Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, October 20, 2015

Wang dalam Peribahasa Melayu



Wang dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

          Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2007), kosa kata wang bermaksud alat pertukaran yang mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah. Wang juga diasosiasikan dengan maksud duit, gaji, harta, kekayaan, pendapatan, belanja dan upah. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan (1993) pula mendefinisikan mata wang sebagai nilai wang sesuatu negara. Antara contoh mata wang dunia mengikut negara masing-masing adalah seperti renminbi (China), ringgit (Malaysia), manat (Azerbaijan), dirham (UAE), peso (Argentina), dinar (Kuwait), dolar (Amerika Syarikat), yen (Jepun), riyal (Qatar), pound sterling (Britain) dan euro (Eropah).


          Selepas menelaah dan menelusuri kosa kata tersebut, yang jelas perkataan "wang" hadir dalam sejumlah peribahasa Melayu, khususnya simpulan bahasa (sb) seperti yang tersenarai dalam jadual yang berikut:

Bil.
Peribahasa Melayu
Makna
01.
Wang adat
Perbelanjaan dalam perbicaraan adat.
02.
Wang akad
Upah nikah
03.
Wang bandar
Wang pertaruhan dalam perjudian
04.
Wang buta
Wang yang dibayar walaupun tidak bekerja
05.
Wang cadangan
Wang persediaan
06.
Wang duduk
Elaun mesyuarat
07.
Wang duka
Sagu hati waris anggota tentera yang meninggal dalam bertugas
08.
Wang halal
Pendapatan yang dibenarkan
09.
Wang hangat
Wang yang beredar kerana kadar bunga yang rendah
10.
Wang hangus
Wang belanja daripada pihak lelaki kepada keluarga bakal isteri
11.
Wang hantaran
Wang belanja daripada pihak lelaki kepada keluarga bakal isteri
12.
Wang haram
Pendapatan yang tidak dibenarkan
13.
Wang jajan
Wang bekal perjalanan
14.
Wang jalan
Wang bekal perjalanan
15.
Wang jamin
Wang cagaran
16.
Wang jasa
Sagu hati
17.
Wang jemputan
Wang yang diberikan kepada bakal menantu
18.
Wang jujur
Wang daripada pengantin lelaki kepada mentuanya
19.
Wang kancing
Wang cagaran
20.
Wang kecil
Syiling
21.
Wang keluar
Belanja, kos
22.
Wang keras
Wang yang tetap nilainya
23.
Wang kertas
Wang not
24.
Wang kontan
Wang tunai
25.
Wang kopi
Bayaran rasuah
26.
Wang kuli
Upah kerja buruh
27.
Wang kunci
Wang cagaran sewa rumah
28.
Wang lembur
Upah kerja lebih masa
29.
Wang makan
Wang untuk membayar makan
30.
Wang masuk
Pendapatan
31.
Wang meja
Biaya perbicaraan di mahkamah
32.
Wang muka
Wang pendahuluan
33.
Wang panas
Untung yang mudah diperoleh
34.
Wang pangkal
Yuran pendaftaran
35.
Wang pecah
Syiling
36.
Wang pendahuluan
Duit muka
37.
Wang penegur
Wang untuk mula berkenalan dengan isteri
38.
Wang pintu
Wang cagaran sewa rumah
39.
Wang poket
Wang perbelanjaan peribadi
40.
Wang pokok
Jumlah asal tidak termasuk kos-kos lain
41.
Wang ringgit
Kekayaan, harta benda
42.
Wang rokok
Sagu hati
43.
Wang sagu hati
Wang menghargai jasa
44.
Wang saksi
Elaun saksi
45.
Wang saku
Wang perbelanjaan peribadi
46.
Wang sara
Elaun sesudah tamat perkhidmatan
47.
Wang sekolah
Yuran belajar
48.
Wang selawat
Sagu hati membaca doa
49.
Wang sembah
Wang daripada pihak lelaki kepada bakal mentua
50.
Wang seraya
Yuran oleh penduduk kampung untuk keperluan kampung
51.
Wang sirih
Sagu hati
52.
Wang sogok
Wang rasuah
53.
Wang suap
Rasuah
54.
Wang tabungan
Wang simpanan
55.
Wang taruhan
Wang cagaran
56.
Wang tegur
Wang untuk mula berkenalan dengan isteri
57.
Wang terjun
Elaun tambahan pasukan tentera payung terjun
58.
Wang tinta
Upah orang yang menulis surat
59.
Wang tip
Sagu hati kepada pelayan kerana bayaran yang memuaskan
60.
Wang-wangan
Wang mainan, mata wang tiruan, wang palsu
61.
Wang kuliah
Wang perbelanjaan belajar di sekolah tinggi
62.
Wang luar
Wang (pendapatan) yang diterima hasil membuat kerja luar
63.
Wang pos
Kepingan kertas yang mempunyai nilai tertentu yang boleh ditunaikan
64.
Wang songsongan
Wang berlebih yang dikembalikan selepas membayar (sesuatu)
65.
Wang tambang
Wang untuk membayar sewa atau tambang (kenaikan)

Mata Wang Kedah Lama
- Duit Syiling Emas dan Timah


          Selain simpulan bahasa, kosa kata wang turut diungkapkan dalam peribahasa yang berbunyi, ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang. Peribahasa tersebut bermaksud orang yang disukai semasa ia kaya (berharta) sahaja dan setali tiga wang bererti sama sahaja keadaannya (halnya). Yang menariknya, daripada kosa kata wang, maka terbitlah pula sejumlah perkataan Melayu, iaitu berwang (mempunyai wang, kaya, berharta), mengewangi (memberikan modal kepada, membelanjai, membiayai), mengewangkan (menukarkan kiriman wang dan lain-lain dengan wang), kewangan (perihal wang, yakni keadaan atau urusan wang, segala sesuatu yang berkaitan dengan wang) dan perwangan (keadaan dan pengurusan wang). Kata ganda berentak, yakni wang-wing dalam dialek Kedah pula bermaksud berjalan mundar-mandir tanpa tujuan, selain wang daripada singkatan bagi awang dan wang hati memperjelas makna sedih (pilu) hati.


          Yang jelas, wang cukup sinonim dalam weltanschauung masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berlainan ras, budaya, agama dan latar belakang kehidupan selain masyarakat dunia sarwajagat. Sejujurnya, setiap orang amat memerlukan wang untuk membeli-belah sama ada di pasar pagi atau di pusat-pusat beli-belah yang ternama di kota kosmopolitan. Urus niaga seharian masyarakat pula seringkali melibatkan penggunaan wang tunai biarpun kemudahan kad kredit, kad debit, cek, bank draf, dan perkhidmatan e-perbankan turut disediakan untuk manfaat para pengguna atau konsumer. Biarpun terdapat transaksi kredit dan debit dalam sistem kewangan, namun sebagai pengguna atau konsumer, kita haruslah bertindak bijak ketika berurusan dalam apa-apa urusan yang melibatkan wang. Jika tidak, kita akan mudah bersikap leka dan cuai sekali gus menjerumuskan diri kita ke dalam gaung hutang-piutang yang membebankan akibat tersalah urus, terlebih belanja atau berlakunya kegawatan ekonomi dunia.
         
          Barangkali, akibat terlalu menurut nafsu berbelanja atau kurang kesiapsiagaan diri, maka mudahlah mangsa atau hamba wang jatuh miskin, menjadi papa kedana, dibelenggu oleh hutang dan senantiasa diburu oleh lintah darat (orang yang meminjamkan wang dengan mengenakan bunga yang sangat tinggi) sehingga jatuh muflis dan memusnahkan masa depan diri, kerjaya dan keluarga yang tersayang. Oleh itu, seringkali kita dinasihati agar berjimat cermat, berhemat ketika berbelanja, dan tidak bersikap boros, bak kata peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis, yakni kita haruslah beringat-ingat sebelum terlambat.

          Benarlah kata orang tua-tua bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna (fikir baik-baik supaya tidak menyesal kemudian). Yang selamat, sebelum nasi sudah menjadi bubur (pepatah), eloklah kita sebagai pengguna atau konsumer yang bijaksana dan insaf, senantiasa beringat  dan berikhtiar agar kekhilafan yang sama tidak diulangi atau berulang, bak kata peribahasa Melayu, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan (bidalan). Sebagai kesimpulannya, nilai-nilai murni seperti jimat cermat, kesederhanaan dalam hidup, amanah, ketulusan hati dan ketelusan dalam tindakan haruslah senantiasa diutamakan, dipupuk dan dipersubur di kebun kehidupan kita selagi hayat dikandung badan.

Bibliografi
1. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., 1993.
2. Kamus Dewan Edisi Ketiga, DBP, 2007
3. Gambar Wang - Azlan Zamhari

No comments: