Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, April 9, 2015

NASI dan PADI dalam PERIBAHASA - PANTUN MELAYU



NASI dan PADI dalam PERIBAHASA - PANTUN MELAYU
oleh Chai Loon Guan

        Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kosa kata "beras" bermaksud padi yang sudah dikupas kulitnya dan sedia untuk dimasak bak kata diambilnya padi, dan ditanaknya nasi. Beras yang telah ditanak atau dikukus pula dikenal sebagai nasi. Sememangnya amat kita ketahui bahawa kosa kata padi, beras dan nasi sudah begitu sinonim dalam kehidupan kita sehari-hari.

        Daripada kosa kata "nasi" maka dapat kita temukan beberapa frasa nama atau kata majmuk yang menarik seperti nasi adap-adapan, nasi damai, nasi angkatan, nasi ayam, nasi berdetus, nasi beriani, nasi besar, nasi bungkus, nasi campur, nasi dagang, nasi damai-damai, nasi datang, nasi lepas, nasi ketupat, nasi goreng, nasi hangit, nasi himpit atau nasi kapit, nasi kabuli, nasi kerabu, nasi dandang, nasi kunyit, nasi kuning, nasi lecek, nasi lembik, nasi lemak, nasi lengat, nasi mentah, nasi minyak, nasi ramas, nasi ransum atau nasi kawah, nasi rawan, nasi sorok, nasi suap-suap, nasi tambah, nasi tomato, nasi tumpang, nasi wajar dan nasi kangkang.

        Antara nasi yang disenaraikan, nasi kangkanglah yang seringkali menimbulkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat, sama ada masyarakat desa mahupun masyarakat kota oleh sebab nasi tersebut merupakan nasi panas yang dikangkangi dan diiringi dengan jampi serapah.

        Jika diteliti dan ditelusuri secara tekun, terdapat sejumlah peribahasa Melayu yang berkaitan dengan kosa kata nasi seperti peribahasa yang berikut bersertakan maksudnya untuk bacaan, iktibar dan renungan kita bersama.

Bil.
Peribahasa Melayu
Maksud
01.
Nasi habis, budi bersama.
Sahabat yang ketahuan buruk lakunya.
02.
Nasi sama ditanak, kerak dimakan seorang.
Perihal orang yang bersekutu tetapi keuntungan diambil seorang diri.
03.
Nasi sudah menjadi bubur.
Perbuatan yang sudah terlanjur (tidak dapat diubah lagi).
04.
Nasi tak dingin pinggan tak retak.
Orang yang cermat membuat pekerjaannya, walaupun banyak kerja tetapi jarang yang rosak.
05.
Apa boleh buat, nasi sedap menjadi tawar.
Seseorang itu apabila rosak hatinya akan berubahlah perangainya.
06.
Biar nasi terbuang asal jangan periuk pecah.
Biar anak mati asal ibunya selamat (ketika bersalin).
07.
Buat nasi tambah.
Penambah penghasilan yang telah ada.
08.
Membuangkan nasinya yang tersaji di lutut.
Seseorang yang meninggalkan kerja yang senang lalu mencari pekerjaan yang lebih susah.
09.
Menantikan nasi (disajikan) di mulut.
Perihal orang yang pemalas menantikan pemberian orang atau takdir Tuhan sahaja.
10.
Hari ini tidak bernasi; bernasi di balik kerak.
Belum habis semuanya tentang sesuatu perkara (masih ada lagi hal yang belum diperiksa).
11.
Tidak bernasi di balik kerak.
Orang yang sombong.
12.
Mencari nasi.
Mencari rezeki.
13.
Nasi basi penolak nafsu.
Tidak dapat mencintai lagi.
14.
Nasi disaji pula digaduhkan, padi di ladang dilanyak gajah tidak dirisaukan.
Gaduhkan rugi yang kecil, rugi besar tidak dihiraukan.
15.
Nasi habis budi bersua.
Kawan yang disedari khianat.
16.
Nasi masak, periuk pecah.
Hukuman yang muktamad.
17.
Nasi sedap gulai mentah; gulai sedap nasi mentah.
Serba tidak sempurna.
18.
Nasi tersaji sampai ke lutut.
Nasib yang sangat baik.
19.
Nasi tersenduk tidak dimakan.
Walaupun sudah jadi hak, tetapi tidak dapat menikmatinya.

        Seperti kosa kata nasi, kosa kata padi turut disentuh dalam wacana perbincangan kali ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), padi merupakan sejenis tumbuhan (rumput yang buahnya dijadikan beras) atau lebih dikenali sebagai Oryza spp.

        Sebenarnya, padi terdiri daripada beberapa spesies, iaitu padi bendang, padi berat, padi berdukung, padi bibit, padi bukit (gogo, huma, ladang), padi cerai, padi kernap, padi ketan (pulut), padi ketam, padi lekas, padi Mahsuri, padi pulut, padi rambai, dan padi usang. Frasa padi kunca pula bermaksud membayar pinjaman dengan padi. Yang menariknya, kosa kata padi juga boleh dikaitkan dengan penciptaan pantun Melayu dan pembentukan beberapa jenis peribahasa Melayu yang cukup menarik dari segi maknanya untuk telahan, renungan dan iktibar manusia di alam yang fana ini. Antara peribahasa Melayu yang dikaitkan dengan kosa kata padi adalah seperti yang berikut:

Bil.
Peribahasa Melayu
Maksud
01.
Baik membawa resmi padi, jangan membawa resmi lalang

Seperti buah padi, makin berisi makin rendah, jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi

Seperti ilmu padi kian berisi kian runduk
Semakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendahkan diri (tidak sombong)
02.
Padi dikebat dengan daunnya.
Mengusahakan sesuatu tidak dengan modal lain tetapi dengan bahagian usaha itu jua.
03.
Padi masak jagung mengupih.
Keuntungan yang diperoleh dengan berlipat ganda.
04.
Padi segenggam dengan senang hati, lebih baik daripada padi selumbung dengan bersusah hati.
Kesenangan hati lebih berharga daripada kekayaan.
05.
Padi sekepuk hampa, emas seperti loyang, kerbau sekandang jalang.
Perihal seseorang yang nampaknya kaya tetapi sebenarnya miskin.
06.
Padi selumbung dimakan orang banyak.
Hiburan kepada isteri daripada seorang suami yang beristeri lebih daripada satu.
07.
Padi setangkai bernas semuanya.
Keluarga yang bahagia dan beruntung semuanya.
08.
Bukan tanahnya menjadi padi.
Bukan tampannya akan jadi orang baik-baik.
09.
Jika ada padi, tentu ada hampanya.
Jika ada padi berhampalah,
Jika ada hati berasalah.
Siapa yang berasa tersindir, dialah yang berbuat sebagai yang disindirkan itu.
10.
Jika kasih akan padi, buangkanlah akan rumput.
Jika kasihkan anak isteri, berhentikanlah daripada mengasihi orang lain.
11.
Menyisip padi dengan bilalang (lalang).
Mencampurkan yang baik dengan yang jahat, akhirnya musnahlah yang baik itu.
12.
Seperti padi hampa, makin lama makin mencongak.
Orang sombong yang tidak berilmu, makin lama semakin tinggi cakapnya.
13.
Tak ada padi yang bernas setangkai.
Tidak ada sesuatu yang sempurna segala-galanya.
14.
Musim beremas kemas, padi menjadi.
Orang berharta dapat mencapai apa yang dikehendakinya.
15.
Padi ditanam, tumbuh lalang.
Nasib malang.
16.
Padi rebah, paksa tekukurlah.
Dapat untung tanpa susah payah.
17.
Padi sama tumbuh dengan siangan, adat sama tumbuh dengan sengketa.
Adat tegak kerana ada sebab.

Pantun
Kalau padi katalah padi,
        Jangan saya tertampi-tampi;
Kalau jadi katalah jadi,
        Jangan saya ternanti-nanti.

Sungai Machang ada berbendang,
        Padi ditanam petaknya selari;
Jujur umpama pohon yang rendang,
        Tempat berteduh panas matahari.

Payah kami bertanam padi,
        Nanas juga ditanam orang;
Payah kami menabur budi,
        Emas juga dipandang orang.

Di sana padi di sini padi,
        Itulah nama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
        Barulah sempurna bernama orang.

Tuailah padi antara masak,
        Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
        Esok jangan rindu-rinduan.

        Sebagai kesimpulannya, peribahasa Melayu yang bertemakan nasi dan padi dapat dijadikan bahan pembelajaran dan pengajaran (pemudahcaraan) bahasa Melayu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Sebagai latihan pengayaan dan pengukuhan, murid-murid dinasihati menggunakan peribahasa nasi atau padi (seusai menelaah dan memahami maknanya) untuk membina ayat yang gramatis di samping menghasilkan wacana penulisan, terutamanya genre prosa, iaitu rencana, cerita pendek (cerpen), cerita sambung (cersam) atau cerita rekaan (cereka) sebagai satu daripada aktiviti penulisan yang kreatif dan menarik, khususnya kepada murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 3 (PBS - PT3) yang diyakini berdaya untuk memperoleh Aras (Band) 6 di samping sebagai latihan tambahan (binaan ayat/sintaksis gramatis) kepada murid-murid Tingkatan 4 dan 5 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber rujukan:
i.      Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, Dewan Bahasa dan Pustaka.
ii.     Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, 1993, Abdullah Hassan dan Ainon        Mohd.
iii.     Pantun, DBP, 1961 dan 1967, Mohd Yusuf bin Arshad.
iv.     Kumpulan Pantun Melayu, 1983, Zainal Abidin Bakar, Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: