Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, June 20, 2015

Penderaan Kanak-kanak



PUNCA-PUNCA PENDERAAN KANAK-KANAK

          Kanak-kanak merupakan kurniaan Tuhan kepada pasangan suami isteri. Jadi, ibu bapa seharusnya menaruh kasih sayang kepada anak-anak mereka. Malangnya, kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari setahun ke setahun bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah ini perlu dipandang serius kerana kanak-kanak pada hari ini merupakan modal insan nusa bangsa. Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak pelbagai bangsa?
          Pertama sekali, penderaan kanak-kanak berlaku disebabkan oleh tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa di tempat kerja. Sebagai pekerja yang mencari nafkah keluarga, ibu bapa sering menghadapi tekanan sama ada daripada klien dan majikan ataupun rakan sekerja dalam organisasi. Yang sedihnya, masalah dan tekanan yang dihadapi di tempat kerja turut dibawa balik ke rumah. Di rumahlah, geram dilepaskan terhadap anak-anak yang tidak berdosa. Sesetengah ibu bapa yang tidak rasional pula akan melakukan penderaan fizikal ke atas anak-anak seperti merotan, memukul dan mencederakan anggota badan sehingga mangsa mengalami fobia hidup dan trauma emosi yang berpanjangan.
          Selain itu, penderaan kanak-kanak juga disebabkan oleh masalah kewangan keluarga yang menemukan jalan buntu. Hal ini demikian kerana perbelanjaan yang diperlukan untuk membesarkan anak-anak adalah sangat tinggi sehingga mereka dibelenggu oleh hutang apatah lagi kehidupan mereka bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Beban perbelanjaan yang tidak tertanggung, terutamanya kepada mereka yang mempunyai bilangan anak yang banyak akan mencipta kesulitan dan kebobrokan hidup yang berpanjangan. Kos yang amat membebankan ini telah mendesak sesetengah ibu bapa terpaksa berhutang kepada lintah darat lebih-lebih lagi kumpulan ibu bapa yang menagih cara hidup yang mewah dan berfoya-foya. Oleh itu, apabila mereka berasa tertekan dan dibelenggu masalah, maka anak-anak mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa penderaan.
          Kekurangan didikan agama dan moral dalam kalangan ibu bapa juga mendorong kes penderaan kanak-kanak. Segelintir ibu bapa yang jahil dan tidak memperoleh ajaran agama atau moral yang mencukupi telah memperlihatkan sifat yang bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai bangsa dan kepercayaan agama, namun yang pasti, tiada agama di dunia ini membenarkan atau menggalakkan penganutnya melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang. Yang jelas, pegangan nilai agama atau moral yang kuat dapat menjauhi kita daripada gejala negatif, seperti kes penderaan ngeri.
          Natijahnya, penderaan kanak-kanak merupakan suatu perbuatan yang terlarang dan amat keji di sisi masyarakat moden mutakhir. Maka, semua pihak diseru agar bersatu hati dan berganding bahu untuk membendung masalah penderaan dalam kalangan kanak-kanak bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” kerana kanak-kanak pada hari ini merupakan aset dan pewaris kepemimpinan bangsa dan negara pada masa depan.

Disediakan oleh Chaw Hui Jun, Tingkatan 3, SMK Methodist, Tg. Malim.

No comments: