Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, April 25, 2015

Hikayat Marakarma - PT3



Hikayat Marakarma
Bab 14
Peperangan, Perkahwinan dan Pertabalan
Prosa tradisional ini mengisahkan Maharaja Indera Dewa yang marah apabila Maharaja Marakarma telah menyerang negeri baginda. Maharaja Indera Dewa menitahkan raja-raja supaya keluar  berperang dengan Marakarma. Maharaja Marakarma dan Raja Mengindera Sari telah meminta keizinan ayahanda dan bonda mereka untuk keluar berperang. Kedua-dua belah pihak  berperang dan bertarung mengikut status masing-masing. Ramai yang tewas dalam peperangan, mayat manusia bertimbun serta kepala hulubalang dan pahlawan berselerakan di tengah padang. Hanya  Maharaja Indera Dewa sahaja yang terselamat.

Melihatkan keadaan itu, Maharaja Marakarma pun mengusir Maharaja Indera Dewa dari situ. Maharaja Indera Dewa pun bertanya kepada Maharaja Marakarma tentang asal usul baginda lalu menyuruh baginda pulang kerana kasihan akan Maharaja Marakarma serta ayahanda dan bonda baginda. Maharaja Marakarma tersenyum lalu menyatakan bahawa baginda dianggap sebagai anak yang malang dan tidak dibenarkan tinggal di dalam negeri Puspa Sari. Pada pendapat Maharaja Marakarma, tiada gunanya baginda hidup. Lebih baik baginda mangkat bersama-sama dengan Maharaja Indera Dewa. Maharaja Indera Dewa sangat marah apabila mendengar kata-kata Maharaja Marakarma lalu memanah ke arah Maharaja Marakarma tetapi tersasar. Setelah masing-masing menunjukkan kehebatan memanah, berlaku pula kejadian tikam-menikam. Tikaman Maharaja Marakarma terkena pada dada Maharaja Indera Dewa lalu tembus ke belakang. Baginda pun rebah tetapi sebelum mati, Maharaja Indera Dewa sempat berpesan kepada Maharaja Marakarma supaya menjaga anak baginda, Puteri Nila Cahaya.

Setelah mendengar berita kemangkatan ayahandanya di medan peperangan, Puteri Nila Cahaya terus menangis lantas berlari ke luar kota bersama-sama dengan bondanya untuk mencari mayat Maharaja Indera Dewa. Tuan Puteri Nila Cahaya mendapati ayahandanya tersandar pada bangkai gajah. Bondanya juga mangkat kerana terkena tikaman keris yang terletak di tangan Maharaja Indera Dewa. Tuan Puteri Nila Cahaya hendak menikam dirinya tetapi dapat diselamatkan oleh isteri-isteri hulubalang. Sebelum pulang ke negeri Puspa Sari, Maharaja Marakarma telah mengarahkan Raja Rum Syah Ke negeri Anta Beranta yang telah kematian maharajanya. Kemudiannya, Maharaja Marakarma dan Raja Mengindera Sari bertemu pula ayahanda mereka. Ayahanda mereka berasa sangat gembira kerana mereka telah menang dalam peperangan dan kemudiannya mereka pulang ke negeri Puspa Sari.

Setelah melihat saudaranya duduk bersama-sama dengan suaminya, Tuan Puteri Cahaya Khairani pun menemui mereka lalu menangis. Tuan Puteri Cahaya Khairani memberitahu bahawa Raja Bujangga Indera kini sudah dewasa setelah sekian lama mereka tidak bertemu dan amat rindu akan adindanya itu. Raja Bujangga amat terkejut dan tercengang apabila mendengar kata-kata Tuan Puteri Cahaya Khairani. Setelah diamat-amati, ternyatalah Tuan Puteri Cahaya Khairani ialah kakandanya. Berita baik itu kemudiannya disampaikan kepada ayahanda dan bonda mereka yang kini tinggal  di negeri Mercu Indera oleh seorang hulubalang. Maharaja Marakarma dan anak raja yang lain bercadang untuk mengahwinkan Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya dan ingin ditabalkan menjadi raja di negeri Anta Beranta. Rombongan Maharaja Marakarma kemudian berangkat ke negeri Anta Beranta. Maharaja Marakarma menitahkan Perdana Menteri supaya membuat persiapan untuk meraikan perkahwinan Raja Bujangga Indera dengan Tuan Puteri Nila Cahaya lalu melantik Raja Bujangga Indera menjadi Maharaja Anta Beranta.

Bab 15
Maharaja Negeri Mercu Indera
Seluruh rakyat Mercu Indera datang menghadap Maharaja Malai Kisna. Pada masa yang sama, hulubalang berkenaan diperintah oleh Maharaja Bujangga Indera supaya  membawa surat lalu menghadap baginda. Bentara telah membaca kandungan surat tersebut. Kandungan surat tersebut menyatakan bahawa Tuan Puteri Cahaya Khairani telah diselamatkan oleh Maharaja Marakarma. Setelah selesai surat tersebut dibaca, rombongan Maharaja Marakarma pun tiba. Maharaja Malai Kisna dan isteri baginda menyambut ketibaan rombongan lalu meraikan rombongan tersebut.

Genap empat puluh hari empat puluh malam, Maharaja Marakarma dan isteri baginda dihias dan diletakkan di atas tandu. Mereka diarak mengelilingi negeri Mercu Indera sebanyak tujuh kali. Maharaja Kisna Indera, Mengindera Dewa, Raja Mengerna Lela dan Raja Dikar Agas Peri pun menunjukkan kesaktian mereka masing-masing. Seluruh rakyat negeri Mercu Indera menjunjung duli dan berdoa semoga Sultan Maharaja Marakarma dan Tuan Puteri Cahaya Khairani ditabalkan sebagai raja  negeri Mercu Indera. Setelah selesai upacara pertabalan Maharaja Marakarma, saudara mara baginda yang lain memohon keizinan untuk pulang ke negeri masing-masing. Raja Mengindera Sari pula telah ditabalkan menjadi raja di negeri Pelanggam Cahaya bagi menggantikan Maharaja Puspa Indera.

Tema
Tema  prosa tradisional ini adalah hubungan erat antara kerabat diraja
Peperangan yang berlaku antara Maharaja Marakarma dengan Maharaja Indera Dewa telah dapat menyatukan Puteri Nila Cahaya dengan Raja Bujangga Indera melalui ikatan perkahwinan. Selain itu, Puteri Cahaya Khairani telah dapat bertemu semula dengan saudaranya, Raja Bujangga Indera serta  ayahanda dan bondanya setelah diselamatkan oleh Maharaja Marakarma.

Persoalan
Keberanian untuk menempuh cabaran.
Contoh: Maharaja Marakarma berani untuk menentang Maharaja Indera Dewa.

Kebijaksanaan dalam tindakan.
Contoh: Apabila Maharaja negeri Anta Beranta mangkat, Maharaja Marakarma segera mengarahkan Raja Rum Syah untuk melihat keadaan rakyat negeri Anta Beranta agar baginda dapat menakluk negeri tersebut.

Penderitaan tidak semestinya berkekalan.
Contoh: Puteri Nila Cahaya yang sedih setelah kematian ayahanda dan bondanya akhirnya mendapat kesudahan yang baik kerana dapat berkahwin dengan Raja Bujangga Indera.

Tanggungjawab seorang bapa.
Contoh: Maharaja Marakarma menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada Puteri Nila Cahaya dengan menjaga puterinya dengan baik serta mengahwinkan Puteri Nila Cahaya dengan Raja Bujangga Indera.

(Sumber: Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM)

No comments: