Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, July 14, 2015

KATA GANDA dalam KBLM - BM T1



Kata Ganda dalam Cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin"
oleh Chai Loon Guan.

Kata Ganda dalam Bahasa Melayu
          Dalam bahasa Melayu, kata nama (KN), kata kerja (KK) dan kata adjektif (KA) boleh mengalami proses penggandaan untuk melahirkan makna-makna tertentu. Kesemua bentuk kata nama, kata kerja atau kata adjektif diterbitkan melalui proses penggandaan, iaitu proses yang hanya menggandakan kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Dalam proses demikian, kata dasar mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu dalam kata dasar.

Menurut Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga (2008), kata nama, kata kerja dan kata adjektif bahasa Melayu diterbitkan melalui proses:
a. Penggandaan penuh
b. Penggandaan separa
c. Penggandaan berentak

Penggandaan penuh kata nama, kata kerja dan kata adjektif
          Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar, sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak, contohnya:

Kata Dasar
Kata Ganda Penuh
Rumah
Rumah-rumah
Makan
Makan-makan
Kajian
Kajian-kajian
Cantik
Cantik-cantik

Penggandaan separa kata nama, kata kerja dan kata adjektif
          Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Perhatikan contoh-contoh yang berikut:

Kata Dasar
Kata Ganda Separa
Tikus
Tetikus
Buah
Buah-buahan
Kejar
Berkejar-kejaran
Rindu
Rindu-rinduan
Bijak
Sebijak-bijak
Merah
Kemerah-merahan

Penggandaan berentak kata nama, kata kerja dan kata adjektif
          Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi-bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
a. Penggandaan berentak pengulangan vokal.
b. Penggandaan berentak pengulangan konsonan.
c. Penggandaan berentak bebas.

Penggandaan berentak pengulangan vokal
          Penggandaan jenis ini ialah penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu, iaitu terdapat ciri-ciri keharmonian vokal. Contohnya:

Kata
Kata Ganda Berentak
Kuih
Kuih-muih
Cerai
Cerai-berai
Hiruk
Hiruk-pikuk

Penggandaan berentak pengulangan konsonan
          Penggandaan jenis ini ialah penggandaan yang mempunyai ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu. Contohnya:

Kata
Kata Ganda Berentak
Batu
Batu-batan
Mundar
Mundar-mandir
Gelap
Gelap-gelita

Penggandaan berentak bebas
          Penggandaan jenis ini ialah penggandaan yang tidak mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau konsonan. Contohnya:

Kata
Kata Ganda Bebas
Anak
Anak-pinak
Ulang
Ulang-alik
Lemah
Lemah-longlai

Makna bentuk penggandaan
      Perkataan-perkataan yang terbentuk melalui proses penggandaan mempunyai beberapa makna tertentu, antaranya:
a. menunjukkan perbuatan yang berulang-ulang.
b. menunjukkan perbuatan yang berpanjangan.
c. menunjukkan perbuatan yang bersungguh-sungguh.
d. menunjukkan perbuatan yang saling berbalasan atau dilakukan oleh dua pihak terhadap satu sama lain.

Kata Ganda dalam Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin (KLBM)
          Setelah menelaah dan menelusuri skrip cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" jelas terkesan oleh penulis akan kehadiran sejumlah Kata Ganda Bahasa Melayu. Antara lain adalah seperti yang berikut:

Bil.
Ayat dalam Cerpen KBLM
Jenis Kata Ganda
01.
Segala kekusutan dan kerinduan yang membelit hatinya perlahan-lahan terungkai setelah menjawab panggilan telefon yang baru sahaja diletakkan gagangnya.
Kata Ganda Separa
02.
Air mukanya tidak sesekali menggambarkan kata-katanya itu ibarat racun yang disembur pada ladang bunga-bunga gembira yang baru sahaja berputik dalam hati Sim Pau.
Kata Ganda Separa
Kata Ganda Penuh
Kata Ganda
Penuh
03.
Begitu keras dia menyatakan bahawa Lim Meng bukan anaknya, bukan daripada benih yang disemainya bersama-sama dengan Sim Pau.
Kata Ganda Separa
04.
Sim Pau seakan-akan terkunci mulutnya.
Kata Ganda Separa
05.
Dia tidak mudah tersentuh dengan hidangan air mata yang melimpah-ruah.
Kata Ganda Berentak
06.
Sejak dia lahir, semuanya jadi haru-biru.
Kata Ganda
Berentak
07.
Walau apa-apa pun, Lim Pooi tetap menyalahkan Lim Meng.
Kata Ganda Penuh
08.
Sim Pau sudah berani menentang cakap-cakapnya.
Kata Ganda Penuh
09.
Lim Pooi meratus sambil tangannya mengusap-usap bingkai gambar yang terpampang gambar Lim Fong.
Kata Ganda Separa
10.
Lim Pooi bertambah-tambah terkejutnya.
Kata Ganda Separa
11.
Bebola matanya mundar-mandir antara bingkai gambar itu dengan wajah Sim Pau yang sudah membengis.
Kata Ganda Berentak
12.
"Belum. Belum lagi," jawab Sam Pau sambil menyeka air mata kegembiraan yang turun mencurah-curah di pipi.
Kata Ganda Separa
13.
Lim Meng berlari-lari anak dan merangkul tubuh Lim Pooi.
Kata Ganda Separa
14.
Sim Pau lekas-lekas ke hadapan untuk melihat siapa yang datang.
Kata Ganda Penuh
15.
Sudahlah Lim Foong meninggalkannya selama-lamanya.
Kata Ganda Separa
16.
Kebetulan pada hari itu, Lim Meng yang baru balik dari sekolah nampak Lim Foong terkapai-kapai kerana lemas.
Kata Ganda Separa
17.
Macam-macam lagi kautuduh.
Kata Ganda Penuh
18.
Kausorokkan barang-barang sesuka hati.
Kata Ganda Penuh

Latihan Pengayaan dan Pengukuhan Tatabahasa/Sintaksis
          Guru meminta murid-murid menyenaraikan kata ganda yang terdapat dalam skrip cerpen tersebut sebelum disusungalurkan mengikut kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Sebagai latihan pengayaan dan pengukuhan tatabahasa/sintaksis, murid-murid diminta membina ayat mudah yang gramatis dengan menggunakan kata ganda yang telah disenaraikan dengan bimbingan dan pemantauan ahli kumpulan perbincangan (sejajar dengan Pendidikan Abad Ke-21) dan guru.

Kesimpulan
          Jenis dan bentuk kata ganda dalam bahasa Melayu perlu dikuasai oleh murid-murid agar wacana sintaksis dan karangan mereka lebih mantap, berwibawa dan menepati kehendak penilaian PT3. Yang jelas, sebagai munsyi, setiap guru Bahasa Melayu perlu mendalami susur galur kata ganda dalam bahasa Melayu, yakni merangkum kata nama (KN), kata kerja (KK), dan kata adjektif (KA) untuk dikongsi bersama dengan murid-murid Tingkatan Satu semasa pembelajaran dan pengajaran (pemudahcaraan) di dalam bilik darjah.

Bibliografi
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, DBP, Kuala Lumpur: 2008

No comments: