Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, May 7, 2015

Hikayat Siak - Komsas T5



Hikayat Siak

SINOPSIS
            Kisah bermula dengan pelayaran Tuan Bujang setelah mendapat perkenan daripada Sultan Palembang. Tuan Bujang dibekalkan oleh Sultan Palembang dengan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Tuan Bujang sampai ke Rawas dan berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching. Tuan Bujang mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Raja Alang.

          Di Pagar Ruyung, Tuan Bujang telah ditabalkan sebagai Yamtuan Sakti. Tuan Bujang juga telah diuji bagi membuktikan bahawa baginda ialah daripada keturunan kesultanan Johor. Tuan Bujang telah diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Yang Dipertuan Raja Kecik telah pergi ke Siak namun tiada sesiapa yang mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nakhoda Penangguk .

          Kemudian baginda pergi ke Mengkalis dan di sana telah digelar oleh orang Minangkabau sebagai Yang Dipertuan. Baginda berhajat hendak menyerang negeri Johor. Pada masa  yang sama, Raja Bugis, iaitu Daheng Parani, Daheng Calak dan Raja Tuha telah datang ke Mengkalis. Mereka ingin membantu menyerang Johor. Daheng Parani telah membuat perjanjian sekiranya baginda  berjaya menawan Johor,  maka baginda akan menjadi  Yang Dipertuan Besar dan Daheng Parani dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda.

          Sepucuk surat telah dihantar kepada Yang Dipertuan Johor memaklumkan bahawa paduka anakanda Marhum Mangkat Dijulang ingin menuntut bela atas kematian ayahandanya. Berita kedatangan Yang Dipertuan Raja Kecik anakanda Marhum Mangkat Dijulang di negeri Johor menjadi perbualan rakyat. Bagi membuktikan bahawa baginda ialah anakanda Marhum Mangkat Dijulang , rakyat Johor telah meminta supaya baginda menawarkan air masin menjadi air tawar. Dengan izin-Nya, maka air masin telah bertukar menjadi air tawar. Rakyat Johor terus bersorak dan menyebut Yang Dipertuan Raja Kecik sebagai Tuanku Yang Maha Mulia. Baginda juga bertitah kepada rakyat Johor agar menyembah dengan ucapan “daulat”. Baginda kemudian menyerang Johor.

          Yang Dipertuan Johor bersama dengan anakanda baginda telah pulang ke kampung lama Bendahara. Sesampai Yang Dipertuan Raja Kecik  ke dalam Kota Johor, baginda telah masuk ke istana. Baginda hairan kerana tidak ada Bendahara di dalam Istana. Baginda dimaklumkan bahawa Bendahara sudah melarikan diri. Yang Dipertuan Raja Kecik dimaklumkan bahawa bondanya Encik Apung telah meninggal dunia. Baginda berasa sugul dengan berita tersebut. Baginda telah bertunang dengan anak Bendahara yang bernama Tengku Tengah tetapi telah memutuskan pertunangan tersebut kerana terpikat akan anak bongsu Bendahara, iaitu Tengku Kamariah. Akhirnya baginda berkahwin dengan Tengku Kamariah dan ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

TEMA
Pengembaraan anak raja.
Yang Dipertuan Raja Kecik telah mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja, iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang sehinggalah baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor.

PERSOALAN
1.    Persoalan kesabaran akan membuahkan kejayaan.
2.    Persoalan kebenaran tetap terbukti apabila tiba masanya.

(Sumber: BPK, KPM)

No comments: