Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, September 22, 2015

Cerpen - RUMAH II




RUMAH II
oleh Chai Loon Guan

I
        Pagi-pagi lagi, muncul traktor Caterpillar. Deruman enjinnya menggegarkan sebuah desa di pinggir perkampungan Kroh. Deruman itulah pada setiap pagi membangunkan cucu Nyonya Tan. Teh JI, Teh JII, dan Teh JIII. Teh JI berusia 12 tahun, calon UPSR. Teh JII 10 tahun. Teh JIII pula baru berusia 4 tahun. Menantu Nyonya Tan berasal dari Borneo. Anak jati Borneo, Malaysia Timur.

        Dalam perlahan-lahan, hidup pula enjin jengkaut buatan Jepun yang sudah berkampung sejak sebulan dua. Lori-lori pengangkut tanah sudah bergerak bersedia mengangkut tanah-tanah kekuningan merah yang dikorek oleh jentolak itu. Tanah tanih itu kemudiannya dipindahkan sebelum dimuntahkan mengisi lembah-lembah yang rendah. Yang jelas, kerja-kerja penambakan merungsingkan Nyonya Tan. Sejak kematian suaminya separuh dekad yang lalu, segala beban keluarga terpikul di pundaknya. Ah, usia yang kian memanjat tua semakin mengikis kewibawaannya menguruskan segala-galanya.

        "Dah cari rumah sewa, nyonya?" tanya pengurus projek.
        "Susah! Susah nak dapat rumah sewa!"
        "Tak susah. Pokoknya wang, nyonya!" usik pengurus itu lagi. Pengurus yang berperut buncit itu tersenyum sinis.
        "Bukan tauke tidak tahu, Kroh baru dilanda musibah bah!" keluh Nyonya Tan. Benar, musibah bah yang paling dahsyat pada abad ini!
        "Rumah usang ini, akan kami roboh tiga bulan lagi!"
Peringatan bagaikan amaran awal diberikan kepada Nyonya Tan.
        "Dua bulan?" Nyonya Tan kurang pasti. Barangkali mengalami masalah pendengaran. Maklumlah, usia kian meniti senja.
        "Tidak. Notis tiga bulan!"
        "Faham?"

        Angguk Nyonya Tan seperti memahami gerak bibir pengurus projek yang berbaju kapitalis itu.

        Sepanjang hidup bersama dengan mendiang suami, mereka dikurniai empat orang anak. Yang sulung dan yang ketiga, lelaki. Yang kedua dan yang bongsu, perempuan. Kedua-dua anak perempuan sudah berkahwin. Seorang di Perak.  Seorang lagi di Kedah. Kedua-dua anak gadis terpaksa mengikut suami di perantauan. Adat tradisi masyarakat Tionghoa yang diwarisi turun-temurun. Zaman-berzaman. Sepanjang hidup bersama, aman dan sejahtera biarpun hidup kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Mohon rancangan rumah murah, gagal. Mohon rancangan perumahan rakyat, gagal juga. Nak beli rumah mampu milik di daerah ini, sememangnya tidak mampu. Jadi, bersewa rumahlah keluarga Nyonya Tan dekad-berdekad. Mula-mula tinggal di Kuala Terengganu. Kemudian, Rumah Anak Bukit, Kroh. Dan, kini menginap pula di rumah usang ini. Rumah usang dua tingkat inilah yang menunggu masa untuk rebah. Rebah untuk membuka ruang kepada pembahagian lot-lot tanah perumahan. Lot tapak perumahan banglo mutakhir di Daerah Kroh.

        "Banglo?" tanya aku, sekembali bercuti pada musim persekolahan semester pertengahan tahun.   
        "Ya, banglo mewah dua tingkat!" jawab suriku, Jia.
        "Harga seunit?"
        "Kurang lebih RM 500,000.00!"
        Terkelu lidah aku untuk berbicara. Wang gratuitiku selepas bersara pilihan jauh daripada mencukupi. Sekadar mampu aku dengar, tafsir dan berangan-angan seperti Mat Jenin.

        Gauman enjin traktor kian lantang. Jeritan enjin jengkaut kian nyaring. Tanah-tanah bukit kian rata. Lembah kian dipenuhi tanah merah. Rataan kian menghampiri rumah sewa usang yang didiami Nyonya Tan sekeluarga. Kini, segala-galanya di tangan kedua-dua anak lelakinya. Merekalah ketua keluarga biarpun yang sulung masih teruna, bujang terlajak. Tiada jodoh agaknya. Benarlah, jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Ajal maut juga di tangan-Nya. Persoalannya, jika kita tidak berusaha, bagaimana? Yang penting,  langkah permulaan mesti kita mulakan bak kata peribahasa Cina, seribu langkah pada masa depan bermula dengan langkah pertama!

        Terbongkok-bongkok Nyonya Tan menguruskan hal rumah tangga. Biarpun usia sudah menghampiri 90 tahun, Nyonya Tan masih mampu berkebun sayur secara kecil-kecilan di tanah sekangkang kera di halaman rumah sewa usang itu. Hasil tanaman dijadikan makanan harian, mingguan dan bulanan. Malah, selebihnya hasil, dijual secara kecil-kecilan kepada penduduk sekitar kediaman. Pendapatan itu dikumpul. Pendapatan itu dibayarnya, bil elektrik,  bil air dan ongkos perubatan dari semasa ke semasa. Ah, keresahan kian mewarnai buana fikir Nyonya Tan. Tidak lama lagi, kebun sayurnya turut akan dikambusi tanah-tanih merah. Tidak lama lagi, jengkaut dan jentolak akan mengerjakan tanah kebun sekangkang kera itu semahu-mahunya. Dan, yang paling sedih, dia dan keluarga perlu berpindah lagi. Rumah sewa usang itu akan diratakan! Rumah sewa usang yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada Nyonya Tan sekeluarga!

II
        "Kita cari rumah lain, bang!" Minah Lui berbisik kepada suaminya. Tiada respons daripada Teh Jr, anak lelaki bongsu, Nyonya Tan.
        "Tak mungkin saya nak duduk dengan orang tua nyanyuk itu! Tak ingin, saya!" tambah Minah Lui lagi.

        Pendirian tegas Minah Lui menambahkan kerungsingan Teh Jr. Kerungsingan kian memuncak apabila ditambah lagi dunia perniagaannya yang kian merosot akhir-akhir ini. Banyak pelanggan beralih angin. Dari kedai barangan elektrik kecil, di pinggir bandar Kroh ke kedai barangan elektrik besar. Sudah pasti, yang besar berdaya saing. Syarikat besar mampu menawarkan harga yang jauh lebih kompetitif berbanding dengan harga runcit tawaran Teh Jr. Maklumlah, kedai besar mempunyai modal pusingan yang banyak. Hal ini tidak sama dengan kedai elektrik ikan bilis milik Teh Jr. Kedainya kecil. Modalnya tidak banyak. Sewa bangunan perlu dibayar. Bil elektrik dan air perlu dilangsaikan pada setiap bulan tanpa gagal. Jika gagal, notis yang berwarna merah akan diterima sebelum tindakan pemotongan. Kekangan cukup banyak untuk menawarkan harga yang dipinta oleh pelanggan-pelanggan tetapnya, rata-rata rakyat marhaen di Daerah Kroh.

        Tarikh notis pindah kian merangkak tiba. Sebulan. Dua bulan. Dan, kini tinggal sisa-sisa minggu yang berbaki. Suriku kian cemas. Suriku kian resah. Suriku kian gelisah. Bagaimana nanti tarikh itu tiba dan rumah sewa masih belum ditemui? Bagaimana?

        "Itu tanggungjawab Teh Sr kau, Jia!" bisik aku di ruang tamu rumah usang itu. Rumah papan dua tingkat. Rumah peninggalan leluhur tuan punya rumah sejak enam dekad yang lalu. Panas sememangnya panas, terutamanya peralihan waktu tengah hari menelusuri petang. Panas membahang rumah itu dibakar mentari.

        "Nampaknya belum ada sebarang tindakan..." luah suriku lagi.
        "Apa?"
        "Belum. Tiada sebarang tindakan, bang!"
        "Belum?"
        "Hal ini perlu dibereskan sebelum kita bertolak pulang, Jia!" Bahang kerisauan kami kian membara. Lembab betul Teh Sr dan Teh Jr. Dalam hal ini, Teh Jr perlu lebih proaktif. Teh Jr harus memikirkan hal ehwal keluarga. Kebajikan anak isteri dan ibu yang semakin berusia.

        "Datang isteri kontraktor pagi tadi..."
        "Apa ceritanya?"
        "Ada rumah kosong untuk disewa di kawasan yang berhampiran,"
        "Bagus. Selepas makan malam, kauajak mereka untuk berbincang. Kata putus perlu diambil segera! Jangan bersikap sambalewa!"

        Tindakan pantas diperlukan agar rumah dapat disewa sebelum tarikh akhir. Jangan sampai jentolak menelan rumah usang, baru tercari-cari akan tempat berlindung! Masih ada rumahkah, Kroh setelah dilanda musibah bah beberapa bulan yang lalu?

III

        Usaha tanpa mengenal penat, pasti akan berjaya. Syukur kepada Tuhan, dapat juga Teh Sr dan Teh Jr menyewa rumah teres dengan bantuan isteri kontraktor yang budiman. Yang pasti, peranan suriku, Jia tidak dapat dinafikan. Tanpa desakan, barangkali hasilnya adalah sebaliknya. Ibu mertuaku, sekadar menurut sahaja. Kalau boleh, dia tidak mahu berpindah randah. Susah. Leceh. Rumah usang ini cukup nostalgik. Di sinilah, dia dapat bercucuk tanam. Di sinilah, dia dapat menternak ayam itik. Di sinilah, kebun pisang diusahakan. Subur. Hasilnya cukup memberangsangkan. Sekurang-kurangnya, ada sumber pendapatan sampingan. Sumber pendapatan itulah yang dapat membantu seisi keluarga apatah lagi ketika Teh Jr dan Teh Sr kesempitan wang. Ekonomi pula tidak menentu. Mata wang kian merundum. Kebanyakan barang dikenakan GST! Hal itu tidak dipedulikan oleh isteri Teh Jr, Minah Lui. Yang penting bagi Minah Lui, ketika zaman agak mewah suaminya, dia asyik ke pusat beli-belah. Beli pelbagai barangan. Set dapur, peti ais dan televisyen baharu. Kononnya, set dapur, peti ais dan televisyen di rumah usang itu sudah ketinggalan. Kemudian, didesak oleh Minah Lui agar berpindah ke pekan. Masak sendiri dan jarang pula pulang menziarahi bapa dan ibu mertua di rumah usang itu. Benarkah, besar sudah anak lelaki, selepas berumah tangga, lambat laun akan meninggalkan ibu bapa bersendirian?

        Sebagai ibu dan ibu mertua, dia tidak mampu untuk bermasam muka dengan anak menantu. Sebagai nenek pula, dia juga tidak mampu untuk bertelagah dengan anak cucu. Biarlah, asalkan anak bongsu, Teh Jr dan keluarganya bahagia. Apapun, di rumah usang sewaan inilah, tercatat akan sejarah. Mendiang suami yang tercinta diserang sakit jantung. Masuk wad ICU Hospital Kroh sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Demikianlah, ajal maut di tangan Tuhan. Yang hidup, perlu meneruskan kehidupan biarpun susah dan mencabar. Hidup dan kehidupan. Mujur, segala-galanya dapat diuruskan dengan baik. Selepas beres dan memperoleh kepastian, kami pun bertolak pulang ke Daerah Mualim.

        Beberapa minggu sebelum tarikh pengosongan rumah usang itu, telefon rumah berdering lagi. Seperti biasa, menurut maklumat, Teh Sr dan Nyonya Tan masih belum berpindah. Hairan. Bukankah segala-galanya sudah dibereskan tempoh hari? Rumah teres tiga bilik telah disewa. Wang deposit dan sewa sebulan telah dilangsaikan? Jadi, masalah apakah yang menyebabkan Teh Sr dan Nyonya Tan masih meniti hari-hari terakhir di rumah usang itu?
       
        Kata isteri kontraktor, yang berpindah hanya Teh Jr dan keluarganya. Kata isteri kontraktor lagi, yang masih mendiami rumah usang itu, Nyonya Tan dan Teh Sr. Jadi? Bukankah, Teh Sr yang membayar segala ongkos penyewaan? Bukankah wang deposit telah dilangsaikan? Bukankah seberkas kunci rumah teres tiga bilik itu telah diserahkan tempoh hari? Jadi? Benar. Rumah teres itu memiliki tiga buah bilik. Ikut persetujuan keluarga, dua bilik untuk keluarga Teh Jr. Baki sebilik, yang terletak di bahagian belakang untuk Nyonya Tan dan Teh Sr. Jadi?

        Beberapa kali telefon rumah berdering nyaring. Beberapa kali pula telefon pintar Jia berurusan dengan Teh Sr, isteri kontraktor dan Teh Jr. Respons daripada Teh Jr pasif, seolah-olah tiada masalah. Agaknya sudah dijampi oleh Minah Lui. Atau, Teh Jr sudah termakan akan nasi kangkang Minah Lui. Respons Teh Sr dua kali lima. Biarpun masih bujang, Teh Sr masih bersikap acuh tak acuh. Sambalewa. Sememangnya, wujud manusia sedemikian rupa. Tiada resah, tiada gelisah. Dan, hidup masih mampu diteruskan biarpun dibelenggu oleh seribu satu masalah.

        Rupa-rupanya, bilik yang ketiga itu telah diisi. Bilik untuk Nyonya Tan dan Teh Sr telah dipenuhi oleh Minah Lui dengan barangan dapur dan perabot. Mahu tidak mahu, Nyonya Tan dan Teh Sr perlu berikhtiar mencari rumah teres sewaan lain. Sayangnya, Teh Sr masih belum bergerak. Fiil Teh Sr seolah-olah rumah teres idaman akan datang menyembah di kakinya!

        Khidmat bakti isteri kontraktor itu masih diperlukan. Isteri saya masih bersikap tenang pada saat-saat di luar dugaan itu. Yang pelik, apakah tindakan Teh Jr, selaku suami dalam keluarganya? Dayuskah, Teh Jr? Apakah Teh Jr telah disihir oleh isterinya, Minah Lui? Jangan lupa, wang deposit dan sewa bulanan dibayar oleh Teh Sr. Demikianlah ceriteranya. Tindakan Teh Jr dan Minah Lui telah melukai hati Teh Sr. Tindakan Teh Jr dan Minah Lui telah menodai persetiaan yang termeterai selama ini. Ah, benarkah makna peribahasa Melayu, air yang dicencang tidak akan putus? Kerana sayang akan isteri, ibu tua dipinggirkan. Kerana sayang akan anak, ibu tua ditinggalkan. Bukankah sayang akan isteri tinggal-tinggalkan, sayang akan anak tangan-tangankan?

        "Ingat, jangan biarkan orang tua itu berpindah ke rumah ini!" Baris ayat persis amaran termuntah jua dari mulut Minah Lui kepada suaminya, Teh Jr. Siapakah orang tua itu? Orang asing? Orang luar? Pendatang asing Indonesia? Bangla? China Doll? Benarkah, kehidupan ini terlalu buta akan kemanusiaan? Benarkah kehidupan ini terlalu miskin akan nilai kekeluargaan? Barangkali benar, alaf sarwajagat ini, manusia terlalu mengabdikan diri kepada wang dan kemewahan. Darjat? Pangkat? Jadi, buanglah persaudaraan, buanglah silaturahim, buanglah kemanusiaan!

        "Ingat, jumpa Nyonya Chan, isteri kontraktor, esok!" Isteri aku, Jia sempat memberikan peringatan kepada abang sulungnya, Teh Sr.
        "Pindah segera! Bayar wang deposit dan sewa bulanan! Jangan berlengah lagi. Jangan berdolak dalih lagi!"

        Dan, berpindahlah Nyonya Tan dan Teh Sr ke rumah teres sewaan yang kedua tanpa Teh Jr, Minah Lui dan anak-anak! Bagaimana, esok? Benar, selagi ada bulan dan mentari, esok pasti datang! Barangkali, hari ini hari Teh Jr dan Minah Lui. Barangkali esok, hari Nyonya Tan dan Teh Sr pula. Yang pasti, ada karmanya! Sedih, yang menjadi mangsa, anak-anak Teh Jr dan Minah Lui yang masih kecil. Cucu-cucu Nyonya Tan yang masih mentah. Anak-anak saudara Teh Sr yang semakin dewasa di buana kehidupan yang bersimpang siur ini! Di anjung rumah teres sewaan itu, Teh Sr sempat bermonolog. Masih ada mentarikah, esok?
Sumber Gambar Sisipan: Tn. KonYit Chin
(Hak Cipta Terpelihara @ CLG23092015)

No comments: