Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, September 24, 2015

Kelapa - Lemang dalam Peribahasa Melayu



Kelapa dan Lemang dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan

        Kelapa dan lemang merupakan dua subjek yang cukup besar peranannya dalam kehidupan kita sehari-hari, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu di negara kita, Malaysia. Kelapa boleh disinonimkan sebagai buah serba guna sama ada dalam masakan seharian mahupun sebagai sumber penawar kepada beberapa jenis penyakit pada zaman yang serba moden dan kompleks ini. Lemang pula cukup terkenal dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama, khususnya masyarakat Melayu di Malaysia sebagai juadah pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Kelapa

        Kelapa merupakan sejenis tumbuhan palma yang dikenali sebagai nyiur atau kerambil. Dari segi saintifiknya, pokok kelapa digelar sebagai cocos nucifera, iaitu tergolong dalam keluarga palma Arecaceae. Barangkali kita pernah mengenali kelapa dadih, kelapa hijau, kelapa puyuh, kelapa laut, kelapa bali, kelapa parut, kelapa loji, kelapa muda, kelapa kering (kopra), kelapa bulan dan kelapa tua dalam kehidupan kita sehari-hari, khususnya air kelapa muda.


Khasiat Air Kelapa 

        Air kelapa berkhasiat sebagai diuretik, iaitu untuk melancarkan pengeluaran air seni selain bermanfaat untuk mengatasi dehidrasi. Susu yang dicampur dengan air kelapa muda amat baik untuk makanan anak. Campuran air kelapa muda tersebut mempunyai khasiat untuk mencegah penggumpalan susu di dalam perut, muntah, sembelit, dan sakit pencernaan.

        Air kelapa juga dapat membantu mengatasi pengaruh racun ubat sulfat (garam atau ester asid sulfurik) dan antibiotik (sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh mikroorganisma yang boleh mencegah pembiakan atau memusnahkan mikrogorganisma lain seperti bakteria - digunakan dalam rawatan penyakit berjangkit pada manusia, binatang, dan tumbuhan) lain, sehingga menjadikan ubat-ubat tersebut lebih cepat diserap oleh darah selain menyembuhkan atau melenyapkan jerawat, noda-noda hitam, kulit mengering, dan wajah menjadi lebih berseri. Tambahan pula, air kelapa baik untuk masalah sembelit sekali gus melarutkan racun di dalam perut biarpun bersifat sementara, membantu menyembuhkan mabuk,  mengurangkan demam campak selain berfungsi menurunkan suhu badan dengan cepat.
        Bagi rawatan tradisional pula, air kelapa berkesan untuk membasmi pelbagai jenis cacing di dalam usus, dan perlu diminum pada sebelah pagi sebelum makanan lain diambil. Yang jelas, berdasarkan subjek, penulis dapat mengenal pasti sejumlah peribahasa Melayu, iaitu simpulan bahasa dan pepatah yang menggunakan kosa kata "kelapa". Antara lain, seperti:

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Kelapa ditebuk tupai (sb)
Gadis yang telah hilang daranya (gadis yang ternoda)
02.
Kelapa bulan (sb)
Kelapa muda
03.
Kelapa dara (sb)
Pohon kelapa yang baru hendak berbuah
04.
Kelapa gading (sb)
Sejenis kelapa kuning
05.
Kelapa komeng (sb)
Jenis kelapa bermutu rendah
06.
Kelapa muda tidak berminyak (ppt)
Orang muda belum banyak pengalaman
07.
Kelapa puan (sb)
Kelapa yang isinya sangat lembut
08.
Kelapa setandan (sb)
Ciri-ciri yang serupa
09.
Kelapa tebal sabut, terhempas ke batu tak pecah, dibuang ke laut tak tenggelam (ppt)
Kalau ramai anak cucunya, dikasihi kaum keluarga, suka menolong, hidup tentu selamat


Lemang

        Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), lemang ialah sejenis makanan (daripada pulut dan santan) yang dibakar di dalam buluh. Lemang, biasanya cukup terkenal menjelang perayaan utama masyarakat Melayu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Lemang biasanya dihidangkan bersama dengan rendang ayam atau rendang daging dan ketupat kepada para tetamu rumah terbuka yang diadakan pada setiap tahun.

       
        Yang cukup menarik ialah kosa kata lemang turut diungkapkan dalam peribahasa Melayu sebagai pedoman dan pengajaran kepada masyarakat dalam kehidupan kita sehari-hari. Antara lain, seperti:

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Bersandar di lemang hangat
Berlindung kepada orang yang zalim akan binasalah ahlinya
02.
Memakan hendak lemang, membeli hendak pelo (pelat, telor)
Inginkan barang yang elok tetapi enggan membayar harga yang sepatutnya
03.
Menyandang lemang hangat orang
Menanggung akibat perbuatan orang lain

        Selain alam fauna, unsur buah-buahan (flora) dan makanan (kuih tradisi) istimewa dan terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu turut digunakan oleh cendekia bahasa dan budaya untuk mengungkapkan peribahasa Melayu sejak turun-temurun. Yang jelas, peribahasa Melayu terbukti kaya akan nilai falsafah dan pengajaran hidup yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, dan masih relevan untuk kita hayati dan telusuri dari semasa ke semasa selagi hayat dikandung badan.

No comments: