Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, July 31, 2015

Bengkel Penggubalan Bahan Penilaian Tokoh Nilam



Berita untuk Pelita Bahasa
BENGKEL PENGGUBALAN BAHAN PENILAIAN TOKOH NILAM
oleh Chai Loon Guan, MD (Bahasa)

          Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan (BTPN Perak) telah mengambil daya usaha proaktif untuk mengadakan Bengkel Penggubalan Bahan Penilaian Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun pemilihan 2015/2016.

          Sebanyak 30 orang peserta, termasuk urus setia telah berbengkel selama tiga hari dua malam di Hotel Tower Regency Ipoh pada 28 - 30 Julai 2015. Para peserta yang terdiri daripada guru pakar, Jurulatih Utama, SISC+, hakim pertandingan dan Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi peranan dan amanah untuk menghasilkan soalan-soalan model yang merangkum Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi kedua-dua kategori, iaitu kategori sekolah rendah dan kategori sekolah menengah bersertakan skema jawaban untuk kemudahan dan rujukan para hakim menjelang pemilihan peringkat negeri yang dijadualkan pada akhir September dan awal Oktober 2015.

          Yang Berbahagia Dr. Suhaimi bin Kadir, Ketua Penolong Pengarah, BTPN Perak Darul Ridzuan telah sudi melapangkan masa untuk menyempurnakan majlis penutupan bengkel dan penyampaian sijil. Dalam majlis tersebut, beliau amat berharap agar hasil perbengkelan ini (soalan-soalan model berteraskan KBAT) dapat digunakan untuk menguji, mengenal pasti dan menobatkan calon Tokoh Nilam Negeri Perak 2015/2016 sekali gus berdaya saing di peringkat kebangsaan sejajar dengan rekod pencapaian Tokoh Nilam Negeri Perak pada tahun-tahun sebelumnya. Iltizam BTPN Perak dan kesungguhan para ilmuwan dapat mencemerlangwangikan negeri Perak Darul Ridzuan di persada Nilam Kebangsaan sekali gus merealisasikan gagasan dan wawasan "Perak EXcellent", Jabatan Pendidkan Negeri Perak Darul Ridzuan. Salam Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

No comments: