Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, August 20, 2015

Karangan BM SPM 2015



Anda telah menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di sebuah stadium. Perihalkan keadaan di stadium ketika itu. 

          Pada 8 September 2013, saya telah berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Perlawanan bola sepak ini telah diadakan pada pukul 7.30 malam dan berlangsung selama 1 jam 36 minit. Untuk menyaksikan perlawanan tersebut, saya telah menempah tiket perlawanan bola sepak tersebut awal-awal lagi. Saya tiba di Stadium Shah Alam pada pukul 6.30 petang. Tidak lama kemudian, orang ramai mula berpusu-pusu memasuki stadium tersebut. Agaknya, seperti saya, mereka juga tidak sabar-sabar untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Para penonton ghairah untuk menyaksikan perlawanan yang dijangka hebat antara kedua-dua pasukan yang telah berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia, iaitu perlawanan akhir bola sepak antara pasukan Kelantan Darul Naim dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

          Walaupun bilangan peminat dan penonton bola sepak semakin meningkat dari semasa ke semasa, tetapi keadaan stadium tersebut masih terkawal dengan adanya bantuan pihak polis dan FRU. Sebelum perlawanan akhir bola sepak berlangsung, stadium tersebut telah dibanjiri puluhan ribu penyokong daripada kedua-dua pasukan bola sepak yang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Penyokong kedua-dua pasukan tersebut sedang menanti-nantikan perlawanan tersebut dan berharap agar pasukan bola sepak pilihan mereka memenangi Piala Malaysia. Tambahan pula, demi faktor keselamatan di stadium ini, penyokong kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut telah diasingkan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

          Di samping itu, para penyokong turut membawa sepanduk sebagai tanda sokongan masing-masing kepada pasukan pilihan mereka. Terdapat pelbagai jenis sepanduk yang dibawa oleh para penyokong kedua-dua pasukan bersertakan cogan kata yang memberikan semangat yang membara kepada pasukan pilihan masing-masing. Penyokong bukan sahaja membawa sepanduk ke stadium, tetapi juga mengibarkan bendera pasukan masing-masing di dalam stadium. Sesetengah penyokong pula memakai lilitan kepala dengan warna pasukan pilihan sambil menjerit nama pasukan kegemaran mereka dengan penuh semangat. Dalam masa yang sama, suasana riuh-rendah kedengaran diselangselikan paluan kompang, bunyi wisel dan laungan semangat yang berkobar-kobar.

          Selepas itu, pemain-pemain bola sepak pasukan Kelantan Darul Naim dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah melangkah masuk ke stadium tersebut untuk memulakan perlawanan akhir Piala Malaysia. Penyokong kedua-dua pasukan bola sepak tersebut telah memberikan sorakan dan tepukan yang bergemuruh kepada pasukan pilihan masing-masing. Selepas nyanyian lagu Negaraku, sesi bertukar-tukar cenderamata dan bersalaman, kesebelasan pemain kedua-dua pasukan bergerak ke posisi masing-masing, setia menunggu tiupan wisel pengadil sebagai tanda permulaan perlawanan akhir Piala Malaysia.

          Semasa perlawanan, keadaan amat mendebarkan apabila pemain kedua-dua pasukan mula mengatur serangan demi serangan ke gawang pasukan lawan masing-masing. Kompang dan rebana dipukul setiap kali serangan dilakukan. Semasa perlawanan tersebut bermula selama 25 minit, pemain bola sepak daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah menendang bola ke arah tiang gawang pasukan Kelantan. Malangnya, peluang keemasan untuk menjaringkan gol yang pertama terlepas begitu sahaja. 3 minit kemudian, pemain-pemain pasukan Kelantan pula giat melakukan serangan yang berterusan tetapi masih tidak dapat menjaringkan gol. Setiap pasukan turut mempamerkan aksi permainan yang tangkas dan tersusun. Keadaan di dalam stadium tersebut semakin mendebarkan dek sokongan padu para penyokong secara berterusan untuk meninggikan semangat para pemain masing-masing. 

          Para pemain daripada kedua-dua pasuka bermain dengan bersungguh-sungguh dan seterusnya memaparkan semangat kesukanan yang tinggi dan terpuji. Tidak banyak berlaku kekasaran dan keganasan sepanjang perlawanan. Teknik dan serangan yang dilakukan juga berjaya memukau penonton yang terlalu ghairah untuk melihat jaringan gol. Walaupun kedua-dua pasukan melakukan serangan yang berterusan, namun tiada pasukan yang berjaya menjaringkan gol setelah perlawanan tersebut berlangsung selama 45 minit separuh masa pertama. Selepas itu, para pemain berehat seketika sebelum perlawanan separuh masa kedua diteruskan.  Tiupan wisel daripada pengadil kedengaran lagi. Sorakan dan paluan kompang kian kedengaran. Perlawanan kembali semakin rancak apabila serangan kedua-dua pasukan kian bertambah dan banyak mewujudkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Kemahiran seperti tandukan, sepakan bebas, lontaran dalam, mengelecek, tendangan kencang dan beberapa skil bola sepek yang lain turut diperlihatikan oleh kesebelasan pemain kedua-dua pasukan. 

          Tidak lama kemudian, pasukan Kelantan telah berjaya menjaringkan gol pertama melalui tandukan di pintu gol selepas diberi sepakan sudut. Para penyokong pasukan Kelantan bersorak gemuruh dan kegembiraan. Setelah pasukan Kelantan menjaringkan gol yang pertama, pasukan Angkatan Tentera Malaysia pula berusaha untuk menyamakan jaringan. Usaha bersungguh-sungguh akhirnya membuahkan hasil. Pasukan ATM telah berjaya menjaringkan dua gol padang selang beberapa minit dan seterusnya mendahului pasukan Kelantan. Permainan semakin rancak. Pasukan Kelantan telah mengaturkan strategi serangan ke arah gawang pihak lawan. Pada sepuluh minit yang terakhir, pasukan Kelantan Darul Naim telah mendahului pasukan ATM, yakni 3 gol berbalas dua hasil tendangan bebas selepas pemainnya dikasari. Penyokong pasukan Kelantan berteriak kegembiraan dan sibuk meraikan kemenangan. Biarpun pasukan Angkatan Tentera Malaysia tewas, namun kesebelasan utama pemain ATM telah mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan selain semangat kesukanan dan berpasukan yang tinggi.  Tahniah, pasukan bola sepak Kelantan Darul Naim. Syabas, pasukan ATM. 
        
          Perlawanan berakhir dengan upacara penyampaian pingat dan piala kejohanan kepada pasukan Kelantan yang telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah. Selesai upacara tersebut, para pemain pasukan Kelantan turun padang, berlari mengelilingi stadium sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada para penyokong setia mereka. 

          Sebagai kesimpulannya, perlawanan bola sepak antara ATM dengan Kelantan Darul Naim merupakan antara perlawanan bola sepak peringkat akhir yang  terbaik dan menarik pernah saya saksikan secara langsung. Yang penting, perlawanan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah serius yang berbangkit. Syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola, PDRM, pengadil, pengurus pasukan dan para pemain kedua-dua pasukan. Saya amat berharap agar saya berpeluang lagi untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia pada masa hadapan. Majulah Sukan untuk Negara.

Disediakan oleh: 
Chai Wei Jian, Tingkatan 5 Sains 1, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: