Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, April 17, 2015

Program NILAM di Sekolah


PROGRAM NILAM DI SEKOLAH
oleh Chai Loon Guan

Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan 2014 di PWTC, Kuala Lumpur.
Pendahuluan
          Suatu tamadun atau bangsa yang bertamadun hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Pendekatan yang terbaik untuk membina bidang ilmu sesebuah negara dan menjana perkembangan mental seseorang ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan dan bukan hanya membaca berorientasikan peperiksaan.
          Kajian literasi oleh Perpustakaan Negara Malaysia, 1996 mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kajian juga mendapati keutamaan murid membaca adalah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah menubuhkan dan melaksanakan Program NILAM.

Apakah NILAM?
          NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu daripada usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang mencintai budaya membaca dan budaya ilmu.
        Program NILAM ini merangkum rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah serta merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun.
          Program ini telah mula dilaksanakan dengan murid Tahun Satu di sekolah rendah dan murid Tingkatan Satu atau Kelas Peralihan di sekolah menengah pada 1999 dan penilaian pembacaan mereka diteruskan sehinggalah mereka tamat persekolahan.

Matlamat NILAM
          Program NILAM bertujuan untuk membina tabiat membaca dalam kalangan masyarakat negara ini, khususnya golongan murid di samping menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemaikan tabiat membaca ini.

Ciri-ciri Pelaksanaan NILAM
Murid
          Murid membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, penerbitan dan sinopsis buku yang dibaca ke dalam rekod.
Guru
          Guru mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid. Data rekod murid hendaklah diserahkan kepada Pusat Sumber Sekolah untuk dianalisis dari semasa ke semasa.
Pengumpulan Data
          Data pembacaan murid dikumpul dan diselaraskan di peringkat bilik darjah (kelas), tingkatan, daerah, seluruh negeri dan kebangsaan pada setiap tahun.
Pengiktirafan dan Ganjaran
          Data rekod bacaan yang dikumpulkan dari sekolah akan dinilai di peringkat kebangsaan. Sekolah juga perlu memberikan pengiktirafan kepada murid yang telah mencapai tahap bacaan yang tertinggi. Murid-murid yang banyak membaca diberi pengiktirafan dan ganjaran.

Tahap Pelaksanaan dan Pencapaian NILAM
Pelaksanaan Program NILAM ini dibahagikan kepada dua tahap, iaitu:
a. Tahap Jauhari
b. Rakan Pembaca

Tahap Jauhari
Sekolah Rendah
         Murid-murid pada peringkat ini wajib melibatkan diri dalam aktiviti pembacaan sebaik sahaja membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti yang berikut:
a.       Gangsa (90 - 170 buku)
b.       Perak (180 - 269 buku)
c.       Emas (170 - 359 buku)
d.       Nilam (360 buku)

Sekolah Menengah
       Murid-murid pada peringkat menengah pula wajib melibatkan diri dalam aktiviti pembacaan berterusan sebaik sahaja mereka melangkah ke Tingkatan Satu atau Kelas Peralihan dan perlu mencapai tahap pembacaan seperti yang berikut: 
a.       Gangsa (72 - 143 buku)
b.       Perak (144 - 215 buku)
c.       Emas (216 - 287 buku)
d.       Nilam (288 buku ke atas)

Tokoh Nilam 1Malaysia
Rakan Pembaca
Ciri-ciri Rakan Pembaca
i.        Murid-murid yang sudah membaca lebih daripada 100 buah buku dan layak dipilih ke tahap ini.
ii.       Murid-murid pada tahun Rakan Pembaca akan dibimbing oleh guru atau fasilitator untuk turut serta di tempat-tempat aktiviti dan membantu membuat pengesanan kemajuan aktiviti yang dijalankan murid secara tidak formal.
iii.      Murid-murid yang dipilih sebagai Rakan Pembaca akan dilatih melalui bengkel dan sesi tunjuk cara yang dirancang untuk menjayakan aktiviti ini. Mereka akan memilih dan meminjam buku dari pusat sumber sekolah untuk dibawa pulang. Buku-buku yang dipinjam juga akan dibaca oleh rakan-rakan, keluarga dan jiran.
iv.      Murid juga dilatih untuk menjalankan aktiviti pembacaan bersama dengan rakan-rakan di sekolah seperti aktiviti bercerita, membaca bersama, dan bicara buku. Aktiviti yang dijalankan oleh mereka akan diberikan skor pemarkahan mengikut banyak pendengar, pembaca dan meminjam buku mereka.
v.       Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberi pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP, iaitu:

Markah
Pengiktirafan
100 - 199
Gangsa
200 - 299
Perak
300 - 399
Emas
400 ke atas
NILAM

Ganjaran
          Apabila aktiviti galakan membaca diberikan pengiktirafan dan dipiawaikan melalui NILAM, masyarakat akan dimaklumi tentang klasifikasi pengiktirafan. Penganugerahan ini akan menjadi satu aset dan pemangkin budaya suka membaca. Antara ganjaran yang diperoleh murid ialah:
a.       Skor markah rekod bacaan murid akan dimasukkan ke dalam Buku Rekod Kemajuan Murid pada setiap akhir tahun.
b.       Markah rekod bacaan ini akan dimasukkan ke dalam Sijil Berhenti apabila pelajar menamatkan persekolahannya.
c.       Pihak sekolah juga wajar memberikan surat sokongan kepada pelajar yang layak menerimanya.
d.       Pelajar yang telah mencapai rekod bacaan tertinggi di peringkat kebangsaan akan diberi Anugerah Nilam.

Contoh Aktiviti Membaca
Projek Pukal
          Setiap kelas dbekalkan 50 - 100 naskhah buku dan murid dibenarkan meminjam buku sebanyak mungkin pada setiap hari.
Bicara Buku
          Aktiviti ini sesuai untuk murid sekolah menengah. Murid digalakkan untuk banyak membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku rekod. Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh mendapat markah Rakan Pembaca selain markah ujian PLBS/ULBS untuk aktiviti ini.
Khemah Membaca
          Kem ini diadakan pada tiap-tiap tahun. Murid akan didedahkan dengan teknik membaca, kemahiran pengendalian maklumat, ADD dan kerja projek.
Kuiz Bestari
          Kuiz Bestari khusus untuk murid sekolah menengah. Pada setiap bulan, soalan akan dikemukakan dan kelas akan menghantar penyertaan yang membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi, dadah, AIDS, sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Pemenang akan dipilih dan diberi insentif.

Cadangan Masa Pelaksanaan NILAM
          Satu masa membaca di perpustakaan perlu dimuatkan dalam jadual waktu mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Ada juga waktu yang diperuntukkan untuk aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca. Contohnya aktiviti untuk Minggu Pusat Sumber Sekolah. Murid meluangkan masa selama sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti membuat ulasan buku.

Cabaran
          Program NILAM ini tidak akan mencapai objektif sekiranya terdapat masalah kurangnya kerjasama daripada pihak yang bertanggungjawab (pentadbir sekolah, panitia BM dan BI, GPM, guru-guru dan ibu bapa) di samping kelemahan penyediaan prasarana yang akan melembabkan proses pelaksanaan program ini. Antara faktor yang perlu ditekankan ialah:

Penyediaan Koleksi Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah
          GPM perlu memastikan koleksi bahan di PSS mereka sentiasa selaras dengan perkembangan semasa agar murid teruja untuk mengunjungi pusat sumber.

Sokongan Pihak Pentadbir Sekolah
          Aktiviti-aktiviti pembacaan tidak akan dapat dijalankan dengan lancar sekiranya pihak pentadbir kurang memberikan sokongan dan illtizam dalam menjalankan sebarang aktiviti pusat sumber, termasuklah peruntukan masa dan hari yang sesuai serta bantuan kewangan atau dana untuk menjalankan program ini.

Pelibatan Ibu bapa dan Guru-guru
          Aktiviti membaca akan menjadi lebih aktif dan berkesan sekiranya ibu bapa memberikan sokongan kepada murid-murid membaca sejak kecil. Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam menekankan bacaan murid di sekolah. Contohnya, sisipkan aktiviti-aktiviti bacaan seumpama teka silang kata dan latihan menulis ulasan buku dalam pembelajaran dan pemudahcaraan mingguan guru.

Impak
          Kesan daripada pelibatan murid dalam aktiviti-aktiviti membaca dan kerjasama daripada guru-guru serta Guru Perpustakaan Media (GPM) dalam pelaksanaan program ini akan mewujudkan golongan murid (modal insan) yang mempunyai minat membaca yang tinggi serta menjadikan tabiat membaca sebagai satu cara hidup dalam membentuk masyarakat intelektual, elit dan bermoral dari segi pemikiran juga pertimbangan hidup.

Kesimpulan
          Program NILAM adalah satu pendekatan yang memberikan peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membentuk tabiat membaca. Pelaksanaan program secara teratur dan berilizam disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan. Sesungguhnya, membaca jambatan ilmu. Bangsa membaca, bangsa yang berjaya. Salam NILAM.

Jurulatih Utama, Tokoh Nilam Negeri Perak 2015, guru pengiring dan Pegawai BTPN Perak bergambar kenangan dengan YBrs. Tn. Hj. Rozi bin Puteh Ismail, 
Pengarah Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bibliografi: BTPN Perak Darul Ridzuan, Jalan Tawas Baru Utara, Tasek Damai, 30010 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

No comments: