Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, April 16, 2015

Karangan BM T5



Remaja yang melalui proses sosialisasi secara maya dalam kehidupan dunia siber kini semakin terdedah kepada gejala negatif. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak bagi mengelakkan generasi pelapis kita ini daripada terjebak dalam pelbagai gejala negatif.

          Dunia siber kini merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejagat yang memainkan peranan penting malah sudah dikenal pasti dapat mengubah pelbagai aspek kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, dunia siber bukan sahaja memberikan kesan yang positif, malah turut membawa kesan negatif kepada masyarakat, terutamanya golongan remaja yang begitu mudah terdedah kepada perlakuan jenayah dan masalah sosial yang kian leluasa. Antara perlakuan jenayah di dunia siber adalah seperti gejala penipuan, pornografi, pelaburan haram, keganasan dan masalah penyalahgunaan dadah. Oleh itu, pendidikan yang diberikan kepada seseorang mestilah bersesuaian dengan zaman kemajuan mutakhir. Terdapat beberapa langkah yang dapat dilakukan oleh masyarakat, khususnya ibu bapa atau penjaga untuk menjauhkan diri anak-anak daripada terjebak dalam pelbagai gejala negatif sosialisasi secara maya.

          Pertama sekali, ibu bapa haruslah melaksanakan pengawasan yang rapi, yakni memantau setiap aktiviti harian anak-anak. Contohnya, ibu bapa perlu meletakkan komputer (sama ada komputer riba, komputer meja atau telefon pintar) di ruang yang terbuka bagi memudahkan pengawasan dan pemantauan terhadap kegiatan anak-anak. Tambahan pula,  ibu bapa disyorkan agar memasang kata kunci atau kata laluan gajet atau peranti komunikasi pada komputer milik anak-anak. Pemantauan ibu bapa atau penjaga seperti ini sebenarnya dapat mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman sesawang yang berunsurkan pornografi dan keganasan, mahupun bersubahat atau melakukan aktiviti jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, menyebarluaskan fitnah, mencetuskan provokasi dan menggodam laman sesawang di alam maya. Yang jelas, tindakan pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet atau media sosial atas talian merupakan tindakan yang bijaksana selain langkah pencegahan secara berterusan, bak kata peribahasa Melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati.

          Dalam konteks untuk menangani gejala negatif ini, ibu bapa atau penjaga perlulah memberikan pendidikan agama dan nilai-nilai moral/sivik dan kewarganegaraan yang sempurna kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak mereka terjebak dalam gejala sosialisasi secara maya melalui didikan, kasih sayang dan nasihat selain pemantauan berterusan agar mereka menggunakan kemudahan Internet atau media sosial dengan betul dan tidak menyalahi undang-undang negara. Dengan usaha yang berterusan ini, maka, anak-anak dapat mengukuhkan benteng pertahanan diri untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak atau terjerumus ke dalam dunia siber yang negatif. Sekiranya, ibu bapa mendapati anak-anak mereka telah menyalahgunakan Internet, maka tindakan yang sewajarnya haruslah dilakukan secepat mungkin, sebelum sebelum nasi menjadi bubur!

          Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa haruslah berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta menguasai genre Internet dengan lebih efisien agar mereka dapat melangkah seiring dengan perkembangan anak-anak. Contohnya, ibu bapa bolehlah memuat turun aplikasi yang digunakan oleh anak-anak ketika bersosialisasi secara maya seperti "follow, add, like, dan retwitt". Usaha sedemikian difikirkan amat perlu dan wajar agar ibu bapa dapat mengetahui isu-isu semasa yang berlaku dalam kalangan anak di alam maya dan seterusnya dapat mengelakkan diri mereka daripada melakukan perbuatan yang negatif dari semasa ke semasa. Jelaslah bahawa ibu bapa seharusnya mempelajari dan menguasai sebanyak mungkin aplikasi yang sering digunakan oleh anak-anak selain menggunakan Internet dan media sosial untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat.

          Ibu bapa juga seharusnya menyemaikan nilai-nilai yang positif dalam diri anak-anak. Mereka dapat bertindak menasihati, membimbing, dan memberikan peringatan kepada anak-anak mereka dari semasa ke semasa agar menggunakan teknologi maklumat untuk tujuan yang berfaedah. Sebagai contoh, ibu bapa dapat mendedahkan segala maklumat yang berkaitan dengan Internet dan menerangkan kebaikan serta keburukan penggunaan Internet. Sekiranya, anak-anak sudah didedahkan lebih awal secara teratur, sudah tentulah anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijaksana menggunakan kemudahan Internet, bak kata pepatah, melenturkan buluh biarlah dari rebungnya.

          Seterusnya, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dengan memperkenalkan medium atau modul pembelajaran dan pemudahcaraan menerusi Internet kepada anak-anak, terutamanya anak-anak yang masih di bangku sekolah. Tanpa disedari, sudah kedapatan banyak aplikasi dan laman sesawang yang berkaitan dengan pendidikan terkini, namun malangnya laman-laman tersebut kurang mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna Internet di Malaysia. Jika ditelusuri, anak-anak akan dapat memanfaatkan kemudahaan Internet yang disediakan serta bertindak bijak mengisi masa lapang dengan melayari laman sesawang yang membawa kebaikan. Jelaslah bahawa daya usaha ibu bapa secara berterusan memperkenalkan medium atau modul pendidikan melalui Internet merupakan antara usaha yang berkesan dan bermanfaat kepada anak-anak yang bakal menjadi umarak bangsa dan negara pada masa depan.

          Bukan itu sahaja, secara kreatif, ibu bapa dapat mengadakan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti aktiviti gotong-royong, beriadah, menghadiri kenduri-kendara atau berdarmawisata untuk mengalihkan perhatian anak-anak daripada terlalu tertumpu pada alat teknologi maklumat semata-mata secara bersendirian. Pada masa lapang dan terluang, ibu bapa haruslah membawa anak-anak melancong ke luar negara selain menikmati keindahan alam dan landskap tempatan sekali gus mengenali sosiobudaya masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini bukan sahaja dapat membolehkan anak-anak mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah malah berkemampuan untuk mengurangkan tahap tekanan yang dialami sepanjang pembelajaran dan pemudahcaraan di sekolah bak kata peribahasa Melayu, “sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau”.

          Sebagai kesimpulannya, gejala negatif dunia siber ini sebenarnya dapat dikawal dan dibanteras dengan mudah sekiranya ibu bapa memainkan peranan mendidik dan membentuk watak dan perwatakan anak-anak di rumah dengan sebaik-baiknya. Selain didikan, keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa yang berterusan akan melahirkan generasi muda yang berkualiti, berakhlak dan berketerampilan persis kata mutiara, “pemudi tiang negara, pemuda harapan bangsa”. Oleh itu, ibu bapa sebagai suri teladan haruslah memainkan peranan utama di barisan hadapan sebelum gejala negatif dunia siber membarah serius dan memusnahkan dunia dan masa depan generasi muda di persada kehidupan pada alaf globalisasi ini.

Disediakan oleh:
Chai Wuang Xing, Tingkatan 5 Sains 1, SMJK Katholik Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: