Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, September 30, 2015

Karangan SPM 2015 - Dimensi Keluarga



Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

            Anak-anak yang sihat dan dapat menyerlahkan kecemerlangan diri dalam bidang akademik dan dunia kerjaya merupakan idaman kepada setiap ibu bapa. Belakangan ini, media massa arus perdana, seperti surat khabar, banyak melaporkan pelibatan remaja Malaysia dalam kegiatan negatif selain masalah keruntuhan akhlak yang kian leluasa. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam usaha melahirkan anak-anak yang berakhlak dan berjaya? Yang jelas, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya untuk merealisasikan impian murni, yakni terbentuk dan lahirnya insan yang berilmu, berakhlak dan berjaya dalam kehidupan di Malaysia. Setiap ibu bapa senantiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Jadi, mereka perlulah berusaha gigih untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan semaksimum mungkin agar matlamat yang diingini tercapai. Sebenarnya, terdapat beberapa usaha yang wajar difikirkan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga, bangsa dan negara kelak.

            Pertama sekali, usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. Ibu bapa dapat mencurahkan kasih sayang sama ada melalui perkataan serta perbuatan kepada anak-anak agar mereka tidak diabaikan. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun ucapan pujian apabila mereka memperoleh keputusan yang cemerlang sama ada dalam bidang akademik ataupun kokurikulum. Hal ini penting kerana pujian daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan motivasi kepada anak-anak untuk meneruskan usaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan bak kata pepatah usaha tangga kejayaan. Kajian ahli sosiologi menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi masyarakat yang tidak berguna adalah kerana keadaan rumah tangga keluarga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan dunia pekerjaan di luar rumah. Sebagai contohnya, banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka tersisih dan diabaikan lalu mencari jalan keluar untuk melakukan pelbagai perkara negatif. Tegasnya, anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara jika mereka mempunyai keluarga yang penyayang, prihatin dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

            Selain itu, ibu bapa perlulah menyediakan tepat kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak semasa mereka berada di dalam rumah. Ibu bapa seharusnya mewujudkan rumah tangga atau keluarga yang aman dan damai supaya anak-anak mempunyai hati yang tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak dan hendaklah berkelakuan santun agar diteladani oleh anak-anak bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Bagi mewujudkan keselesaan keluarga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli atau anggota keluarga seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk menjalankan ulang kaji pelajaan dan bilik untuk menonton televisyen. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di rumah yang kurang selesa akan mendorong mereka bertindak melepak di luar kediaman dan sesetengahnya pula tidak pulang ke rumah. Amalan melepak atau bergentayangan ini akan mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, penyalahgunaan dadah dan aktiviti moral yang liar dan bebas. Hal ini terbukti benar berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan setinggan di pinggir kota kosmopolitan.

            Di samping itu, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama atau moral yang sempurna kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan sepatutnya bermula dari rumah. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak yang mulia dan sikap berbudi bahasa yang terpuji kepada anak-anak di samping  dapat membantu mereka mengetahui batas dan norma kehidupan yang betul. Penerapan nilai agama dan moral dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruknya sesuatu perkara dan seterusnya membolehkan mereka membesar dengan berpandukan ajaran agama dan moral yang mulia. Sebagai contohnya, keluarga yang berasal daripada keluarga yang berpendidikan dan berperibadi tinggi, kebiasaannya anak keturunan mereka juga akan memperlihatkan nilai-nilai kehidupan yang terpuji dan disanjungi oleh masyarakat kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama dan moral, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang dilaknati oleh Tuhan. Tegasnya, didikan agama dan moral yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna dan bersahsiah mulia di sisi masyarakat.

            Seterusnya, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati yang terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberikan teguran yang wajar serta betul. Hal ini demikian kerana teguran yang diberikan itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka, sebaliknya matlamat utama mereka bertujuan untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak-anak mereka. Dalam konteks ini, menjaga tepi kain orang lain dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerima teguran secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, barangkali ibu bapa perlulah membetulkan kesilapan anak dan mencari punca mereka melakukan kesilapan sedemikian dengan secepat mungkin agar mereka berasa insaf dan tidak akan  mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna dan terampil, ibu bapa perlulah menerima kritikan dan teguran orang lain, khususnya guru-guru di sekolah dengan hati yang tabah dan minda yang matang dan terbuka bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

            Akhir sekali, ibu bapa perlulah sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek akademik, kokurikulum mahupun kesahsiahan diri anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa akan menyebabkan anak-anak merasakan bahawa diri mereka penting dan senantiasa diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa pula, anak-anak seharusnyalah berusaha meningkatkan kecemerlangan diri masing-masing sama ada dalam aspek akademik, kokurikulum mahupun kesahsiahan diri mereka. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian mulia anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru-guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Tambahan pula, kunjungan ibu bapa ke sekolah untuk mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan perbincangan dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak di sekolah merupakan usaha yang wajar diberian pujian. Ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan sepergaulan mereka dari semasa ke semasa untuk mengelakkan gejala negatif dalam kehidupan sehari-hari. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau setiap perkembangan pendidikan dan kesahsiahan diri anak-anak agar mereka mampu menjadi insan yang berguna, berakhlak dan berketerampilan apabila dewasa kelak selaras dengan matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

            Sebagai kesimpulannya, usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna, berakhlak dan terampil memerlukan pengorbanan dan kesabaran kental ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah mudah sebaliknya pelbagai usaha yang proaktif  diperlukan untuk menyemaikan didikan dan nilai-nilai mulia dalam kehidupan anak-anak dari semasa ke semasa sehingga anak-anak meningkat dewasa dan berjaya dalam dunia kerjaya dan kehidupan.  Yang jelas, proses pendidikan ini perlu ditelusuri secara beransur-ansur dan meniti jambatan kesabaran dan ketabahan yang berliku. Oleh itu, perancangan yang teliti serta sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara berterusan untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga berharap agar anak mereka berjaya sekali gus dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara di samping memartabatan dan mempertahankan maruah keluarga di sisi masyarakat. Tegasnya, tiada ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka menjadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa. Marilah kita sama-sama berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melahirkan anak-anak bangsa Malaysia yang berguna, berakhlak dan berketerampilan  sekali gus berbakti dengan penuh ikhlas dan setia kepada bangsa dan negara kita yang tercinta sejajar dengan maksud slogan keramat masyarakat, iaitu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara!

Disediakan oleh:
Chai Wuang Xing, Tingkatan 5 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: