Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, June 11, 2015

Darul Ta'lim


Notelun Catatan
Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja SMJK Zon Tengah 2015 anjuran Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama DBP.
Tempat:
Darul Ta'lim, Lot 3021, Batu 14 1/2, Jalan Felcra Semungkis, Hulu Langat,
Selangor Darul Ehsan.
Tarikh: 8 - 10 Jun 2015
Sebaik menerima surat pelantikan sebagai penceramah Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja SMJK Zon Tengah 2015 daripada YBrs. Encik Alex Yong Yee Tuck, Pengurus Besar, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, saya telah membuat persiapan awal. Bahan perbengkelan, bagasi, busana, komputer riba ASUS dan antologi perseorangan, Akulah, Pelaut Hidup (sajak) dan Bendera Putih (cerpen) serta tiket ETS KTM dari Tg. Malim ke Sentral Kuala Lumpur.
8 Jun 2015, Isnin:
Sementara menunggu ketibaan tren ETS dari Ipoh, sempat saya mengolah serangkap sajak prosa spontan untuk tatapan diri dalam laman Facebook, telefon Lenovo ketika menelusuri perjalanan pagi ke negeri Selangor Darul Ehsan.
Seperti sang pengembarakah, aku, menjejaki dan menelusuri rel kehidupan yang panjang, di sarwajagat-Nya? Sesekali, sebagai penumpang yang reda, perlu aku singgah berhadapan duga luka lara, perlu berhijrah aku untuk meninggalkan rempah ratus silam yang ruwet, menyahlupuskan noda dosa barangkali, sebelum tiba destinasinya memeluk aku penuh rindu, akrab, aman lestari di sisi-Nya.
Dari Sentral Kuala Lumpur, penulis bergerak ke Darul Ta'lim, Hulu Langat dengan sebuah teksi berkupon. Selamat tiba penulis, di Darul Ta'lim pada pukul 2.00 petang, setelah tersesat dua kali. Makan tengah hari di Darul Ta'lim. Yang jelas, bukan semua pemandu teksi Sentral Kuala Lumpur tahu akan setiap destinasi yang ingin ditujui oleh setiap kliennya.
DARUL TA'LIM
Darul Ta'lim, demikianlah nama inap desa yang diberikan. Kawasan Darul Ta'lim seluas empat ekar, terletak di kaki bukit, agak tinggi, indah landskapnya, sunyi, tenang dan aman. Sesekali kedengaran bahasa kongkang dan dengkangan katak memecahkan kesunyian dingin malam. Sememangnya amat bijak sekali, pihak penganjur memilih lokasi berkenaan untuk menjalankan sesi perbengkelan dan penulisan sajak dan cerpen selama tiga hari dua malam. Barangkali juga, latar tempat yang jauh daripada hiruk-pikuk kota kosmopolitan akan memberikan pengalaman baharu kepada warga peserta bengkel yang terdiri daripada dua puluh lima orang murid Tingkatan 3, 4 dan 5, SMJK dari Negeri Sembilan Darul Khusus, Selangor Darul Ehsan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

9 Jun 2015, Selasa:
Slot I, II dan III, yakni Bengkel Penulisan Cerpen dikendalikan oleh Cik Zaleha Ahmat (cerpenis dan penyelidik DBP) manakala penulis diberi ruang dan peluang untuk menjayakan Slot IV, V dan VI, iaitu Bengkel Penulisan Sajak. Jadi, sepanjang tiga hari dua malam, para peserta akan mempelajari asas, teknik penghasilan karya, dan aspek apresiasi cerpen dan sajak sebelum diterjemahkan dalam bentuk persembahan dan penghasilan karya. Dalam tempoh dua bulan, setiap peserta diwajibkan menghasilkan dua buah cerpen dan tiga buah sajak untuk bacaan dan suntingan pemudah cara sebelum diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yang mengagumkan penulis, selain para peserta tunas remaja yang berbakat, mampu berhujah dan berkarya dalam bahasa kebangsaan, seni bina dan landskap Darul Ta'lim yang cukup istimewa menarik perhatian penulis. Yang jelas, seni bina Darul Ta'lim banyak berkonsepkan tumbuhan buluh dan mesra alam semulajadi. Dari ruang tamu, anjung, pagar balkoni, anak tangga, jendela dan hiasan dalaman, bahan hiasan berasaskan tumbuh-tumbuhan buluh jelas kelihatan. Menurut pengusaha inap desa Darul Ta'lim, Puan Kwok (mualaf), kebanyakan buluh di inap desanya diimport dari negara Asia dan nusantara, seperti China, Taiwan, Indonesia selain buluh tempatan.
Menu makanan sarapan, makan tengah hari, kudapan dan makan malam yang dihidangkan selama tiga hari dua malam pula, sederhana tetapi enak, kemalaysiaan, berlaukkan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan selain mi, kuih-muih tradisional Melayu dan Cina, serta disajikan minuman ringan, air suam, teh, milo dan kopi menurut cita rasa para peserta dan tetamu.
10 Jun 2015, Rabu:
Lumrah alam, setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan. Maka, seusai majlis rasmi, yakni ucapan alu-aluan daripada YBhg. Dato' Goh Hin San, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan YBhg. En. Abdul Wahab bin Hamzah (Ketua Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, Pelbagai Kaum, DBP), penyampaian cenderamata dan sijil, para hadirin dihiburkan oleh persembahan teater membaca (skrip cerpen) dan deklamasi sajak, sebelum berakhir dengan makan tengah hari.
Saya amat yakin bahawa pengalaman yang dilalui dan ditimba di Darul Ta'lim amat berharga bukan sahaja kepada para peserta bahkan juga kepada urus setia, pemudah cara dan tetamu kehormat daripada Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan DBP. Darul Ta'lim, di sinilah bermulanya cinta, cinta akan alam, kesederhanaan dalam kehidupan, bahasa, budaya dan susastera bahasa kebangsaan. Terima kasih, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan DBP kerana merealisasikan impian dan pengalaman ilmu yang berharga ini bersama dengan peserta tunas remaja. Bahasa Jiwa Bangsa.

No comments: