Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, April 6, 2015

Simpulan Bahasa dalam Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin (Komsas T1)



Simpulan Bahasa dalam Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin
oleh Chai Loon Guan

          Ketika membaca dan menelusuri cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" nukilan pena Mohd Helmi Ahmad, penulis terkesan akan kehadiran sejumlah simpulan bahasa, yakni bentuk-bentuk bahasa kiasan Melayu.

          Menurut Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, 1993, simpulan bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut. Sila lihat rajah bahasa kiasan dan contoh-contoh simpulan bahasa bahasa Melayu seperti yang tertera di bawah:

Rajah Bahasa Kiasan Bahasa Melayu 
a. Bukan Peribahasa, iaitu personifikasi, hiperbola, dan metafora.
b. Peribahasa, iaitu simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan.
  
Contoh Simpulan Bahasa Bahasa Melayu

Bil.
Simpulan Bahasa
Maksud
01.
Hari jadi
Ulang tahun tarikh lahir
02.
Langkah kanan
Nasib baik
03.
Makan masa
Memerlukan banyak waktu
04.
Orang asing
Warganegara negara lain
05.
Buka mulut
Bercakap
06.
Isteri muda
Isteri kedua
07.
Jalan tengah
Mengambil kira semua perkara, bersikap tolak ansur, tidak menyebelahi mana-mana pihak
08.
Lampu hijau
Izin untuk melakukan sesuatu
09.
Meriam buluh
Mengaku pandai melakukan sesuatu perkara tetapi dusta belaka
10.
Makan gaji
Mencari nafkah secara bekerja dengan majikan

          Simpulan bahasa boleh menjadi perumpamaan apabila diberikan perkataan-perkataan laksana, bak, umpama, macam, bagai, seolah-olah, ibarat dan seperti di hadapannya. Sebagai contoh:

a. Dia lintah darat. (simpulan bahasa)
b. Dia ibarat lintah darat. (perumpamaan)

          Simpulan bahasa juga boleh menjadi bidalan apabila didahului oleh perkataan jangan. Sebagai contoh:

c. Bercermin di air keruh. (simpulan bahasa)
d. Jangan bercermin di air keruh. (bidalan)

          Cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" yang dijadikan sampel perbincangan kali ini bertemakan nilai kekeluargaan dan banyak mengungkapkan persoalan kasih sayang dan dendam seorang ayah (Lim Pooi) kepada anak (Lim Meng). Pada bahagian peleraian cerita, nilai keinsafan dan kemaafan yang diperlihatkan oleh watak Lim Meng dan Lim Pooi turut menyerlahkan kemeriahan sambutan perayaan Tahun Baru Cina dalam keluarga Lim Pooi dan Sim Pau. Yang menariknya, dari segi penggunaan gaya bahasa, sejumlah simpulan bahasa bahasa Melayu turut dapat dikesan oleh penulis dalam teks cerpen tersebut. Antara simpulan bahasa yang dikenal pasti hadir ialah:

Bil.
Simpulan Bahasa dalam Cerpen KBLM
Maksud      
01.
Air mukanya tidak sesekali menggambarkan kata-katanya itu sebagai lelucon yang boleh ditertawakan.
Wajah, nama baik
02.
Air matanya sudah tiada nilai lagi bagi Lim Pooi.
Air yang keluar dari mata apabila menangis
03.
Dia bukannya mahu menegakkan benang yang basah tetapi di mahu menyedarkan Lim Pooi yang terlalu mengikut perasaan.
Kerja sia-sia
04.
Egonya membabi buta sehinggakan Lim Meng terpaksa keluar dari rumah itu.
Melulu, terburu-buru
05.
Dia telah banyak memberi muka kepada Lim Meng.
Memanjakan secara berlebihan
06.
Apabila Lim Meng cakap Lim Fong mencuri duit kerana berjudi, kau naik angin.
Marah
07.
Lim Fong meninggal dunia kerana dia lemas.
Mati
08.
Jadi, cara mereka nak membalas dendam, mereka bakar kedai kau.
Membalas sakit hati
09.
Dalam masa penantian itulah Lim Pooi jatuh sakit.
Jadi sakit
10.
Kau memang tak berhati perut kerana itulah perniagaan kau lingkup.
Perasaan
11.
"Betul, Lim Meng. Maafkan papa kamu," Sim Pau cuba masuk campur.
Ikut terlibat dalam sesuatu perkara

          Sebagai kesimpulannya, kehadiran sejumlah simpulan bahasa dalam cerpen dapat membantu menghidupkan plot cerita selain merealisasikan wacana ceritera yang indah, persis dan bermakna. Sebagai latihan pengayaan dan pengukuhan pula, guru yang bertindak sebagai pemudah cara disaran agar menggalakkan murid-murid mengenal pasti dan menyenaraikan simpulan bahasa dalam teks cerpen tersebut. Murid-murid juga digalakkan mencari maksud dan membina ayat mudah (ayat dasar atau ayat tunggal) mengikut aras kemampuan atau band pencapaian masing-masing sama ada di dalam bilik darjah atau sebagai latihan kerja rumah.

Chai Loon Guan

Bibliografi:
Antologi Kuingin Berterima Kasih, DBP, Kuala Lumpur, 2014.
Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. dan PTS Consultants Sdn. Bhd., 1993.

No comments: