Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, April 6, 2015

Metafora dan Personifikasi dalam Antologi Sajak MR dan DTSK


METAFORA dan PERSONIFIKASI dalam Antologi Sajak "Manifestasi Rindu" karya Suwanlerd Pro Poul dan Antologi Sajak "Di Tepi Sungai Kelantan" karya Leo A.W.S.
oleh Chai Loon Guan, Munsyi Dewan (Bahasa), DBP.

I
BIODATA - SUWANLERD PRO POUL

          Suwanlerd Pro Poul atau Epan a/l Poul anak kelahiran Kampung Padang Gelang, Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Beliau yang berketurunan Siam dilahirkan pada 9 September 1958 dan mula berkecimpung dalam dunia penulisan pada tahun 1983 dengan kecenderungan terhadap puisi, cerpen, novel, rencana, dan karya terjemahan.
         
          Karya-karya beliau pernah disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu, dan media massa yang lain. Antara puisi terawal yang mendapat tempat termasuklah "Bicara Rindu" dan "Bahasa Ombak" sekitar 1983 - 1984. Karya-karya beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang merindui kebebasan dan mempunyai pemikiran sosial untuk dicanai dalam setiap puisinya.

          Antara pencapaiannya dalam bidang penulisan termasuklah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Cerpen/Puisi PESISIR 1983, Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank 1988 melalui puisi "Biar Aku Lena di Sini" dan Hadiah Khas, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank 1989 melalui puisi "Satu Perpindahan".

BIODATA - LEO A.W.S.

          Nama sebenarnya, Abdul Waled @ Suhaimi bin Semail. Beliau lahir pada 1 Ogos 1954 di Kg. Betong, Pasir Mas, Kelantan. Beliau bersara awal sebagai guru siswazah PPPS pada 31 Disember 2010.

          Dalam bidang penulisan, Leo A.W.S.  hanya tertumpu pada genre puisi sahaja. Sajak-sajak beliau tersiar dalam hampir semua akhbar dan majalah utama tanah air seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, dan Harakah.

          Sajak-sajak beliau turut mendapat tempat dalam majalah Sarina, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Wanita, Jelita, Mastika, Nona dan sebagainya.

          Pada tahun 1995, Leo A.W.S. menubuhkan Pustaka Dewan Puisi untuk menerbitkan karyanya sendiri. Sehingga kini, beliau memiliki 24 buah buku. Antologi sajak Pagi (1981) merupakan bukunya yang pertama terbitan sendiri, diikuti Bulan Senja (2009), dan Gelombang Cengkerama dan Tsunami (2010), Mengejar Ufuk Fajar Memancar (2011), Syair Kebijaksanaan @ Perbezaan (2011), Seloka Detik Penentuan (2012), Di Balik Cermin (DBP, 2012), dan Di Tepi Sungai Kelantan (DBP, 2014).

          Pustaka Dewan Puisi turut menerbitkan buku karya penulis lain. Antara lain ialah Allahyarham K. Bali, Nahmar Jamil, Abdul Hadi Muhamad, Abham T.R. Salman Sulaiman, Mazli Husma, Abdul Razak-Rezeki Othman, Phaosan Jehwae (Selatan Thailand), Adnan C.O., Leyla Shuri dan Darma Mohammad (Kumpulan Haiku dan Tanka).
         
II
PENDAHULUAN

          Ketika menelusuri antologi "Kembali kepada Fitrah", karya Rosmaity Shaari, (ITBM, 2014) pernah saya petik seperenggan kata pengantar daripada Dr. Free Hearty, yakni penulisan puisi (juga karya sastera yang lain, tentunya) memerlukan kematangan berfikir dalam memaknai semesta. Yang jelas, perlu ada perenungan, kematangan jiwa, kehalusan rasa serta penguasaan gaya bahasa yang indah, tepat dan benar daripada seorang penyair saat mengekspresikan pengalaman, pemahaman, pemaknaan dan imaginasinya tentang semesta tersebut. Tambah beliau lagi, membaca puisi-puisi Romaity, saya seperti bertemasya. Temasya spiritual yang penuh estetika dan etika serta menyentuh hingga lubuk jiwa. Saya terpesona akan majas (bunga bahasa) yang digunakannya. Pemujaan kepada-Nya dan kekaguman itu diekspresikannya dengan cantik, halus, lembut lewat metafora-metafora indah.

III
METAFORA

          Menurut Rahman Shaari dalam bukunya, "Memahami Gaya Bahasa", (DBP, 1993), metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain.  Sesuatu objek atau abstraksi diberikan sifat objek lain dengan menganggap objek yang kedua itu mempunyai aspek-aspek persamaan dengan objek yang pertama.

          Kamus Puisi pula mentakrifkan metafora sebagai gaya bahasa kiasan atau perbandingan. Sifat gaya bahasa ini ringkas, padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Satu daripada perkataan itu bersifat konkrit (maujud), iaitu nyata dan menjadi objek untuk difikirkan. Satu perkataan lagi bersifat abstrak (mujarad), iaitu tidak nyata, yang menjadi pembanding. Contohnya, "perahu waktu" dan "di laut umur" daripada puisi "Ke Pelabuhan Jauh" karya A. Wahab Ali.

          Terdapat pula metafora yang meletakkan sesuatu abstraksi di tempat yang sesuai untuk sesuatu objek. Perkataan "waktu" adalah abstraksi, dan Rejab F.I. membina metafora "secangkir waktu". Waktu tentu tidak dapat dimasukkan ke dalam cangkir. Contoh-contoh lain untuk jenis ini ialah "kotak fikiran" dan "pokok kesabaran".

          Seterusnya, kita dapati jenis metafora yang meletakkan objek pada tempat yang tidak wajar baginya. Baris-baris sajak Rejab F.I....

                   di dadanya ada gunung
                   di matanya ada api
                   di tangannya ada bahtera

adalah metafora yang memiliki sifat perlambangan. Mustahil ada gunung di dada manusia. "Gunung" bermaksud harapan atau cita-cita, "api" pula bermaksud semangat manakala "bahtera" bermaksud usaha. Dalam bicara karya kali ini, izinkan saya memetik beberapa sajak Suwanlerd Pro Paul lewat antologinya "Manifestasi Rindu" (ITBM, 2015) dan Leo A.W.S lewat antologinya, "Di Tepi Sungai Kelantan" (DBP, 2014) yang cukup kaya akan gaya bahasa metafora yang mendokong maksud puitis sajak kedua-dua orang penyair tanah air.

MANIFESTASI RINDU

Sajak Suwanlerd Pro Paul I
- Bahasa Ombak (Halaman 07)
Rangkap I
ombak
aku mengerti
bahasa resahmu
aku fahami
bicara susahmu
dan aku maklumi
bisikan rindumu

Sajak Suwanlerd Pro Paul II
- Kau Adalah Sepi (Halaman 08)
Rangkap II
kau adalah sepi
menelan bising di perut siang
membunuh damai di dada malam

Sajak Suwanlerd Pro Paul III
- Sesudah Menjangkau Usia 20 (Halaman 12)
Baris 11
akan musnahkan harapan berbunga
tempuh hutan resah daerah sukar

Sajak Suwanlerd Pro Paul IV
- Kebebasan (Halaman 15)
Rangkap III
kekejaman seperti ombak
memusnahkan pantai waktu

Sajak Suwanlerd Pro Paul V
- Manifestasi Rindu (Halaman 17)
Rangkap I
di antara
yang masih mekar di sini
adalah ingatan
menyingkap tabir waktu

Sajak Suwanlerd Pro Paul VI
- Dukamu Yang Tertumpah (Halaman 19)
Rangkap II
sesekali pula terhidang juadah rasa
indah warna-warna bunga harapan

Sajak Suwanlerd Pro Paul VII
- Selamat Malam Kuala Lumpur (Halaman 61)
Rangkap III
selamat malam Kuala Lumpur
hidup zahirmu dari riak-riak gelombang
perburuan dan perjuangan silam
yang berpaut berdiri menegakkan
tiang-tiang keyakinan
bumbung-bumbung keluhuran
dinding-dinding kedaulatan
dan lantai-lantai susila

DI TEPI SUNGAI KELANTAN - KEMANUSIAAN AKAN ABADI

Sajak Leo  A.W.S. I - Di Rumah Mak Cik, Kota Bharu (Halaman 19)
Rangkap II
kami bangun pagi-pagi lagi
dan mencium wajah Tuhan

Sajak Leo A.W.S. II - Pujian Kepada A. Samad Said (Halaman 51)
Rangkap II
tetapi lebih baik
kopi dahulu
daripada melihat perempuan
menghulurkan rambutnya ke tangan matahari
dalam taman terbuka
pada pagi itu

SETANGKAI PENGALAMAN

Sajak Leo A.W.S. III - Seorang Penyair Seharusnya... (Halaman 57)
Rangkap III
Ya Allah,
selamat kami
daripada limpahan berahi!

Sajak Leo A.W.S. IV - Bukit Bukau Sebagai Tawanan (Halaman 61)
Rangkap II
di luar, seketika peluru hujan
menggempur seluruh penjuru riuh gemuruh

Sajak Leo A.W.S. V - Di Pinggir Sunyi (Halaman 64)
Rangkap II
pagar gerimis
mengepung kenangannya

Sajak Leo A.W.S. VI - Kepompong (Halaman 79)
Rangkap I
kepompong itu tergantung-gantung
di tali senja

Sajak Leo A.W.S. VII
- Melaka, Di Sini Semuanya Bermula... (Halaman 83)
Rangkap III
dan waktu amat singkat
tidak dapat kugali
ke akar-akar urat sejarah

KEBUN CAKERAWALA

Sajak Leo A.W.S. VIII - Suatu Jalan Ke Pahang (Halaman 99)
perang dedaun getah
di pinggir rimba senja
beransur lenyap lesap
ke dalam rongga malam

Sajak Leo A.W.S. IX - Di Bawah Terik Matahari (Halaman 128)
Rangkap I
bot nelayan berlabuh
di birai pantai
ada ketenangan
di lautan hidupnya

IV
PERSONIFIKASI

          Menurut  Kamus Puisi (DBP, 2005), personifikasi bermaksud pengorangan, iaitu gaya bahasa yang memberikan keadaan, suasana dan benda bersifat manusia. Contohnya, "sepi menggigit" dan "rindu melambai" dan seumpamanya. Personifikasi menurut buku Memahami Gaya Bahasa, Rahman Shaari, (DBP, Kuala Lumpur: 1993) dapat juga dianggap sejenis metafora. Hal ini demikian kerana di dalam personifikasi pun, kata-kata perbandingan tidak digunakan. Jika contoh metafora yang sederhana ialah "lautan rindu", contoh personifikasi yang sederhana ialah "dada malam".

          Yang membezakan "lautan rindu" dan "dada malam" ialah bentuk yang kedua itu melibatkan manusia. Personifikasi selalu didefinisikan "pemberian sifat manusia kepada objek atau abstraksi".

          Sebarang kenyataan yang disampaikan dengan memberikan nyawa kepada objek atau abstraksi ialah personifikasi. Penulis atau penyair (penyajak) dapat menyatakan sifat manusia untuk objek. Contoh untuk jenis ini ialah:
          a.       Rumah itu telah tua.
          b.       Warna bajumu terlalu garang.
         
          Penulis dapat juga mengaitkan objek atau abstraksi dengan menyebutkan anggota manusia juga:
          a.       Tangan malam.
          b.       Kaki hari.

          Seterusnya, penulis atau penyair (penyajak) dapat membina personifikasi dengan menyebutkan kata kerja yang umumnya dilakukan oleh manusia.
          a.       Kedinginan memeluk seluruh kampung.
          b.       Kerinduanlah yang meminta agar aku ke sini.

          Seperti gaya bahasa metafora, saya dapat mengenal pasti sejumlah unsur personifikasi dalam sajak-sajak penyair Suwanlerd Pro Paul (Manifestasi Rindu) dan Leo A.W.S.  (Di Tepi Sungai Kelantan). Misalnya:

MANIFESTASI RINDU

Sajak Suwanlerd Pro Paul I - Dalam Kerinduan Ini (Halaman 5)
Rangkap II
di sini
ada angin singgah bertanya khabar
tentang keresahan yang luruh di hujung waktu
kerinduan segera menerpa ke dalam diri

Sajak Suwanlerd Pro Paul II
- Seperti Waktu Itu Kembali Lagi (Halaman 11)
Rangkap III
seperti waktu itu kembali lagi
siang resah gelisah membakar
malam kelesuan mengejar rindu
yang tinggal hanya waktu mengejar usia

Sajak Suwanlerd Pro Paul III - Seperti Daun-daun Itu (Halaman 14)
Rangkap I
apabila angin yang sekian tenang
tiba-tiba meradang
mendesak mendesah
mengancam daun-daun muda
menggetus daun-daun tua
gugur bertabur ke bumi

Sajak Suwanlerd Pro Paul IV - Pelaut Yang Pulang (Halaman 18)
Rangkap I
di pesisir
perahu tersadai punah
di bahu
pukat telah bedah
di tangan
jaring telah pecah

Sajak  V - Manifestasi Rindu II (Halaman 23)
Rangkap I
di antara kita
keterasingankah atau waktu memburu
kesepiankah atau rindu menderu
berhamburan setia
kata
berhamburan sakit
lama
gundah prasangka menguasai diri

Sajak Suwanlerd Pro Paul VI - Mawar (Halaman 35)
Rangkap I
sesekali berbicaralah
dengan angin dingin di luar sana
tentang resah sedang menderu
tentang malam rindu sedang cemburu

Unsur metafora dan personifikasi turut digabungjalinkan dalam bait-bait sajak yang berikut:

Sajak Suwanlerd Pro Paul VII
- Sesudah Itu (Halaman 28)
Baris I, Rangkap I, II dan III
bila malam kembali ramah
bila bulan kembali senyum
bila angin kembali riang

Rangkap IV
bila bulan terus pucat
ditelan malam parah
dan angin pun tiba-tiba mati
di kaki hari

Sajak Suwanlerd Pro Paul VIII
- Di Hujung Malam Libur (Halaman 30)
malam llibur kususur dalam diam
angin resah telah lama merebahkan diri
bulan jelita membuka ghairahnya
di balik tabir awan kelabu

DI TEPI SUNGAI KELANTAN - KEMANUSIAAN AKAN ABADI

Sajak Leo A.W.S. I - Pagi (Halaman 15)
Rangkap III
kerananya
rumput-rumput dan pohon-pohon
tidak menangis
biarpun matahari tengah hari membakar?

Sajak Leo A.W.S. II - Seperti Kereta Api (Halaman 18)
Rangkap I
kereta api pun bertolak
merempuh hujan
meninggalkan matahari
hutan dan bukit-bukit

Sajak Leo A.W.S. III - Ular (Halaman 28)
Rangkap I
ketika itu
kau melingkar
atas ranjang
dan berselimut
dengan mimpi

Sajak Leo A.W.S. IV - Aku Ingin Lihat (Halaman 36)
Rangkap I
tiga empat senja ini
matahari
selalu tumpah atas rumput
dinding dan pintu rumahku

Sajak Leo A.W.S. V - Air Pasang Senja (Halaman 43)
Rangkap I
lumpur lesu
tanpa siput

SETANGKAI PENGALAMAN

Sajak Leo A.W.S. VI
- Senja Mengalir Diam (Halaman 59)
Rangkap IV
tetapi bulan kesepian
pelangi pun menghilang
dan senja mengalir diam

Sajak Leo A.W.S. VII
- Mencari Sahabat Di Pulau Pinang (Halaman 71)
Rangkap III
tetapi senja
selalu sahaja tergesa-gesa
menutup pandangan
dan membutakan kami
tentang bandar raya
dan seisi pulaumu

Sajak Leo A.W.S. VIII
- Di Masjid Baling (Halaman 77)
Rangkap I
tatkala kami sampai
matahari nyaris-nyaris tersungkur
di jurang gunung itu

KEBUN CAKERAWALA

Sajak Leo A.W.S. IX - Bougainvillea Membiru (Halaman 110)
Rangkap I dan II
meriah bougainvillea
ungu membiru
malam menunggu

Sajak Leo A.W.S. X - Menunggu Wuquf (Halaman 114)
Rangkap I
tatkala kutelentangkan tubuh
pada langit malam
rembulan separuh tersepit
di celah khemah

Sajak Leo A.W.S. XI - Angin Barat Merintik Sejuk (Halaman 126)
tatkala batang akan runduk
oleh bunting susuan padi
angin barat merintik sejuk
kesing hangit berdiam diri

SYAIR KEBIJAKSANAAN

Sajak Leo A.W.S. XII
- Sekecil Burung Pagi (Halaman 149)
Rangkap II
sekecil burung pagi
lincah meraih rezeki
meredah langit terbentang

Unsur metafora dan personifikasi turut digabungjalinkan dalam bait-bait sajak yang berikut:

Sajak Leo A.W.S. XIII - Hujan Senja (Halaman 66)
Rangkap III
kami mendadak meningkat usia
menjadi dewasa dan merasa kagum
melihat hujan senja telah pun bersatu
dengan tubuh malam yang kian hitam

Sajak Leo A.W.S. XIV - Selepas Subuh (Halaman 84)
Rangkap II
waktu amat cepat berlalu
rasanya baru sahaja
kubuka pagar malam
mendaki bukit rendah
menuju rumah kampungmu

Sajak Leo A.W.S. XV
- Sekecil Burung Pagi (Halaman 149)
Rangkap I
kenapa tatkala duduk
di bangku taman teduh
bawah pohonan rimbun
datang ilham memujuk
lalu membuang rusuh
yang lama berhimpun?

V
KESIMPULAN

          Dalam dunia persajakan kita, Muhammad Haji Salleh adalah antara penyair yang mahir menggunakan gaya metafora dan personifikasi. Kemahiran seseorang menggunakan sesuatu unsur diukur melalui keaslian dan ketepatan penggunaannya. Perhatikan contoh-contoh metafora dan personifikasi yang dibina oleh Muhammad Haji Salleh.

Metafora
alir hidup
selangit air
serpihan sejarah

Personifikasi
mata mimpi
lidah neraka
suaramu memanjat

          Seusai menelaah, menelusuri dan mentafsir antologi puisi "Manifestasi Rindu" dan "Di Tepi Sungai Kelantan" jelas unsur gaya bahasa metafora dan personifikasi dikesan hadir dalam sejumlah sajak kedua-dua orang penulis. Jadi, terpulanglah kepada pembaca yang berwibawa untuk  berinteraksi dengan sajak-sajak Suwanlerd Pro Paul (penampilan sajak-sajak beliau menarik, berseni, dan puitis serta kaya akan majas dan gaya bahasa) dan Leo A.W.S. (penampilan sajak-sajak beliau agak bersahaja dan mampu bercerita kepada khalayak pembaca) dalam kedua-dua antologi tersebut. Daripada mutiara rasa hinggalah mutiara kata, daripada kekayaan ucapan sampailah kekayaan falsafah sajak dalam kedua-dua kumpulan ini menjadi hak pembaca merasa, mentafsir dan memperkatakannya secara lebih lanjut. Pembacalah yang akan berteka-teki, mencari makna, merasakan keindahan dan menentukan nilai estetika, majas (bunga bahasa) dan gaya bahasa dalam kedua-dua antologi sajak "Manifestasi Rindu" dan "Di Tepi Sungai Kelantan". Sekian, terima kasih. Bahasa Jiwa Bangsa.

Bicara Karya ini pertama kali dibentangkan bersempena dengan Seminar Penulis Pelbagai Kaum di Akademi ASWARA pada 7 April 2015.

Bibliografi:
Memahami Gaya Bahasa, Rahman Shaari, DBP, Kuala Lumpur: 1993
Persediaan Menulis Sajak, Rahman Shaari, DBP, Kuala Lumpur: 2001
Kamus Puisi, DBP, Kuala Lumpur: 2005
Kumpulan Puisi "Kembali kepada Fitrah", Rosmiaty Shaari, ITBM, Kuala Lumpur: 2014
Kertas Kerja "Metafora dan Personifikasi dalam Kumpulan Puisi "Kembali Kepada Fitrah", Rosmiaty Shaari, ITBM, 2014 bersempena dengan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA 5) di Pulau Pangkor pada 11 - 14 Disember 2014.


















CHAI LOON GUAN
Munsyi Dewan (Bahasa) dan Mantan Guru Cemerlang Bahasa Melayu, PPP DG48.
·     Maktab Perguruan Ilmu Khas, KL (1980/1981)
·     IAB Genting Highlands - Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan    (1990)
·         Institut Bahasa, Kuala Lumpur (1991)
·         Diploma Pengajian Tinggi, IB - UM (1993 - 1994)
·         IB - Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya (1995 - 1998)
·         Bersara pilihan di SMK Methodist, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan 
      (4 Januari 2000 - 1 Mac 2015) selepas berkhidmat selama 32 tahun 09 bulan.
·         AJK Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)
·         Ahli PENA.

No comments: