Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, August 10, 2015

Razak Sensei @ Cikgu Razak



PELANCARAN BUKU "RAZAK SENSEI" dan WACANA PEMIKIRAN CIKGU RAZAK
oleh Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa).

        Perpustakaan Tuanku Bainun dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan telah berjaya menganjurkan Majlis Pelancaran Buku "Razak Sensei" dan Wacana Pemikiran Cikgu Razak di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 6 Ogos 2015. Majlis gilang-gemilang itu telah dirasmikan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

        Pelancaran buku "Razak Sensei: Pemangkin Jalinan Malaysia - Jepun" di UPSI Tg. Malim bersempena dengan daya usaha memperingati 70 tahun pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki, yakni keberadaan Allahyarham Cikgu Razak di tempat kejadian yang cukup tragis dalam sejarah peradaban manusia pada abad kedua puluh. Pelancaran buku tersebut bertepatan dengan kesinambungan fokus Wacana Pemikiran Cikgu Razak yang dianjurkan oleh Perpustakaan Tuanku Bainun untuk menelaah pemikiran bernas tokoh guru yang bergelar Cikgu Razak.
       

        Sesi Wacana Pemikiran Cikgu Razak dipengerusikan oleh Tuan Sayed Munawar Syed Mohd Mustar (selaku moderator) dan barisan ahli panelnya yang terdiri daripada YBhg. Profesor Dato' Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid, YBhg. Tuan Hj. Mohd Hassan Awang Boon dan YBhg. Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak (anakanda Allahyarham Cikgu Razak @ Razak Sensei). Sesungguhnya, majlis ilmu seumpama ini membolehkan para peserta dari seluruh negara, termasuk wakil daripada Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang dan kenalan rapat Allahyarham Cikgu Razak menelusuri dunia perjuangan dan menghayati falsafah hidup Razak Sensei dari sudut pandangan ahli-ahli panel yang cukup akrab dengan  Allahyarham dan merupakan sahabat seperjuangan di Institut Bahasa (LI), Kuala Lumpur, anak didik dan anak kandung sendiri.  Sesungguhnya, benar dan tepat amatlah madah pujangga dan bicara sarjana, iaitu Razak Sensei: Pemangkin Jalinan Malaysia - Jepun!
- CLG, Dewan SITC, UPSI, Tg. Malim.

No comments: