Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, June 26, 2015

P dan P dalam Prosa Tradisional BM T1 - Asal Padi



Kaedah Pengajaran dan Pemudahcaraan dalam Prosa Tradisional: Asal Padi oleh Chai Loon Guan.


Pendahuluan

          Setelah menelusuri pembelajaran dan pemudahcaraan prosa tradisional, yakni Asal Padi (halaman 17 - 28) dalam antologi teks KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan 1 - Kuingin Berterima Kasih bersama-sama  murid-murid Tingkatan 1, terlahir akan ilham dan keinginan yang kuat dalam hati sanubari saya sebagai munsyi bahasa untuk memberikan ruang dan peluang kepada murid-murid bimbingan untuk menelaah, menghayati dan memahami mesej teks prosa tradisional dari sudut wacana prosa (sinopsis) dan wacana puisi (sajak). Barangkali, pendekatan secara kreatif ini setidak-tidaknya mesra murid dan seterusnya dapat menggalakkan murid-murid, terutamanya murid-murid bukan Melayu untuk mendekati teks prosa tradisional secara dekat sekali gus menjayakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah, yakni murid belajar, guru pula memberikan tunjuk ajar agar yang baik dijadikan teladan, yang kurang baik dijadikan sempadan di buana pendidikan.

Kaedah Sinopsis - Asal Padi

          Pada zaman dahulu, hidup sepasang suami isteri yang sangat kaya. Suami isteri itu mempunyai dua orang cahaya mata. Kedua-duanya anak lelaki. Malangnya, kedua-dua suami isteri itu telah meninggal dunia meninggalkan kedua-dua anak lelaki mereka yatim piatu. Yang sedihnya, semua ternakan dan harta peninggalan telah habis diambil orang jahat kecuali sebuah kolam ikan milik keluarga.

          Si Bongsu, anak sulung, sudah dewasa tetapi cacat. Kedua-dua tumitnya berlubang. Pada suatu hari, bertemulah Si Bongsu dengan tujuh orang wanita yang baru selesai mandi dan bersiap-siap untuk pulang. Si Bongsu meninggalkan bumi bersama-sama tujuh orang wanita ke kayangan.
         
          Di kayangan, Si Bongsu terlihat dan tertarik akan benda kuning yang berkilau-kilauan ditimpa sinar matahari, kononnya digelarnya sebagai emas. Empunya padi itu memberitahu Si Bongsu bahawa benda itu ialah padi, teramat enak dan berfaedah. Si Bongsu memohon sedikit padi untuk ditanam di bumi tetapi tidak dibenarkan dan dihalau oleh empunya padi tersebut. Si Bongsu hanya dibenarkan makan di kayangan sahaja. Memang lazat makanan yang aneh itu.

          Si Bongsu mencari akal agar ia dapat menyembunyikan benih tanaman itu sebelum turun ke bumi. Si Bongsu memasukkan segenggam padi yang sedang dijemur ke dalam mulutnya tetapi dapat dikesan oleh empunya padi beberapa langkah di tangga pelangi. Akhirnya Si Bongsu menjadi hamba empunya padi atas alasan kakinya terlalu sakit dan tidak dapat turun ke bumi. Tidak berapa lama kemudian, luka pada tumit Si Bongsu sembuh. Si Bongsu bertindak menyembunyikan butir-butir padi di dalam lubang luka pada tumit kakinya sebelum memohon izin untuk pulang ke bumi. Sebelum itu, Si Bongsu diperiksa dengan teliti. Akhirnya, sampai jugalah anak yatim piatu itu ke kampungnya di bumi dengan selamat.

          Si Bongsu menanam benih padi di ladangnya. Sebaik padi tumbuh di bumi, padi di kayangan tidak mahu menjadi. Padi kayangan itu berhasil dapat dicuri dan ditanam di bumi.  Orang kayangan mengutuskan burung pipit untuk membuat siasatan. Burung pipit membohongi orang kayangan kononnya bumi tidak ditumbuhi padi sedangkan paruhnya tampak putih, jelas menunjukkan pipit baru sahaja habis makan padi. Pipit dan Si Tekuri kembali ke bumi untuk menyiasat. Yang jelas, laporan Si Pipit tidak benar. Si Tekuri dan Si Pipit bertengkar dan berlaga. Kerongkong Si Pipit disepit keras-keras hanya temboloknya yang berputar ke arah tengkuknya. Demikianlah cerita asal mulanya padi ada dan tumbuh di bumi.

Kaedah Sajak - Asal Padi

dahulukala
hidup sepasang suami isteri
mewah
bersama-sama dua anak kecil
atas kehendak takdir
meninggallah kedua-dua ibu bapa
harta benda
habis dikikis orang durjana
tinggallah anak yatim piatu
melarat hidup
bertemankan kolam ikan warisan
Si Sulung cacat
Si Bongsu pula giat melihat-lihat
kolam pusaka
lalu bertemulah ia
dengan tujuh orang wanita
seusai mandi manda
sebelum pulang ke kayangan

maka, diperkenanlah permintaan Si Bongsu
menyertai mereka ke kayangan
setibanya Si Bongsu
hilanglah mereka
hadir pula sebuah dusun
di bawah panas terik menteri
kuning kemilau di jemuran
disangka Si Bongsu longgokan emas
padi namanya
milik empunya buah tanaman
yang baik yang enak

hadir niat Si Bongsu
mahu diambilnya
barang sedikit ke bumi
tetap ia diusir
melainkan makan di kayangan
penuh lazat penuh nikmat
nasi yang disangka emas!

mencari akallah, Si Bongsu
mahu diseludup tanaman ajaib ke bumi
padi segenggam
dimasukkan ke dalam mulut
sebelum sempat melarikan diri
tingkah laku Si Bongsu
dapat dijejaki di tangga pelangi
diberkas, Si Bongsu oleh empunya padi
atas rayuan dek kesakitan pada kaki
Si Bongsu dibenarkan kembali
bekerja di kayangan
menjaga mengawasi
padi di jemuran

sembuhlah, luka di kaki
mencari akal lagi, Si Bongsu
tanpa putus asa
padi segenggam
disembunyikan di dalam
lubang-lubang luka tumitnya
sebelum diberi izin
pulang ke bumi, desa halaman

selepas diperiksa teliti
tidak ditemukan sebutir padi
maka, berangkatlah Si Bongsu
meninggalkan kayangan
padi anak yatim piatu
tumbuh subur di bumi
tidak menjadi pula padi kayangan

biarpun dikirim Si Burung Pipit
datang menyiasat
biarpun dihantar Si Tekuri
datang mengawasi
berlakulah pertengkaran
berlakulah perlagaan
yang kalah jadi abu
yang menang jadi arang
demikianlah asal mulanya padi
di bumi!

Tema:
Kebijaksanaan dan ketabahan dalam menyelesaikan masalah.

Persoalan:
a.       Sikap tidak berputus asa dalam melaksanakan sesuatu tugas.
b.       Pembohongan akan diketahui juga akhirnya.
c.       Perbuatan mencuri harta orang merupakan perbuatan yang salah.

Makna Kosa Kata - Asal Padi

No.
Kosa Kata
Makna
01.
Dahulukala
Pada zaman atau jangka masa yang sudah lama berlalu, zaman dahulu
02.
Peninggalan
Sesuatu yang ditinggalkan, pusaka, warisan
03.
Kerekot
Bengkok-bengkok, berkerut-kerut
04.
Berkeberatan
Keberatan, kesukaran, kesulitan, tidak rela, enggan
05.
Perkenan
Izin (keizinan), kelulusan, kerelaan, persetujuan
06.
Mempergunakan
Mengambil faedah, mengerjakan sesuatu dengan
07.
Kayangan
Negeri yang-yang, tempat dewa-dewa
08.
Empunya
Pemiliknya, tuannya
09.
Piatu
Tiada beribu dan tiada berbapa, tidak mempunyai sanak-saudara
10.
Terhantuk
Terlanggar, terbentur, tersandung
11.
Menggeledah
Memeriksa dengan tujuan mendapatkan sesuatu, menyelongkar
12.
Curiga
Syak wasangka, waswas, sangsi
13.
Tampak
Tidak terlindung, dapat dilihat, kelihatan
14.
Berangkat
Mula meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain, bertolak
15.
Tembolok
Kantung tempat menyimpan makanan pada leher burung atau ayam

Kesimpulan

          Kaedah Sinopsis dan Kaedah Sajak difikirkan dapat membantu murid-murid untuk menelusuri dan menghayati kronologi atau plot cerita. Sebagai aktiviti pengayaan dan pengukuhan, sajak tersebut turut boleh dideklamasikan oleh murid-murid di dalam bilik darjah sebelum diberi latihan pemahaman berdasarkan petikan yang diberikan. Sebagai kesimpulannya, sebagai guru atau munsyi Bahasa Melayu, kita haruslah senantiasa berusaha, mencuba dan mereka cipta aneka kaedah, pendekatan dan teknik pembelajaran dan pengajaran teks komponen sastera dalam Bahasa Melayu di dalam bilik darjah agar anak-anak didik kita dapat menimba ilmu dan pengalaman selain menguasai kemahiran berbahasa Melayu secara kreatif, menarik dan berkesan.

Sumber:
Antologi Kuingin Berterima Kasih, Tingkatan 1, Dewan Bahasa dan Pustaka: 2015.
Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP, Kuala Lumpur: 2007
Modul Menguasai PT3 Komsas Tingkatan 1, Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya: 2015.

No comments: