Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, August 14, 2015

Karangan BM PT3



SYARAHAN 

          Salam sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan kepada Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Cik Teng Saw See, Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Tg. Malim,  barisan hakim yang arif lagi bijaksana, para guru yang budiman dan rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi yang ceria ini ialah ‘Kesihatan Asas Kebahagiaan’.

Hadirin yang dihormati sekalian,

      Kata-kata pujangga, yakni “Kesihatan melambangkan kekayaan” sering kita dengar dalam kehidupan sehari-hari. Jelaslah bahawa kesihatan amat penting kepada kita. Oleh itu, kita wajarlah menjaga kesihatan dengan sempurna. Kita perlu sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan yang optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan, ubat-ubatan dan melakukan aktiviti riadah. Kebahagiaan tidak dapat kita beli dengan duit atau wang ringgit kerana kesihatan merupakan asas kebahagiaan hidup kita. Jadi, kita perlulah mengamalkan amalan gaya hidup yang sihat dalam kehidupan kita sehari-hari.

          Amalan gaya hidup sihat boleh didefinisikan sebagai amalan kehidupan yang boleh membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarga dan masyarakat. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, otak (minda) seseorang akan berkembang menjadi lebih cerdas, cergas dan sihat. Kita boleh mengamalkan amalan hidup sihat dengan bersukan atau bersenam. Seseorang mestilah menjalani aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Kita juga boleh mengajak rakan-rakan kita supaya bersukan bersama-sama. Hal ini dikatakan demikian kerana bersenam dapat menyihatkan badan di samping masa lapang dapat kita gunakan dengan aktiviti yang berfaedah.

Para guru yang saya hormati,

          Demi kebahagiaan, kita haruslah mengamalkan pemakanan yang seimbang berpandukan piramid makanan. Makanan yang patut kita ambil dengan lebih banyak ialah sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai pelbagai jenis mineral dan vitamin. Kita juga haruslah mengelakkan diri daripada makanan yang berlemak atau bergoreng seperti burger, ayam goreng, piza dan sebagainya. Makanan yang tidak berkhasiat akan menyebabkan kita menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. 

          Selain itu, kita haruslah memperoleh waktu tidur dan rehat yang mencukupi tanpa gagal. Kita juga digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari supaya kita dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan sempurna. Tanpa rehat yang mencukupi, badan kita akan menjadi letih dan lesu sekali gus menyebabkan kita mudah jatuh sakit. Oleh itu, berehatlah dan mendapat waktu tidur yang mencukupi jika kita ingin akan kebahagiaan hidup yang berpanjangan.

Hadirin yang dimuliakan,

          Kita hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan secara dua kali dalam setahun. Hal ini kerana daya usaha tersebut senantiasa memastikan badan kita sihat dan cergas. Pemeriksaan kesihatan patut digalakkan supaya sesuatu penyakit dapat dikenal pasti dan seterusnya membolehkan rawatan segera dijalankan bak kata pepatah langkah mencegah lebih baik daripada usaha mengubati. Jadi, kita haruslah menjalani pemeriksaan kesihatan sama ada di klinik atau di hospital yang berdekatan.

          Sebagai kesimpulannya, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kita perlulah menjaga kesihatan dengan baik di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat bak kata slogan yang popular, yakni ‘Kesihatan Asas Kebahagiaan’. Yang jelas, langkah penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara  berjadual dapat mendatangkan kebahagiaan hidup yang tidak ternilai.
Sekian, terima kasih.

Choo Qing Qing, Tingkatan 3 Meekness, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

No comments: