Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, October 20, 2015

Bengkel Penulisan Puisi - Cerpen Sehati Sejiwa 2015



Bengkel Penulisan Puisi - Cerpen Sehati Sejiwa 2015
oleh Chai Loon Guan


          UMNO Bahagian Lumut dengan kerjasama intim Pejabat Pendidikan Daerah Manjung dan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Puisi - Cerpen Sehati Sejiwa di Resort Virgo Teluk Batik, Teluk Batik, Lumut, Perak Darul Ridzuan pada 17 - 18 Oktober 2015.

          Bengkel Penulisan yang julung-julung kali diadakan ini merupakan program penulisan yang diberikan khusus untuk membimbing para penulis remaja dan pelajar Tingkatan Enam di Daerah Manjung seiring dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menyokong dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris atau ringkasnya, MBMMBI.

          UMNO Bahagian Lumut melalui Biro Pendidikan dan Pengajian Tinggi dengan kerjasama akrab Pejabat Pendidikan Daerah Manjung dan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) telah mengambil daya usaha untuk mengadakan bengkel penulisan puisi (sajak) dan cerpen kepada 60 orang pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam, Sitiawan dan 10 orang belia Daerah Manjung.

          Menurut Pengerusi, Biro Pendidikan dan Pengajian Tinggi, UMNO Bahagian Lumut, YBrs. Encik Mudzafar Syah bin M.Rajamal bahawa program ini bertujuan untuk membina dan menggilap bakat penulis baharu dalam kalangan remaja. Bengkel ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan susastera Melayu, tetapi juga melatih tunas remaja menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dengan baik, kreatif dan betul.


          Bengkel penulisan sajak telah dibahagikan kepada dua sesi, iaitu Sesi Penulisan Sajak yang dibimbing oleh penyair yang terkenal Tn. Syed Mahadzir bin Syed Ibrahim (DBP/Kemudi) dan Sesi Deklamasi Sajak oleh deklamator terkenal tanah air, Tn. Mohd Noor Ijamala (Karyawan Pk/Kelab Deklamator Kebangsaan) manakala bengkel penulisan cerpen pula dibimbing oleh Munsyi Dewan (Bahasa) dan penulis bukan Melayu tanah air, Encik Chai Loon Guan (Karyawan Pk). Selain bimbingan dan tunjuk ajar secara bersistematik dan berkesan, setiap peserta bengkel juga diwajibkan menghasilkan sebuah sajak dan membedah karya cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008-2009, iaitu "Di Perantauan Impian".  Menurut Penyelaras Program, Tn. Hasni bin Hassim (Mamu MK Hasny), selain menghasilkan sajak dalam sesi  berkumpulan di persisiran pantai Teluk Batik di bawah bimbingan enam orang fasilitator, para peserta juga berpeluang untuk menghayati dendangan puisi lama seperti syair, gurindam, dan pantun. Program Baca Sajak Sampai Pagi turut diadakan pada malam 17 Oktober 2015, di pekarangan resort yang berlatarbelakangkan kolam renang, lampu neon dan landskap perbukitan Teluk Batik yang indah dan mengagumkan. 


          Bengkel Penulisan Sajak - Cerpen Sehati Sejiwa 2015 telah disempurnakan majlis penutupannya oleh YB Datuk Rashidi bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang mewakili YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan pada 18 Oktober 2015. Bahasa Jiwa Bangsa.

No comments: