Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, June 28, 2015

Cerpen BM T1 - OREN



Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak dan Perwatakan dalam cerpen BM Tingkatan 1 - OREN
oleh Chai Loon Guan

            Cerpen "Oren" karya Saifullizan Yahaya merupakan antara tiga cerpen pilihan yang termuat dalam Antologi Komsas BM Tingkatan 1, Kuingin Berterima Kasih. Cerpen tersebut menekankan kepentingan nilai kasih sayang bukan sahaja sesama manusia malahan terhadap haiwan dan alam. Saifullizan Yahaya dalam karyanya menampilkan watak anak kucing jantan berwarna oren yang kekurangan kasih sayang daripada penjaganya sehingga merajuk lalu membawa diri. Kehilangannya telah memberikan kesan emosi kepada penjaganya. Sinopsis cerpen, tema, persoalan, watak dan perwatakan yang disenaraikan bertujuan untuk memudahkan murid-murid untuk menelaah, menelusuri dan memahami jalan cerita seusai membaca skrip asal cerpen dalam pengajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah.

Sinopsis Cerpen OREN

            Oren, kucing jantan, masih tidak pulang pada hari keempat. Ayah masih tercari-cari akan Oren. Aku pernah melihat Oren di tepi longkang di belakang rumah. Adikku, Anis ada melihat Oren bermain-main di bawah pokok tua di taman perumahan di hadapan rumah dua hari yang lalu.  Sudah seminggu, hampir setiap malam, pada hujung pertengahan Disember, hujan turun diiringi guruh dan angin.

            Kelabu masih di pangkuan ayah. Kelabu dipungut oleh ayah sekembali dari tempat kerja setelah ibunya kemalangan dilanggar oleh ayah. Sejak kehadiran Kelabu, berbulu kelabu seperti kucing Siam, Oren semakin terpinggir daripada belaian dan perhatian ayah. Malam itu, ayah tidak berselera untuk makan malam. Ayah terlalu risau akan Oren. Ibu, aku, Azura dan Anis terdiam. Ibu telah berpesan kepada kami agar tidak membangkitkan hal Oren, takut-takut perasaan ayah mudah tersinggung.

            Menurut adik keduaku, Azura bahawa Oren tidak pulang ke rumah kerana Kelabu. Barangkali Oren iri hati kerana Kelabu selalu di samping ayah. Kemanjaan Kelabu membuatkan Oren tersisih daripada ayah. Pada mulanya, ayah menyamaratakan kasih sayang kepada kedua-duanya. Barangkali, oleh sebab Kelabu lebih memperlihatkan kemanjaannya dan Oren pula suka menyendiri dan pendiam, maka Kelabu menjadi pilihan ayah. Kelabulah yang selalu menyambut kepulangan ayah. Oren pula membiarkan Kelabu menjamah makanan dahulu sebelum Oren makan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh Kelabu. Oren dan Kelabu tidak pernah bermain bersama-sama apatah lagi bergaduh. Bagai tetamu, Oren selalu menjaga sikapnya. Kebersihan dirinya juga sering diurus sendiri. Oren tidak membuang najisnya di dalam rumah. Kelabu pula perlu diajar mengikut cara Oren.

            Ayah seolah-olah terbayang akan kehadiran Oren. Ayah membawa Oren ke dapur. Diberi Oren, susu. Susu tidak dijamah oleh Oren. Oren kembali kepada ayah sambil menggeselkan badan di kaki ayah. Oren memandang ayah dengan lembut. Ayah mencium Oren. Timbul persoalan di hati sanubari ayah. Ayah cuba untuk menepis perasaan sayu dan bersalah kerana mengabaikan Oren setelah kehadiran Kelabu. Oren sekadar mengiau-ngiau.

            Ayah terpinga-pinga keluar dari biliknya lantas ke ruang tamu. Ayah bertanya tentang Oren. Menurut ayah, dia bermimpi tentang kepulangan Oren! Tiba-tiba Anis muncul di ruang dapur. Di pangkunya, Oren. Oren yang sudah tidak bernyawa lagi. Anis terjumpa akan Oren di celah pokok tua yang tumbang semalam di taman permainan. Mata ayah mulai berkaca.

Tema:
Kasih sayang terhadap haiwan peliharaan.
Persoalan:
a. Kasih sayang yang berbelah bahagi telah menyebabkan konflik.
b. Belas kasihan tidak hanya terhad kepada manusia tetapi juga meliputi haiwan.
c. Perhatian terhadap diri seseorang adalah kerana kebijaksanaannya meletakkan dirinya dan mengambil hati.

Watak dan Perwatakan
Watak Oren, Kelabu dan ayah cukup dominan dalam plot cerpen OREN hasil karya Saifullizan Yahaya selain kehadiran watak yang bersudut pandangan orang pertama, iaitu aku.

OREN
AYAH
KELABU
·         Oren tidak makan makanan yang disediakan oleh ayah.
·         Oren tidak menunjukkan kemanjaannya dalam keluarga ayah.
·         Oren kucing jantan. Ibunya telah dilanggar oleh ayah "aku".
·         Bulu Oren berwarna oren.
·         Oren hanya mengangkat kepala apabila melihat ayah.
·         Oren lebih suka menyendiri, pendiam dan semakin tersisih.
·         Oren mampu berdikari dan pandai membuang najisnya di tandas atau di dalam longkang.

·         Ayah, bapa kepada tiga orang anak.
·         Ayah suka akan kucing.
·         Ayah bersikap belas kasihan.
·         Ayah resah akan untung nasib Oren setelah empat hari tidak pulang ke rumah.
·         Ayah memanjai Kelabu.
·         Ayah tidak berselera makan malam.
·         Ayah bermonolog dan bermimpikan Oren.
·         Ayah menyesali tindakannya membiarkan Oren bersendirian.
·         Ayah ketua keluarga yang baik.
·         Kelabu kucing jantan.
·         Kelabu berwarna kelabu.
·         Kelabu tidak terurus dan kurus ketika dibawa pulang oleh ayah.
·         Kelabu semakin tembam dipelihara oleh ayah.
·         Semasa kecil, Kelabu selalu membuang najis di merata-rata tempat.
·         Bulu Kelabu berwarna kelabu dan menarik.
·         Kelabu bermanja dengan ayah.
·         Kelabu pandai mengambil kesempatan untuk menunjukkan kejinakannya kepada  keluarga ayah.
·         Kelabu sering menyambut kepulangan ayah.

Sumber rujukan:
Antologi Kuingin Berterima Kasih, DBP, Kuala Lumpur: 2014
Modul Menguasai PT3 Komsas Tingkatan 1, Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya: 2015

No comments: