Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, September 20, 2015

BERITA untuk PELITA BAHASA



BERITA KEGIATAN BAHASA dan SUSASTERA BM untuk PELITA BAHASA



I
MAJLIS PENGHARGAAN PENULISAN BAHASA KEBANGSAAN PENULIS TIONGHOA 2015

          Yayasan Warisan Negara (Yayasan Warisanegara) dengan kerjasama intim Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia telah berjaya menganjurkan Majlis Penghargaan Penulisan Bahasa Kebangsaan Penulis Tionghoa di Dewan Bankuet, DBP pada 17 September 2015. Majlis yang julung-julung kali diadakan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sepuluh orang penulis Tionghoa dari seluruh negara yang telah banyak menulis, menerbitkan pelbagai karya dalam kepelbagaian genre, termasuk puisi, cerpen, novel, drama, makalah, dunia perbukuan dan perkamusan sekali gus menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di seluruh negara.  Yang terpilih oleh panel penilai untuk menerima sijil dan hadiah penghargaan kali ini ialah Encik Chai Loon Guan, Puan Lee Sai Fa, Encik Goh Tecik, Encik Cheng Yan Poh, Dr. Chong Swee Huat, Encik Lai Yoke Choy, Encik Cheng Song Huat, Encik Woo Tack Lok, Encik Teo Huat dan Encik Goh Then Chye.


Majlis penghargaan tersebut yang turut diserikan dengan acara deklamasi sajak, Sehati Sejiwa oleh Encik Chai Loon Guan, Munsyi Dewan dan penyair bukan Melayu tanah air dan nyanyian Kopi Susu, telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, disaksikan oleh YBhg. Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia dan YBhg. Datuk Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia serta YBhg. Tan Sri Pheng Yin Huan. 

II
BENGKEL PENULISAN CERPEN PENULIS TAMIL
          Persatuan Penulis Tamil Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia telah berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Cerpen Bahasa Malaysia untuk 40 orang peserta berbangsa Tamil pada 19 - 20 September 2015 di Hotel Grand Pacific, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.


          Bengkel tersebut yang telah berjaya dikendalikan oleh YBrs. En. Uthaya Sankar SB, Presiden Persatuan Kayvan Malaysia, En. Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa) dan En. Azalan Hussain, Penyelaras Penerbitan ITBM - PENA bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang teknik penulisan cerpen yang betul dan berkesan, aspek penghantaran karya kepada badan penerbitan akhbar, majalah dan buku, selain penekanan dari aspek kepersisan bahasa Melayu, etika dan budaya dalam penghasilan karya.

          YB Tn. P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia II, telah sudi melapangkan masa untuk berucap dan seterusnya menutup rasmi sesi perbengkelan tersebut di samping menyampaikan sijil penyertaan dan cenderamata kepada para peserta bengkel dan tetamu kehormat. Pihak penganjur utama amat berharap agar kerjasama akrab Persatuan Penulis Tamil Malaysia dengan DBP yang sedia terjalin merupakan titik permulaan yang positif dan bermanfaat ke arah menyebarluaskan penggunaan bahasa dan susastera Melayu, khususnya genre cerpen dalam kalangan masyarakat India, khususnya peserta bengkel yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, guru pelatih di IPGM, guru dan pensyarah dari seluruh negara. Bahasa Jiwa Bangsa.

Chai Loon Guan, 
Dewan Bankuet DBP - Hotel Grand Pacific, Kuala Lumpur.
17 September 2015 / 19 - 20 September 2015.

No comments: