Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, June 26, 2015

Plot Cerpen BM T4 - Kaduk, Ayam dan Raja



PLOT dalam Cerpen KADUK, AYAM dan RAJA (Zurinah Hassan)

Permulaan
Penulis mengimbas kembali kisah Kaduk.  Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Mereka yang menentang raja dianggap penderhaka dan dijatuhi hukuman berat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Pak Kaduk apabila tanahnya dirampas oleh raja.
Perkembangan
Penulis menjelaskan bahawa Hakim (anak Hassan) merupakan cucu daripada keturunan Kaduk yang berusaha untuk mendapatkan hak (tanah) datuknya semula yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja. Hakim telah mendapatkan bantuan sahabatnya, Azam, iaitu lulusan jurusan undang-undang.
Perumitan
Hakim banyak menghadapi masalah ketika berurusan dengan Syarikan RAJA. Hakim banyak berhutang dengan Syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, dedak, ubat-ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA berkuasa dalam menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan daripada hasil jualan ayam. Baki keuntungan jualan tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakan. Akhirnya, hutang Hakim semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Klimaks
Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam. Dengan apa-apa cara sekalipun, dia perlu membayar hutangnya kepada pihak bank. Kegagalan melunaskan hutang bank menyebabkan tanah pusakanya itu akan dirampas.
Peleraian
Hakim menganggap tindakan bank yang ingin merampas tanah pusaka itu samalah dengan tindakan raja merampas tanah datuknya (Kaduk) dahulu. Banyak persamaan antara dia dengan datuknya, iaitu mereka sama-sama membela ayam dan sama-sama menggadaikan tanah.

Tema
Kesungguhan seorang anak muda (Hakim) menceburi bidang pertanian dan keusahawanan.
Persoalan
a. Kegigihan seorang anak muda untuk mengusahakan penternakan ayam secara moden (komersial).
b. Halangan yang perlu ditempuhi dalam dunia perniagaan.
c. Usaha mengembalikan hak (tanah pusaka) yang telah diambil oleh orang lain.
d. Kesusahan masyarakat yang mengusahakan bidang pertanian.

(Sumber: Modul Menguasai KOMSAS BM T4 - Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 2015)

1 comment:

Zurinah Hassan said...

Salam, semoga cerpen saya difahami.
- SN Dato' Dr.Zurinah Hassan.