Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, August 24, 2015

SINOPSIS: Azfa Hanani vs Kembara Amira



Perbandingan SINOPSIS dalam novel  Azfa Hanani dan Kembara Amira:
Novel Azfa Hanani
Novel Kembara Amira
Novel ini mengisahkan kehidupan seorang gadis yatim piatu bernama Azfa Hanani yang berusia 17 tahun. Setelah kematian ibu bapanya akibat kecelakaan di jalan raya, dia telah dibesarkan oleh bapa saudaranya, iaitu Pak Long Madi dan Mak Long Diah. Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tuanya berlaku ketika Azfa Hanani masih bayi. Bapa saudara yang menjaganya merupakan seorang yang miskin dan tinggal di kampung. Azfa Hanani merupakan seorang pelajar yang bijak di Sekolah Menengah Sri Dian.

      Pada suatu hari, Azfa Hanani dipanggil oleh pengetua kerana ada sepasang suami isteri, iaitu Tengku Mazran dan Kak Finaz ingin mengambilnya sebagai adik angkat. Mereka ingin mengambilnya sebagai adik angkat kerana wajahnya seiras dengan adik mereka, Tengku Murni yang telah meninggal dunia dalam kemalangan. Datin Maziah tidak dapat menerima dan tidak percaya akan kematian anak kesayangannya itu.

      Azfa Hanani dikehendaki menyamar sebagai Tengku Murni bagi mengubati kebingungan Datin Maziah. Azfa Hanani menghadapi konflik, yakni sama ada meneruskan kehidupan bersama-sama bapa saudaranya yang serba-serbi kekurangan di Kampung Merpati atau menerima tawaran lumayan daripada keluarga kaya itu. Akhirnya, Azfa Hanani menerima tawaran tersebut.

      Ketika berada di rumah Datin Maziah, pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui oleh Azfa Hanani. Antara cabaran tersebut ialah sikap Abang Muzaffar dan bapanya, Datuk Tengku Makmur yang kadang-kadang tidak dapat menerima kehadirannya dalam keluarga itu walaupun mereka mengetahui tujuan sebenar kehadirannya.

      Azfa Hanani mendaftarkan diri di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah tersebut, dia merupakan seorang pelajar yang baik dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum seperti Forum Remaja. Dia juga banyak membantu pelajar-pelajar tingkatan lima menjayakan Hari Sumbangsih. Dia juga berkawan rapat dengan Ketua Murid Tingkatan Lima yang bernama Ekran. Abang Muzaffar tidak bersetuju dengan usaha Azfa Hanani berbaik - baik dengan Ekran.

      Dalam pertengkaran mereka pada suatu seketika, Azfa Hanani dengan tidak sengaja menyebut bahawa dia bukanlah Tengku Murni. Kata-kata tersebut didengar oleh Datin Maziah menyebabkan dia sangat marah dan menghalau Azfa Hanani dari rumah itu. Azfa Hanani pulang ke kampung untuk tinggal bersama-sama bapa saudaranya semula.

      Pada suatu hari, Datin Maziah dan keluargannya datang dan memohon maaf atas kekasaran yang dilakukan. Mereka juga menjelaskan bahawa kematian ayah dan ibu Azfa Hanani dalam kemalangan disebabkan oleh perlanggaran dengan kereta yang dipandu oleh Datuk Tengku Makmur. Azfa Hanani pernah disusui oleh Datin Maziah yang ketika itu sedang menyusukan Tengku Murni. Hal ini berrmakna Azfa Hanani merupakan anak susuan Datin Maziah, tetapi terputus hubungan setelah Azfa Hanani dijaga oleh bapa saudaranya.

      Datin Maziah dan keluarganya ingin membawa Azfa Hanani balik ke rumahnya. Dia tidak perlu lagi menyamar sebagai Tengku Murni kerana dia diterima sebagai ahli keluarga yang sebenar. Azfa Hanani pulang ke rumah orang kaya itu dan dilayan dengan penuh kasih sayang.
Novel ini mengisahkan pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan.  Amira telah mengajak kawannya, Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan kajian dan penyelidikan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama dengan pelajar tahun akhir. Di hutan tersebut, Amira telah berkenalan dengan Itai, iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai.  Amira juga telah berkenalan dengan Malique.

                Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut.  Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui lubuk emas itu, kawasan mereka akan diteroka.

                Salah seorang pekerja baharu O’Hara hilang. Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terbenam di dalam lumpur sebelum tergelincir ke dalam gaung.

                Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya ialah kawasan petempatan awal manusia.  Seterusnya, Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah.  Hasilnya mereka menemukan kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua.  Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique.  Amira mengagak bahawa Malique berkemungkinan besar berada berhampiran dengan kawasan tersebut.


                Amira nekad  untuk mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia.  Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. 

Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau ialah bapa kandung kepada Malique (Sabi).  Kemudian, Ludin menggemparkan suasana lagi apabila turut menjelaskan bahawa Itai ialah adik Malique.

                Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa.  Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris.  Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique pula menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

Disediakan oleh: Chai Wei Jian, Tingkatan 5 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: