Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, June 23, 2015

Novel BM T1 (Zon Utara) - Bab demi Bab



ANALISIS NOVEL TINGKATAN SATU (ZON UTARA) - PELARI MUDA
Ghazali Ngah Azia
SINOPSIS BAB DEMI BAB (Bahagian I)
oleh Chai Loon Guan, MD (Bahasa), DBP.

          Mulai tahun 2015, teks KOMSAS mengikut zon sudah berubah. Dalam makalah ini, saya berkesempatan untuk menelaah dan menelusuri setiap bab yang terkandung dalam novel Tingkatan Satu Zon Utara, yakni Pelari Muda oleh Ghazali Ngah Azia, antara cerpenis remaja yang hebat di buana kesusasteraan tanah air.
          Yang turut dimuatkan ialah kosa-kosa kata bersertakan maknanya sekali pada setiap bab untuk bacaan, renungan dan dijadikan bahan latihan pengukuhan dan pengayaan KOMSAS dalam pembelajaran dan pengajaran (pemudahcaraan) Bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

Bab 1 - Mengapa Muram

          Kamarul berasa muram. Ibunya, Mak Jah dapat menghidu kemuraman Kamarul walaupun cuba disembunyikannya. Selalunya, Kamarul ceria selepas balik berjoging. Rupa-rupanya Kamarul telah berselisih faham dengan Saridah. Biasanya, Mak Jah menyebelahi Saridah. Mak Jah amat menyenangi dan menyayangi Saridah dan berharap agar hubungan mereka berdua dapat dipulihkan.

          Encik Kadir, jurulatih Kamarul, menelefon Kamarul agar turun berlatih di Pusat Sukan Kampung Pandan. Kamarul enggan berlatih di bawah kelolaan Encik Kadir. Pelawaan Encik Kadir ditolak oleh Kamarul. Sebaliknya, Kamarul ingin berlatih sendiri. Kamarul ke kelas Tingkatan 5B. Dia tercari-cari akan Saridah.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Menjuruskan
Mengarahkan, memajukan, mendorongkan
02.
Mendongak
Terangkat sedikit ke atas (bkn. kepala, muka dll.)
03.
Melirik
Menjeling dengan tajam, mengerlin
04.
Menancapkan
Memasukan hingga masuk (pisau), mencucukkan
05.
Menggerutu
Bersangat-sangat, mencomel

Bab 2 - Jangan Mungkir

          Sudah 20 minit, Sures berada di Pusat Sukan Kampung Pandan menunggu Kamarul yang tidak muncul-muncul sejak 3 petang. Sures agak terkilan kerana Kamarul tidak menepati janji dan sering ponteng latihan sukan. Kamarul ditegur oleh Cikgu Dariah, penolong kepada Cikgu Zainal. Sikap protes dan kurang senang mula hadir dalam diri Kamarul. Lupa daratankah, Kamarul?

          Encik Kadir sedang berbual-bual dengan Encik Subramaniam, penolongnya. Sures mula memanaskan badan. Jasum, Adnan, Mahat, Suradi dan Rajip sedang menjalani latihan. Encik Kadir bertanya kepada Sures tentang Kamarul. Sebenarnya, Sures menjadi harapan pasukan sebagai pelari terpantas biarpun sukar.

          Cakap Encik Kadir agak kasar biarpun peribadinya baik dan bertimbang rasa. Menurut Encik Kadir, disiplin penting untuk membentuk seseorang yang bertanggungjawab. Petang itu, Encik Kadir hanya mempertingkatkan kepantasan larian pecut 400 meter kepada pelarinya. Ketiadaan Kamarul, ujian pecutan pantas 100 meter ditangguhkan. Encik Kadir mahu berjumpa dengan Kamarul pada keesokan harinya.

          Saridah ke rumah Sures bertanyakan Kamarul. Menurut Saridah, Kamarul muncul sekejap kemudian menghilangkan diri. Sures tahu bahawa Saridah pernah bertengkar dengan Kamarul. Saridah tidak mahu pertengkaran itu berlarutan sehingga menjejaskan prestasi Kamarul dalam bidang sukan.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Kelolaan
Arahan dan kawalan, selenggaraan
02.
Memprotes
Pernyataan tidak setuju dengan susuatu dasar, sanggahan
03.
Memadai
Mencukupi, dapat mengisi atau memenhi
04.
Menggamit
Memberikan isyarat dengan jari, menyentuh jari, mencuit
05.
Becok
Bercakap dengan bising dan tidak henti-henti

Bab 3 - Surat Tak Bersampul

          Saridah berada di perpustakaan sebelum waktu rehat. Saridah berharap agar Kamarul muncul tetapi hampa. Cukup marah Saridah biarpun resah hatinya masih belum reda. Saridah keluar dari perpustakaan. Dia berselisih dengan Mok Oi dan Rajeswary di tangga dalam perjalanan ke kelas Tingkatan 5B.

          Meja Saridah dikunjungi oleh Juriah sambil bertanyakan perkembangan diri Saridah. Saridah tidak faham akan tingkah laku Kamarul yang begitu membenci dirinya. Saridah mengesat matanya dengan tangan. Dipujuk Juriah agar Saridah melupakan Kamarul seketika. Waktu balik, Saridah ke perpustakaan semula. Saridah menulis sepucuk warkah buat Kamarul untuk diluahkan kekesalannya. Surat itu dimasukkannya ke dalam buku teks bahasa sebelum bergegas ke kelas Tingkatan 5B semula. Kebetulan Juriah masih belum pulang. Saridah mahu Juriah bertindak sebagai posmen, menghantar surat Saridah tanpa sampul dan setem. Gurauan mengiringi kepulangan mereka berdua.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Lazim
Telah umum, biasa, ghalib, selalu
02.
Menjengah
Melihat, menjenguk
03.
Berkeriut
Berbunyi seperti bunyi pintu dibuka
04.
Tergores
Tergaris, tercorek, terlintas, terfikir akan
05.
Longlai
Lemah lembut, terliuk-liuk, tidak bermaya, lemah

Bab 4 - Sebak di Dada

          Bersiap-siap pagi itu, Kamarul ingin berjoging tetapi ditegur oleh ibunya, Mak Jah. Sempat Mak Jah menghulurkan surat tanpa sampul kepada Kamarul. Surat dimasukkan ke dalam kocek seluarnya sebelum melangkah ke luar pagar. Dia mula berlari-lari anak. Kamarul dengan tenang membaca surat tersebut tanpa menghiraukan lalu-lalang orang. Surat Saridah benar-benar menyentak hati kecilnya. Perasaan marahnya tersingkir dari hatinya.

          Kamarul teringat akan tindakannya selama ini. Saridah. Cikgu Zainab dan wajah Encik Kadir. Surat itu dikeroyoknya menjadi bulat sebelum dilontarkan ke dalam longkang. Hatinya kembali marah dan geram. Dia bergegas ke Stadium Merdeka. Pantas langkahnya. Berkecamuk perasaannya. Serba salah.

          Beberapa orang pekerja sedang memesin rumput di padang. Dia terus ke tempat duduk penonton. Ribuan tangan melambai-lambai dengan suara gamat melaung-laung namanya. Jeritan manusia itu bagaikan memberikan semangat kepadanya. Harapan pingat dalam acara 100 meter dan 400 meter. Kamarul menarik nafas sebelum ke garisan permulaan. Dia pecut dan semakin pantas. Catatan masa 10.68 saat dalam 100 meter mengatasi rekod Suradi di Sukan Asia di Delhi, 1982. Perasaan bangga terus membuai dalam dirinya.

          Tiba-tiba Kamarul tersedar daripada lamunannya. Masih kelihatan dua orang pemotong rumput di padang. Dengan geram, Kamarul terus keluar dari stadium itu dan menuju ke jalan raya. Kamarul berasa sebak. Perasaan sayu halus yang tajam menyelinap ke dadanya. Saridah!

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Melingas
Memandang ke sana sini dengan pantas seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu
02.
Mengunjukkan
Mengangkatkan tangan ke atas, memberitahu dengan menunjuk, memperlihatkan, menunjukkan
03.
Menyelinap
Bergerak dengan pantas, menyorok, menyusup
04.
Keroyok
Serbu beramai-ramai, rempuhan
05.
Berbaur
Beraduk, bercampur, bergaul

Bab 5 - Jemu Menunggu

          Saridah menunggu Juriah yang masih belum kelihatan. Perasaan bosan dan jemu membelenggu dirinya. Selain Juriah, Kamarul juga menyakiti hatinya. Saridah teringat akan tindakan Kamarul di perpustakaan. Surat yang ditulis olehnya. Bingkas dia bangun. Dia tertumpu pada sebuah album. Dia memerhatikan gambar-gambar di dalamnya. Tiba-tiba matanya tertumpu pada sekeping gambar yang amat menarik dan banyak menyimpan kenangan. Di sebelah gambar, beberapa keping keratan akhbar yang menceritakan kejayaan Kamarul, seorang pelari muda tanah air selain wajah Saridah di sisi Kamarul. Kenangan bersama-sama semasa Sukan MSSM. Ucap tahniah Kamarul memulakan persahabatan mereka biarpun Saridah gugup dan terpempan seketika. Sejak itu, kemesraan mereka cukup terserlah dan terus terjalin. Mereka saling mengunjungi sekali gus mengeratkan tali silaturahim.

          Kamarul sering memberikan galakan agar Saridah sehebat Zaiton Othman pada suatu hari nanti. Dalam diam, Saridah merasakan bahawa dia sudah jatuh cinta pada Kamarul. Tiba-tiba Kamarul berubah menjadi keras kepala dan sombong. Dia mula menjauhi Saridah, selain bertelagah dengan Cikgu Zainal. Album itu dihempaskannya ke atas meja. Bangun Saridah menuju ke cermin muka sambil menilik mukanya, bergaya dan cuba memicit jerawat di pipi kanannya. Teringat Saridah akan kisah jerawat manis dengan Juriah. Kisah persahabatannya dengan Kamarul. Panggilan Juriah mengejutkan lamunannya. Jenaka Juriah menghilangkan kemarahan Saridah. Mereka bersiap-siap untuk keluar bersenam.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Bertelagah
Berlainan pendapat, berselisih faham, bertelingkah
02.
Semena-mena
(dgn.) sebab yang berpatutan, sewenang-wenang
03.
Menelentang
Terbaring (tidur, terletak)
04.
Gerobok
Almari untuk menyimpan makanan
05.
Riba
Pangkuan, bunga berganda yang membebankan

Bab 6 - Mengapa, Kamarul?

          Kamarul sengaja tiba di Pusat Sukan Kampung Pandan lewat 15 minit dari masa yang dijadualkan. Di padang, Encik Kadir sibuk mengarahkan para pelari berkumpul. Sures, Suradi, Mahat dan Rajip berada di situ. Kamarul dipanggil oleh Encik Kadir. Encik Kadir ingin berjumpa dengan Kamarul selepas latihan. Selepas senaman, Encik Kadir mengingatkan semua pelatih agar mempertingkatkan kecergasan dan melipatgandakan latihan sebelum berangkat ke Bangkok. Encik Kadir juga membandingkan rekod 100 meter para pelatihnya sekali gus mahu atletnya mengatasi pelari dari negara lain. Encik Kadir turut berbangga dengan pencapaian Sures semalam.

          Wisel dibunyikan. Para pelatih, termasuk Kamarul berlari pecut. Pencapaian Kamarul masih lembab ketika berlepas. Sures berjaya menunjukkan prestasinya. Kamarul pula semacam tidak serius bagai melepaskan batuk di tangga. Sebenarnya, Kamarul seorang pelari yang cepat meningkat dan mempunyai larian pantas. Tahap kecergasannya mencurigakan. Belakangan ini, dia jarang-jarang datang berlatih. Encik Kadir mahu Kamarul mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik di Seoul dan Sukan Komanwel di Vancouver. Kamarul dipanggil dan didenda membuat lapan pusingan mengelilingi padang. Kecewa dan marah, Kamarul.

          Selepas giliran Suradi dan Rajip, tiba pula giliran Sures dan Kamarul diuji di garisan permulaan. Sures berjaya menewaskan Kamarul dengan catatan masa terbaiknya 10.78 saat. Sures tersenyum lebar. Latihan pada hari itu bersambung pada keesokan harinya. Kamarul dipanggil berjumpa dengan Encik Kadir. Satu persatu dia ditegur oleh Encik Kadir. Kamarul masih membisu. Menurut Encik Kadir, dia perlu membuat laporan tentang perkembangan para atlet di bawah jagaannya. Kamarul memberitahu Encik Kadir bahawa dia ingin berlatih sendiri dan mampu mencapai kecergasan. Encik Kadir tersentak sambil memberikan amaran. Kamarul memberitahu Encik Kadir bahawa dia boleh menjalani latihan tanpa tunjuk ajar sesiapa sebelum meninggalkan Encik Kadir terpempan keseorangan. Dia bingung dan merasakan bahawa tindakan Kamarul sudah melampaui batas. Sambil berfikr, Encik Kadir bergerak menuju ke kereta yang terletak di luar pagar.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Melengah-lengahkan
Melakukan sesuatu supaya lalai, mengabaikan, melambat-lambatkan
02.
Mendekati
Pergi dekat kepada, menghampiri
03.
Terpempan
Terpegun, tercengang
04.
Mengenjut-enjut
Turun naik
05.
Mencecahkan
Mengenakan (menyentuhkan, mencelupkan) sedikit sesuatu pada

Bab 7 - Melepaskan Marah

          Kamarul berasa penat. Mak Jah menghampiri Kamarul dengan sepiring betik yang sudah dipotong kecil-kecil. Kamarul tidak mempedulikan hal emaknya lalu menuju ke meja ruang tamu sambil menghidupkan kipas. Sambil bersandar pada kusyen, dia membaca surat khabar. Kamarul membaca kenyataan yang dibuat oleh Encik Kadir. Peserta olahraga Malaysia ke Sukan SEA mempunyai harapan untuk meraih pingat emas. Malaysia dijangka dapat memungut pingat emas awal dalam acara 100 meter dan 400 meter melalui Kamarul, Sures dan Rajip. Turut disentuh oleh Encik Kadir ialah disiplin para peserta negara. Katanya, dengan disiplin yang tinggi sahaja, para peserta negara akan menyerlah. Pada akhir kenyataan, Encik Kadir memuji sikap Sures dan Kamarul yang telah menjalani latihan bersungguh-sungguh demi meningkatkan prestasi larian masing-masing. Gambar Encik Kadir ditusuk dengan jari-jari Kamarul sehingga surat khabar itu terkoyak. Perbuatan Kamarul disedari oleh ibunya, Mak Jah yang kehairanan.

          Kamarul hanya tersengih. Dia menghempaskan surat khabar itu di atas meja sebelum ke dalam biliknya. Kemudian, Saridah menelefon Kamarul. Perbualan mereka dalam telefon kian rancak. Saridah bertanyakan surat kirimannya. Sebenarnya, Saridah ingin memohon maaf daripada Kamarul dan mendoakan kejayaannya di Bangkok. Janji temu telah termeterai. Mereka akan bertemu di padang latihan sekolah nanti. Mak Jah bertanyakan hubungan Kamarul dengan Saridah. Segala-galanya kembali baik semula.

          Saridah sampai di sekolah pada pukul 3.00 petang. Kamarul masih belum tiba. Saridah terkenang akan Juriah. Juriah sudah dianggap sebagai kakaknya sendiri. Ibu Saridah sibuk akan aktiviti persatuan wanitanya. Ayahnya pula sentiasa sibuk di pejabat. Kakak Sarifah pula terlalu mementingkan tunangnya. Lamunan Saridah ditegur oleh Juriah. Berfalsafah pula Juriah. Mereka menyambung bual bicara di kantin tanpa dikesan oleh Cikgu Maimunah. Sambil memesan makanan, mereka berbual rancak semula. Saridah mengaku bahawa dia amat menyayangi Kamarul. Juriah mengingatkan Saridah bahawa mereka masih belajar lebih-lebih lagi peperiksaan SPM kian menjelang. Juriah menasihati Saridah agar melupakan Kamarul. Yang penting, Saridah perlu menumpukan perhatian pada pelajaran. Air mata Saridah tumpah. Perasaannya kian berkecamuk. Kata Juriah, pelajaran akan menentukan segala-galanya. Juriah berharap agar Saridah menganggap Kamarul sebagai seorang kawan sekolah dan sekadar peminat. Sempat mereka berdua minum sebelum bergerak ke padang semula.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Menoleh
Berpaling atau berpusing muka ke kiri, ke kanan atau ke belakang untuk melihat
02.
Terserlah
Menyerlah (kelihata nyata, terkemuka, menonjol)
03.
Menempelak
Mencerca atau mencela dengan keras, menggusari dan menyesali
04.
Tersengih
Tersenyum dengan mulut terbuka sedikit dan menampakkan gigi
05.
Berkeroncong
Berbunyi seperti bunyi loceng kecil, berbunyi dalam perut kerana lapar
  
Bab 8 - Semoga Berjaya

          Sebaik Cikgu Jasmah berurusan dengan pengetua di pejabat, Kamarul mengambil kesempatan untuk keluar kelas, iaitu waktu sebelum rehat. Kamarul ditegur oleh Adibah, ketua kelas. Menurut Kamarul, Cikgu Zainal ingin berjumpa dengannya. Wujud pertengkaran dan cabar-mencabar antara Kamarul dengan Adibah. Sikap sombong Kamarul menjadi rungutan Adibah.

          Kamarul keluar dengan perasaan marah. Dia ke bilik guru. Dapatlah Kamarul berjumpa dengan Cikgu Zainal. Sebenarnya Cikgu Zainal ingin berjumpa dengan Kamarul. Cikgu Zainal menerima sepucuk surat daripada Presiden KOM meminta pelepasan Kamarul untuk mewakili negara dalam Sukan SEA biarpun tarikhnya bertembung dengan sukan tahunan sekolah. Sempat Cikgu Zainal mengingatkan Kamarul tentang pelajaran dan SPMnya. Cikgu Zainal turut berasa bangga akan pencapaian Kamarul. Sempat juga Cikgu Zainal memberitahu Kamarul bahawa Encik Kadir, jurulatihnya telah datang berjumpa dengan dirinya. Berdebar-debar hati Kamarul. Mujur, Encik Kadir memohon kebenaran agar Kamarul dibenarkan berlatih sebelah pagi dan petang lantaran waktu kian singkat. Dalam perbualan mereka, prestasi Kamarul yang agak menurun turut berbangkit. Serba salah perasaan Kamarul seketika. Cikgu Zainal sempat mengucapkan syabas dan berharap agar Kamarul mencipta kejayaan nanti. Selepas berjabat tangan, Kamarul keluar dari bilik guru dan terus berlari ke kantin. Dia berasa lapang. Debarnya sudah hilang serta-merta.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Tunak
Tidak berhenti-henti, berterusan, sentiasa tekun, tetap setia, patuh, taat
02.
Mengherdik
Mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar, menengking, menghamun
03.
Kendur
Tidak tegang, tidak kedap, tidak tarik, tidak teguh atau erat
04.
Bertembung
Berjumpa, bersua, bertemu, terjerempak, bertemu menjadi satu, bercantum, bersentuhan
05.
Abai
Cuai, lalai, tidak atau sangat sedikit memberikan perhatian, tidak mengendahkan atau mempedulikan

Bab 9 - Dia Tidak Sudi

          Petang. Kamarul ke tempat latihan. Tinggal beberapa minggu lagi, Sukan SEA akan berlangsung di Bangkok. Kamarul terserempak dengan Sures dan Encik Kadir. Senaman ringan sudah bermula. Encik Kadir mahu menguji Kamarul dan Sures. Kamarul bersikap acuh tak acuh dalam ujian tersebut. Kamarul memulakan larian agak lambat membolehkan Suresh mengambil kesempatan untuk memecut laju dengan kepantasan 10.75 saat, mengatasi rekod lama catatan peserta Filipina.  Yang jelas, prestasi Kamarul kian merosot. Latihan pada petang itu berjalan dengan lancar. Encik Kadir agak membimbangi prestasi turun naik Suradi.

          Selepas latihan, Encik Kadir memanggil Kamarul. Sebenarnya, Kamarul kurang senang berhadapan dengan Encik Kadir. Teknik latihan beliau agak membosankan. Sikap ponteng latihan Kamarul telah ditegur oleh Encik Kadir. Kamarul sekadar mendiamkan diri apabila ditegur dan dimarahi oleh Encik Kadir. Menurut Kamarul, dia berlatih sendiri di rumah. Kemarahannya kian membara apabila dikatakan oleh Encik Kadir bahawa Kamarul tidak berdisiplin. Menurut Kamarul, dia mampu melakukannya sehingga Encik Kadir menggelarkan dirinya sombong. Kamarul turut meluahkan hasratnya untuk menarik diri. Encik Kadir teramat kecewa akan sikap Kamarul. Kamarul diberi masa untuk bermuhasabah diri. Sempat Encik Kadir menghadiahinya sebutir pingat emas yang telah dimenanginya ketika mewakili negara di Sukan Asia di New Delhi sebagai pembakar semangat Kamarul. Pingat itu dilemparkan oleh Kamarul sebelum melangkah keluar dari pagar.

          Kamarul cuba mengukur kebaikan Encik Kadir dengan kekasaran yang dilakukannya terhadap Encik Kadir. Sepatutnya, dia tidak patut bersikap kasar sedemikian.  Berbagai-bagai gambaran dan perasaan bersalah mendera hati Kamarul. Segala kebaikan dan jasa baik Encik Kadir kembali dalam ingatan Kamarul. Dia sedang diasak seribu satu persoalan sambil langkahnya terus maju ke depan. Dia terlupa untuk menoleh ke kiri. Malang tidak berbau. Kamarul kemalangan!

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Menghenjutkan
mengenjutkan, teronggek-onggek, bergerak turun naik
02.
Menyebelahi
Menyebelah kepada
03.
Mengembalikan
Mengirimkan sesuatu kembali, memulangkan
04.
Melenting
Membingkas balik, menganjal, bergerak dengan cepat dan pantas, melentur, naik marah dengan segera
05.
Meredakan
Merelakan, menjadikan atau menyebabkan reda, menenangkan, mengamankan, mengurangkan kemarahan

Bab 10 - Sepatutnya Berehat

          Walaupun ditegur agar tidak banyak bergerak, namun Kamarul masih berdegil untuk bangun dan bersandar. Dia berasa kurang selesa benar berada dalam keadaan terbaring begitu.  Mak Jah menggelengkan kepalanya. Dia sedar, Kamarul memang degil. Pergerakan akan membuatkan kesan luka membengkak dan sukar pulih seperti sedia kala. Kamarul berasa kecewa. Namun begitu, Kamarul bernasib baik, yakni hanya cedera sedikit sahaja di bahagian lutut dan mukanya.

          Saridah dan Encik Kadir datang menziarahi Kamarul. Lima belas minit kemudian, Kamarul tersedar daripada tidur. Kamarul ternampak akan Saridah di sisi ibunya. Saridah dan Kamarul berbual-bual. Kamarul dimaklumkan tentang kedatangan Encik Kadir. Dia berasa kesal kerana tiada orang mengejutkan dirinya. Sempat Saridah membangkitkan perbalahan mereka dan gosip kawan-kawan di sekolah. Ketawa menyambut kemunculan Mak Jah yang terpinga-pinga kehairanan. Mereka memberitahu Mak Jah tentang peristiwa sewaktu berjoging dahulu. Mak Jah turut tersenyum.

          Dua hari berselang. Kamarul dibenarkan pulang selepas menerima suntikan pada pahanya selain nasihat doktor tentang latihan pergerakan kedua-dua kaki pada setiap pagi. Selama empat hari dia terlantar di hospital itu, Kamarul sudah mesra dengan layanan Doktor Munirah apatah lagi doktor itu mengenalinya sebagai pelari negara. Dr. Munirah sering memberikan nasihat untuk memulihkan dan membangkitkan semangat Kamarul. Sempat diberitahu oleh Dr. Munirah bahawa Encik Kadir ada menelefonnya bertanyakan kesihatan Kamarul. Wajah Encik Kadir, Sures dan Saridah datang bersilih ganti dengan wajah kawan-kawannya, Cikgu Zainal dan ibunya. Lawatan kawan-kawannya dan kemesraan Cikgu Zainal memberikan semangat baharu. Suara lembut Encik Kadir, dorongan Sures dan wajah manis Saridah mencairkan perasaan bongkaknya. Mereka dekat di hati dan mengharapkan kejayaannya.

          Monolog maaf dan keazaman untuk kembali berlatih di padang terhenti seketika dengan kemunculan Encik Kadir di hadapannya. Akhirnya, Kamarul pulang bersama dengan Encik Kadir.  Kamarul masih dibuai perasaan riang dan sebak yang berbaur.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Bersandar
Meletakkan belakang pada sesuatu supaya teguh atau selesa, duduk sambil bertopang pada
02.
Memejamkan
Menutup mata, mengejamkan
03.
Memicit-micit
Memecal, memijit, mengurut
04.
Menjeling
Memandang dengan ekor mata, mengerling
05.
Terpnga-pinga
Tercengang-cengang kehairanan

Bab 11 - Harapan Tinggi

          Kamarul tiba di Pusat Sukan Kampung Pandan. Resah. Dia teringat akan tajuk rencana dalam akhbar. Harapan yang disandarkan terlalu tinggi. Dia ternampak akan Encik Kadir memberhentikan keretanya di luar pagar. Kamarul memberikan hormat. Latihan larian sudah bermula. Encik Kadir menguji Kamarul dalam acara pecut 100 meter. Kamarul masih bimbang akan kecederaannya. Menurut Encik Kadir, Kamarul mempunyai masa untuk kembali cergas. Dia berharap agar Kamarul tidak mudah berputus asa. Zola Budd pernah cedera tetapi dia masih berupaya untuk membuktikan kecergasannya dengan menjalani latihan keras secara berdisiplin. Kamarul meminta diri untuk pulang berehat.

          Lazimnya, selepas makan malam, Kamarul ke bilik untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah atau membaca novel. Ayah, emak dan kakaknya tidak berada di rumah pada malam itu. Jika tidak, banyak pertanyaan yang perlu dijawab oleh Kamarul. Dia terlentang di atas katil. Matanya menatap gambar pelari-pelari luar negara yang ditampal pada setiap sudut dinding biliknya. Carl Lewis, Ben Johnson, Owen Torance, dan Standley Floyd. Kemudian muncul gambar atlet Malaysia. Istiaq Mubarak, Junaidah Aman, M. Jegathesan, Zaiton Othman dan Rabuan Pit.  Dibukanya pula catatan pada buku sambil membandingkan catatan masa Sukan MSSM, SUKMA dan Sukan SEA. Nyatalah dia jauh ketinggalan dalam acara 100 meter dan 400 meter. Dia perlu berbuat sesuatu untuk mencatatkan masa yang terbaik. Bola matanya menjamah gambar Carl Lewis. Kamarul tersenyum sendiri.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Bersaing
Berjalan, beriring-iring, turut serta, bersama-sama, berdampingan
02.
Ketinggalan
Yang tinggal baki, kelebihan, tertinggal, terkebelakang, tercicir, ditinggalkan oleh (bas, kereta api dll.)
03.
Riak
Gerakan air yang mengombak, getaran udara, gerak-geri
04.
Kemerosotan
Perihal merosot, kejatuhan, kemunduran
05.
Mendatang
Datang dengan tiba-tiba, yang datang dari tempat lain, terbitan, akan datang

Bab 12 - Selamat Jalan

          Kamarul dan kawan-kawan lain berada di ruang berlepas. Dia tercari-cari akan kelibat wajah Saridah. Semalam, Saridah telah menelefonnya dan berjanji akan turut menghantarnya di lapangan terbang.  Fazilah dan Adibah asyik memerhatikannya.  Kamarul diusik oleh mereka. Suasana agak sibuk. Ada penumpang berurusan di kaunter tiket. Yang menghantar, asyik berbual-bual. Kanak-kanak pula melonjak atau berlari-lari ke sana sini.  Tiba-tiba Fazilah ingin berpantun:

Burung pipit terbang berkawan,
          Singgah sekejap di ranting kering;
Sungguh resah menunggumu puan,
          Kenapa tak datang pada saat genting?

          Meledaklah ketawa Adibah dan Fazilah. Encik Kadir dan Sures sempat menoleh. Ketika pengumuman pesawat MAS akan berlepas ke Bangkok pada pukul 11.00 pagi, muncul Saridah pantas.  Rupa-rupanya Saridah terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas. Juriah mengirim salam kepada Kamarul. Kamarul sempat bersalam dengan kawan-kawannya dan Saridah. Masing-masing mengucapkan kata-kata penuh semangat untuk melepaskan Kamarul menaiki kapal terbang.

          "Semoga berjaya, Rul," ucap mereka serentak lalu melangkah meninggalkan tempat menghantar menuju ke kantin.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Mencuit
Mencuil, menggamit, menyentuh dengan hujung jari
02.
Berselindung
Bersembunyi, menyorok, tidak terang-terang
03.
Melemparkan
Membalingkan, melantingkan, melontarkan
04.
Melonjak
Melompat ke atas untuk mencapai sesuatu, melambung, bertambah, melompat naik
05.
Genting
Kecil, jalan di celah bukit, sudah halus hingga hampir putus, tegang, berbahaya

Bab 13 - Dia Peminat De Wega

          Pesawat MAS selamat mendarat di landasan Lapangan Terbang Dong Muang. Setelah pintu dibuka, kontinjen Malaysia turun menjalani pemeriksaan imigresen dan kastam. Kemudian, mereka menaiki bas menuju ke Hotel  Narai.  Sepanjang perjalanan, bendera-bendera dari negara peserta berkibar dengan megah di tengah pemisah jalan.
Sebaik tiba di hotel, mereka telah disambut oleh penyambut hotel dengan senyuman mesra. Kamarul dan Sures sebilik. Sempat mereka berbual-bual. Mereka akan menjalani latihan intensif keesokan harinya sebelum turun ke litar larian. Kemuraman Kamarul dapat dikesan oleh Sures.  Sebenarnya, Kamarul terlalu bimbang akan prestasinya. Kecederaan lampau sedang menghantui Kamarul. Sures cuba memberikan kata-kata perangsang.

          Perbualan mereka terhenti seketika dengan kehadiran Encik Kadir. Menurut Encik Kadir, para peserta perlu bertemu di bilik persidangan hotel untuk mendengar taklimat dan makan malam. Sempat juga Encik Kadir bertanyakan keadaan Kamarul dan berharap agar dia dan Sures berjaya.

          Keesokan paginya, Stadium Nasional Bangkok dilanda hujan rintik-rintik. Kamarul dan Sures berasa riang. Encik Kadir dan penolongnya membawa para pelatih olahraga ke Gimnasium A, tempat beberapa orang peserta Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei turut berlatih. Selepas nasihat Encik Kadir, para pelatih memulakan latihan bersendirian. Encik Kadir gembira melihat perkembangan positif Kamarul dan rakan-rakannya. Kamarul sudah pulih seratus peratus. Sebelum berangkat pulang, Kamarul berpeluang untuk menemui pelari terhandal Filipina, De Wega. Sempat Kamarul berkenalan dan berbual-bual dengan De Wega. Perkembangan dan kehebatan Kamarul turut dibangkitkan oleh De Wega. Banyak gambar dan keratan akhbar tentang De Wega menjadi koleksi Kamarul. Kehebatan jaguh-jaguh olahraga Malaysia masih diingati dan disebut-sebut oleh De Wega, musuhnya dalam pertandingan nanti. Selain latar belakangnya sebagai buruh kereta api di Filipina, De Wega turut menekankan aspek kepentingan disiplin, pandangan jurulatih dan keluarbiasaan dalam pertandingan yang barangkali akan menyaksikan Kamarul menewaskan dirinya nanti, lebih-lebih lagi dia sudah berusia 34 tahun sedangkan Kamarul baru berusia 17 tahun. Sebelum bersurai, Kamarul dan De Wega berjabat tangan. Semangat De Wega telah menguasai dirinya.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Merenek-renek
Gementar, menggeletar (suara)
02.
Mengheret
Menarik dengan paksa, menghela, membawa seseorang ke sesuatu tempat
03.
Menjengah
Melihat dengan menghulurkan kepala, menjenguk, mengunjungi
04.
Mengenderai
Menaiki kereta, menunggang kuda
05.
Kesangsian
Perihal sangsi, keragu-raguan

Bab 14 - Dadanya Mencecah Pita

          Berita mengenai Kamarul tersiar dalam televisyen dan akhbar-akhbar tempatan dalam bahasa Thai. Perbualan mereka pada pagi itu terhenti apabila pengurus kontinjen Malaysia, Syed Ali Mohidin menyampaikan ucapan. Menurut Encik Kadir pula, upacara pembukaan akan berlangsung pada petang itu. Beliau turut memberikan nasihat dan berharap agar para peserta tidak terpengaruh oleh ramalan akhbar atau televisyen tempatan.

          Petang itu, suasana riang dan cuaca di kota Bangkok pula redup. Berlangsunglah upacara pembukaan Sukan SEA yang ke-14 dengan meriahnya. Kontinjen Malaysia dengan megah dan penuh semangat berbaris dengan para peserta lain membuat lintas hormat. Ribuan penonton sedang menyaksikan perbarisan tersebut. Pembukaan rasmi pula diserikan pula dengan acara bola sepak antara pasukan tuan rumah dengan pasukan Malaysia.

          Selepas tiga hari, Malaysia sudah pun berjaya memperoleh enam pingat emas, lapan perak dan sebelas gangsa. Filipina masih mengungguli senarai pungutan pingat. Kamarul, Sures dan Rajip akan bertarung dalam acara 100 meter dan 400 meter pada petang ini. Yang pasti, mereka akan ditentang hebat oleh pelari dari Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand. Semangat dan tunjuk ajar telah diberikan oleh Encik Kadir. Sempat Encik Kadir memberikan pingat kebanggaannya kepada Kamarul dan disuruh agar diikat pada bahagian pinggang Kamarul. Kamarul, Sures dan Rajip menuju ke garisan permulaan. Kamarul di lorong kedua, Rajip di lorong kelima dan Sures pula di lorong keenam. Kamarul memerhatkan De Wega sebelum membongkok mengambil nafas dan memperoleh semangat baharu. Tembakan permulaan kedengaran. Kamarul memecut sekuat tenaga. Imbasan angin badan De Wega terasa laju. Kamarul membongkokkan kepala melampaui garisan akhir. Berjaya akhirnya, Kamarul! Dia berjaya memperbaharu rekod lamanya dan mengatasi rekod De Wega sendiri. Sures berjaya memperoleh pingat gangsa. Pada petang itu juga, Kamarul telah berjaya memperoleh satu pingat emas lagi dalam acara 400 meter, mencipta rekod baharu Sukan SEA dan Sukan Asia. De Wega tewas buat kali yang kedua.

          Encik Kadir mengucapkan tahniah atas kejayaan Kamarul. Ucapan tahniah juga daripada kawan-kawan sekolah Kamarul. Yang pasti, ucapan tahniah daripada Saridah dan Juriah! Pingat yang diikat di pinggangnya dikembalikan kepada Encik Kadir. Hasratnya tidak kesampaian. Encik Kadir mahu pingat itu disimpan oleh Kamarul sebagai tanda orang yang pertama menjadi jurulatih Kamarul lebih-lebih lagi Encik Kadir akan bersara selepas berlangsungnya Sukan SEA itu. Beliau berasa bangga atas kejayaan Kamarul. Sayu perasaan Kamarul. Di tangannya, masih terpegang kertas catatan ucapan tahniah Saridah dan Juriah!

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Terpampang
Kelihatan jelas terbentang, terpapar
02.
Menghela
Menarik, mengheret, menyeret
03.
Kontinjen
Sekumpulan orang yang mewakili sesebuah pertubuhan, negara, dsb., sepasukan tentera, kenderaan tentera
04.
Mencungap
Bernafas kencang kerana kepenatan, terngap-ngap, terengah-engah
05.
Merejam
Melempari dengan batu, melempari dengan sesuatu

Bab 15 - Ucapan Tahniah
         
          Waktu bergerak terlalu pantas. Dua belas jam waktu siangnya terasa seperti tiga jam berada di dalam perut kapal terbang MAS. Bermulalah, upacara penutupan Sukan SEA. Dalam acara olahraga, Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Filipina dengan 10 pingat emas, 8 pingat perak dan 8 pingat gangsa. Obor Sukan SEA dipadamkan perlahan-lahan. Kamarul sempat mengunjungi bilik De Wega dan menyampaikan ucapan penghargaan atas galakan dan semangat yang diberikan. Kamarul menghadiahi De Wega sekotak cenderamata yang berwarna-warni. Sebagai balasan, De Wega menghadiahi Kamarul pula sebutir pingat yang pernah dimenanginya beberapa tahun lalu di Sukan SEA Brunei sebagai perangsang persahabatan.

          Penerbangan pesawat MAS dari kota Bangkok ke Kuala Lumpur tidak mengalami sebarang gangguan. Di dalam pesawat itulah, Kamarul terbayang-bayang akan wajah emak, ayah, kakak, Saridah dan kawan-kawan sekolah. Dia rindu akan tanah air. Dia terbayang akan gulai lemak asam pedas masakan emaknya. Mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kamarul bangun dan perlahan-lahan melangkah keluar untuk membereskan segala urusan penerbangan. Kepulangan Kamarul disambut oleh keluarga yang tersayang, Saridah dan kawan-kawan.

          "Kamarul, selamat balik dan tahniah!" ucap mereka sambil bersalaman dengan Kamarul. Kamarul tersenyum lebar.

Bil.
Kosa Kata
Makna
01.
Beres
Teratur, rapi, tidak kacau, selesai
02.
Harmoni
Selaras dari segi muzik, menunjukkan persesuaian atau persetujuan tindakan, pendapat, perasaan
03.
Tahniah
Ucapan selamat
04.
Jendela
Tingkap
05.
Lamunan
Fikiran yang bukan-bukan, angan-angan

          Sebagai kesimpulannya, penulis amat berharap agar sinopsis bab demi bab novel Pelari Muda dapat membantu murid-murid Tingkatan Satu (khususnya, murid Zon Utara) untuk menghayati kronologi dan plot cerita dari awal hingga akhir secara berkesan sekali gus memperoleh nilai tambah dan pengukuhan selain bacaan teks asal novel tersebut.  



No comments: