Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, October 9, 2015

Rebung dan Buluh dalam Peribahasa Melayu



Rebung dan Buluh dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

          Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), kosa kata rebung bermaksud anak buluh (yang akan menjadi batang). Daripada perkataan rebung, maka terbitlah perkataan merebung, yakni tumbuh rebungnya seperti rebung janggut.
          Kosa kata buluh pula bererti sejenis tumbuhan yang batangnya keras (berongga dan beruas), bambu dan aur serta merupakan suku bagi tumbuhan saka berbunga daripada keluarga Poaceae. Struktur pokok buluh berongga di bahagian tengah dan keratan rentas berkas vaskularnya terletak bertaburan di seluruh batang. Buluh juga tidak mempunyai xilem.  Buluh adalah antara tumbuhan yang paling pantas membesar di dunia disebabkan oleh sistem bersandar pada rizomnya yang unik.  Tumbuhan ini mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan budaya di rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan, yakni digunakan sebagai bahan binaan, sumber makanan dan juga keluaran mentah serbaguna.
          Bagi masyarakat Cina pula, buluh menjadi inspirasi pelukis yang sering mencoretkan karya di atas kanvas. Daripada asal huruf yang dicipta, orang-orang Cina menulis di atas buluh. Buluh juga menjadi asas pembuatan kertas manakala pada setiap waktu makan pula, orang-orang Cina akan menggunakan "chopstick" atau kayu sepit yang diperbuat daripada buluh. Atas sifat buluh itu sendiri, maka tumbuhlah buluh menjadi perdu yang besar, yakni membiak sebagai keluarga yang besar. Ciri-ciri ketahanannya memang diakui kuat manakala setiap ruas buluh disambungkan dengan sendi-sendi (atau buku), iaitu melambangkan jalinan yang padu antara satu sama lain berkonsepkan istilah quanxi iaitu keamanan, kesejahteraan (sihat-walafiat), kemakmuran dan kemajuan dalam kehidupan.
          Terdapat beberapa jenis buluh yang wujud di alam Nusantara, antara lain seperti buluh akar, buluh batu, buluh betung, buluh cina, buluh gading, buluh kasap, buluh peleting, buluh perindu, buluh sembilang dan rumput buluh. Sebagai maklumat tambahan, jenis buluh juga boleh diasosiasikan dengan daerah yang barangkali merujuk spesies yang sama seperti buloh bersumpitan, buloh sewor, buluh akar, buluh alor bukit, buluh anap, buluh po, buluh aur, buluh balai, buluh batu, buluh berang, buluh beti, buluh beting, bulu betong Burma, buluh betong, buluh bisa, buluh brang, buluh busi, buluh dinding, buluh duri, buluh galah, buluh hantu, buluh kapur, buluh kasap, buluh lemang, buluh lumpit kecil, buluh lumpit, buluh madu, buluh minyak, buluh nipis, buluh padi, buluh pagar, buluh pahit, buluh pelang, buluh pepanjat, buluh perindu, buluh pus, buluh raga, buluh rayah, buluh semantan, buluh semeliang, buluh semeyeh, buluh sikai, buluh sumbiling, buluh sumpitan, buluh telor, buluh tikus, buluh tumpat, buluh yakyak dan rebung buluh. Daripada kosa kata buluh pula, maka terbitlah perkataan buluh-buluh (sesuatu yang menyerupai buluh, panjang bulat dan kosong di dalam, paip, saluran) dan pembuluh (buluh-buluh, pembuluh darah, pembuluh agung, pembuluh paru-paru, iaitu vena pulmonari).




Manfaat Rebung dalam Kehidupan

          Rebung, iaitu satu daripada makanan khas dalam kalangan penduduk Asia.  Rebung beraroma dan teksturnya cukup unik serta banyak mempunyai faedah kepada kesihatan badan. Pertama sekali, rebung dapat menolong menurunkan berat tubuh kerana kandungan kalorinya rendah. Rebung juga memiliki kandungan serat yang tinggi dan mampu mengenyangkan dan mengurangkan kandungan kolesterol darah serta menyihatkan jantung.

          Selain itu, rebung dapat meningkatkan sistem kekebalan badan kerana membekalkan vitamin seperti vitamin A, vitamin E, vitamin B6, asam folat, thiamine, riboflavin, serta niasin. Rebung juga memiliki kandungan mineral utama seperti zat besi, mangan, tembaga, kalium, fosfor, natrium, seng, magnesium, serta kalsium. Seluruhnya nutrisi itu sangatlah utama untuk meningkatkan sistem kekebalan badan.

          Rebung juga  berpotensi untuk menangani permasalahan yang berkaitan dengan pernafasan seperti pilek (selesema oleh sebab kesejukan), batuk, atau hidung tersumbat selain meringankan masalah pencernaan serta dihubungkan dengan penurunan depresi, penyakit mental, serta keresahan. Selain melancarkan peredaran menstruasi, rebung juga dipercayai dapat menyembuhkan bisul dan luka serta melancarkan sistem atau proses kelahiran.

          Antara resipi makanan atau masakan yang berasaskan rebung ialah rebung goreng cili api bersama dengan udang, gulai rebung madu bersama dengan ayam, rebung masak lemak putih, gulai atau kari cair jenahak rebung madu, sayur lemak rebung dan sayur rebung ulam.



Manfaat Buluh dalam Kehidupan

          Pokok buluh dikenal sebagai pokok serba guna. Selain rebung buluh dijadikan bahan masakan atau makanan masyarakat  Malaysia, batang buluh pula boleh dijadikan sarung lemang pada musim perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri. Batang buluh juga dijadikan peralatan rumah dan kraf tangan seperti senduk nasi, tudung saji, raga, bakul, dan tabung.

          Batang buluh juga boleh dijadikan bubu, iaitu perangkap ikan di sungai dan serkap ayam di kampung-kampung. Pada zaman dahulu, batang buluh juga digunakan sebagai alat peralatan muzik seperti seruling dan angklung selain dijadikan senjata untuk mempertahankan diri.

          Rakit juga diperbuat daripada buluh terpilih, yakni diambil daripada rumpun buluh yang terdapat di tepi-tepi sungai atau di dalam hutan. Untuk membuat rakit, sebanyak 10 hingga 12 batang buluh diperlukan. Buluh-buluh tersebut akan diikat rapi menggunakan tali, rotan atau akar kayu. Panjang buluh yang digunakan antara 25 kaki hingga 35 kaki. Rakit seumpama itu mampu membawa tiga atau empat orang peserta berdasarkan saiz peserta dan kekuatan rakit. Setiap rakit dibekalkan dengan tiga batang galah atau kayu untuk mengemudi rakit sebagai wahana pengangkutan air pada suatu masa dahulu. Pada zaman moden ini, barangan yang diperbuat daripada buluh semakin berharga dan bermutu. Yang jelas, pokok buluh haruslah dijaga dan dipulihara supaya tidak pupus ditelan oleh dunia kemodenan dan kebendaan pada alaf yang serba menduga ini.


Rebung dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Makna
01.
Rebung tak miang, bemban pula miang (pepatah)
Yang terlibat diam, orang lain pula yang bising. (Kamus Peribahasa Lengkap Utusan)
Orang yang bersangkutan berdiam diri, sebaliknya orang luar pula ikut campur. (Kamus Dewan, DBP)
02.
Rebung tidak jauh dari rumpun (pepatah)
Perangai anak tidak jauh berbeza daripada perangai ibu bapanya. (Kamus Peribahasa Lengkap Utusan)
Perangai anak hampir sama dengan perangai orang tuanya. (Kamus Dewan, DBP)
03.
Tatkala lagi rebung tiada dipatah, ketika sudah jadi aur apa gunanya
Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar, tidak akan berhasil lagi. (Kamus Dewan, DBP)



Buluh dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Makna
01.
Berniaga buluh kasap hilang pangkal lesap
Mengerjakan sesuatu dengan tidak mengetahui caranya (mendatangkan kerugian sahaja).
02.
Menebus buluh serumpun
Merosakkan nama seluruh keluarga.
03.
Seperti buluh perindu ditiup angin tatkala dinihari
Bunyi suara yang sangat sedih.
04.
Seperti pohon buluh ditiup angin
Perihal orang yang lemah lembut, tetapi keras kemahuannya.
05.
Buluh perindu (simpulan bahasa)
Bunyi-bunyian daripada buluh yang berbunyi sendiri pabila ditiup angin.

Rumah Buluh

Kesimpulan

          Alangkah indah dan berkesannya, sekiranya kita sebagai pengguna bahasa, pendidik, pensyarah, pelajar, pencerita, penglipur lara, penulis, pembicara atau pemakalah membiasakan diri menggunakan peribahasa Melayu, khususnya peribahasa Melayu yang berasaskan rebung dan buluh ini dalam siri wacana fikrah, sama ada dalam kemahiran lisan ataupun kemahiran tulisan sekali gus memastikan kelangsungan peribahasa Melayu senantiasa subur beraroma di kebun bahasa dan kesusasteraan kebangsaan kita zaman-berzaman.

Bibliografi:
1. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007
2. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Melayu (M) Bhd.: 1993
3. Scribd, Wikipedia, Utusan Online dan Google

No comments: