Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, July 31, 2015

DURI vs DURIAN dalam Peribahasa Melayu



Duri dan Durian dalam Peribahasa Melayu
oleh Chai Loon Guan.


        Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2007), kosa kata "duri" bermaksud bahagian tajam yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan atau binatang. Duri juga bererti kesusahan atau kesukaran yang dihadapi, sejenis tumbuhan (pokok renek), akar bedara laut (randia fasciculata) selain merupakan sejenis ikan laut (ketengus typus). Daripada kosa kata "duri" pula maka terbitlah perkataan-perkataan seperti berduri, berduri-duri, dan menduri.

        Kata nama am, durian pula merupakan sejenis tumbuhan (pokok yang buahnya berkulit tebal dan berduri), durio spp, termasuklah durian api, durian daun, durian tanah (durio macrophyllus), durian burung, durian hutan, durio pinangianus, durian belanda, durian mekah, annona muricata, durian laut, dungun, dan durian tembaga. Belakangan ini, para penggemar durian tempatan dan wisatawan asing dapat juga menikmati durian berjenama Mao Shan Wang (Rajah Kunyit, Musang King), D101, D24, XO, D13, Jin Feng (Golden Phoenix), D88, Hong Xia (Red Prawn),  Qing Zhu (Green Bamboo) dan Hei Zhen (Black Pearl) sama ada di inap desa pelancongan, resort durian, atau di dusun-dusun durian di seluruh negara, termasuklah Bentong, Pahang Darul Makmur, Gopeng dan Sungkai, Perak Darul Ridzuan, Pulau Pinang dan Johor Darul Takzim.

        Durian juga dipercayai mampu mengurangkan beban penyakit insomnia, mengelakkan osteoporosis, kanser dan anemia, mengawal tekanan darah tinggi, mengukuhkan kesihatan kardiovaskular dan pemangkin awet muda.

        Yang menariknya, kedua-dua kosa kata tersebut, yakni duri dan durian turut tersenarai dalam sebilangan banyak peribahasa Melayu sekali gus menambahkan khazanah bahasa dan susastera Melayu di alam sarwajagat ini. Peribahasa yang telah dapat dikenal pasti berkaitan dengan kosa kata "duri" dan "durian" adalah seperti yang berikut:

Duri dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Duri di hutan siapa pertajam
Kekuasaan Tuhan itu tdak ada batasnya.
02.
Adakah duri dipertajam
Perselisihan tidak perlu diruncingkan lagi.
03.
Bagai duri dalam daging
Hal yang selalu menyusahkan orang
04.
Air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam
Terlalu bersedih hati.
05.
Duri hati
Marah.
06.
Duri landak
Kecil lagi runcing.
07.
Duri sebatang terbuang
Miskin tapi tidak ada hutang.

Durian dalam Peribahasa Melayu

Bil.
Peribahasa
Maksud
01.
Beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak
Sudah berantara atau berjarak seperti saudara yang telah jauh.
02.
Dapat durian runtuh, durian runtuh
Mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau dengan tidak bersusah payah.
03.
Masak durian, masak manggis
Perempuan biasanya lebih teguh menyimpan rahsia daripada lelaki.
04.
Seperti durian menunjukkan pangsa
Orang yang gemar menunjukkan kebesaran dirinya.
05.
Seperti mentimun dengan durian
Orang yang lemah, (bodoh atau miskin) melawan orang yang kuat, (cerdik, kaya).
06.
Durian dan mentimun; menggolek kena, kena golek pun kena
Orang lemah apabila berkonflik dengan orang berkuasa sentiasa susah.
07.
Durian masak berbau, manggis masak tak berbau
Perempuan lebih pandai menyimpan rahsia daripada lelaki.
08.
Durian, pangsa menunjukkan bangsa
Perangai dan bahasa menunjukkan asal usul.
09.
Durian seambung dengan timun
Apabila orang kuat dan jahat bergaul dengan orang lemah dan baik, yang baik akan binasa.
10.
Durian tembaga
Durian yang isinya berwarna kuning perang.

        Sebagai latihan pengayaan dan pengukuhan, latihan pembinaan ayat yang gramatis berdasarkan kosa kata duri, berduri, berduri-duri, menduri dan durian boleh diberikan kepada murid-murid selain latihan berkumpulan di dalam bilik darjah, yakni murid-murid berbincang, mengenal pasti dan mencari makna peribahasa berasaskan kosa kata "duri" dan "durian". Benarkah, bagi sesetengah insan, duri amat melukakan, aroma durian  pula amat mengasyikkan? Tepuk dada, tanyalah selera masing-masing! Bahasa Jiwa Bangsa.

Bibliografi:
Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP: 2007
Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan PTS Consultants Sdn. Bhd., 1993.

No comments: