Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, June 19, 2015

Asal Usul CANG dalam Kehidupan Masyarakat Cina





ASAL USUL CANG dalam KEHIDUPAN MASYARAKAT CINA
oleh Chai Loon Guan.

          Masyarakat Cina seantero dunia, khususnya di Malaysia sememangnya terkenal akan pelbagai sambutan dan perayaan kaum yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Masyarakat Cina juga terkenal dan rajin mencipta aneka makanan untuk mengenang sesuatu kelahiran atau kematian berlandaskan ajaran Tao atau Taoisme. Antara perayaan yang masih diamalkan (walaupun kian dilupakan oleh generasi muda) selain Tahun Baharu Cina ialah Pesta Kuih Bulan, Pesta Hantu, Pesta Cang (Zongzi) dan Qing Ming (upacara menghormati leluhur).

          Pesta Kuih Cang atau "Zongzi" disambut oleh masyarakat Cina untuk mengenang kematian seorang penyair terkenal, iaitu Chu Yuan yang telah bertindak membunuh diri kira-kira 2,200 tahun yang lalu di laut tanah leluhur China. Sambutan ini jatuh pada hari kelima bulan kelima mengikut takwim lunar masyarakat Cina pada setiap tahun. Kuih cang merupakan sejenis kuih yang diperbuat daripada beras pulut, dibungkus dengan daun buluh dan berbentuk empat segi seakan-akan menyerupai kuih palas.

          Chu Yuan yang dianggap sebagai penyair yang berjiwa patriotik, perwira dan negarawan tinggal di Daerah Chu, China. Sebenarnya, Chu Yuan telah berjaya mempengaruhi maharaja untuk membantu rakyat jelata yang sering ditindas oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak jujur dan rasuah. Ketidakjujuran dan rasuah telah menggagalkan usaha murni Chu Yuan sehingga beliau patah semangat dan bersara daripada dunia politik untuk merantau serta menghabiskan sisa hidup dan masanya bersama dengan rakyat miskin. Beliau banyak mencipta sajak untuk membangkitkan semangat rakyat jelata/marhaen untuk terus berjuang menegakkan keamanan dan keadilan. Kononnya, penamatan riwayatnya sebagai manifestasi protes senyap kepada penyelewengan dan ketidakadilan Kerajaan Chu. Dalam kesedihan, rakyat Chu sekadar mampu membuat kuih cang (dalam bahasa Hokkien) atau "Zongzi", dibungkus dengan daun sebelum dibuang ke dalam laut sebagai makanan Chu Yuan pada hari kematian mendiang. Mayat Chu Yuan tidak ditemukan walaupun pelbagai usaha dilakukan, termasuklah kehadiran bot-bot yang diukir dalam bentuk naga untuk misi pencarian. Bot-bot naga kini digunakan untuk memeriahkan acara perlumbaan dan sambutan secara besar-besaran.

CANG
setiap kali tibanya
hari kelima
bulan kelima
takwim lunar Cina
akan pulanglah
anak menantu
cicit cucu
dari perantauan
kota desa
menelusuri susur galur
budaya leluhur

maka berkumpullah
keluarga kecil
keluarga besar
merapatkan silaturahim
memperkukuh ukhuwah
kemanusiaan insan
sambil menikmati
enak aromanya
kuih cang
cang bak
cang nyonya
cang hakka
cang bantal

dalam cang, sebenarnya
kutemui persaudaraan
dalam cang, sebenarnya
kuhayati kesejahteraan
dalam cang, sebenarnya
kususuri kemanusiaan
dalam cang, sebenarnya
kuhargai kehidupan
di buana sarwajagat insan
zaman-berzaman!

          Teknik pembuatan kuih cang secara tradisi masih kekal hingga kini meskipun inti kuih sudah berubah mengikut cita rasa tersendiri masyarakat. Pada zaman dahulu, cang hanyalah beras pulut yang dicampurkan dengan gula. Mutakhir, masih terdapat kuih cang bak, kuih cang nyonya, kuih cang hakka dan kuih cang bantal. Cang kee pula tidak mempunyai inti dan tawar rasanya. Biasanya, cang seumpama ini, dimakan bersama dengan gula, seri kaya atau sambal. Kuih ini tidak mengandungi minyak dan digunakan untuk upacara sembahyang arwah. Biarpun generasi muda dan moden dalam masyarakat Cina pada hari ini kian melupakan kuih cang, namun usaha untuk mengekalkan tradisi keunikan perayaan masih berterusan. Yang penting, tradisi keunikan kuih cang atau "Zongzi" masih diwarisi dan ditelusuri oleh masyarakat Tionghoa di seluruh dunia. Selamat menyambut Pesta Bot Naga@Pesta Cang@Pesta Duan Wu sedunia!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

No comments: