Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, April 7, 2015

Antologi Cerpen: Bendera Putih dan Air Mata Di Arafah



BENDERA PUTIH DAN AIR MATA DI ARAFAH : DIDAKTISISME  MELALUI SIMBOLISME 
oleh RAJA RAJESWARI SEETHA RAMAN, IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

Pengenalan
Bendera Putih (ITBM, 2015) karya Chai Loon Guan  dan Air Mata di Arafah (DBP, 2014) nukilan Iskandar Goh atau Peter Augustine Goh merupakan koleksi cerpen yang sarat dengan  amanat.  Dalam kedua-dua kumpulan cerpen ini, simbol dipilih sebagai wahana atau saluran untuk menyampaikan didaktisisme atau pengajaran kepada insan. Memandangkan simbol digunakan secara meluas dalam cerpen, maka dalam kertas kerja ini pengkaji akan menerapkan semiotik aliran Charles Sanders Peirce dan bacaan konotatif untuk menyelongkar didaktisisme yang tersirat di sebalik  simbolisme.

Takrif Didaktisisme
Didaktisisme berasal daripada perkataan ‘didaktik’ yang bermaksud mengajar (Kamus Dewan, 1996 : 303). Didaktisisme boleh ditakrifkan sebagai unsur pengajaran dalam sesebuah karya sastera yang memberi pendidikan dari segi moral, etika dan soal-soal keagamaan (Kamus Dewan, 1996 : 303). Didaktisisme atau unsur pengajaran dalam karya sastera disalurkan atau disisipkan secara tersirat melalui simbolisme untuk diambil iktibar oleh pembaca.

Takrif Simbolisme
Simbolisme bermakna penggunaan simbol untuk menyampaikan sesuatu (Kamus Dewan, 1996 : 1281). Simbol berasal daripada perkataan Yunani, ‘symbolon’ (Charles Chadwick, 1991: 5). Menurut Wilfred L. Guerin (1986 : 86), “when an image, incident or other discrete item takes on meaning beyond itself, it moves into the realm of symbol. Simbol dipilih sebagai wahana untuk menyampaikan didaktisisme atau pengajaran kerana “symbols mean something other than what it ordinarily mean” (Floyd Merrell, 1937 : 13).

Oleh sebab simbol  pada lazimnya merujuk kepada perkara, hal, situasi atau peristiwa yang lain daripada yang digambarkan melalui objek, suasana, alam, tempat, bau, bunga, ikan dan tumbuh-tumbuhan, maka simbol menjadi pilihan pengarang untuk menyampaikan gagasan atau konseptualisasi. Dalam konteks ini, Wilfred L. Gurin (1986 : 86),  berpendapat  bahawa “symbols may sometimes remain within the work, as it were, but it is the nature of the symbols to have extensional possibilities, to open out to the world beyond the art object itself.”

Berdasarkan kenyataan Wilfred L. Gurin, boleh dibuat kesimpulan bahawa simbol sengaja dipilih oleh pengarang kerana sifat simbol itu sendiri yang merujuk kepada perkara atau isu lain daripada apa yang dilambangkan, meluaskan horizon pemikiran pembaca dan menggalakkan pembaca untuk berfikir di luar kotak dan menginterpretasikan makna yang disampaikan secara simbolik dalam cereka.

Didaktisisme Melalui Simbolisme
Menelusuri 11 cerpen dalam Bendera Putih dan  19 cerpen dalam Air Mata di Arafah, ditemukan amanat atau mesej yang disisipkan melalui lapan jenis simbol iaitu simbol objek, simbol alam, simbol tempat, simbol ikan, simbol bau, simbol warna, simbol bunga dan simbol tumbuh-tumbuhan. Antara didaktisisme atau pengajaran yang disalurkan melalui wahana simbol ialah kepentingan menjaga rumah diri, rumah pusaka, pintu kalbu, kepentingan mempertahankan harta warisan, kepentingan memiliki sifat ketabahan, kecekalan, kerajinan, kepentingan menjaga iman, takwa dan kepentingan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Kepentingan Menjaga “Rumah Diri” dan “Rumah Pusaka”
Kepentingan  menjaga ‘rumah diri’ disalurkan melalui simbol rumah. Rumah dalam cerpen “Rumah Tercantik” tidak merujuk kepada tempat kediaman tetapi merupakan simbol yang  melambangkan “rumah diri” atau rumah insani manakala daerah “Mawar Merah” membawa konotasi pertiwi atau tanah tumpah darah.

Dalam cerpen “Rumah Tercantik”, terdapat  sebuah daerah yang subur dan segar yang bernama daerah “Mawar Merah”. Kesuburan dan kesegaran daerah “Mawar Merah” atau tempat kelahiran  terjejas sebaik sahaja sebuah rumah tercantik dibina di kawasan tersebut.  Aroma  segar  yang pernah mengharumkan pertiwi tiba-tiba berubah wajah dan mula mengeluarkan bau laknat yang amat busuk yang menyebabkan penduduk di daerah “Mawar Merah” tidak dapat menjamu selera dan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Oleh sebab bau laknat dari “rumah tercantik” itu menjejaskan kehidupan penghuni di daerah “Mawar Merah”, maka akhirnya rumah tersebut dibakar. Hanya selepas dibakar dengan api, bau busuk  yang  menjejaskan kehidupan seharian penduduk di daerah “Mawar Merah” dapat dilenyapkan.

          Melalui  simbol “ rumah tercantik”, “mawar  merah” , “bau busuk” dan “abu”, Peter Augustine Goh menyampaikan amanat bahawa insan wajar menjaga kecantikan peribadi atau sahsiah mereka agar kesejahteraan masyarakat terjamin. Jika peribadi atau personaliti manusia buruk, maka yang akan menjadi mangsa ialah rakyat dan nusa. Negara akan musnah bagai abu jika rakyatnya tidak memiliki sahsiah terpuji. Amanat ini disalurkan secara simbolik dalam cerpen berjudul “Rumah Tercantik.” Perhatikan penggunaan simbol di bawah ini: 

“Bagaimana rumah tercantik yang didakwa mengeluarkan bau yang amat busuk dan menyebabkan semacam kegemparan dan kecemasan, diarah oleh pihak berkuasa supaya dimusnahkan. Bagaimana rumah itu meskipun disemburkan dengan berbotol-botol minyak wangi tidak mampu mengatasi keadaan yang amat dahsyat itu. Ia tetap mengeluarkan bau yang memualkan dan busuknya melata sampai di kejauhan” (Air Mata di Arafah, 2014 : 73).

“Seorang ustaz berkata laju dan panjang, “Maha Suci Allah.
Rumah tercantik itu benar-benar membawa banyak pengajaran kepada kita semua. Para penghuni dalam rumah itu dengar kata mengamalkan ketidakadilan, ketidakjujuran, tidak amanah, penipuan, kezaliman terhadap pembantu -pembantu rumah dan para pekerjanya, penghinaan terhadap orang lain, penyelewengan, penganiayaan, terlalu asyik dan leka dengan hiburan dan pesta yang selalu diadakan di rumah itu saban hari, tak tunai zakat dan pastinya tidak tegakkan solat. Terlalu banyak gejala yang tak sihat” (Air Mata di Arafah, 2014 : 74).

“Rumah tercantik” melambangkan rumah  diri atau rumah insani yang perlu dipelihara kecantikannya melalui  perbuatan dan amalan yang baik. “Mawar Merah” sinonim dengan pertiwi. “Bau busuk” membawa maksud kejahatan. Simbol “minyak wangi” membawa konotasi kebaikan. Apabila rumah diri tercemar, maka sukar untuk menyucikannya semula. Imej pertiwi juga terjejas. Amanat ini terselit di sebalik simbol bunga, simbol aroma dan simbol rumah.

Jika cerpen “Rumah Tercantik” karya Peter Augustine Goh melambangkan rumah insani, cerpen berjudul “Rumah” nukilan Chai Loon Guan merujuk pertiwi atau rumah pusaka yang wajar dipelihara. Jika dibaca dari sudut denotatif atau makna literal, cerpen “Rumah” mengisahkan  watak Ah Ti yang bernekad untuk tidak berpindah dari rumahnya meskipun notis telah diterima dan ganjaran sebanyak RM 10,000 ditawarkan untuk mengosongkan rumah tersebut. Manakala dari sudut konotatif, “rumah” melambangkan  rumah warisan atau pertiwi yang wajar dipelihara dan tidak boleh digadaikan kepada sesiapa kerana jika kehilangan ‘rumah’ maka akan kehilangan imej dan maruah negara. Rumah yang dipertahankan sejak kemerdekaan wajar dikekalkan agar generasi muda dapat hidup dalam keadaan aman damai. Didaktisisme ini tertera dalam contoh petikan di bawah ini:

“Peduli apa notis itu!  Rumah ini rumah pusaka. Tiada sesiapa yang berhak menghalau kita, Ah Moi!” (Bendera Putih, 2015 :41).

“Tauke jangan menghina kami. Rumah itu walaupun buruk dan usang, tapi rumah itulah rumah pusaka kami, mengerti?” (Bendera Putih, 2015 :48).

“Ketika itu,  Ah Ti lupa akan isterinya. Ah Ti lupa akan anak gadisnya, Kim. Yang dia ingat kini, rumah pusaka itu mesti dipertahankan. Rumah pusaka tiga dekad itu perlu diperjuangkan! Rumah pusaka itulah harapan generasi baharunya, Kim!” (Bendera Putih, 2015 : 50).
         
Kedua-dua cerpen tersebut boleh ditafsir dari sudut denotatif dan konotatif kerana bahasa mempunyai dua makna iaitu makna denotasi atau denotatif dan makna konotasi atau konotatif. Denotasi ialah makna yang selapis dan tersurat manakala konotasi membawa makna yang berlapis-lapis dan tersirat (Abdul Ghafar Ibrahim, 2014 : 9). Manakala menurut Margaret  Chapman dan KathleenWelton (2010 : 35), “words have shades of meaningandthe connotation of a word is the subtler meanings of a word, the emotional or cultural meanings.”

Dalam kedua-dua cerpen tersebut, “rumah” merujuk ‘rumah diri’ dan ‘pertiwi’ yang wajar dipelihara dan dipertahankan kesucian dan kedaulatannya. Jika sahsiah insani dan kedaulatan pertiwi terjejas maka imej negara akan terjejas. Imej insani dan imej pertiwi yang terjejas dilambangkan melalui aroma yang tidak menyenangkan penduduk.  Amanat ini dikesan melalui penggunaan simbol.

Kepentingan Menjaga Pintu (Pintu Kalbu )
Kepentingan menjaga “kalbu” disalurkan melalui simbol “pintu.” Dalam cerpen “Pintu”,  Peter Augustine Goh menyampaikan pesanan agar insan membuka “pintu kalbunya” dan tidak bergelumang dengan dosa seperti rasuah, dendam dan salah guna kuasa. Sebaliknya, disarankan agar manusia mengikuti jalan lurus yang telah ditentukan oleh-Nya. Didaktisisme ini disalurkan melalui simbol “pintu”, simbol “sungai” dan simbol “ikan.” Buktinya  tertera di bawah ini: 

“Di sinilah dia telah menjala ikan rasuah, ikan tidak amanah, ikan tidak jujur dan ikan dendam di sungai salah guna kuasa untuk agenda dan kepentingan dirinya sendiri” (Air Mata di Arafah, 2014 : 214).

“Orang muda, belum terlambat untuk kau bertaubat. Tetapkan dan teguhkan pendirian dan pemikiran kau dengan mengikut jalan lurus. Insya-Allah kau akan selamat dunia akhirat. Tak perlulah kau cari pintu bertombol ungu. Bukalah “pintu kalbu” (Air Mata di Arafah, 2014 : 217).

Simbol “sungai” melambangkan kehidupan. Simbol “ikan” merujuk kemewahan dan simbol “pintu” membawa konotasi pintu hati atau pintu kalbu. Melalui penggunaan simbol, pengarang menyampaikan amanat agar insan menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpul kemewahan melalui  rasuah dan  salah guna kuasa.  Manusia perlu membuka pintu kalbu dan mematuhi jalan yang telah ditentukan-Nya agar kehidupan mereka terjamin di dunia dan akhirat. Amanat ini disampaikan secara simbolik agar manusia mengambil iktibar, bermuhasabah diri dan tidak melakukan dosa dalam kehidupan mereka.

Kepentingan Mempertahankan  Harta Warisan (Istana Cinta)
“Istana Cinta” dalam cerpen berjudul “Kedai” melambangkan perniagaan yang dijalankan  secara turun temurun  oleh Abang Ah Ti di Kampung Baru Yong. Selepas kematian Abang Ah Ti, anaknya yang bernama Liangmoi mencadangkan kepada ibunya Nyonya Tanteh agar meninggalkan perniagaannya, namun demikian, Nyonya Tanteh bertekad untuk mempertahankan perniagaan runcit yang dimulakan oleh mendiang suaminya.  Kedai runcit atau perniagaan yang diasaskan oleh mendiang suaminya diibaratkan sebagai “istana cinta” yang wajar dipertahankan meskipun ditawarkan RM 50,000 oleh Pak Cik Wong kepada Nyonya Tanteh. Keazaman Nyonya Tanteh dalam mempertahankan perniagaan runcitnya boleh ditemukan dalam contoh berikut:

“Hatinya keras. Kuat azam mempertahankan hak warisan keluarga. Baginya usia lebih separuh abad masih berupaya bekerja. Sudah lama dia bekerja keras membesarkan Mengze dan Liangmoi bersama dengan mendiang suaminya” (Bendera Putih, 2015 : 56).
         
“Harta warisan istana cinta dan setia mesti dipertahankan. Mesti ! Hati Nyonya Tanteh berdialog lagi” (Bendera Putih, 2015 : 56).
         
“Ah, pedulikan mereka semua!” jerit hati keras Nyonya Tanteh. Wang RM 50,000 boleh dicari. Tetapi kedai usang yang unik dan satu-satunya harta warisan tidak boleh ditukar ganti. Aku mesti mempertahankannya. Hati Nyonya Tanteh bersipongang lagi” (Bendera Putih, 2015 : 57-58).

“Abang Ti, perjuangan ini tetap akan aku teruskan biarpun usia semakin tua dan uzur!” Nyonya Tanteh tersenyum megah sambil menyusuri jalan pulang” (Bendera Putih, 2015 :62).

Simbol “kedai usang” bukan merujuk kedai yang buruk tetapi perniagaan yang dijalankan secara turun temurun oleh Abang Ah Ti di Kampung Baru Yong. Perniagaan yang dimulakan oleh mendiang suami Nyonya Tanteh  merupakan suatu harta yang memiliki nilai cinta dan setia dan tidak seharusnya diserahkan kepada orang lain. Didaktisisme ini disampaikan melalui simbol “kedai.”

Kepentingan Memiliki Sifat Ketabahan, Kecekalan dan Kerajinan (Rumah Api, Pohon Ubi)
Sifat ketabahan dan kecekalan amat penting dalam menggapai kejayaan dalam hidup. Menyedari akan hakikat ini, Peter Augustine Goh menggunakan simbol “rumah api” untuk menyalurkan amanat secara tersirat. Dalam cerpen “Di Balik Jendela Kaca”, Reduan mengimbas kembali saat-saat dia dibawa oleh arwah ayahnya Pak Leman untuk melihat “Rumah Api”semasa hayatnya. Arwah Pak Leman meminta anaknya berjanji bahawa dia akan meneladeni “rumah api” yang sentiasa sabar, tabah, bertimbang rasa, kental dan cekal mengharungi cabaran hidup. Pesan Pak Leman kepada anaknya Reduan bahawa :
“Reduan, rumah api itu mempunyai sifat sabar dan tabah. Walaupun berdiri tegak, ia tidak diam. Ia sentiasa bekerja keras dan amat bertimbang rasa. Tidak mementingkan diri sendiri. Ia juga kuat dan kental, tidak pedulikan panasnya mentari pada siang hari dan sejuknya badai serta ombak yang berdebur ganas sepanjang masa. Kalau Reduan sayang pada ibu, ayah dan diri sendiri, berjanjilah menjadi seperti rumah api. Boleh?” jelas Pak Leman satu-satu, perlahan tetapi tegas” (Air Mata di Arafah, 2014 : 5).

“Boleh.”
“Janji?”
“Reduan mengangguk-angguk.”
(Air Mata di Arafah, 2014 : 5).

Peter Augustine Goh, memilih simbol untuk menyalurkan amanat sebab dalam simbol terselit pengertian yang mendalam yang menuntut pembaca untuk berfikir di luar kotak akan objek yang dilambangkan. Dalam konteks ini, “rumah api” melambangkan sifat ketabahan dan kecekalan. Simbol “mentari” merujuk cabaran dalam bentuk kepanasan manakala “badai” membawa konotasi hambatan dalam bentuk kesejukan. Simbol “ombak ” boleh ditafsirkan sebagai cabaran atau dugaan yang perlu dirintangi dalam kehidupan. Cabaran dan rintangan sentiasa hadir dalam kehidupan insan dalam bentuk yang berlainan. Tetapi manusia harus berdiri teguh seperti “rumah api.” Didaktisisme ini disampaikan secara simbolik melalui simbol alam “mentari”, “badai”, dan “ombak.”

Jika Peter Augustine Goh memilih  simbol alam untuk menyalurkan amanatnya secara simbolik, Chai Loon Guan memilih simbol tumbuh-tumbuhan atau  flora untuk  mengungkapkan konseptualisasinya berhubung dengan ketabahan, kecekalan, dan kerajinan.

Dalam cerpen “Ayah”, digambarkan perwatakan ayah yang positif. Meskipun ayah sudah  berusia, tetapi ayah berazam untuk mencari rezeki melalui titik peluhnya. Usaha ayah membuahkan hasil apabila tanaman yang diusahakannya seperti pohon ubi, sayur-mayur dan jagung mula berbuah. “Pohon ubi”, “sayur-mayur” dan “jagung” adalah simbol kepada kerajinan dan usaha ayah yang tidak mengenal erti putus asa dalam kehidupan. “Mentari” boleh dianalogikan sebagai masa depan yang cerah  dan “biru” melambangkan kedamaian dan ketenangan jiwa. Perhatikan penggunaan simbol oleh Chai Loon Guan untuk menzahirkan konseptualnya berhubung dengan kerajinan dan ketekalan ayah yang membawa kepada ketenangan jiwanya di bawah ini:
“Hidup ini mana yang tak susah. Semuanya susah kalau hati malas. Semuanya parah kalau malas berusaha. Cetus suara hati ayah lagi. Dan ayah faham benar akan hakikat itu” (Bendera Putih, 2015 : 32).

“Ayah sudah tua. Ayah sudah sepatutnya pencen duduk rumah. Namun, ayah masih berdegil. Tangannya masih aktif. Hatinya masih punya azam yang kuat.Azam yang satu dan jitu. Ayah mahu cari duit hasil titik peluhnya sendiri. Duit itu bakal buat ongkos seisi keluarga. Itu pasti. Ayah makin rajin akhir-akhir ini. Di tanah sebidang itu, pohon-pohonubi sudah tinggi. Sayur-mayur makin subur. Jagung sudah berbuah kini. Tak lama lagi hasi peluhnya pasti menelurkan hasil. Duit daripada peluhnya sendiri. Ayah bangga bersama dengan harapannya yang semakin cerah persis mentari yang sentiasa megah di mega-mega biru” (Bendera Putih, 2015 : 33-34).

Ayah berasa bangga dan harapannya bertambah cerah laksana “mentari yang sentiasa megah di mega-mega biru” boleh dianalogikan sebagai ketenangan dan kedamaian abadi yang dinikmati  oleh Ayah tatkala titik peluhnya  membuahkan hasil.

Kepentingan Menjaga Iman dan Takwa (Layang-layang)
Kepentingan menjaga iman dan takwa diungkapkan secara kreatif melalui cerpen “Permintaan Terakhir.” Dalam cerpen ini, ayah Aziz telah membawanya ke tepi laut dan pantai untuk melihat matahari terbenam kerana kata ayah Aziz bahawa fenomena mentari tergelincir dan alam ada kaitan dengan kehidupan insan.  Di sini, Aziz diminta memerhatikan layang-layang dan mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Berikut buktinya: 

“Aziz, sebelum ayah kembali kepada Ilahi, ayah ada satu permintaan. Permintaan terakhir,”ucap ayah (Air Mata di Arafah, 2014: 184).

“Ayah nak ke tepi laut petang ini. Mahu melihat mentari jatuh.  Tak sukar kan ? tanya ayah di ruang tamu rumah teresku” (Air Mata di Arafah, 2014: 185).

“Pada tahap ini kini, aku tahu mengapa dia ingin ke tepi laut atau pantai melihat mentari terbenam. Air mataku gugur lagi. Ayah !!!” (Air Mata di Arafah, 2014: 185).

“Ayah mahu kau melihatnya. Ia ada kaitan dengan kehidupan ini,” tekan ayah yang duduk di sebelah kiriku di bangku kayu itu. Matahari lewat petang tidak begitu terik. Angin bulan November dari arah laut berhembus tajam. Seolah-olah, mengusapi kulitku untuk pandai mentafsirkannya” (Air Mata di Arafah, 2014: 186).

“Jadilah seperti layang-layang. Ia melenggang-lenggang di udara kerana angin dan ia terkawal kerana tali. Ertinya, kita hidup kerana ada yang hidupkan kita dan kehidupan perlu dikawal. Ikut rasa, binasa. Ikut nafsu, lesu. Kalau layang-layang dikawal terajunya, kita manusia kena dikawal dengan iman dan takwa. Dengan cara itu baru boleh selamat dunia akhirat,” ucap ayah satu per satu dengan lemah tapi tegas” (Air Mata di Arafah, 2014: 189).

Dalam cerpen “Permintaan Terakhir”, simbol alam seperti “laut”, “pantai”, “angin”, “mentari” dan simbol objek “layang-layang” digunakan untuk menyalurkan amanat akan kepentingan iman dan takwa dalam kehidupan. Kehidupan insan bersifat sementara, justeru simbol “mentari”digunakan. Sebagaimana mentari tergelincir menjelang senja, manusia juga merupakan tetamu senja yang akan dipanggil untuk menghadap Yang Maha Esa pada bila-bila masa. Kematian adalah sesuatu yang pasti, justeru manusia harus menjadi “layang-layang” yang tidak terbang bebas tetapi dikawal melalui iman dan takwa. Sebagaimana “layang-layang” dikawal melalui tali,  iman dan takwa mengawal dan mengatur kehidupan manusia. 

Simbol “mentari” melambangkan  kesementaraan hidup. “Laut” dan “pantai” sinonim kepada kehidupan dan “angin” merujuk cabaran dalam kehidupan. Meskipun kehidupan bukan  suatu pengembaraan  yang  lurus, dengan keimanan dan ketakwaan, segala cabaran dapat dirintangi dengan mudah. Amanat ini terselit di sebalik simbol alam.

Kepentingan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan (Akar Bahasa)
Kepentingan mendaulatkan bahasa kebangsaan diketengahkan melalui cerpen “Muzakarah, Ceritera Bahasa dan Aku.” Dalam cerpen ini, Chai Loon Guan menegaskan bahawa usaha memartabatkan, mendaulatkan dan melestarikan bahasa kebangsaan perlu berfokus kepada akar umbinya. Konseptualisasi ini dikesan melalui sajak berjudul “Akar Bahasa.” Berikut buktinya: 

“Mahu kita perkasakan, bermula daripada apa, Tuan Munsyi?” (Bendera Putih, 2015 : 129).
“Usaha?” 
“Azam?”
“Impian?”
“Mari kita mulakan dengan sejarahnya. Akarnya, akar bahasa! Ayuh !” (Bendera Putih, 2015 : 129).

Akar Bahasa
Akar warga bangsa, bahasa
Akar budaya bangsa, bahasa
Akar jati diri bangsa, bahasa
Akar modal insan, bahasa
Akar pendidikan, bahasa
Akar kemajuan, bahasa
Akar kecemerlangan wawasan, bahasa
Akar kegemilangan gagasan, bahasa
Akar nusa bangsa, bahasa
Bahasa Jiwa bangsa!
(Bendera Putih, 2015 : 129-130).

Melalui simbol “akar bahasa” yang menjadi judul puisi, terselit amanat bahawa sebarang usaha melestarikan bahasa kebangsaan perlu bermula daripada peringkat akar umbinya. Jika akar sesebuah pohon itu teguh, barulah pohon itu boleh berbunga dan berbuah untuk zaman berzaman. Akar  atau asas yang stabil dan kukuh menjamin masa depan bangsa, budaya, jati diri, modal insan, pendidikan, kemajuan, kecemerlangan dan kegemilangan sesebuah nusa. Mesej ini diungkapkan secara kreatif dan metaforikal melalui puisi “Akar Bahasa” agar usaha melestarikan bahasa kebangsaan dimulakan di peringkat asas atau akar umbinya.

Kesimpulan
Menelusuri kumpulan cerpen  Bendera Putih dan Air Mata di Arafah, karya Chai Loon Guan dan Peter Augustine Goh,  ditemukan  didaktisisme yang tersirat disebalik  lapan jenis simbol. Antara simbol yang ditemukan dalam cerpen-cerpen yang dikaji ialah simbol objek, simbol alam, simbol warna, simbol tempat, simbol ikan, simbol bau, simbol bunga dan simbol tumbuh-tumbuhan. Daripada lapan jenis simbol yang ditemukan, simbol yang paling dominon ialah simbol alam.

Simbol digunakan sebagai wahana atau saluran untuk menyampaikan didaktisisme kepada masyarakat sebab dalam simbol ada pengertian dan konseptualisasi. Simbol juga mengajak manusia untuk berfikir akan mesej tersirat yang disampaikan secara simbolik oleh cerpenis. Dalam konteks ini, Suzane Langer (1971 : 64), berpendapat bahawa “symbol is an instrument of thought.” Manakala Mohammad Quayum (1997 : 1) berpandangan bahawa “symbols suggest something beyond itself.”

Kenyataan Mohammad Quayum amat bertepatan dalam konteks ini kerana melalui simbol, pengarang menyampaikan didaktisismenya kepada para pembaca. Antara didaktisisme atau pengajaran yang di kenal pasti dalam Bendera Putih dan Air Mata di Arafah melalui bacaan konotatif  ialah kepentingan menjaga akhlak, kalbu, iman dan takwa, harta pusaka, kepentingan memiliki sifat ketabahan, kecekalan,  kepentingan usaha berterusan dan kepentingan memperkasa bahasa kebangsaan. 

Kesimpulannya, Bendera Putih dan Air Mata di Arafah bukan cerpen yang dicipta untuk bacaan santai kerana didaktisisme yang terselit di sebalik simbol menuntut bacaan konotatif untuk mencerna amanat yang disampaikan secara simbolikal dan metaforikal. Bendera Putih dan Air Mata di Arafah mendedahkan luka dan duka pengarang. Pengarang sesal dan kesal kerana  nilai-nilai murni, nilai kemanusiaan  dan patriotisme terhadap bahasa dan nusa terhakis dalam diri insani. Simbol “Bendera Putih” dan “Air Mata di Arafah” yang dipilih sebagai  judul untuk kumpulan cerpen tersebut membuktikan akan kebenaran pernyataan pengkaji kerana simbol “bendera putih” melambangkan kekecewaan atau kehampaan manakala simbol “air mata” membawa konotasi duka atau sengsara.

BIBLIOGRAFI
Abdul Ghafar Ibrahim & Shahanz Akbar (2014). Cakap-cakap Puisi. Kuala Lumpur :
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Chadwick, Charles. (1971). Symbolism. London : Methuen & Co.Ltd.
Chadwick, Charles. (1991). Simbolisme. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chai Loon Guan. (2015). Kumpulan Cerpen Bendera Putih. Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan & Buku Malaysia.
Chapman, Margaret & Welton, Kathleen. (2010). Poetry for Beginners. New Hampshire:
Steerforth Press. 
Drury, John. Creating Poetry. (1991). Ohio : Writer’s Digest Books. 
Guerin Wilfred. (1999).   A Handbook of Critical Approaches to Literature. New York :
Oxford University Press.
Langer, Suzane K. (1971). Philosophy in a New Key : A Study in the Symbolism of Reason,
Rite, and Art. Cambridge : Harvard University Press.
Merrell, F. (1937). A Semiotic Theory of Texts,  New York : Mouton de  Gruyter.
Mohammad Quayum &  Rosli Talif. (1997).  A Concise Dictionary of Literary Terms.
Serdang : Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Peter Augustine Goh. (2014). Kumpulan Cerpen Air Mata di Arafah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Teuku Iskandar. (peny).(1996). Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan

Bahasa dan Pustaka. 

No comments: