautkan; tanah sekepal digunungkan (ppt)
Perkara kecil dibesar-besarkan
122.
Air simbar
Arus pasang surut air
123.
Air sirih
Ludah bercampur air sirih
124.
Air sorong buih
Peralihan pasang surut
125.
Air suam
Air yang tidak berapa panas
126.
Air suci
Air upacara agama Kristian Katolik
127.
Air suri
Nira yang belum jadi tuak
128.
Air surut
Air laut waktu surut
129.
Air surut kapar hilir bersama, air pasang ia tersangkut (ppt)
Dalam kerja yang tidak menguntungkan diajak bersama, apabila untung diketepikan
130.
Air surut mati
Air surut paling rendah
131.
Air surut perbani
Air surut serendah-rendahnya
132.
Air susu dibalas dengan air tuba (ppt)
Budi dibalas jahat
133.
Air tak kan pasang selalu, di mana masanya surut sentiasa (ppt)
Nasib tidak dapat ditentukan

134.
Air talkin
Air yang disiramkan ke atas kubur.
135.
Air tanah
Air yang terbit daripada tanah
136.
Air tangan
Masakan seseorang
137.
Air tangannya baik
Kerja yang cantik
138.
Air tawar
Air jampi
139.
Air tawar secawan dituang ke laut, tak kan dapat menghilangkan masinnya (ppt)
Bantuan kecil untuk masalah besar
140.
Air tenang
Air yang tidak mengalir atau beriak
141.
Air tenang jangan disangka tiada buaya (ppt)
Kalau pendiam jangan disangka bodoh atau penakut
142.
Air tenang menghanyutkan (ppt)
Orang pendiam membahayakan
143.
Air tengah tumpah
Air setengah surut
144.
Air tepung tawar
Air jampi
145.
Air terjun
Air yang mengalir dan jatuh di lereng gunung
146.
Air timpas
Air surut paling rendah
147.
Air timpas perbani
Air surut sedikit
148.
Air tolak bala
Air jampi untuk menghindari kecelakaan
149.
Air tuba dibalas dengan air susu (ppt)
Perbuatan jahat dibalas dengan kebaikan
150.
Air tuban
Air yang keluar sebelum bayi dilahirkan
151.
Air ukup
Air wangi
152.
Air utama jiwa
Air hikmat panjang umur
153.
Air yang dingin juga dapat memadamkan api (ppt)
Kata-kata lembut dapat meredakan marah
154.
Air yang jernih, sayak yang landai (ppt)
Segala sesuatu berlaku dengan adil dan benar
155.
Air yang keruh-keruh kerak (ppt)
Daripada tutur kata dapat dibaca niat sebenar
156.
Air yang penuh dalam tempayan itu tak kan berkocak (ppt)
Orang banyak ilmu biasanya pendiam
157.
Air zamzam
Air daripada telaga zamzam
158.
Airnya jernih ikannya jinak (ppt)
Di negeri yang makmur penduduknya berbudi bahasa


Hujan dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Makna
01.
Hujan
Datang bertalu-talu
02.
Hujan abu
Abu yang jatuh dengan banyaknya dari langit
03.
Hujan air mata
Menangis
04.
Hujan batu
Penderitaan hidup; air hujan yang beku
05.
Hujan beku
Air hujan yang beku
06.
Hujan berbalik ke langit
Orang besar minta bantuan orang kecil
07.
Hujan berpohon; panas berasal (ppt)
Semua perkara ada sebabnya
08.
Hujan bubuk
Hujan debu
09.
Hujan darah
Air hujan yang kemerah-merahan
10.
Hujan bukit
Hujan kerana awan yang membawa hujan tersekat oleh bukit
11.
Hujan deras
Hujan lebat
12.
Hujan di tengah hari
Bahagia yang tidak kekal
13.
Hujan emas
Hidup mewah
14.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri; lebih baik negeri sendiri (ppt)
Tempat sendiri lebih baik dari tempat orang
15.
Hujan emas perak di negeri orang; hujan keris lembing di negeri kita; baik juga di negeri kita (ppt)
Walaupun mewah di negeri orang, negeri sendiri juga yang lebih baik
16.
Hujan gerimis
Hujan renyai
17.
Hujan halau mentua
Hujan sekejap
18.
Hujan jatuh ke pasir
Berbudi pada orang yang tidak tahu berterima kasih
19.
Hujan keris lembing di negeri kita, hujan emas perak di negeri orang, baik juga di negeri kita (ppt)
Tempat sendiri lebih baik daripada tempat orang
20.
Hujan lalu
Hujan sekejap
21.
Hujan lari
Hujan sekejap
22.
Hujan manik
Hujan kasar-kasar
23.
Hujan menimpa bumi
Tidak dapat lari daripada perintah orang berkuasa
24.
Hujan merah
Air hujan yang kemerah-merahan
25.
Hujan panas
Hujan tetapi matahari bersinar
26.
Hujan panas permainan hari; susah senang permainan hidup (ppt)
Adat hidup, ada senang dan ada susah
27.
Hujan perolakan
Hujan disebabkan perolakan udara panas ke atas
28.
Hujan rabas-rabas
Hujan gerimis
29.
Hujan rahmat
Bantuan yang datang mencurah-curah
30.
Hujan tak sekali jatuh; simpai tak sekali erat (bd)
Kerja tidak sempurna sekali buat
31.
Hujan tempat berteduh; panas tempat berlindung (ppt)
Orang yang murah hati
32.
Hujani
Bertubi-tubi

Kesimpulan

          Kosa kata air dan hujan saling berkaitan dan hadir kerap dalam pembentukan peribahasa Melayu. Kedua-dua kosa kata tersebut melambangkan manifestasi ilmu alam dan sains dalam seni berbahasa Melayu tanah air. Alangkah indah dan berkesannya, sekiranya kita sebagai pengguna bahasa, pendidik, pensyarah, pelajar, pencerita, penglipur lara, penulis, pembicara atau pemakalah membiasakan diri menggunakan peribahasa Melayu, khususnya peribahasa Melayu yang berasaskan kosa kata air dan hujan ini dalam siri wacana fikrah bahasa dan budaya, sama ada dalam kemahiran lisan ataupun kemahiran tulisan sekali gus memastikan kelangsungan peribahasa Melayu senantiasa subur beraroma di kebun bahasa dan kesusasteraan kebangsaan kita zaman-berzaman.

Bibliografi:
1. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007
2. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Melayu (M) Bhd.: 1993
3. Wikipedia dan Google

No comments: